Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan

Sabtu, 16 Disember 2023

Pergunungan Tabuk di barat laut Arab Saudi dilanda salji

Pergunungan Tabuk di barat laut Arab Saudi dilanda salji


Dalam satu perubahan cuaca yang jarang berlaku, kawasan pergunungan Tabuk di barat laut Arab Saudi telah dilanda salji, lapor portal berita Gulf News pada 14 Disember 2023.


Seorang jurugambar, Fahd Al Masoudi merakamkan pemandangan menakjubkan itu pada Selasa, mempamerkan ketinggian dan lembah yang dilitupi salji di rantau ini dalam paparan yang menakjubkan.


Beliau menggambarkan pemandangan di gunung itu membuatkan 'jiwa dan mata menjadi tenang' dan membawa kegembiraan kepada penduduk dan peminat fotografi.


Salji di Tabuk berlaku pada musim sejuk dengan ramai penduduk tempatan menyaksikan fenomena yang jarang berlaku itu.


Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi sebelum ini meramalkan ribut petir yang berpotensi mencetuskan hujan lebat, angin kencang dan hujan batu merentasi pelbagai wilayah termasuk Tabuk, Madinah dan sebahagian kota suci Mekah.


Laporan meteorologi juga meramalkan berlakunya penurunan suhu yang ketara di kebanyakan tempat di negara itu. - Sumber Gulf News.


Al Masoudi merakamkan salji melanda pergunungan Tabuk, Selasa lalu. - Foto X/@Akhbaar24.

Isnin, 13 November 2023

NASA siar imej mengerikan gunung berapi seperti tengkorak gergasi mengintai ke langit

NASA siar imej mengerikan gunung berapi seperti tengkorak gergasi mengintai ke langit


Seorang angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) mengesan sebuah lubang gunung berapi yang kelihatan seperti wajah hantu di Gurun Sahara, Afrika apabila dilihat dari angkasa, lapor laman berita Fox News, Sabtu lepas.


Lubang gunung berapi itu sedalam kira-kira 1,000 meter (3,300 kaki) dan kelihatan seperti tengkorak yang mengerikan berdasarkan gambar dikongsikan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).


Ia dirakam selepas seorang angkasawan di ISS melihat formasi ganjil itu di Pergunungan Tibesti, Republik Chad.


Gambar itu pada asalnya dirakamkan pada bulan Februari lalu tetapi kemudian dikongsi semula oleh pihak NASA.


"Lubang gunung berapi sedalam 1,000 meter dan Tasik Trou au Natron di utara Chad kelihatan seperti wajah hantu yang merenung kembali ke arah anda," kata Balai Cerap Bumi NASA dalam catatannya pada minggu lalu.



Gambar itu menunjukkan apa yang kelihatan seperti pembentukan tengkorak besar dengan dua soket mata dan hidung dikelilingi oleh bahan putih.


NASA berkata, soket mata dan hidung itu sebenarnya adalah bukit kon curam yang dibina di sekeliling lubang gunung berapi, manakala bahan putih ialah kerak mineral yang terhasil daripada garam dikenali sebagai natron.


Pergunungan Tibesti dianggap sebagai salah satu kawasan paling terpencil di dunia, yang telah menyukarkan para saintis melakukan penyelidikan di Tasik Trou au Natron pada 2015 lalu.


NASA mengatakan bahawa penyelidikan menunjukkan kawasan itu dipenuhi dengan tasik glasier kira-kira 14,000 tahun yang lalu, dan sampel alga akuatik fosil yang dikumpulkan dianggarkan bermula sejak 120,000 tahun. - Sumber Fox News.

 

Wajah mirip tengkorak di Republik Chad yang dirakam dari ISS, Februari lalu. - Foto NASA

Penduduk terkejut kolam tiba-tiba bertukar warna merah jambu

Penduduk terkejut kolam tiba-tiba bertukar warna merah jambu


Sebuah kolam di Perlindungan Hidupan Liar Kebangsaan Kolam Kealia, salah satu daripada beberapa paya garam pantai di pulau Maui, Hawaii kelihatan aneh selepas warna airnya berubah menjadi merah jambu.


Menerusi lapor stesen penyiaran CNN pada 10 November 2023, Air Kolam Kealia itu bertukar merah jambu sejak 30 Oktober lalu selepas kandungan garamnya melonjak di tengah-tengah fenomena kemarau yang melampau.


Sampel air yang dihantar ke Universiti Hawaii menunjukkan bahawa halobakteria menyebabkan warna air kolam itu berubah, demikian menurut Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat (AS).


Halobakteria ialah organisma bersel tunggal yang hidup subur dalam air yang sangat masin seperti Great Salt Lake dan Laut Mati.



Kolam Kealia berada dalam kawasan dianggap sebagai kemarau melampau iaitu kedua terburuk pada skala Monitor Kemarau.


Situasi itu mendorong kepekatan garam meningkat dan menjadi lokasi pembiakan halobakteria yang berwarna terang.


Kira-kira 90 peratus daripada daerah Maui mengalami kemarau dan menjadi lebih teruk sejak kebakaran hutan yang melanda Lahaina pada Ogos lalu.


Para saintis masih mengkaji bagaimana krisis iklim akan menjejaskan Hawaii, tetapi secara keseluruhan terdapat keyakinan bahawa kemarau akan menjadi lebih teruk apabila suhu global meningkat walaupun di kawasan tropika seperti ini. - Sumber CNN


Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Kebangsaan Kolam Kelia bertukar merah jambu. - Foto @Traviskeahi_photo/Instagram.

Ahad, 29 Oktober 2023

Lelaki mati disambar petir ketika tidur di dalam rumahnya

Lelaki mati disambar petir ketika tidur di dalam rumahnya


Seorang lelaki di Wang Chao, wilayah Tak, Thailand meninggal dunia akibat dipanah petir ketika tidur di dalam rumahnya, semalam, lapor laman berita Thaiger pada 28 Oktober 2023.


Jitpol, 47, disambar petir ketika berbaring di atas tilam. Kejadian disaksikan oleh isteri dan dua anak perempuannya.


Rumah mangsa yang dibina daripada kayu dan beratapkan zink itu diperiksa selepas kejadian. Pasukan penyiasat menemui tilam yang diletakkan di atas lantai, baju milik mangsa dan syiling 7 baht.


Menurut anak sulung Jitpol yang bernama Kwan Khao, 16, keempat-empat ahli keluarganya biasa tidur di dalam satu kelambu.


Pada pagi kejadian, hujan lebat disertai guruh dan kilat mencetuskan ketakutannya terhadap ribut, menyebabkan dia mencari keselesaan berhampiran bapanya.


Jitpol sedang menjawab pertanyaan anaknya perempuannya Acheerana, 11, apabila kilat menyambarnya sebanyak dua kali. Dia kemudian rebah terlentang di atas lantai.


Isteri Jitpol cuba membantunya dengan melakukan urutan sebelum meminta bantuan jiran mereka. Walaupun sudah dibawa ke hospital, Jitpol gagal diselamatkan.


Anak gadis mangsa, Acheerana turut berkongsi kisahnya tentang insiden kilat itu. Dia sedang tidur di dalam kelambu yang sama dengan ahli keluarga yang lain, bersebelahan dengan ibunya apabila tragedi itu berlaku lapor KhaoSod.


"Saya melihat ibu bergegas mendukung ayah sambil menangis dan menjerit untuk membangunkannya. Dia kemudian melakukan mampatan dada sebelum memandu motosikalnya keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan.


"Sebelum dia pergi, dia meminta kami menjaga ayah dan dia akan kembali tidak lama lagi. Tidak lama selepas itu, dia kembali dengan ambulans," katanya.


Dua hari sebelum insiden berlaku, kakak Jitpol yang bernama Suporn, 68, berkata, dia telah bermimpi menghadiri acara di mana sejumlah besar daging dihidangkan.


Selepas kematian adiknya, dia mula tertanya-tanya sama ada mimpinya adalah firasat peristiwa tragis itu. - Sumber The Thaiger.


Rumah kayu beratapkan zink itu diperiksa pihak berkuasa. - Foto KhaoSod.

Jumaat, 29 September 2023

Ramai orang terkejut matahari tiba-tiba bertukar warna biru

Ramai orang terkejut matahari tiba-tiba bertukar warna biru


Peminat astronomi di Britain terkejut pagi semalam apabila mereka melihat matahari menjadi biru dengan gambar keganjilan itu membanjiri aplikasi Twitter, lapor portal berita Daily Mail pada 28 September 2023.


Sebilangan netizen membincangkan fenomena ganjil tersebut. Walaupun ia pasti kelihatan ghaib, terdapat penjelasan mudah di sebalik fenomena 'ngeri' itu.


Seorang netizen berkata: "Tidak pernah melihat matahari biru sebelum ini. Saya masih ingat matahari (berwarna) oren gelap dan merah apabila Ribut Ophelia 2017 mengubah haluan asap kebakaran hutan Portugal ke Britain. Mengapa warna biru kali ini?"


Seorang lagi netizen menulis di laman Twitter: "Kita mempunyai matahari biru yang menakutkan hari ini (semalam) di Twickenham."


Bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Kaji Cuaca Pejabat Meteorologi Britain, Dan Harris berkata: "Pengaruh angin Barat yang kuat terhadap cuaca Britain pada masa ini. Ia membawa udara dari Amerika Utara ke Eropah.


"Udara ini mengandungi asap dari kebakaran hutan Kanada. Gabungan asap dan awan tinggi di atmosfera menyerakkan cahaya matahari serta mewujudkan anjakan warna yang luar biasa," katanya.


Fenomena aneh itu bukan kali pertama berlaku. Pada tahun 1950, matahari kelihatan biru di Ontario, Kanada berikutan ribut api Chinchaga iaitu salah satu kebakaran terbesar yang pernah direkodkan di Amerika Utara. - Sumber Daily Mail.


Matahari bertukar daripada warna putih menjadi biru (gambar kecil) di Twickenham pada pagi semalam. - Foto twitter.com/ruthwadey.

Rabu, 6 September 2023

Penduduk gali kubur selepas dengar bunyi 'ketukan' selama dua hari berturut-turut

Penduduk gali kubur selepas dengar bunyi 'ketukan' selama dua hari berturut-turut


Sekumpulan penduduk tempatan di Nusa Tenggara Barat, Indonesia menggali semula kubur seorang lelaki yang baru sebulan meninggal dunia selepas mendengar bunyi dentuman kuat dari dalam tanah, lapor program berita Liputan6 pada 6 September 2023.


Video memaparkan kejadian itu dimuat naik dalam akaun Facebook @Salome Kuah Mamagina.


Orang ramai nekad menggali semula kubur itu selepas mendengar bunyi dentuman kuat seolah-olah seseorang sedang memukul papan yang menutupi liang lahad selama dua hari berturut-turut.


Kubur itu dikatakan milik seorang penduduk bernama Ahmad yang meninggal dunia kira-kira 42 hari lalu. 


Ketika kubur itu digali, penduduk kampung menghidu bau busuk daripada mayat yang sudah mereput lalu mereka menutup semula kubur itu.


Walaupun mendapat persetujuan keluarga si mati, tindakan penduduk kampung itu mendapat bantahan pengguna di media sosial.


"Kenapa perlu digali semula? Atas alasan ingin tahu? Bagaimana mungkin mayat itu hidup semula. Mungkin ramai menganggap bunyi ketukan daripada mayat yang hidup semula," komen seorang netizen.


"Ramai bersekolah tetapi tidak berpendidikan," komen netizen lain.


Agensi Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM), mengesahkan bunyi dentuman itu terjadi kerana berlaku fenomena semula jadi proses 'tukul air' dari sumber getaran kawanan gempa bumi.


"Kesan tukul air berlaku apabila aliran air secara tiba-tiba mengalami peningkatan tekanan air secara mendadak dalam saluran dan menekan udara yang terperangkap.


"Akibatnya, gelombang tekanan tinggi bergerak ke belakang melalui saluran, menyebabkan bunyi ketukan atau getaran.


"Ini adalah hasil daripada proses peningkatan tekanan air yang berkemungkinan berpunca daripada gempa bumi segerombolan yang kekuatannya agak kecil," kata Hermansyah yang merupakan Pemangku Ketua Agensi ESDM.


Hermansyah berkata, kawanan gempa bumi ialah satu siri gempa bumi kecil yang berlaku dalam tempoh masa yang agak singkat di kawasan geografi tertentu. Kebiasaannya, gempa bumi ini mempunyai magnitud atau kekuatan yang rendah. - Sumber Liputan6.


Penduduk kampung mengerumuni kubur seorang lelaki di Nusa Tenggara Barat. - Foto Facebook.

Selasa, 22 Ogos 2023

Sebuah rumah tidak terjejas walaupun kawasan kejiranan di sekelilingnya musnah akibat kebakaran

Sebuah rumah tidak terjejas walaupun kawasan kejiranan di sekelilingnya musnah akibat kebakaran


Tular gambar di laman sosial menunjukkan 'keajaiban' apabila sebuah rumah tidak terjejas walaupun kawasan kejiranan di sekelilingnya musnah akibat kebakaran di Maui dekat Hawaii, Amerika Syarikat.


BBC News melaporkan, rumah kayu berusia 100 tahun di Front Street itu masih utuh berdiri biarpun bandar Lahaina musnah, hingga pemiliknya sendiri hairan bagaimana ia boleh berlaku.


Difahamkan, pemilik rumah berbumbung merah itu dalam perjalanan ke Massachusetts ketika mendapat tahu berita kebakaran itu.


Lelaki dikenali sebagai Milikan dan isterinya itu juga menyangka keseluruhan kawasan kejiranan musnah dalam kebakaran. Ajaibnya, rakaman udara keesokan hari menunjukkan rumah mereka masih utuh.


Berdasarkan laporan BBC, dua tahun lalu, pasangan itu membeli kediaman berusia 100 tahun itu yang pernah menjadi penempatan kakitangan sebuah ladang gula.



Millikin dan isterinya berkata rumah itu rosak, jadi mereka berusaha untuk memulihkannya. Mungkin pengubahsuaian inilah yang menyelamatkan rumah itu, kata pasangan itu kepada media tempatan.


Antara inisiatif dilakukan adalah menukar bumbung asfalt dengan bahan diperbuat daripada sejenis logam, meletakkan batu sungai di sekeliling rumah dan membuang tumbuhan di sekitar kediaman itu.


Bagaimanapun, tiada satu pun daripada tindakan itu bertujuan untuk menghalang kebakaran.


Menurut laporan media, kira-kira 850 individu masih hilang. Usaha pencarian dan pemulihan masih diteruskan di Maui, dengan 114 kematian disahkan setakat ini.


Kebakaran itu memusnahkan sebahagian besar bandar Maui yang bersejarah iaitu Lahaina dan dianggap sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah Hawaii. - Sumber BBC News.


Rumah berbumbung merah di bandar Lahaina, yang terselamat daripada kebakaran itu. - Foto AFP.