Memaparkan catatan dengan label Bomba. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bomba. Papar semua catatan

Selasa, 29 September 2026

Lelaki OKU hilang dipercayai masuk ke ladang kelapa sawit

Lelaki OKU hilang dipercayai masuk ke ladang kelapa sawit


Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Batu 8, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah, semalam.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Muhammad Nurfirdaus Hariz Hamdan, 26, mengalami masalah OKU lembam dan menghidap penyakit asma.


Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.38 petang daripada polis berhubung kehilangan lelaki berkenaan, yang dipercayai masuk ke kawasan ladang kelapa sawit di belakang rumahnya.


"Abang mangsa telah membuat laporan setelah menyedari adiknya tiada di rumah dan pintu belakang telah terbuka.


"Pencarian mangsa sejauh 700 meter dari rumahnya ke kawasan ladang kelapa sawit dilakukan oleh anggota bomba dan polis, termasuk unit K9 yang dibahagikan kepada enam kumpulan, namun mangsa masih belum ditemukan," katanya dalam kenyataan.


Operasi itu membabitkan tujuh anggota BBP Batu Gajah bersama tujuh anggota polis, termasuk dua anggota unit K9 serta kira-kira 30 orang kampung, dan pencarian ditangguhkan pada 6 petang semalam atas faktor keselamatan.


Beliau berkata, operasi disambung semula 8 pagi ini di tiga kawasan pencarian, iaitu paya, lombong dan tali air, selain membabitkan tambahan anggota dari balai berhampiran dan pasukan K9 bomba.

Ahad, 27 September 2026

Kebakaran ladang ganja sebabkan asap tebal berbau kuat buat penduduk, penyelamat pening

Kebakaran ladang ganja sebabkan asap tebal berbau kuat buat penduduk, penyelamat pening


Kebakaran sebuah ladang ganja di Pattaya, Thailand, menyebabkan asap tebal dan berbau kuat menyelubungi kawasan perumahan sehingga menyebabkan penduduk mengalami pening dan sakit kepala pada 25 September lalu, lapor Thaiger.


Pusat Tindak Balas Bencana Pattaya menerima laporan kebakaran sebuah rumah kira-kira jam 7.36 pagi sebelum mengerahkan anggota bomba, sukarelawan penyelamat dan polis ke lokasi kejadian.


Menurut media tempatan, walaupun hujan, sejumlah besar penduduk berkumpul di luar rumah untuk menyaksikan kejadian itu ketika anggota bomba menggunakan dua jentera bagi memadamkan kebakaran.


Difahamkan, anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran yang mengakibatkan asap tebal keluar dari rumah berkenaan dan menyebarkan bau kuat ke kawasan sekitarnya.


Dalam pada itu, pemeriksaan awal mendapati rumah dua tingkat itu diubah suai menjadi kemudahan penanaman ganja secara dalaman, manakala kebakaran merosakkan sejumlah besar pokok ganja dan peralatan penanaman di kedua-dua tingkat.


Seorang pekerja wanita yang enggan dikenali, 47, berkata, dia menyedari percikan api keluar dari kotak kawalan elektrik sebelum terdengar bunyi seakan-akan letupan dan api merebak dengan pantas. Dia kemudian segera menghubungi perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.


Seorang lagi jiran, 60, berkata, premis berkenaan sudah beroperasi sebagai ladang ganja sejak sekian lama dan dimiliki seorang warga asing.


Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan pada awalnya, namun beberapa individu kemudian mengalami gejala selepas menghidu asap kebakaran itu.


Anggota bomba, petugas penyelamat, pegawai polis dan beberapa penduduk berhampiran turut melaporkan mengalami pening kepala dan sakit kepala selepas menghidu asap daripada pokok ganja yang terbakar.


Mereka yang terjejas kemudian beredar dari kawasan premis berkenaan bagi mengelakkan daripada terus menghidu asap.


Sementara itu, pegawai Polis Bandar Pattaya menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan, mengambil gambar kerosakan dan menyoal individu yang terbabit.


Penyiasat pada peringkat awal mengesyaki litar pintas pada kotak kawalan elektrik menyebabkan percikan api yang mencetuskan kebakaran, namun punca sebenar masih dalam siasatan dan polis menunggu pemeriksaan terperinci pegawai forensik sebelum jumlah keseluruhan kerugian dinilai.

Rabu, 19 Ogos 2026

Pemandu e-hailing simbah petrol, bakar wanita direman 7 hari

Pemandu e-hailing simbah petrol, bakar wanita direman 7 hari


Pemandu e-hailing direman tujuh hari bagi membantu siasatan seorang wanita disimbah petrol dan dibakar hidup-hidup di sebuah kedai nombor ramalan di Kepong, Kuala Lumpur, pada 9 Ogos lalu.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.


"Hasil siasatan mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa.


"Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.


"Antaranya sebuah botol minuman berisi cecair disyaki minyak petrol, sebuah topi keledar, sehelai baju kemeja, sebuah motosikal Yamaha 135LC serta satu rangkai kunci motosikal berserta cukai jalan.


"Suspek dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 Ogos ini," katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul atau mana-mana balai polis berhampiran.


Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas melecur 50 peratus selepas disimbah cecair dipercayai petrol dan dibakar di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong.

Selasa, 18 Ogos 2026

Pemandu lori tangki mengaku tidak bersalah sebabkan kematian dua beranak

Pemandu lori tangki mengaku tidak bersalah sebabkan kematian dua beranak


Pemandu lori tangki yang didakwa menyebabkan kematian dua beranak dalam kemalangan di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, Temerloh, Jumaat lalu, sempat bersalaman dengan ahli keluarganya sebelum prosiding kes bermula di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.


Norazlan Mahayuddin, 37, dilihat menghampiri ahli keluarganya yang berada di kamar mahkamah sebelum bersalaman dengan mereka. Tertuduh kemudian mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan.


Mengikut kertas pertuduhan, Norazlan didakwa memandu sebuah lori tangki secara berbahaya selepas mengambil kira keadaan jalan, saiz jalan dan kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku di lokasi kejadian.


Perbuatan itu didakwa menyebabkan kematian dua beranak iaitu, Nur Fatima Syuhada Abdullah , 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12.


Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, kira-kira pukul 4 petang, pada Jumaat lalu.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amal Razim Alias, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Ra Sharifudin.


Mahkamah menetapkan 1 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam serta penyerahan dokumen.


Terdahulu, dalam kejadian menyayat hati kira-kira 4 petang, Jumaat lalu, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, terbunuh selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki yang membawa muatan 32,000 liter bahan api.


Kemalangan disusuli kebakaran membabitkan kereta dan lori tangki di Jalan Temerloh-Triang pada Jumaat lalu yang mengorbankan ibu dan anak. - Foto PDRM.

Sabtu, 15 Ogos 2026

Tak tahan mukanya kerap dijadikan ‘sticker’ ejekan di WhatsApp, lelaki bawa 40 liter petrol bakar pejabat

Tak tahan mukanya kerap dijadikan ‘sticker’ ejekan di WhatsApp, lelaki bawa 40 liter petrol bakar pejabat


Gara-gara tidak tahan dibuli, seorang lelaki nekad membawa 40 liter petrol ke pejabat sebelum cuba mencetuskan kebakaran besar.


Kejadian itu berlaku di Dinas Komunikasi dan Informatika (Diskominfo) Kabupaten Kutai Kartanegara (Kukar), provinsi Kalimantan Timur di Indonesia selepas dia didakwa membakar bilik mesyuarat pejabat berkenaan.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Resort Kukar, AKP Elnath Splendidta Wafiq Gemilang mengesahkan kejadian tersebut. Polis kini menyiasat motif dan kronologi kejadian pada pagi Selasa tersebut.


Pelaku dikenali sebagai MA bekerja sebagai operator pusat panggilan di Diskominfo Kukar. Berdasarkan siasatan awal, polis mengesyaki tindakan tersebut berpunca daripada konflik MA dengan persekitaran tempat kerjanya.



Menurut Elnath, MA berang kerana sering menjadi bahan ejekan dan dibuli rakan sekerja.


"Dia naik angin kerana mereka sering merakam foto dan menjadikannya sebagai sticker yang kemudiannya dikongsikan dalam kumpulan sembang sebagai gurauan yang dianggap melampau," jelasnya.


Difahamkan, api yang tercetus dan memusnahkan sebahagian bilik mesyuarat itu berjaya dikawal oleh kakitangan Diskominfo bersama petugas Jabatan Pemadam Kebakaran dan Penyelamatan (Disdamkarmatan) Kukar sebelum ia merebak.


MA kini telah ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan berdasarkan sejumlah barang bukti yang ditemui di lokasi kejadian dan mengambil keterangan beberapa saksi.


Kebakaran itu memusnahkan sebahagian bilik mesyuarat yang menjadi sasaran amukan pelaku. - Foto Agensi.

Isnin, 13 Julai 2026

Sekurang-kurangnya 27 maut dalam kebakaran pusat hiburan terkenal di Bangkok

Sekurang-kurangnya 27 maut dalam kebakaran pusat hiburan terkenal di Bangkok


Sekurang-kurangnya 27 orang dilaporkan maut dalam satu kebakaran besar yang memusnahkan sebuah pusat hiburan terkenal di Bangkok, pada tengah malam tadi.


Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengesahkan angka korban itu ketika berada di lokasi kejadian dan memaklumkan, beberapa lagi mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.


Menurut pihak berkuasa, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan sejurus selepas tengah malam sebelum bergegas ke premis berkenaan yang ketika itu sedang dijilat api.


Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan api marak keluar dari bahagian hadapan bangunan ketika pengunjung bertempiaran melarikan diri melalui pintu utama.


Pusat hiburan yang dikenali sebagai Rong Beer Na Lat Phrao itu terletak di Daerah Chatuchak dan merupakan antara lokasi hiburan serta restoran yang popular di kawasan berkenaan.



Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 30 minit kemudian, namun keadaan dalam premis itu didapati musnah teruk.


Gambar selepas kebakaran menunjukkan keseluruhan ruang dalaman hangus, dengan siling bangunan turut runtuh akibat suhu yang tinggi.


Media tempatan melaporkan, beberapa individu masih belum dapat dikesan, sekali gus menimbulkan kebimbangan angka korban mungkin meningkat.


Menurut laporan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sutthisan tiba di lokasi pada jam 12.02 tengah malam waktu tempatan.


Seorang pemandu yang melalui kawasan itu mendakwa terlihat api mula marak sekitar jam 11.30 malam sebelum bertindak memecahkan tingkap premis untuk membantu dua individu menyelamatkan diri.


Punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerajaan Thailand belum mengeluarkan sebarang penjelasan rasmi berhubung insiden tersebut.


Pihak berkuasa turut bimbang sebahagian mangsa yang terkorban gagal melarikan diri selepas bekalan elektrik terputus ketika kebakaran berlaku.


Sabtu, 27 Jun 2026

BMW dipandu laju hilang kawalan, dua lelaki penuntut universiti maut rentung

BMW dipandu laju hilang kawalan, dua lelaki penuntut universiti maut rentung


Sebuah kereta jenis BMW 328i Sport yang dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan sehingga menyebabkan kenderaan itu terbakar dipercayai menjadi punca dua lelaki maut rentung dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Kuala Lumpur pagi tadi.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 5.10 pagi.


Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu yang gagal mengawal kenderaan.


"Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis BMW 328i Sport yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 22 tahun yang merupakan pelajar Universiti Brisbane, Australia.


"Turut berada di dalam kenderaan itu ialah seorang penumpang lelaki tempatan berumur 21 tahun yang juga pelajar Universiti Sunway serta seorang penumpang lelaki warga Singapura berumur 20 tahun," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.



Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan yang terbakar.


"Penumpang belakang iaitu warga Singapura sempat keluar dari kenderaan sebelum kebakaran berlaku dan mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan serta kaki.


"Lelaki warga Singapura itu telah dibawa ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut," ujarnya.


Tambah beliau, polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar tempat kejadian serta menjalankan soal siasat awal terhadap mangsa yang terselamat.


"Proses pengecaman terhadap kedua-dua mangsa yang rentung akan dijalankan melalui analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA)," ujarnya.


Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di lokasi kejadian diminta tampil membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sementara itu, Komander Operasi, Mohd Fadzlil Jamaludin, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang serta BBP Sri Hartamas telah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.20 pagi.


"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan kemusnahan kereta dilaporkan 100 peratus," ujarnya.

Isnin, 18 Mei 2026

Baling molotov koktail, bakar rumah: Hukuman penjara lelaki suruhan 'ahlong' meningkat 11 tahun, 6 bulan

Baling molotov koktail, bakar rumah: Hukuman penjara lelaki suruhan 'ahlong' meningkat 11 tahun, 6 bulan


Mahkamah Sesyen Batu Pahat menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas seorang lelaki yang juga 'orang suruhan' ceti haram atas kesalahan membakar rumah warga emas yang didakwa dilakukannya bulan lalu.


Hukuman diputuskan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh hari ini adalah yang kedua buat tertuduh, Mohamed Hanaffi Ahmad, 32, selepas dihukum penjara lima tahun setengah yang diputuskan Mahkamah Sesyen Segamat bulan lalu atas kesalahan membaling molotov koktail hingga menyebabkan kebakaran rumah.


Keputusan dibuat Hakim selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, dengan hukuman bagi kedua-dua kesalahan iaitu berjalan secara berasingan menjadikan keseluruhan penjara 11 tahun enam bulan.


Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa membaling molotov cocktail hingga menyebabkan kerosakan ke atas rumah milik lelaki warga emas berusia 62 tahun di Taman Nagaria di Senggarang pada jam 5.16 petang, 11 April lalu.


Menurut fakta kes, mangsa membuat laporan polis selepas mendapati terdapat kesan terbakar di tempat letak kenderaan ketika datang melawat rumah sewanya.


Susulan laporan itu, polis menahan tertuduh di Bandar Putra di Kulaijaya bersama isterinya yang turut terbabit dalam kes ini.


Polis turut menemukan rakaman video dalam telefon bimbit isteri tertuduh yang memaparkan lelaki itu sedang membaling molotov cocktail ke arah rumah sewa mangsa.


Soal siasat dijalankan mendapati tertuduh menerima bayaran antara RM200 hingga RM300 setiap rumah yang dibaling dengan bahan api itu.


Pada prosiding itu, mahkamah turut ditayang video di mana tertuduh dilihat meletakkan telefon bimbit atas jalan raya sebelum melakukan kerja terbabit.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Isnin, 12 Januari 2026

Pengantin antara 8 maut, silinder gas meletup lepas majlis perkahwinan

Pengantin antara 8 maut, silinder gas meletup lepas majlis perkahwinan


Pasangan pengantin baharu antara lapan individu yang maut selepas satu silinder gas meletup di sebuah rumah di Islamabad, ketika mereka tidur awal pagi semalam, lapor BBC.


Kejadian berlaku pada 7 pagi (10 pagi waktu Malaysia) selepas pasangan berkenaan selesai mengadakan majlis perkahwinan mereka pada hari sebelumnya.


Selain pasangan pengantin, enam lagi mangsa termasuk ahli keluarga dan tetamu yang menginap di rumah berkenaan turut terkorban dalam kejadian tragis itu.


Letupan kuat itu turut menyebabkan lebih 12 individu lain mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.


Kesan letupan mengakibatkan bumbung rumah runtuh sepenuhnya, sebahagian dinding hancur dan perabot bertaburan di atas lantai.


Petugas kecemasan memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kebocoran gas yang memenuhi ruang rumah sebelum meletup secara tiba-tiba.


Kemusnahan dahsyat itu turut menyebabkan tiga rumah berhampiran mengalami kerosakan pada struktur bangunan.


Bapa pengantin lelaki, Hanif Masih berkata, semua mangsa baru sahaja masuk tidur kira-kira 3 pagi sebelum dikejutkan dengan runtuhan bangunan berkenaan.


Beliau meluahkan rasa hiba apabila kehilangan isteri, anak lelaki, menantu serta adik iparnya serentak dalam kejadian yang menyayat hati itu.


Beberapa mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan terpaksa diusung keluar oleh pasukan penyelamat menggunakan pengusung.


Timbalan Pesuruhjaya Polis, Sahibzada Yousaf berkata, pihaknya menggunakan anjing pengesan dan teknologi canggih bagi memastikan tiada mangsa tertinggal di bawah sisa konkrit.


Pengerusi Senat Pakistan, Yusuf Raza Gilani menyifatkan insiden itu sebagai tragedi yang mengubah suasana keraian perkahwinan menjadi hari berkabung.


Beliau turut menggesa jabatan berkaitan supaya lebih serius dalam memastikan langkah keselamatan penggunaan silinder gas dipatuhi bagi mengelak kejadian serupa berulang.


Pegawai forensik menggunakan pengesan logam untuk memeriksa serpihan rumah yang rosak selepas letupan silinder gas di Islamabad pada 11 Januari 2026. - Foto AFP.

Jumaat, 21 November 2025

Nenek nyaris dipatuk ular tedung selar ketika ke tandas

Nenek nyaris dipatuk ular tedung selar ketika ke tandas


Seorang wanita warga emas nyaris dipatuk ular tedung selar sepanjang hampir lima meter ketika hendak ke tandas di rumahnya di Kampung Ketembar, Masjid Kuala Pegang, Baling hari ini.


Warga emas berusia lingkungan 70 tahun terkejut sebaik membuka pintu tandas berkenaan dan ternampak ular itu melingkar.


Disebabkan itu, dia yang tinggal bersama dua cucunya bertindak menghubungi anak lelakinya untuk meminta pertolongan sebelum menghubungi bomba.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, panggilan berhubung kejadian itu diterima pada jam 6.40 pagi tadi.


Menurutnya, sepasukan enam anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Basri Osman tiba di lokasi tidak lama kemudian.


"Anggota bomba mengambil masa 30 minit untuk menangkap ular itu kerana reptilia itu agak agresif sehingga menegak badannya dan berdiri kira-kira satu meter.


"Dengan hanya menggunakan penjerut, anggota kami berdepan cabaran untuk menangkap reptilia itu dan berisiko disebabkan tandas itu sempit serta perlu berhati-hati untuk mengelak sebarang kemungkinan," katanya.


Zulkhairi berkata, ular tedung selar itu dipercayai masuk melalui lubang paip bilik air yang tiada penutup.


Beliau berkata, ular itu bagaimanapun berjaya ditangkap dan dilepaskan ke habitat asal jauh dari penempatan penduduk.


"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan perubahan cuaca yang tidak menentu ini yang menyebabkan persekitaran lembab dan sejuk ketika ini," katanya.


Anggota bomba cuba menangkap ular tedung selar dalam tandas rumah penduduk di Kampung Ketembar, Masjid Kuala Pegang. - Foto Bomba.

Ahad, 19 Oktober 2025

Pesawat terpaksa mendarat cemas bateri litium terbakar dalam kabin

Pesawat terpaksa mendarat cemas bateri litium terbakar dalam kabin


Sebuah pesawat Air China yang dalam penerbangan dari Hangzhou ke Incheon terpaksa melakukan pendaratan cemas di Shanghai semalam selepas bateri litium milik seorang penumpang terbakar di dalam kabin.


Menurut laporan South China Morning Post, Air China mengesahkan dalam kenyataan di platform Weibo bahawa insiden itu berlaku pada 18 Oktober, melibatkan penerbangan CA139 dari Hangzhou ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan.


"Bateri litium dalam beg tangan penumpang yang disimpan di ruang simpanan atas kepala tiba-tiba terbakar.


"Kru bertindak pantas mengikut prosedur keselamatan dan tiada penumpang cedera," katanya.


Susulan kejadian itu, pesawat berkenaan terpaksa melakukan pendaratan tidak berjadual di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai bagi memastikan keselamatan semua penumpang.


Pesawat tersebut berlepas dari Hangzhou pada jam 9.47 pagi dan dijadual tiba di Incheon pada 12.20 tengah hari, namun berpatah balik selepas kejadian berlaku.


Rakaman video yang tular menunjukkan beberapa penumpang dan kru kabin cuba memadamkan api yang marak di ruang simpanan atas kepala, manakala kedengaran penumpang lain menjerit meminta bantuan segera.


Menurut portal Shanghai Observer, seorang penumpang mendakwa terdengar letupan kuat sebelum api menyala di ruang berkenaan.


Tangkap layar video tular memaparkan keadaan ketika bateri litium penumpang terbakar dalam kabin.

Isnin, 22 September 2025

Puting beliung berapi bakar ladang tebu berjaya dirakam

Puting beliung berapi bakar ladang tebu berjaya dirakam


Kejadian puting beliung api berjaya dirakam di sebuah ladang tebu yang terbakar di Brazil, lapor portal berita Fox News.


Kebakaran itu tercetus pada 11 September lalu di antara bandar Florida Paulista dan Adamantina di negeri Sao Paulo, demikian menurut Pasukan Pertahanan Awam Brazil di laman Facebook.


Klip Video kejadian menunjukkan asap hitam tebal menutupi langit ketika sebuah jentera bomba memandu melalui ladang tersebut sambil menyembur air.


Puting beliung api itu seperti sedang menari di tengah ladang, kata pihak bomba.


Menurut Pertahanan Awam Brazil, tiada siapa cedera dalam kebakaran tersebut.


Ia terbentuk daripada udara dan gas panas yang naik daripada kebakaran, demikian menurut Kumpulan Penyelarasan Kebakaran Hutan Kebangsaan.


Apabila udara dan gas itu naik, ia turut membawa asap, serpihan, malah api seperti yang kelihatan dalam puting beliung api.


Anggota-anggota Pasukan Pertahanan Awam dan bomba akhirnya berjaya memadamkan kebakaran itu, kata agensi berkenaan.


Sebuah trak bomba bergerak dekat puting beliung api di ladang tebu. - Foto Pertahanan Awam/Facebook/Fox Weather.

Ahad, 21 September 2025

Kemalangan ngeri rempuh lori tepi jalan, penumpang kereta maut putus kepala

Kemalangan ngeri rempuh lori tepi jalan, penumpang kereta maut putus kepala


Seorang lelaki putus kepala apabila kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Taman Permata Impian, Jalan Felda Taib Andak, Kulai malam tadi.


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.36 malam tadi.


Beliau berkata, lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba di tempat kejadian yang terletak enam kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, pada 10.43 malam.


Menurutnya, operasi diketuai oleh Mohd Firdaus Juritah.


"Kemalangan berkenaan membabitkan Honda City yang merempuh lori lima tan Hino yang diletakkan di tepi jalan.


"Pemandu kereta iaitu seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan, namun tidak tersepit. Orang awam mengeluarkan mangsa terbabit dari kereta sebelum anggota bomba tiba di lokasi.


"Penumpang di bahagian hadapan kenderaan sama tersepit dan maut. Mangsa terputus kepala," katanya menerusi kenyataan media.


Beliau berkata, mangsa maut adalah lelaki dewasa.


"Bomba mengeluarkan mangsa itu dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis untuk tindakan lanjut," katanya.


Keadaan kenderaan terbabit kemalangan berkenaan. - Foto Bomba.

Jumaat, 19 September 2025

Setahun terperangkap dalam premis rumah kedai, Putih akhirnya diselamatkan

Setahun terperangkap dalam premis rumah kedai, Putih akhirnya diselamatkan


Seekor kucing diselamatkan selepas dikatakan terperangkap selama setahun di sebuah premis rumah kedai di Kampung Gunung Rapat, Ipoh semalam.


Perkara itu dikongsikan pengguna akaun TikTok @Firahanna9 melalui dua video yang dimuat naik dengan mendakwa kucing berbulu putih itu akhirnya diselamatkan selepas ditinggalkan penghuninya sejak setahun lalu.


Berdasarkan hantaran itu, sepanjang tempoh terperangkap kucing berkenaan diberi makan dan minum oleh beberapa individu melalui ruang di bawah pintu besi.


"Kucing ini sudah setahun terperangkap di balik pintu ini. Tapi tiada siapapun yang mahu selamatkannya.


"Mengikut kata pemberi makanan mereka sudah laporkan kepada pihak berwajib tapi tiada bantuan diterima. Tapi saya rasa mungkin ada salah faham di situ.


"Berdasarkan kepada pengesahan Majlis Bandaraya Ipoh, premis pejabat itu sudah lama kosong," katanya menerusi video berkenaan.


Pengguna berkenaan mendakwa, dia kemudiannya menghubungi Balai Polis Kampung Rapat dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh bagi melaporkan perkara itu.


Sementara itu, Ketua Balai BBP Ipoh, Rozizah Abnihajar ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya menerima panggilan bagi khidmat khas menyelamatkan kucing itu jam 5.44 petang semalam dengan enam anggota digerakkan ke lokasi itu.


"Kita gunakan besi pengumpil dan gergaji bulat untuk membuka pintu selepas mendapat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).


"Kucing berkenaan terperangkap dalam bangunan terbiar yang tidak berpenghuni. Namun kami tak dapat pastikan sama ada memang benar kucing itu terperangkap di situ selama setahun," katanya.


Seekor kucing diselamatkan selepas dikatakan terperangkap selama setahun di sebuah premis rumah kedai di Kampung Gunung Rapat, Ipoh semalam. - Foto Ihsan pembaca.

Isnin, 15 September 2025

Pemancing terkejut buaya 1.5 meter muncul depan mata berhampiran sawah padi

Pemancing terkejut buaya 1.5 meter muncul depan mata berhampiran sawah padi


Penduduk di sekitar Paya Luboh, Tangga Batu di Melaka gempar apabila kelibat seekor buaya dipercayai sepanjang 1.5 meter muncul di sungai berhampiran sawah padi, tengah hari tadi.


Kemunculan reptilia itu disedari kira-kira pukul 12 tengah hari oleh sekumpulan pemancing yang sedang memancing di tebing sungai terbabit.


Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, beliau bergegas ke lokasi selepas menerima aduan penduduk mengenai kehadiran buaya berkenaan.


"Buaya berukuran kira-kira 1.5 meter itu dilihat berada di tebing sungai kecil di Paya Luboh, ia berkemungkinan naik ke kawasan berkenaan akibat banjir kilat dan fenomena air pasang, baru-baru ini.


"Sungai kecil itu sering menjadi lokasi kanak-kanak mandi serta aktiviti memancing, jadi saya segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Melaka untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita, hari ini.


Beliau berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu turut berada di lokasi melakukan pemantauan sebelum kes diserahkan kepada pihak Perhilitan.


Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menghantar kakitangan untuk mengesan reptilia berkenaan.


Kelibat seekor buaya sepanjang kira-kira 1.5 meter sempat dirakam pemancing ketika muncul di tebing sungai Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka tengah hari tadi.

Khamis, 11 September 2025

Cuba curi kabel, lelaki terperangkap di tiang landasan MRT diselamatkan Bomba

Cuba curi kabel, lelaki terperangkap di tiang landasan MRT diselamatkan Bomba

 

Pasukan penyelamat terpaksa dikerah ke Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur bagi menurunkan seorang lelaki yang terperangkap di tiang landasan tren aliran massa (MRT) selepas dikatakan cuba mencuri kabel.


Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan berkata, sebuah jentera dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas dikerah ke lokasi sejurus terima panggilan pada 2.41 pagi semalam (Rabu).


"Anggota operasi menjalankan kerja penyelamatan dengan bantuan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) bagi menurunkan mangsa dengan selamat.


"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun berjaya diturunkan dan diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.


"Menurut polis, individu berkenaan disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah mencuri kabel," katanya dalam kenyataan hari ini.


PGOKL berkata, seramai 12 anggota dan pegawai lain-lain pangkat terbabit dalam operasi menyelamat itu.


Pasukan penyelamat membawa turun seorang lelaki dikatakan tersangkut selepas cuba mencuri kabel. - Foto PGOKL.