Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan

Ahad, 23 Julai 2023

2,000 penguin mati secara misteri dalam tempoh 10 hari di pantai Uruguay

2,000 penguin mati secara misteri dalam tempoh 10 hari di pantai Uruguay


Kira-kira 2,000 penguin ditemui mati di pantai timur Uruguay dalam tempoh 10 hari dan puncanya masih menjadi misteri, kata pihak berkuasa, lapor NDTV pada 22 Julai 2023.


Ketua Jabatan Fauna Kementerian Alam Sekitar, Carmen Leizagoyen, berkata penguin Magellanic mati di Lautan Atlantik dan dibawa arus ke pantai Uruguay.


"Ini adalah kematian yang berlaku di dalam air. Sebanyak 90 peratus adalah spesimen muda yang tiba tanpa rizab lemak dan dengan perut kosong," katanya sambil menegaskan semua sampel yang diambil diuji negatif untuk selesema burung.


Penguin Magellanic bersarang di selatan Argentina. Pada musim sejuk di hemisfera selatan, binatang itu berhijrah ke utara untuk mencari makanan dan perairan yang lebih panas hingga ke pantai Brazil, Espirito Santo.


"Adalah perkara biasa untuk beberapa peratusan mati, tetapi bukan angka besar seperti ini," kata Leizagoyen, sambil mengingatkan kematian yang sama berlaku tahun lalu di Brazil atas sebab tidak dapat ditentukan.


Pengarah kawasan perlindungan Laguna de Rocha, Hector Caymaris, memberitahu AFP bahawa dia mengira lebih 500 penguin mati di sepanjang 10 kilometer pantai Atlantik.


Penyokong alam sekitar mengaitkan peningkatan kematian penguin Magellan disebabkan penangkapan ikan berlebihan dan secara haram.


"Dari 1990-an dan 2000-an kami mula melihat haiwan kekurangan makanan. Sumber itu dieksploitasi secara berlebihan," kata Richard Tesore, daripada NGO SOS Marine Wildlife Rescue, memberitahu AFP.


Siklon subtropika di Atlantik yang melanda tenggara Brazil pada pertengahan Julai berkemungkinan menyebabkan haiwan paling lemah mati akibat cuaca buruk, tambahnya.


Selain penguin, Tesore berkata baru-baru ini dia juga telah menemui petrel, albatros, camar, penyu laut dan singa laut mati di pantai Maldonado. - Sumber NDTV.


Penguin Magellanic, kebanyakannya spesimen muda mati di Lautan Atlantik. - Foto NDTV.

Selasa, 18 April 2023

Orang ramai bakal menyaksikan hujan Meteor Lyrids 23 April ini

Orang ramai bakal menyaksikan hujan Meteor Lyrids 23 April ini


Orang ramai bakal menyaksikan kemuncak fenomena Hujan Meteor Lyrids yang dijangka berlaku di langit Kuala Lumpur pada 23 April ini pukul 3 pagi waktu Malaysia.


Menerusi hantaran Agensi Angka Malaysia (MYSA) pada Facebook, kenampakan Hujan Meteor Lyrids itu adalah baik kerana tiada gangguan cahaya bulan semasa kemuncak berlaku.


"Fenomena angkasa ini dijangka dilihat mulai 15 hingga 19 April, manakala kemuncak Hujan Meteor Lyrids diramalkan pada malam 22 April hingga awal pagi 23 April dengan purata 18 meteor perjam," kata hantaran tersebut.


Dalam pada itu, MYSA menjelaskan, Hujan Meteor Lyrids terkenal dengan kelajuannya dan kelihatan terang walaupun tidak sepantas atau sebanyak Hujan Meteor Perseids.


"Kenampakan Hujan Meteor Lyrids sebanyak 100 meteor perjam pernah berlaku pada tahun 1803 di Virginia, 1922 di Greece, 1945 di Jepun dan 1982 di Amerika Syarikat. Secara umumnya, sekitar 10 hingga 20 meteor perjam boleh dilihat semasa kemuncak ia berlaku.


"Hujan Meteor Lyrids berasal dari serpihan yang ditinggalkan oleh komet bernama C/1861 G1. Titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Lyra. Bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.


"Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit Komet C/1861 G1 atau lebih dikenali sebagai Komet Thatcher," menurut kenyataan itu.


Mengulas lanjut, MYSA menjelaskan, Komet Thatcher dianggarkan mengambil masa selama 415 tahun untuk melengkapkan orbitnya dengan lali terakhir ia mencapai jarak yang paling dekat dengan matahari pada tahun 1861 dan dijangka dapat dilihat dari bumi semula pada tahun 2276.


"Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut.


"Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang," katanya. - Sumber Kosmo Online.

Isnin, 17 April 2023

Dasar laut bocor, saintis terkejut temui lubang besar 'mengeluarkan' sesuatu unsur lain

Dasar laut bocor, saintis terkejut temui lubang besar 'mengeluarkan' sesuatu unsur lain


Sekumpulan saintis terkejut menemui sebuah lubang besar di dasar lautan di luar pantai negeri Oregon, Amerika Syarikat di kawasan dikenali sebagai Zon Subduksi Cascadia, lapor akhbar Daily Star pada 13 April 2023.


Pakar-pakar dari Universiti Washington berkata, penemuan lubang dasar laut yang bocor mungkin bukan petanda baik di rantau berkenaan.


Lubang itu dinamakan 'Pythias Oasis' sempena nama seorang pendeta Greek yang membuat ramalan ketika duduk di atas mata air panas, lapor laman web Futurisme.


Ia menarik perhatian saintis sejak ditemui pada 2015, tetapi penyelidikan baharu mencadangkan bahawa air yang keluar dari lubang itu adalah sesuatu unsur lain.



Pakar-pakar percaya bahawa ia sebenarnya adalah sejenis pelincir tektonik yang diperlukan oleh plat untuk mengelakkan pergerakan dalam tanah.


Semasa menjalankan penyelidikan, saintis menemui 'buih-buih pada kedudukan kira-kira 1.2 kilometer di bawah permukaan air'.


Dengan menggunakan robot peneroka dasar laut, mereka mendapati buih-buih itu hanya komponen kecil cecair panas berbeza secara kimia yang muncul dari sedimen dasar laut.


Profesor oseanografi dan geologi dasar laut Universiti Washington, Evan Solomon berkata: "Mereka meneroka ke arah itu dan apa yang dilihat bukan hanya gelembung metana, tetapi air yang keluar dari dasar laut seperti paip.


"Itu sesuatu yang tidak pernah saya lihat dan dalam pengamatan saya tidak pernah dikaji sebelum ini," katanya.


Kajian sebelum ini mendapati air yang keluar dari lubang itu lebih panas daripada suhu lautan.


Ia dipercayai kebocoran dasar laut pertama seumpamanya tetapi pakar percaya bahawa yang lain mungkin wujud tanpa pengesanan. - Sumber Daily Star


Pakar percaya ia mungkin cecair tektonik yang bocor ke lautan. - Foto Universiti Washington.

Ahad, 16 April 2023

Kejadian unik, salji dan hujan batu melanda Arab Saudi, mengganggu lalu lintas

Kejadian unik, salji dan hujan batu melanda Arab Saudi, mengganggu lalu lintas


Sebahagian kawasan di Arab Saudi termasuk wilayah Al Baha dilanda salji dalam satu kejadian yang unik pada pagi Isnin lalu, lapor portal berita Gulf News pada 11 April 2023.


Video di media sosial menunjukkan salji dan hujan batu melanda jalan raya menyebabkan banyak kenderaan yang tersangkut.


Gangguan cuaca luar biasa tersebut menyebabkan keterujaan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa yang mengambil kesempatan daripada fenomena alam yang jarang berlaku itu.


Dalam pada itu, portal berita The Siasat Daily melaporkan bahawa wilayah Al Baha terkenal dengan kawasan pergunungan megah dan landskap yang indah.



Kru-kru kecemasan dari majlis perbandaran terpaksa mengalihkan batu dan hujan batu dari jalan raya manakala taman-taman bertukar warna menjadi putih.


Ramai pemandu singgah untuk menikmati cuaca yang sejuk dan sederhana itu manakala kanak-kanak dan orang dewasa muda dilihat berseronok di lereng gunung termasuk di tepi jalan raya yang dilitupi salji.


Pertahanan awam telah meningkatkan kesediaan mereka untuk menghadapi sebarang potensi risiko dan telah mengerahkan pasukan peronda.


Pihak berkuasa telah memberi amaran kepada rakyat, penduduk dan pemandu kenderaan supaya berhati-hati memandangkan perubahan cuaca di rantau itu. - Sumber Gulf News.


Sebahagian kawasan termasuk wilayah Al Baha diliputi salji pada awal pagi Isnin lalu. - Foto LBCI.

Rabu, 12 April 2023

Gerhana matahari separa muncul semula pada 20 April ini

Gerhana matahari separa muncul semula pada 20 April ini


Selepas kali terakhir berlaku tiga tahun lalu, gerhana matahari separa akan muncul semula pada 20 April ini, dan kejadian itu terjadi sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.


Seluruh negara akan mengalami gerhana matahari separa berikutan fenomena gerhana matahari hibrid yang berlaku berdekatan benua Australia.


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Facebook berkata, pemerhati di Semenanjung akan menyaksikan fenomena tersebut bermula jam 11 pagi.


"Pemerhati di Semenanjung boleh menyaksikan fenomena gerhana matahari separa bermula 11 pagi hingga sekitar 1 petang.


"Bagi pemerhati di Sarawak pula, sehingga sekitar pukul 1 petang manakala di Sabah sehingga sekitar pukul 2 petang," menurut kenyataan tersebut.


Kali terakhir kejadian itu dapat disaksikan di Malaysia ialah pada 21 Jun 2020 lalu ketika umat Islam di negara ini masih lagi meraikan lebaran pada 29 Syawal 1441 Hijrah.


Menurut pakar falak tanah air, Hanafiah Abdul Razak, berkata gerhana matahari separa atau penuh merupakan fenomena berulang-ulang yang dapat dikira menerusi kaedah ulangan kiraan hilal atau anak bulan takwim Hijrah.


Selepas kali terakhir berlaku di Malaysia tiga tahun lalu, gerhana matahari separa akan muncul semula pada 20 April 2023 ini. - Foto Ihsan falak online.

Jumaat, 24 Mac 2023

Ramai teruja lihat planet Zuhrah dekat bulan boleh dilihat jelas

Ramai teruja lihat planet Zuhrah dekat bulan boleh dilihat jelas


Fenomena gelinciran planet Zuhrah dengan bulan di angkasa dapat disaksikan oleh orang ramai ketika ini.


Menerusi hantaran Persatuan Astronomi Pulau Pinang di Facebook, bulan dan Zuhrah akan menjadi sangat dekat antara satu sama lain selepas matahari terbenam.


Jelasnya, kebanyakan kawasan di Malaysia dapat melihat planet Zuhrah dengan sangat dekat dan terang bersamaan magnitud -4.0.



"Dalam astronomi, ia berlaku apabila dua objek astronomi kelihatan berdekatan antara satu sama lain di langit.


"Secara teknikal, kedua-dua objek akan mempunyai kenaikan kanan yang sama atau longitud ekliptik yang sama, seperti yang diperhatikan dari Bumi.


"Dari beberapa bahagian Malaysia seperti Utara, Zuhrah akan kelihatan pergi di belakang anggota gelap bulan sabit, dan kemudian muncul dari sisi yang terang," katanya.


Rektor Akademi Astronomi Malaysia, Akademi Falak Malaysia Shahrin Ahmad berkata, fenomena kegelinciran ini amat menarik untuk dicerap kerana ia dapat menunjukkan momen-momen cahaya daripada Zuhrah akan hilang, muncul dan pudar sedikit daripada kesan ia bergerak di celah-celah gunung dan lurah di ufuk permukaan bulan.



Katanya, bagi orang awam yang juga peminat gerhana matahari penuh, fenomena ini sama seperti terbentuknya kesan 'Baily's Beads'.


Menurutnya, waktu bermula dan berakhirnya penghijaban ini berbeza daripada satu lokasi ke lokasi lain.


Beliau berkata, kali terakhir fenomena ini berlaku di negara ini pada 27 Mei tahun lalu.


"Namun, ia berlaku pada waktu siang dan tidak ramai dapat menyaksikan sendiri berbanding fenomena kali ini apabila ia boleh dilihat dengan mata kasar ketika ini.


"Sebelum itu, fenomena sama berlaku pada 18 September 2017 dan ia turut boleh dilihat dengan mata kasar seperti fenomena pada malam ini yang kita sedang lihat," katanya.


Fenomena gelinciran bulan dan Planet Zuhrah yang berlaku malam ini (24 Mac 2023). - Foto Kosmo Online.

Fenomena gelinciran bulan dan planet Zuhrah. - Foto Ihsan Media Sosial.

Ahad, 12 Mac 2023

Fenomena aneh hujan cacing melanda China

Fenomena aneh hujan cacing melanda China


Penduduk di wilayah Liaoning, China, yang bersempadan dengan Korea Utara digesa mencari tempat perlindungan selepas kawasan itu dilanda fenomena 'hujan cacing', lapor akhbar Mirror UK pada 11 Mac 2023.


Rakaman kejadian yang tular di media sosial memaparkan situasi selepas hujan cacing itu berlaku dengan haiwan itu berselerak di atas jalan dan turut memenuhi bumbung kereta.


Beberapa penduduk kelihatan melindungi diri mereka menggunakan payung ketika berjalan di kawasan tersebut.


Punca bencana itu belum diketahui, namun jurnal saintifik Mother Nature Network mencadangkan bahawa haiwan itu telah dihanyutkan oleh kejadian angin kencang.


Kertas penyelidikan itu juga mendakwa kejadian tersebut boleh berlaku selepas ribut apabila serangga terperangkap dalam pusaran angin.


Teori lain mencadangkan bahawa cacing-cacing itu sebenarnya pokok tulip dengan bunganya menyerupai haiwan tersebut.


Kejadian itu mendapat perhatian orang ramai di ruangan komen.


"Ini bukan cacing atau haiwan tetapi tangkai bunga yang gugur dari pokok," komen seorang netizen.


"Fenomena yang pelik," komen netizen lain. - Sumber Mirror UK.


Penduduk terpaksa menggunakan payung untuk melindungi diri daripada cacing. - Foto New York Post.