Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Sabtu, 22 Oktober 2022

Caprice Akan Tetap Teruskan Saman Mydin Kerana Guna Perkataan 'Cap' dan 'Rice'

Caprice Akan Tetap Teruskan Saman Mydin Kerana Guna Perkataan 'Cap' dan 'Rice'


Hangat diperkatakan mengenai isu pasar raya Mydin dan Caprice apabila penyanyi rap itu meminta pihak Mydin membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam dan bersedia memfailkan saman sebanyak RM30 juta.


Bagaimanapun, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin mengatakan pihaknya tidak membuat sebarang kesalahan pada hantaran yang dimuat naik di platform media sosial Mydin serta tiada sebarang unsur perlian atau menghina individu tertentu.


"Siapa makan cili, dia yang rasa pedas. Kalau betul Caprice nak saman, hantar surat saman kepada pihak kami, biar peguam saya nanti akan semakkan," katanya ringkas.


Terbaru, Caprice dilihat memuat naik status di Insta Story menjawab pertanyaan netizen adakah dia akan meneruskan tindakan saman terhadap pihak Mydin.


Menurut Caprice, dia akan meneruskan saman serta tidak menyangka seseorang yang sangat dihormati ramai sanggup membiarkan pasukan medianya untuk menyindir orang lain.


"Saya tidak pernah sangka seseorang yang kami hormati akan merendahkan diri untuk membiarkan pasukan media sosialnya menyindir saya.


"Macam mana nak nafikan sedangkan ruang komen memang tag tu semua merujuk kepada saya…" tulisnya.


Sejak 19 Oktober lalu, tular satu perkongsian di buat oleh pasaraya terkenal, Mydin memuat naik ciapan menggunakan perkataan 'cap' dan 'rice', merujuk kepada produk jualan mereka iaitu topi dan beras.


"Mula-mula ingat nak beli tea je (saja), sekali terbeli cap (topi) dan rice (beras). Bila sampai rumah, rasa macam tak perlu pun cap dengan rice tu. Nasib Mydin bagi pulangkan balik dalam masa 24 jam," hantaran Mydin di Twitter Mydin Malaysia yang tular.


Kemudian, mereka juga memuat naik satu lagi ciapan berserta gambar cili, yang juga produk jualan mereka. Ciapan itu disambut baik oleh netizen termasuklah jenama telefon pintar Oppo yang bertanya, sama ada mereka menjual plastik yang tidak mudah koyak. - Sumber Kosmo Online.


Ameer Ali terbuka sekiranya Caprice ingin menyaman pihaknya, namun bertegas bahawa Mydin tidak menyebut nama mana-mana individu pada hantarannya. - Foto Bernama.

Rabu, 19 Oktober 2022

Lelaki pecah rekod dunia nyalakan 150 lilin dalam mulut selama 30 saat

Lelaki pecah rekod dunia nyalakan 150 lilin dalam mulut selama 30 saat


Seorang lelaki di negeri Idaho, Amerika Syarikat memecahkan Guinness World Records dengan menyalakan 150 batang lilin di dalam mulutnya selama 30 saat, lapor agensi berita United Press International (UPI) pada 17 Oktober 2022.


Lelaki berkenaan, David Rush telah memecahkan hampir 250 rekod dunia bagi mempromosikan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).


Menurutnya, dia sebelum ini cuba mencipta rekod tersebut pada Disember tahun lalu, namun gagal kerana beberapa lilin terkeluar daripada mulutnya.


"Berat kesemua lilin ini amat menekan diri saya. Saya juga mengeluarkan air liur selama lebih 10 minit yang membuatkan lilin-lilin tersebut menjadi licin di dalam mulut.


"Hanya selepas 5 saat, saya sudah boleh merasa lilin-lilin tersebut mula tergelincir, jadi saya terpaksa mencengkam dan menggigit dengan lebih kuat bagi mengelakkannya daripada terjatuh," kata Rush.


Tambah lelaki tersebut, dia turut memakai alat perlindungan mata ketika melakukan cubaan rekod itu, namun tetap bergelut dengan asap yang terhasil serta keadaan lilin yang menjadi licin.


Menerusi percubaan tersebut, Rush berjaya memecah rekod yang dipegang seorang lelaki dari negeri Carolina Utara, Garrett James, yang menyalakan 105 batang lilin di dalam mulutnya pada tahun lalu. - Sumber UPI.


Rush terpaksa mencengkam dan menggigit lilin dengan lebih kuat bagi mengelakkannya daripada terjatuh. - Foto Guinness World Records.

Isnin, 10 Oktober 2022

Pengembara masa ramal meteor membawa makhluk asing terhempas di Bumi hujung tahun ini

Pengembara masa ramal meteor membawa makhluk asing terhempas di Bumi hujung tahun ini


Seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai 'pengembara masa dari tahun 2671' memberi amaran kepada orang ramai mengenai beberapa 'peristiwa besar' yang bakal berlaku di Bumi menerusi beberapa hantaran klip video di media sosial.


Menerusi lapor akhbar The Sun pada 8 Oktober 2022, individu itu telah memberi amaran kepada orang ramai bahawa meteor besar akan terhempas ke Bumi yang membawa makhluk asing antara November 2022 hingga Mei 2023.


Pengguna TikTok, Eno Alric, yang lebih dikenali dengan julukan 'theradianttimetraveler' antaranya mendakwa manusia akan menemui planet baharu, dan Bumi dilanda ombak besar.


"Perhatian! Ya, saya pengembara masa sebenar dari tahun 2671, ingat tarikh-tarikh ini. 30 November 2022, Teleskop James Webb menemui planet yang amat menyerupai Bumi.


"8 Disember 2022, meteor besar terhempas di Bumi yang mengandungi jenis logam dan membawa makhluk asing," kata Alric.


Tambahnya, pada 6 Februari 2023, sekumpulan empat remaja akan menemui tinggalan purba dan peranti yang membuka lubang laluan ke galaksi lain.


"23 Mac 2023, sekumpulan saintis yang meneroka Jurang Mariana menemui spesies purba," demikian menurut dakwaannya.


Rata-rata netizen bagaimanapun menunjukkan reaksi tidak percaya mengenai dakwaan tersebut. Salah seorang netizen turut mengatakan bahawa pengembara masa tidak wujud. - Sumber The Sun.


Sebuah meteor besar diramal terhempas di Bumi pada 8 Disember 2022. - Foto radianttimetraveler/TikTok.

Jumaat, 7 Oktober 2022

Seorang YouTuber bertukar menjadi manusia paling hitam di dunia

Seorang YouTuber bertukar menjadi manusia paling hitam di dunia


Seorang YouTuber terkenal Jepun, Hajime mengejutkan berjuta-juta pengikutnya baru-baru ini apabila dia mengecat keseluruhan badan menggunakan cat paling hitam di dunia yang dijual secara komersial, lapor laman berita Oddity Central pada 5 Oktober 2022.


Musou Black merupakan sejenis cat khas yang dibangunkan dan dijual oleh syarikat Koyo Orient Japan, namun secara teknikal, ia bukan cat paling hitam di dunia. 


Gelaran tersebut sebenarnya milik cat Vantablack, sejenis salutan hitam luar biasa yang mampu menyerap sehingga 99.965 peratus cahaya yang boleh dilihat.


Ia menjadikan semua bahan dicat kelihatan seperti lubang hitam, namun cat tersebut amat mahal dan tidak dijual di pasaran terbuka.



Musou Black sebaliknya mampu menyerap 99.4 peratus cahaya yang boleh dilihat, menjadikannya cat kedua paling hitam di dunia dan dijual di laman peruncitan Amazon pada harga AS$17 (RM78.70) bagi setiap 100 mililiter.


Berdasarkan ciri unik tersebut, Hajime yang dikenali kerana sering tampil dengan pelbagai idea 'gila' baru-baru ini menggunakan cat Musou Black untuk menghasilkan bilik paling hitam di dunia.


Sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya menunjukkan lelaki berkenaan mengecat dinding bilik dengan warna hitam, sebelum menyalut badannya menggunakan cat yang amat hitam itu untuk menguji sama ada dia boleh dilihat di dalam bilik tersebut.


Selain video itu, Hajime turut berkongsikan beberapa gambar menunjukkan dia berada di tepi pantai dengan keadaan badannya dicat dengan warna hitam, yang membuatkannya kelihatan seperti bayang-bayang.


Hajime turut menggunakan cat tersebut untuk mewarnakan pelbagai objek lain termasuk kereta dan buah-buahan, tetapi, Hajime mungkin menjadi orang pertama yang menggunakannya pada badan manusia. - Sumber Oddity Central.


Hajime kelihatan seperti bayang-bayang. - Foto Twitter Hajime.

Selasa, 4 Oktober 2022

Lelaki dipatuk ketika cuba cium ular liar

Lelaki dipatuk ketika cuba cium ular liar


Seorang lelaki di India sedang menyelamatkan dua ular liar dipatuk pada bahagian bibir apabila dia memutuskan untuk cuba mencium reptilia tersebut, lapor akhbar Daily Star UK pada 3 Oktober 2022.


Lelaki itu dikenali sebagai Alex dan ketika kejadian, dia cuba menyelamatkan dua ekor ular berhampiran sebuah kampung kecil di Shivamogga, negeri Karnataka.


Dia yang merupakan seorang penyelamat ular menangkap haiwan itu bersama rakannya, Roni, sebelum melepaskan kembali reptilia tersebut ke kawasan hutan berdekatan.


Bagaimanapun, Alex secara tiba-tiba cuba mencium mulut salah seekor haiwan tersebut, menyebabkan ular itu mematuk bibir lelaki berkenaan dan mencederakannya.


Dia dibawa ke sebuah hospital daerah di Shivamogga untuk mendapatkan rawatan dan dibenarkan pulang beberapa jam kemudian.


Kedua-dua repitilia itu turut dilepaskan ke dalam hutan, namun punca Alex mencium seekor ular itu tidak dijelaskan.


Video insiden tersebut menjadi tular di media sosial dengan sebilangan pengguna mendakwa bahawa sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk tempatan bertembung atau dipatuk ular.


"Tiada sesiapa yang pernah mati dipatuk ular di sebuah kampung berhampiran Varanasi di mana ular tedung berkeliaran seperti anjing jalanan," kata seorang netizen. 


Tidak dinyatakan spesies ular yang mematuk Alex, namun ia kelihatan seperti ular tedung dan berkemungkinan juga bukan daripada spesies yang sangat berbisa. - Sumber Daily Star.


Alex secara tiba-tiba cuba mencium salah seekor haiwan tersebut pada bahagian mulut. - Foto Daily Star.

Jumaat, 30 September 2022

Jelita di usia 46 tahun, wanita ini sering dikatakan kembar kepada anaknya

Jelita di usia 46 tahun, wanita ini sering dikatakan kembar kepada anaknya


Seorang wanita Jordan yang kelihatan muda, Sahar Darwazeh di usia 46 tahun sering membuatkan dia dianggap sebaya dengan pasangan anak kembarnya yang berusia 24 tahun, lapor akhbar Mirror UK pada 27 September 2022.


Sahar menjadi tular apabila muncul dalam video TikTok bersama anak kembarnya, Dana dan Juana Naseer.


Pengikut media sosial Dana pada mulanya menyangka Sahar adalah kembar ketiga yang baru memunculkan diri sebelum wanita itu memperkenalkan diri sebagai ibu kepada dua anak gadisnya.


"Wajah kami sangat seiras sehingga ramai yang menyangka kami ialah pasangan kembar tiga.


"Saya dan Juana sangat bertuah kerana mempunyai seorang ibu yang jelita, sihat dan bersantai bersama kami seperti sahabat karib," kata Dana.



Dengan lebih daripada 43,000 pengikut TikTok dan 32,500 pengikut Instagram, Dana kerap menyiarkan tentang semua perkara perjalanan, makanan dan fesyen, serta kehidupannya.


Dana yang kerap berulang-alik antara Kota London dan Jordan, turut mengakui bahawa dia tidak menyangka pengikutnya sangat menyukai status yang turut melibatkan ibunya.


Dana, yang kini melancarkan jenama sambungan rambutnya sendiri, selalunya akan membuat video dengan Juana hanya untuk keseronokan. - Sumber Mirror UK.


Sahar (kanan) sering dianggap kembar ketiga kepada Dana (kiri) dan Juana (tengah) kerana wajahnya yang masih awet muda di usia 45 tahun. - Foto Jam Press.

Khamis, 29 September 2022

Wanita cantik mengamuk, berang ditegur pandu kereta lawan arus

Wanita cantik mengamuk, berang ditegur pandu kereta lawan arus


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang wanita mengamuk apabila ditegur kerana memandu kereta secara melawan arus di jalan raya.


Menerusi laporan laman berita Bogor Daily, video itu telah dimuat naik di media sosial, salah satunya adalah akaun Instagram @memomedsos, dan sehingga kini video itu ditonton lebih 51,000 kali.


"Wanita ini berang apabila ditegur memandu kereta secara melawan arus," kenyataan yang ditulis pemuat naik video tersebut.


Dalam video tular itu, seorang wanita dilihat memandu sebuah kereta berwarna putih secara melawan arus di sebatang jalan pada waktu malam.


Perakam lelaki itu dilihat cuba menegur wanita tersebut tetapi kemudian dimarahi tanpa rasa bersalah. Lelaki ini terkejut dengan kelakuan wanita itu.


"Cantik, ada kereta, kaya tetapi dungu," kata perakam itu.


"Bodoh elu (kau)," kata wanita itu.


Mereka berdua bertengkar seketika sebelum wanita itu membaling wang ke arah kereta perakam tersebut. Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.


"Biasanya kejadian seperti ini yang ditegur malah lebih agresif," kata seorang netizen.


"Kalau saya dalam keadaan sedemikian tidak buka cermin tetapi terus memandu. Malu kalau dah buat salah," komen netizen lain.


"Saya tidak faham bahawa orang yang melakukan kesalahan marah. Apa salahnya minta maaf, mengaku kesilapan lebih beradab," komen seorang lagi netizen. - Sumber Bogor Daily.


Tangkap layar memaparkan seorang wanita memandu melawan arus. - Foto Instagram.