Ahad, 27 Jun 2021

Gara-Gara Jiran Pemalas, Wanita Nyaris Maut Dihempap Sofa Dibuang Dari Tingkap 3 Rumah Flat


Seorang lelaki yang terlalu malas untuk membawa sofa lamanya menuruni tangga bertindak membuang sofa itu melalui tingkap rumah flat tanpa menghiraukan keselamatan orang lain. Tindakan lelaki itu hampir membunuh jirannya dalam kejadian di Uskudar di Istanbul, Turki.


Menurut laporan tempatan yang dipetik Daily Star, kejadian berlaku pada 9 Jun 2021 lalu selepas pemilik rumah dikenali Mesut Duran membeli sofa baharu, dia mencampak keluar sofa lama daripada tingkap rumahnya.


Malah, rakaman kamera keselamatan bangunan memperlihat dengan jelas detik sofa 'terbang' dan hampir mendarat di atas jiran wanita Mesut yang ketika itu sedang berjalan keluar daripada bangunan berkenaan.


Wanita itu yang terkejut, turut dilihat memandang ke arah rumah Mesut yang berada di tingkat tiga dengan muka marah dan menunjukkan isyarat tangan, sebelum berlalu pergi.


Ketika ditemu bual, Mesut mengakui bahawa dia ingin membuang sofa itu dari tingkap rumahnya dan tidak menyangka wanita berkenaan berada di tempat kejadian.


"Saya melihat dulu ke luar tingkap dan tiada siapa pun di hadapan bangunan. Jadi saya fikir selamat untuk buang sahaja sofa melalui tingkap.


"Jiran saya keluar ketika saya sedang campak sofa itu dan ia hampir terkenanya. Dia kelihatan takut dan saya juga terkejut melihat dia tiba-tiba keluar," kata Mesut kepada portal berita DHA.


Katanya, dia bersyukur sofa itu tidak jatuh di atas jirannya kerana berkemungkinan boleh membunuh wanita itu.


Tangkap layar rakaman kamera keselamatan menunjukkan wanita nyaris dihempap sofa yang dibuang jirannya melalui tingkap.


EmoticonEmoticon