Memaparkan catatan dengan label Covid-19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Covid-19. Papar semua catatan

Ahad, 25 Julai 2021

Lelaki anti perintah berkurung tumbuk kuda polis di Australia diburu

Lelaki anti perintah berkurung tumbuk kuda polis di Australia diburu


Negeri New South Wales terus merekodkan peningkatan kes Covid-19, malah menjadi jumlah jangkitan kedua tertinggi bagi tahun ini. Sebanyak 141 kes baharu direkodkan, iaitu lebih rendah berbanding 163 kes (tertinggi) yang dicatatkan semalam.


Peningkatan itu menyebabkan perintah berkurung di Sydney akan dilanjutkan sehingga hujung bulan ini. Bagaimanapun ia mendapat bantahan daripada beberapa penduduk kerana berang dengan arahan duduk di rumah.


Penunjuk perasaan yang membantah melemparkan pelbagai objek ke arah pihak berkuasa. Polis Australia turut mencari seorang penunjuk perasaan yang menumbuk kuda polis ketika menyertai protes anti perintah berkurung di bandar Sydney, semalam.


Protes di beberapa bandar utama Australia itu berlaku selepas pihak berkuasa melaksanakan sekatan ketat termasuk perintah berkurung bagi mengekang penularan Covid-19.


Kumpulan penunjuk perasaan yang tidak memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial dilihat merusuh dan bertempur dengan polis, dan dianggarkan lebih 50 orang ditahan dalam protes yang berlangsung.


Polis New South Wales meminta mana-mana saksi yang mengenali suspek yang merupakan seorang lelaki supaya tampil ke balai polis untuk memberi maklumat. Polis memaklumkan, kuda yang diberi nama Tobruk itu tidak mengalami kecederaan.


Suasana lengang di restoran berhampiran Sydney Opera House yang ditutup akibat perintah berkurung. - Foto AFP.

Selasa, 13 Julai 2021

Payudara membesar selepas terima suntikan vaksin Pfizer

Payudara membesar selepas terima suntikan vaksin Pfizer


Program imunisasi atau suntikan vaksin sedang dijalankan di seluruh dunia sebagai langkah untuk menangani penularan wabak Covid-19. Sehubungan itu, ada beberapa laporan mengenai kesan sampingan setelah menerima suntikan tersebut.


Terbaru, seorang remaja perempuan dari Norway menjadi tular di media sosial apabila mendedahkan selepas terima suntikan vaksin, ia memberi kesan sampingan luar biasa buatnya, lapor Sputnik News pada 11 Julai 2021.


Gadis bernama Emma,17, itu berkata, selepas mendapat suntikan vaksin Pfizer beberapa minggu lalu, payudaranya membesar dan saiz pakaian dalamnya berubah dengan ketara.


"Saiz payudara saya kini menjadi tumpuan apabila memuat naik video di laman TikTok. Ramai kenalan yang menegur perubahan ini.


"Apabila saya membuat carian online, rupanya ramai wanita di Amerika Syarikat yang turut mendapat kesan sampingan pembesaran payudara seperti saya," katanya.


Seorang pakar kesihatan memberitahu stesen penyiaran Norway, NRK bahawa kesan sampingan itu mungkin berkaitan dengan kelenjar yang membengkak selepas mendapat suntikan vaksin dan ia bukan satu simptom yang membimbangkan.


"Kami telah melihat beberapa kes di mana kelenjar payudara wanita sedikit membengkak selepas disuntik vaksin," kata Ketua Doktor di Pusat Diagnostik Payudara Nordland Hospital.


Backmann berkata, penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan itu boleh menjalani imbasan mamogram selepas empat minggu menerima suntikan jika berasa risau dengan keadaan tersebut.


Gadis bernama Emma dari Norway yang mendakwa saiz payudara membesar selepas terima suntikan vaksin Pfizer.

Rabu, 30 Jun 2021

Saintis Cipta Pelitup Muka Canggih Boleh Kesan Virus Covid-19

Saintis Cipta Pelitup Muka Canggih Boleh Kesan Virus Covid-19


Pelitup separuh muka atau face mask dah jadi satu aksesori wajib di seluruh dunia, dikategorikan sebagai 'perisai' paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan Covid-19. Pelitup muka kini antara barangan yang mudah dijumpai di mana-mana untuk kemudahan pelanggan.


Pemakaiannya dikatakan sebagai kaedah pencegahan penting mengelakkan penyebaran 60 peratus penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus itu. Sebab itu lah ramai yang menggunakan peluang ini untuk menghasilkan pelitup muka yang dilihat makin hari makin canggih.


Baru-baru ini, sekumpulan saintis dari Universiti Harvard mencipta sejenis pelitup muka yang boleh mengesan kehadiran virus Covid-19 dalam udara ketika individu memakainya.


Lapor akhbar The Sun, 29 Jun 2021, semalam, mengatakan pelitup muka itu menggunakan sejenis fabrik yang mempunyai sensor yang mampu mengubah warnanya sekiranya udara mengandungi virus tersebut.


Saintis-saintis itu mendakwa, pelitup muka itu dapat mengesan Covid-19 menyamai ketepatan ujian makmal, malah mengambil masa kurang 90 minit untuk menghasilkan keputusan.


"Kami telah memuatkan kesemua peralatan makmal ke dalam sensor kecil yang boleh diletakkan dalam pelitup muka. Ia menggabungkan ketepatan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) dengan ujian antigen yang berkos rendah dan pantas," ujar saintis dari Universiti Harvard, Dr. Peter Nguyen.



Pelitup muka tersebut diperbuat menggunakan enzim yang bertindak balas terhadap bahan kimia dalam virus Covid-19. Sensor pada bahagian tepi pelitup muka tersebut boleh mengesan kehadiran virus Covid-19 dan mengubah warna pelitup muka.


Fungsinya boleh dihidupkan dengan cara menekan satu butang khas yang akan kekal normal sehingga virus dikesan memasuki ke dalam pelitup muka. Ia kemudiannya akan bertindak balas dengan enzim sekali gus menyebabkan warna pelitup muka berubah.


"Warna tersebut akan berubah pada bahagian dalam pelitup muka bagi tujuan privasi," kata Nguyen.


Sementara itu, tambahnya, selain pelitup muka, biosensor tersebut boleh diintegrasikan dengan pakaian lain bagi menyediakan perlindungan bergerak kepada pemakai.


Bagaimanapun, buat masa ini, hanya prototaip yang telah dicipta, dan pasukan saintis berharap agar mana-mana pihak tampil untuk menghasilkan alat tersebut untuk dijual di pasaran.


Prototaip pelitup muka yang boleh mengesan kehadiran virus Covid-19. - Foto Institut Wyss Universiti Harvard.

Ahad, 27 Jun 2021

Banjir Menyebabkan Kubur Terhakis Dan Ratusan Mayat Mangsa Covid-19 Dihanyutkan

Banjir Menyebabkan Kubur Terhakis Dan Ratusan Mayat Mangsa Covid-19 Dihanyutkan


Banjir bermusim yang berlaku di Sungai Ganges menyebabkan ratusan mayat yang ditanam berhampiran sungai berkenaan mula terdedah di permukaan, dan ratusan lagi mayat yang dihanyutkan ditemui terkumpul.


Seorang pegawai di bandar di utara India, Neeraj Kumar Singh berkata, hampir 150 mayat perlu diuruskan bagi proses pembakaran setakat tiga minggu lalu.


"Kami tidak menggali semula kubur, tetapi hanya yang terapung dan mayat yang dapat dilihat akibat kenaikan paras air akan menjalani upacara pembakaran.


"Kawasan ini sejauh satu kilometer persegi dan kami menjangkakan terdapat sekitar 500 hingga 600 mayat terkubur di sini. Langkah berjaga-jaga diambil ketika menjalankan upacara terakhir bagi kesemua mayat," katanya kepada AFP.


Sebahagian besar mayat berkenaan adalah mangsa Covid-19 sekitar April dan Mei ketika India dilanda lonjakan jangkitan yang menyebabkan kemasukan ke hospital meningkat mendadak.


Sesetengah keluarga tidak mampu membeli kayu api bagi upacara pembakaran dan bertindak menghanyutkan mayat dalam sungai, menyebabkan ada yang dibawa arus Sungai Ganges ke tebing pasir berdekatan dengan sungai.


Banjir akibat hujan monsun tahunan menyebabkan lebih banyak mayat dijumpai, sekali gus menimbulkan keraguan mungkin jumlah kematian akibat Covid-19 di India melebihi satu juta.


Dalam serti kata lain, kadar kematian sebenar adalah beberapa kali ganda lebih tinggi berbanding kematian rasmi yang dilaporkan iaitu hampir 400,000.


Sesetengah keluarga tidak mampu membeli kayu api bagi upacara pembakaran dan mayat hanya dihanyutkan dalam sungai, menyebabkan ada yang dibawa arus Sungai Ganges ke tebing pasir berdekatan dengan sungai. - Foto AFP.

Banjir akibat hujan monsun tahunan menyebabkan lebih banyak mayat dijumpai. Hampir 150 mayat perlu diuruskan bagi proses pembakaran setakat tiga minggu lalu. - Foto AFP.

Kakitangan pembersihan kerajaan India dilihat mengumpulkan mayat yang terdedah selepas banjir di Sungai Ganges menghakis kubur cetek mereka di tebing berdekatan untuk upacara pembakaran. - Foto AFP.

Selasa, 15 Jun 2021

Penduduk Yang Sudah Divaksin Dapat Hadiah Lembu

Penduduk Yang Sudah Divaksin Dapat Hadiah Lembu


Pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan tempatan di negeri masing-masing dalam usaha mencapai tahap imuniti kelompok yang tinggi, bagi menggalakkan orang ramai menerima suntikan vaksin bagi membendung penularan Covid-19.


Bulan lalu, penduduk di Amerika Syarikat ditawarkan sepaket ganja secara percuma kepada orang ramai yang mengambil suntikan vaskin di bandar Washington, dalam usaha membendung penularan wabak itu, lapor CNN.


Di Filipina pula, hadiah lumayan diberikan kepada penduduk yang sudah divaksin di bandar San Luis di Pampanga berdekatan Manila, kerajaan perbandaran akan menghadiahkan seekor lembu bernilai AS$628 (RM2,600).


Pegawai Pengurusan Bencana, Ardee Taruc berkata, haiwan itu disumbangkan oleh penderma tempatan dan sangat bermakna kerana San Luis merupakan kawasan pertanian.


"Hadiah lembu mungkin tidak bermakna di tempat lain, tetapi tidak di sini. Seekor lembu mampu mengeluarkan seseorang daripada belenggu kemiskinan. Sekiranya lembu betina, petani dapat menjual susunya," katanya.


Filipina merekodkan bilangan penduduk yang sudah menerima satu dos vaksin sebanyak empat peratus iaitu bersamaan 110 juta penduduk dan 1.4 peratus sudah menerima dos kedua.


Ramai penduduk yang enggan menerima suntikan vaksin selepas mendengar berita mengenai penduduk negara lain yang pengsan, terkena serangan jantung serta mati selepas dicucuk.


Dalam perkembangan sama, bermula Julai depan di Las Pinas, seramai 10 penduduk yang sudah menerima suntikan vaksin akan berpeluang memenangi pakej barangan keperluan bernilai lebih AS$100 (RM411).

Isnin, 14 Jun 2021

China Didakwa Giat Hasilkan Senjata Biologi Untuk Persediaan Perang Dunia Ketiga

China Didakwa Giat Hasilkan Senjata Biologi Untuk Persediaan Perang Dunia Ketiga


Senjata biologi adalah senjata atau kemudahan pertempuran yang menggunakan unsur biologi (biasanya patogen) yang digunakan dalam peperangan. Secara umum, patogen yang digunakan dalam senjata biologi adalah virus, bakteria, atau parasit yang menyebabkan penyakit berjangkit.


Para saintis Amerika Syarikat (AS) mendakwa China menghabiskan masa selama beberapa dekad untuk menjalankan penyelidikan mengenai senjata biologi secara bersembunyi di puluhan makmal rahsia di seluruh negara itu.


Negara yang mempunyai keluasan sekitar 9.6 juta kilometer persegi itu didakwa mempunyai 50 makmal rahsia, mereka disyaki aktif dalam menghasilkan 'bom bakteria' yang boleh menyebabkan maut skala besar-besaran.


Kebimbangan mengenai kewujudan makmal rahsia China muncul ketika teka-teki tentang asal usul virus Covid-19 terus menjadi persoalan, dengan kebanyakannya mendakwa ia dicipta dalam makmal di Wuhan.


Jabatan Negara AS mendakwa memperoleh sejumlah dokumen yang menunjukkan komandan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) percaya akan berlaku Perang Dunia Ketiga pada masa akan datang.


Dokumen yang dieroleh itu secara tidak langsung menunjukkan senjata biologi dan genetik akan digunakan sebagai senjata utama untuk meraih kemenangan dalam peperangan itu.


Laporan pertama mengenai senjata biologi tersebut didedahkan pada April lalu yang menunjukkan hubungan rapat antara tentera China dengan makmal rahsia di negara itu, sekaligus meningkatkan perkembangan penyelidikan biologi.


Selain itu, laporan tersebut memaklumkan China dipercayai mempunyai sejarah program senjata biologi seperti senjata yang mengandungi risin, botulinum dan juga ejen pencetus anthrax, kolera dan tularemia.


Menurut laporan itu, maklumat yang diperoleh menunjukkan China terlibat dalam kegiatan yang menimbulkan kebimbangan. Jabatan Negara AS turut mempersoalkan jika China mematuhi Konvensyen Senjata Biologi (BWC) yang ditandatangani negara itu pada 1984.


Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh para saintis AS pada 2002, terdapat beberapa makmal di China terlibat dalam kajian racun serta patogen yang boleh membawa maut. Satu daripadanya adalah makmal di Yan’an yang didakwa menghasilkan empat jenis senjata biologi termasuk bom bakteria.


Beberapa bandar lain termasuk Changchun, Kunming, Shenyang dan Wuhan pula didakwa terlibat dalam kajian dan membangunkan pelbagai ejen perang biologi.


Terdapat dua pusat kemudahan di China didakwa mempunyai kaitan dengan pembangunan senjata biologi untuk perang iaitu Akademi Mikrobiologi dan Epidemiologi di Sains Perubatan Tentera, Kementerian Pertahanan di Beijing dan Institut Produk Biologi Lanzhou. Sumber: Jon Lockett/The Sun (11/6/2021).

Pelitup Muka Emas RM17,000 Jadi Pilihan Seorang Ahli Perniagaan

Pelitup Muka Emas RM17,000 Jadi Pilihan Seorang Ahli Perniagaan


Sejak wabak Covid-19 melanda seluruh dunia, pemakaian pelitup muka ketika berada di kawasan umum terutama di tempat yang sesak dan tertutup memang digalakkan bagi mencegah dan mengawal penularan pandemik itu.


Disebabkan itu, permintaan terhadap pelitup muka tak kira pakai buang atau pelitup muka kain kini mempunyai permintaan tinggi. Pelbagai jenis dan warna pelitup muka yang ada di pasaran, dari yang murah hingga yang paling mahal.


Orang ramai mula turut menjadi kreatif untuk membuat pelitup muka sendiri. Tahun lepas tular seorang lelaki di India sanggup menghabiskan AS$4,000 atau kira-kira RM17,000 untuk membuat pelitup muka khas bagi melindunginya daripada Covid-19.


Menurut ahli perniagaan, Shankar Kurhada, 50, dari bandar Pune, pelitup muka bersalut 60 gram emas itu mengambil masa selama lapan hari untuk dihasilkan.



"Ia ialah topeng muka yang nipis dan mempunyai liang kecil yang membolehkan saya bernafas. Saya tidak pasti sama ada ia boleh melindungi saya daripada jangkitan Covid-19, namun saya ada juga mengambil langkah berjaga-jaga yang lain," katanya.


Jelas Kurhada, dia mendapat idea itu selepas membaca laporan media tentang seorang lelaki memakai pelitup muka diperbuat daripada perak. Dia suka memakai perhiasan emas termasuk gelang tangan dan rantai yang beratnya mencecah sehingga satu kilogram.


"Orang ramai turut meminta untuk mengambil swafoto bersama saya. Mereka kagum melihat saya memakai topeng muka bersalut emas di pasar," katanya. Sumber: Tiffany Lo/Daily Star (7/6/2020).


Orang ramai meminta untuk mengambil swafoto bersama Kurhada kerana kagum melihat pelitup muka bersalut emas tersebut. - Foto AFP

Sabtu, 12 Jun 2021

Pekerja Hospital Kantoi Guna Kad Bank Pesakit Covid-19 Yang Baru Meninggal Dunia

Pekerja Hospital Kantoi Guna Kad Bank Pesakit Covid-19 Yang Baru Meninggal Dunia


BIRMINGHAM - Seorang pekerja kesihatan tergamak menggunakan kad bank seorang pesakit yang sudah meninggal dunia akibat Covid-19 untuk membeli makanan ringan di sebuah mesin layan diri.


Difahamkan, pesakit berusia 83 tahun itu baru meninggal dunia dalam tempoh 17 minit di Hospital Birmingham’s Heartlands. Petugas hospital itu mengaku menggunakan kad debit pesakit yang telah mati.


Disebabkan itu, Ayesha Basharat, 23, dihadapakn ke mahkamah Birmigham dan dihukum penjara kerana menyalahgunakan kad bank milik pesakit semasa bertugas di wad pesakit Covid-19. 


Tindakannya itu berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) semasa membuat pembelian sebanyak enam pound (RM35). Dia kemudian membuat pembelian 1 pound (RM6) pada sebelah petang.


Seterusnya, Basharat cuba untuk menggunakannya lagi selepas kembali bekerja empat hari kemudian tetapi terbatal kerana kad itu sudah tidak aktif lagi. Kedai tersebut bertindak menghubungi polis dan kad tersebut masih bersama pelaku.


Wanita yang berasal dari Sparkbrook, Birmingham itu, pada mula mendakwa dia terjumpa kad bank itu di lantai dan menyatakan dia keliru dengan kad miliknya.


Bagaimanapun, pihak berkuasa menyatakan bahawa kedua-dua kad tersebut memiliki warna yang berbeza. Basharat telah ditahan atas tuduhan pencurian dan penipuan dengan pernyataan palsu. Rujukan: BBC News (7/6/2021), Jackie Salo/New York Post (10/6/2021).


Ayesha Basharat dihukum penjara selepas menyalahgunakan kad bank pesakit di Hospital Birmingham.

Ahad, 6 Jun 2021

Bilik mayat di India semakin sesak, waris cari sendiri mayat ahli keluarga

Bilik mayat di India semakin sesak, waris cari sendiri mayat ahli keluarga


India dengan populasi 1.4 bilion penduduk kini teruk dilanda COVID-19. Infrastruktur kesihatan dan keperluan asas perubatan untuk merawat COVID-19 sangat tidak mencukupi, dengan kes harian mencatat ratusan ribu, malah keadaan di bilik mayat juga sudah tidak terkawal.


Waris keluarga mangsa Covid-19 di India terpaksa melakukan pengecaman jasad orang tersayang, dengan membelek-belek longgokan mayat di dalam beg plastik biru yang sudah tidak tersusun.


The Independent melaporkan, ahli keluarga seorang lelaki berusia 47 tahun yang meninggal dunia kerana Covid-19 diberitahu oleh kakitangan untuk memasuki bilik mayat untuk pengecaman identiti sebelum membawa pulang jasad waris mereka.


Pengarah Hospital Theni K Vilakku di selatan Tamil Nadu, Balaji Nathan mengesahkan keadaan itu. Beliau, mengakui insiden itu sangat menyedihkan apabila waris keluarga dibiarkan trauma mencari di sebalik longgokan mayat demi mencari orang yang mereka cintai.



Beberapa mayat dibungkus dengan sangat buruk sehingga bahagian tubuh terkeluar dari beg mayat. Selain itu, ahli keluarga juga terpaksa menguruskan mayat tanpa menggunakan alat pelindung diri, bertentangan dengan protokol kesihatan.


Nathan memaklumkan, biasanya hanya seorang petugas yang dibenarkan masuk ke bilik mayat bagi mencari mayat waris, tetapi pada hari itu bilik mayat sangat sesak kerana jumlah mayat dari malam sebelumnya yang bertambah daripada kebiasaan.


"Dua petugas bilik mayat dan satu petugas keselamatan membiarkan anggota keluarga berada di bilik mayat. Ruangannya sangat kecil," katanya.


Dia mengaku keadaan itu adalah kelalaian dari aspek keselamatan. India masih bertungkus lumus bergelut gelombang kedua yang melumpuhkan fasiliti kesihatan negara itu. Setakat ini, negara itu merekodkan 28,574,350 kes Covid-19 dengan 340,702 kematian. Sumber: Shweta Sharma/Independent (02/6/2021).


Baca juga: Anjing makan mayat pesakit Covid-19 yang dihanyutkan di sungai

Sabtu, 5 Jun 2021

Tular warga emas minum cecair peluntur kononnya cegah Covid-19

Tular warga emas minum cecair peluntur kononnya cegah Covid-19


Tular sebuah klip video yang memaparkan seorang lelaki warga emas minum air yang dicampur cecair peluntur sejak semalam. Itu antara dakyah gila dan melampau kononnya untuk mencegah Covid-19.


Video berdurasi 1 minit 16 saat yang dikongsi di Twitter itu sudah ditonton lebih 600,000 kali. Sebenarnya, klip video itu sudah lama tersebar melalui aplikasi WhatsApp namun ia kembali tular selepas dimuat naik di pelbagai saluran media sosial, baru-baru ini.


Berdasarkan video itu, dapat dilihat lelaki berkenaan pada mulanya menuang satu penutup cecair peluntur ke dalam gelas plastik kecil mengandungi air berkarbonat sebelum mengacaunya.


Kelihatan air berwarna merah itu bertukar menjadi jernih selepas dimasukkan cecair peluntur sebelum dia memasukkan satu penutup lagi cecair peluntur ke dalam gelas berisi air teh susu.


Lelaki itu kemudiannya minum air tersebut sambil diperhatikan beberapa orang lagi seolah-olah dia telah biasa melakukannya. Berdasarkan gaya percakapan lelaki itu berkemungkinan berasal dari sebuah negeri di utara tanah air.



Klip video tersebut turut mendapat perhatian pengasas laman sosial perubatan tempatan, MEDTweetMY, Dr. Khairul Hafidz yang menasihati masyarakat supaya tidak meniru perbuatan tersebut.


"Tuan, puan, adik, kakak, abang, pakcik, makcik, datuk, datin, saya ingin menekankan dengan serius peluntur tidak akan boleh merawat Covid-19. Nanti yang minum peluntur yang akan dirawat akibat kesan sampingan," tulisnya di laman Twitter beliau.


"Lihat video, beginilah bapa saya percaya sekarang dia suruh saya kunyah bunga cengkih katanya petua hilangkan Covid-19, tolonglah saya," ujar seorang netizen.


Bagaimanapun, ada netizen mendakwa bahawa ia hanyalah muslihat, cecair peluntur itu sebenarnya tidak dimasukkan ke dalam teh. "Tengok semula betul-betul video itu, netizen dipermainkan," ujar seorang lagi netizen.


"Walaupun ia merupakan muslihat apa tujuannya dia berbuat begitu?," soal seorang lagi yang tidak berpuas hati. Sumber: Harian Metro


Khamis, 3 Jun 2021

Anjing makan mayat pesakit Covid-19 yang dihanyutkan di sungai

Anjing makan mayat pesakit Covid-19 yang dihanyutkan di sungai


Anjing-anjing liar dilihat memakan sisa-sisa tubuh manusia yang terdampar di tepi sungai di India ketika negara tersebut berjuang dengan jumlah kematian yang meningkat akibat Covid-19.


India sekarang berhadapan gelombang ketiga Covid-19 yang dahsyat, walaupun jumlah kes mulai menurun, negara itu menghadapi peningkatan jumlah kematian setiap hari. Ia menghancurkan negara itu terutama sistem perkhidmatan kesihatan dan juga khidmat pembakaran mayat.


Penduduk Uttarkashi di Uttrakhand, India mengaku telah melihat anjing-anjing liar itu memakan daging manusia, yang antaranya terbakar separuh setelah hanyut ke tebing sungai Bhagirathi. Seorang penduduk tempatan mengatakan bahawa dia sedang melukis di tepi sungai pada hari Isnin ketika terlihat anjing-anjing itu melahap daging si mati.


Lelaki itu memberikan gambaran apa yang berlaku sebagai "kematian kemanusiaan" dengan pemerintah tempatan dirayu untuk untuk menangani lambakan mayat yang tidak terurus itu. Penduduk tempatan juga bimbang Covid-19 akan tersebar lebih jauh melalui bekalan air atau melalui anjing yang memakan mayat mangsa penyakit itu.


Negara ini bergelut dengan gelombang Covid yang dahsyat. - Newsflash

Presiden perbandaran Ramesh Semwal dilaporkan sebagai berkata, bahawa setelah menerima aduan, para pegawai telah menugaskan seseorang untuk mengebumikan mayat yang separuh terbakar, yang telah terhanyut di tebing sungai.


"Selama beberapa hari kebelakangan ini, jumlah kematian telah meningkat di daerah kami. Saya juga mengetahui bahawa mayat tidak dibakar dengan betul, jadi saya telah mengarahkan pihak pentadbiran untuk mengatur di Kedar Ghat untuk pembakaran mayat separuh terbakar," kata Ramesh.


Hal ini sama seperti yang berlaku kepada mangsa Covid-19 dibuang ke Sungai Gangga di negeri utara Bihar dan Uttar Pradesh bulan lalu. Satu rakaman yang muncul semalam pula menunjukkan saudara-mara yang memakai pakaian pelindung diri (PPE) lengkap membuang mayat ke dalam Sungai Rapti di Balrampur, Uttar Pradesh.


Pihak berkuasa percaya bahawa keluarga mangsa Covid-19 yang maut tidak dapat mencari tempat untuk mengebumikan orang yang mereka sayangi atau tidak dapat melakukan upacara terakhir. Sumber: Mirror

Selasa, 6 April 2021

29 Individu ditahan leka berhibur sehingga tidak sedar kehadiran polis

29 Individu ditahan leka berhibur sehingga tidak sedar kehadiran polis

Antara yang ditahan dalam serbuan itu.

Melihat situasi semasa, masih ramai warga yang masih degil dan keras kepala melanggar arahan PKP. Kelmarin, polis menahan 29 individu termasuk 15 warga Vietnam ketika leka berhibur menerusi serbuan di sebuah premis, di Jalan Sagu 18, Taman Daya, Johor Bahru.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kesemua mereka berusia 20 hingga 52 tahun itu ditahan menerusi operasi yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada 7.45 malam.


Katanya, seorang lelaki warga Vietnam berusia 24 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis ditahan, manakala 14 individu tempatan dikenakan kompaun RM10,000 setiap seorang, kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada dalam premis.


"Hasil pemeriksaan mendapati, premis itu sedang beroperasi dan muzik dimainkan dengan kuat, selain terdapat sekumpulan individu sedang leka berhibur sambil minum minuman beralkohol.


"Turut dirampas lapan paket berwarna ungu tertulis Goddess Secret disyaki dadah jenis ekstasi, 87 biji pil berwarna merah jambu disyaki pil ekstasi serta tujuh paket lutsinar disyaki dadah jenis ketamin," katanya.


Beliau berkata, kesemua warga asing akan dibuat semakan rekod pergerakan keluar masuk negara menerusi Jabatan Imigresen Malaysia. Semakan status lesen perniagaan dan status lesen hiburan premis akan dibuat menerusi pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).


Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 16(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar syarat PKPB dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor 4/98.


Mengulas lanjut beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. Sumber: Harian Metro

Jumaat, 26 Februari 2021

Penghuni ingkar SOP, pengurusan kediaman tidak mempunyai kuasa kompaun

Penghuni ingkar SOP, pengurusan kediaman tidak mempunyai kuasa kompaun


Kuala Lumpur: Pengurusan kondominium atau kawasan perumahan tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun kepada penghuni yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka.


Tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak berumur satu tahun yang disaman RM100 oleh pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam lif.


Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kuasa mengeluarkan kompaun itu adalah daripada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).


"Setakat ini kita tidak memberikan kuasa kepada pengurusan kondominium dan pangsapuri atau mana-mana pejabat untuk mengambil tindakan. Kuasa pada peringkat pengurusan perumahan hanya berkaitan dengan peraturan di dalam kawasan tersebut seperti menjaga harta.


"Jadi apa dilakukan oleh pihak pengurusan di kondominium (di) Ampang ini adalah salah dan tidak boleh dilakukan. Jadi saya harap mereka menarik balik kompaun RM100 yang diberikan," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.


Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bagi tempoh PKP 2.0 ini supaya pemandu dan penumpang dalam satu kenderaan perlu tinggal dalam kediaman yang sama.


Sebaliknya, beliau berkata, pemandu dan penumpang boleh datang daripada kediaman yang berbeza mengikut kapasiti tempat duduk kenderaan yang ditetapkan, dan ia merangkumi semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP.


Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan belum mempunyai ketetapan berhubung pengeluaran pasport vaksin terhadap individu yang bakal menerima suntikan vaksinasi terbabit.


Katanya, setakat ini kerajaan tidak mempunyai sebarang perbincangan untuk membuka sempadan negara susulan pengenalan pasport vaksin itu nanti yang memungkinkan orang ramai kembali melakukan perjalanan ke luar negara.


"Belum ada tarikh lagi untuk itu, kerajaan masih sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pasport vaksin terbabit.


"Hal ini kerana kerajaan tidak mengetahui vaksin apa yang diterima di negara luar untuk membolehkan kemasukan rakyat negara ini ke negara mereka. Jadi perkara ini masih terlalu awal diperkatakan," katanya.


Beliau berkata perkara berkenaan akan diumumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KKM kemudian. Dalam perkembangan lain beliau berkata, polis menahan 460 individu kerana mengingkari PKP semalam.


"Sejumlah 388 daripada mereka dikompaun sementara 70 direman dan dua individu dijamin semalam.


"Mengenai Op Benteng pula, seramai 23 pendatang tanpa izin dan dua tekong ditahan sementara 11 buah kenderaan darat dirampas semalam," katanya.

Ahad, 21 Februari 2021

Vaksin Covid-19 sudah tiba, Polis sedia pasukan pengiring bagi setiap pergerakan vaksin

Vaksin Covid-19 sudah tiba, Polis sedia pasukan pengiring bagi setiap pergerakan vaksin


Kuala Lumpur: Setelah lebih setahun negara 'berperang' dengan pandemik Covid-19 yang meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini, akhirnya kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi tadi.


Ketibaan vaksin itu disambut oleh Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Turut hadir menyambut ketibaan vaksin berkenaan adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech
dibawa keluar oleh petugas MasCargo dari Pesawat
Airbus 330-300 MAS selepas tiba di KLIA.


PDRM menyediakan pasukan pengiring


Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan pasukan pengiring untuk jaminan keselamatan bagi setiap pergerakan vaksin Covid-19 yang tiba di negara ini, kata Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.


Beliau berkata, bagi ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech hari ini, 150 anggota PDRM terbabit dalam mengiringi 312,390 dos vaksin itu, selain pembabitan aset PDRM seperti motosikal berkuasa tinggi, kereta peronda polis dan balai polis bergerak.


Menurutnya, sebaik tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kumpulan pertama vaksin itu akan dihantar ke tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) milik syarikat logistik DHL iaitu di Subang, Selangor; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senai, Johor.


"Pergerakan vaksin berkenaan untuk penghantaran ke 16 PSV milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor pula akan dimulakan esok.


"PDRM mengenal pasti laluan selamat bagi vaksin berkenaan dan anggota dari pelbagai jabatan termasuk trafik dan cawangan khas akan terbabit dalam penugasan ini," katanya kepada Bernama hari ini.


Azri berkata, selain terbabit dalam penugasan mengiringi kesemua pergerakan vaksin berkenaan, PDRM juga bertanggungjawab mengawal PSV milik syarikat logistik dan KKM, dengan menyediakan anggota statik dan juga balai polis bergerak.


Beliau berkata, PDRM juga akan sentiasa membuat penilaian mengenai kemungkinan terdapat ancaman ketika pergerakan dan penyimpanan vaksin itu.


"Kami menganggap ini adalah tugasan yang sangat penting, kerana negara sudah menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin berkenaan dan ia amat penting bagi membendung penularan pandemik Covid-19," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tiada keperluan untuk jalan di Selangor ditutup bagi memberikan kawalan keselamatan terhadap pergerakan vaksin.


"Persediaan adalah baik untuk kami tentukan keselamatan vaksin berkenaan dan polis akan mengawal ketat, serta tiada keperluan juga untuk melakukan penutupan jalan," katanya.

Rabu, 17 Februari 2021

Penjaja ditahan polis akui 'jual mangga untuk sara keluarga' selepas dibuang kerja masa PKP

Penjaja ditahan polis akui 'jual mangga untuk sara keluarga' selepas dibuang kerja masa PKP


Serdang: Peniaga berusia 22 tahun yang menetap di Seri Kembangan memaklumkan dia mula menjual mangga di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kinrara 6, sejak bulan lalu.


 "Hanya kerja ini (jual mangga) yang mampu saya buat ketika ini untuk menyara keluarga selepas dibuang kerja sebelum ini," kata seorang lelaki yang ditahan dalam Operasi Kesedaran Penjaja Jalanan di Bandar Kinrara, di sini, hari ini.


Katanya, sebelum ini, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan namun sudah diberhentikan kerja. Atas bantuan abangnya bagi mendapatkan bekalan, dia mula menjual mangga di kawasan tersebut.


"Walaupun hanya RM100 diperoleh setiap hari, namun hanya ini kerja yang saya mampu buat ketika ini untuk membantu menanggung perbelanjaan keluarga," katanya ketika ditemui di lokasi itu.


Lelaki terbabit adalah empat individu termasuk tiga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) berusia antara 21 hingga 27 tahun yang ditahan dalam operasi berkenaan.


Operasi bermula jam 3.30 petang itu dijalankan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kinrara 6 dan Lestari Perdana Seri Kembangan, di sini, selepas didapati menjual buah serta makanan ringan, hari ini.


Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya menjalankan operasi itu susulan menerima aduan daripada penduduk setempat yang khuatir dengan keselamatan pengguna jalan raya.


"Berikutan aduan itu, kami melakukan tinjauan sejak Ahad lalu bagi mengenal pasti lokasi aktiviti berkenaan dijalankan.


"Hasil tinjauan berkenaan, kami menahan empat lelaki menjalankan aktiviti itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk mengambil keterangan," katanya pada sidang media di IPD Serdang, di sini, hari ini.



Razali berkata, pihaknya mengambil pendekatan menasihatkan semua individu berkenaan dan dibebaskan sejurus selepas keterangan diambil.


"Atas perikemanusiaan, kami mengambil pendekatan memberi nasihat kepada mereka bagi fasa pertama operasi ini kerana kita juga faham situasi mereka yang sukar mendapat pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


"Bagaimanapun jika mereka didapati mengulang semula kesalahan itu, kami terpaksa mengambil tindakan mengikut Peraturan 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 bagi kesalahan menjual sesuatu kepada orang di dalam kenderaan di persimpangan jalan atau di atas jalan.


"Malah, individu yang membeli jualan berkenaan juga boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 10A(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana cuba membeli atau membeli sesuatu semasa berada di dalam kenderaan di persimpangan jalan atau di atas jalan," katanya.


Ketika diminta mengulas mengenai pembabitan pihak lain yang mendorong kepada aktiviti berkenaan, beliau tidak menafikan perkara itu. Disebabkan itu, pihaknya mengambil keterangan individu yang ditahan berkenaan untuk siasatan lanjut.


Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak meneruskan aktiviti seumpama ini yang boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain. Katanya, individu yang mahu menjalankan perniagaan itu secara sah dengan memohon lesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ahad, 14 Februari 2021

Sewa pangsapuri anjur pesta air ketum, 10 individu ditahan

Sewa pangsapuri anjur pesta air ketum, 10 individu ditahan


Butterworth: Sanggup merentas daerah dan menyewa sebuah pangsapuri sambil berpesta air ketum antara tindakan berani 10 individu termasuk dua wanita untuk berhimpun serta melakukan kegiatan tidak bermoral.


Bagaimanapun perbuatan itu dihidu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara yang menjalankan Op Pematuhan Covid-19 dan Op Limau awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menyerbu sebuah pangsapuri di Lebuh Kampung Benggali, di sini pada jam 1.10 pagi susulan menerima laporan berhubung kegiatan tidak bermoral itu.


"Semasa serbuan didapati terdapat sekumpulan individu terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 31 tahun di dalam pangsapuri berkenaan.


"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas pangsapuri itu menemui enam bungkusan plastik berikat getah yang setiap satu berisi cecair disyaki air ketum juga satu botol plastik berisi cecair juga disyaki air ketum dan satu set pembesar suara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Noorzainy berkata, siasatan lanjut mendapati 10 individu itu yang kebanyakannya dari Seberang Perai Tengah didapati merentas daerah dan menyewa pangsapuri itu dengan harga RM150 sehari untuk berhimpun dan berhibur hingga melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


"Berikutan itu, semua mereka yang masih bujang itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


"Polis turut mengeluarkan kompaun RM1,000 ke atas kesemua mereka dibawah Peraturan 4(1) dan 10(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana berhimpun untuk aktiviti sosial dan rentas daerah," katanya.


Noorzainy berkata, semakan yang dibuat mendapati semua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan air kencing juga mendapati mereka negatif.


"Mereka yang ditahan ini termasuk dua peniaga, dua penghantar barang, dua pekerja kilang, dua pekerja depoh, seorang kakitangan hospital dan seorang kakitangan agensi kanak-kanak," katanya.