Ahad, 27 Jun 2021

Banjir Menyebabkan Kubur Terhakis Dan Ratusan Mayat Mangsa Covid-19 Dihanyutkan


Banjir bermusim yang berlaku di Sungai Ganges menyebabkan ratusan mayat yang ditanam berhampiran sungai berkenaan mula terdedah di permukaan, dan ratusan lagi mayat yang dihanyutkan ditemui terkumpul.


Seorang pegawai di bandar di utara India, Neeraj Kumar Singh berkata, hampir 150 mayat perlu diuruskan bagi proses pembakaran setakat tiga minggu lalu.


"Kami tidak menggali semula kubur, tetapi hanya yang terapung dan mayat yang dapat dilihat akibat kenaikan paras air akan menjalani upacara pembakaran.


"Kawasan ini sejauh satu kilometer persegi dan kami menjangkakan terdapat sekitar 500 hingga 600 mayat terkubur di sini. Langkah berjaga-jaga diambil ketika menjalankan upacara terakhir bagi kesemua mayat," katanya kepada AFP.


Sebahagian besar mayat berkenaan adalah mangsa Covid-19 sekitar April dan Mei ketika India dilanda lonjakan jangkitan yang menyebabkan kemasukan ke hospital meningkat mendadak.


Sesetengah keluarga tidak mampu membeli kayu api bagi upacara pembakaran dan bertindak menghanyutkan mayat dalam sungai, menyebabkan ada yang dibawa arus Sungai Ganges ke tebing pasir berdekatan dengan sungai.


Banjir akibat hujan monsun tahunan menyebabkan lebih banyak mayat dijumpai, sekali gus menimbulkan keraguan mungkin jumlah kematian akibat Covid-19 di India melebihi satu juta.


Dalam serti kata lain, kadar kematian sebenar adalah beberapa kali ganda lebih tinggi berbanding kematian rasmi yang dilaporkan iaitu hampir 400,000.


Sesetengah keluarga tidak mampu membeli kayu api bagi upacara pembakaran dan mayat hanya dihanyutkan dalam sungai, menyebabkan ada yang dibawa arus Sungai Ganges ke tebing pasir berdekatan dengan sungai. - Foto AFP.

Banjir akibat hujan monsun tahunan menyebabkan lebih banyak mayat dijumpai. Hampir 150 mayat perlu diuruskan bagi proses pembakaran setakat tiga minggu lalu. - Foto AFP.

Kakitangan pembersihan kerajaan India dilihat mengumpulkan mayat yang terdedah selepas banjir di Sungai Ganges menghakis kubur cetek mereka di tebing berdekatan untuk upacara pembakaran. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon