Rabu, 30 Jun 2021

Saintis Cipta Pelitup Muka Canggih Boleh Kesan Virus Covid-19


Pelitup separuh muka atau face mask dah jadi satu aksesori wajib di seluruh dunia, dikategorikan sebagai 'perisai' paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan Covid-19. Pelitup muka kini antara barangan yang mudah dijumpai di mana-mana untuk kemudahan pelanggan.


Pemakaiannya dikatakan sebagai kaedah pencegahan penting mengelakkan penyebaran 60 peratus penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus itu. Sebab itu lah ramai yang menggunakan peluang ini untuk menghasilkan pelitup muka yang dilihat makin hari makin canggih.


Baru-baru ini, sekumpulan saintis dari Universiti Harvard mencipta sejenis pelitup muka yang boleh mengesan kehadiran virus Covid-19 dalam udara ketika individu memakainya.


Lapor akhbar The Sun, 29 Jun 2021, semalam, mengatakan pelitup muka itu menggunakan sejenis fabrik yang mempunyai sensor yang mampu mengubah warnanya sekiranya udara mengandungi virus tersebut.


Saintis-saintis itu mendakwa, pelitup muka itu dapat mengesan Covid-19 menyamai ketepatan ujian makmal, malah mengambil masa kurang 90 minit untuk menghasilkan keputusan.


"Kami telah memuatkan kesemua peralatan makmal ke dalam sensor kecil yang boleh diletakkan dalam pelitup muka. Ia menggabungkan ketepatan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) dengan ujian antigen yang berkos rendah dan pantas," ujar saintis dari Universiti Harvard, Dr. Peter Nguyen.



Pelitup muka tersebut diperbuat menggunakan enzim yang bertindak balas terhadap bahan kimia dalam virus Covid-19. Sensor pada bahagian tepi pelitup muka tersebut boleh mengesan kehadiran virus Covid-19 dan mengubah warna pelitup muka.


Fungsinya boleh dihidupkan dengan cara menekan satu butang khas yang akan kekal normal sehingga virus dikesan memasuki ke dalam pelitup muka. Ia kemudiannya akan bertindak balas dengan enzim sekali gus menyebabkan warna pelitup muka berubah.


"Warna tersebut akan berubah pada bahagian dalam pelitup muka bagi tujuan privasi," kata Nguyen.


Sementara itu, tambahnya, selain pelitup muka, biosensor tersebut boleh diintegrasikan dengan pakaian lain bagi menyediakan perlindungan bergerak kepada pemakai.


Bagaimanapun, buat masa ini, hanya prototaip yang telah dicipta, dan pasukan saintis berharap agar mana-mana pihak tampil untuk menghasilkan alat tersebut untuk dijual di pasaran.


Prototaip pelitup muka yang boleh mengesan kehadiran virus Covid-19. - Foto Institut Wyss Universiti Harvard.


EmoticonEmoticon