Isnin, 28 Jun 2021

'Mamat' akhirnya ditangkap selepas 2 tahun diburu


Buaya tembaga yang pernah mengemparkan selepas tersesat masuk ke bekas lombong di Kampung Tepoh di Kuala Nerus, sejak empat tahun lalu, akhirnya berjaya ditangkap hari ini.


Reptilia yang berusia lapan tahun dianggarkan seberat 250 kilogram yang terkenal dengan panggilan Adik Mat atau Mamat itu berjaya dikesan selepas dua tahun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memburunya.


Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihaknya sebelum ini memasang tiga perangkap di lokasi berkenaan sejak pertengahan Mei lalu selepas dimaklumkan mengenai kehadiran buaya semula reptilia itu.


Beliau berkata, kaedah itu bagaimanapun tidak berhasil sebelum satu operasi menggunakan kaedah menjerat bermula pada jam 4.30 petang.


"Reptilia itu berjaya ditangkap pada jam 5.45 petang dalam operasi yang dilakukan 17 kakitangan Perhilitan Terengganu dengan bantuan 10 anggota polis yang melakukan kawalan.


"Operasi menangkap buaya jantan ini selesai sepenuhnya pada pukul 6.30 petang dalam keadaan hujan lebat, dan dibawa ke Paya Indah Wetland (PIW), Selangor," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Kisah Mamat pernah tular pada 2016 ketika reptilia itu hanya sepanjang satu meter ketika ditemui penduduk di kampung berkenaan sebelum sang bedal itu menghilangkan diri selama dua tahun.


Bagaimanapun, Mamat muncul kembali di lombong itu pada 2019 tetapi menghilangkan diri namun pada Mei 2021 lalu, reptilia itu sekali lagi dilihat berada di kawasan berkenaan.


Malah, Mamat yang disangka sudah terlepas ke Sungai Terengganu berhampiran kembali menggemparkan penduduk dengan memunculkan diri dengan fizikal yang jauh lebih besar.


Perhilitan Terengganu menjerat buaya di bekas lombong di Tepoh, Kuala Nerus. - Foto NSTP.

Buaya jantan dikenali sebagai Mamat ditangkap di bekas lombong di Tepoh, Kuala Nerus. - Foto NSTP.


EmoticonEmoticon