Rabu, 30 Jun 2021

RM208 bilion Tersalah Masuk Dalam Akaun, Seorang Lelaki Bilionair sekelip mata


Awal tahun ini, kita ada mendengar satu kes yang berlaku di Malaysia, sepasang suami isteri membelanjakan hampir kesemua duit RM208,329 milik sebuah syarikat yang dimasukkan secara tidak sengaja ke dalam akaun mereka.


Bagaimanapun, tindakan mereka membelanjakan wang itu memakan diri apabila didakwa dengan 60 pertuduhan salah guna wang, mengikut seksyen 403 kanun keseksaan iaitu menyalahgunakan harta secara curang.


Baru-baru ini, kejadian serupa turut berlaku Amerika Syarikat, apabila sepasang suami isteri bergelar 'bilionair' selepas wang berjumlah AS$50 bilion (RM208 bilion) secara tidak sengaja dimasukkan ke dalam akaun bank milik mereka. 



Lapor laman berita United Press International 28 Jun 2021, Darren James yang diberitahu isterinya mengenai perkara itu, terkejut melihat jumlah wang yang tertera dalam akaun bank milik mereka.


"Ia amat mengejutkan kerana saya tidak pernah melihat jumlah wang sebanyak itu sepanjang hidup saya. Sebaik melihatnya, saya tidak terfikir untuk menyimpannya.


"Namun, perkara yang menjadi tanda tanya adalah dari mana wang itu datang dan kami tidak mengenali sesiapa pun yang mempunyai wang sebanyak itu," kata James.


Lelaki itu seterusnya menghubungi pihak bank dan melaporkan mengenai kesilapan tersebut. Bank berkenaan kemudiannya memproses kesilapan teknikal itu, namun tidak mendedahkan punca dan sebab wang tersebut didepositkan ke dalam akaun James.


Sebagai tanda kenang-kenangan, James dan isterinya merakam gambar paparan skrin akaun banknya sebelum kesilapan itu diperbetulkan oleh pihak bank yang mengambil masa selama empat hari.


Dengan jumlah wang sebanyak itu, Darren James telah menjadi orang ke 28 terkaya dunia untuk seketika, yang menyamai kekayaan pengasas Alibaba iaitu Jack Ma yang berasal dari Tiongkok, China.


Menurut majalah Newsweek, pemegang akaun bank yang menerima wang yang tersilap didepositkan ke dalam akaun mereka adalah dilarang membelanjakan wang tersebut. Dalam kes seperti itu, kebiasaannya pihak bank dapat mengenal pasti kesilapan yang berlaku dan memperbetulkan transaksi.


Individu yang didapati membelanjakan wang tersebut berdepan dengan pertuduhan jenayah kerana mencuri harta benda yang hilang secara tidak sengaja.


EmoticonEmoticon