Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan

Ahad, 27 Februari 2022

Ribuan bangkai ikan terdampar di pantai, puncanya masih menjadi misteri

Ribuan bangkai ikan terdampar di pantai, puncanya masih menjadi misteri


Kemunculan ribuan ikan di pantai sering kali dikaitkan dengan petanda bencana. Baru-baru ini beberapa rakaman foto memaparkan ribuan bangkai ikan memenuhi kawasan pantai menimbulkan persoalan di kalangan penduduk setempat.


Menurut seorang wanita, beliau menemui kejadian itu ketika dia berjalan bersama anaknya di pantai Coliumo berhampiran Concepcion, di wilayah Biobio, Chile, pada pagi hari Sabtu 19 Februari lalu.


Ikan-ikan yang telah mati terdampar di tepi pantai itu menyebabkan pantai kelihatan berkilau. Pegawai Alam Sekitar Chile sedang menyiasat punca terjadinya fenomena itu dengan meneliti kualiti air, lapor Daily Star pada 21 Februari 2022.


Kisah penemuan ribuan bangkai ikan terdampar tersebut telah tular di media sosial dan menjadi perbualan ramai, namun tiada seorang pun tahu secara pasti penyebab sebenar atau bagaimana keadaan itu terjadi.


Sebelum ini, pada tahun lepas kejadian seperti ini pernah berlaku di wilayah Biobio, dan hasil siasatan mendapati punca utama kematian ikan pada waktu itu adalah kerana kandungan oksigen yang rendah di dalam air.



Menurut penduduk tempatan, kemungkinan kejadian serupa yang berlaku pada Sabtu adalah disebabkan punca yang sama. Ikan-ikan tersebut berenang menghampiri pantai untuk mencari oksigen dan nutrien.


Selain di Chile, kejadian ikan terdampar di pantai pernah berlaku di beberapa lokasi lain. Antaranya pada April tahun lalu, ratusan ikan lumba-lumba dan ikan dihanyutkan di pantai di Accra, Ghana. Kajian mendapati ia berpunca daripada masalah persekitaran dan faktor tekanan.


Pada Oktober tahun lalu juga, ribuan ikan kecil pernah dihanyutkan di Pantai Chesil di Dorset, United Kingdom (UK). Agensi Alam Sekitar UK mendapati ia disebabkan kejadian semula jadi susulan spesies ikan besar mengejar ikan yang bersaiz kecil sehingga berakhir di pantai.


Bagaimanapun, insiden ikan dihanyutkan ke pantai Bali pada Julai 2019 adalah petanda bencana alam. Ribuan ikan terdampar di Pantai Canggu dan Pantai Batu Bolong sejurus sebelum terjadinya gempa bumi bermagnitud 6 pada skala Richter.


Fenomena Aneh, Ribuan Ikan Terdampar Di Pantai, Puncanya Masih Menjadi Misteri.

Sabtu, 1 Januari 2022

'Hujan ikan' landa bandar di Texas, ahli meteorologi risau ada masalah besar

'Hujan ikan' landa bandar di Texas, ahli meteorologi risau ada masalah besar


Cuaca buruk dan hujan di bandar Texarkana, Texas, pada 29 Disember lalu telah menyebabkan satu fenomena luar biasa iaitu 'hujan ikan' di bandar yang bersempadan dengan Arkansas itu, lapor laman berita Independent pada 31 Disember 2021.


Tom Brigham, pengurus Discount Wheel & Tyre memberitahu The Texarkana Gazette bahawa dia melihat ikan itu jatuh dari langit semasa ribut petir pada petang hari Rabu.


"Sebanyak 25 hingga 30 ekor ikan, kira-kira enam hingga tujuh inci panjang, bersepah di luar kawasan kedai saya, dan di kedai sebelah ikan itu kelihatan lebih banyak," katanya.



Kejadian itu turut dilaporkan berlaku di Stadium Tiger tempat pasukan bola sepak berlatih, dengan seorang pemain dilaporkan menendang seekor ikan yang ditemuinya berada di tepi garisan.


Beberapa foto dan klip video yang dimuat naik di media sosial oleh penduduk sekitar menunjukkan ikan-ikan jatuh dari langit ketika hujan. Biarpun kejadian itu berlaku dalam masa yang singkat, banyak ikan terdampar di halaman rumah dan kawasan tempat letak kereta perniagaan di bandar itu.


Menurut sebuah badan bukan kerajaan, National Geographic Society, fenomena 'hujan haiwan' berlaku apabila haiwan kecil seperti ikan, katak dan ketam terperangkap dalam aliran air naik atau puting beliung di kawasan perairan.


Haiwan-haiwan itu kemudiannya terjatuh di lokasi yang jauh bersama-sama dengan air hujan. Bagaimanapun, seorang pakar kaji cuaca dari Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, tiada laporan mengenai kejadian puting beliung di kawasan perairan berhampiran dikesan dalam radar semalam.


"Ini adalah satu masalah besar," kata seorang ahli meteorologi. Hujan haiwan adalah kejadian yang jarang berlaku, mungkin disebabkan itu saintis tidak pernah merekodkan fenomena ini secara rasmi.


Foto yang dikongsi penduduk tempatan menunjukkan ikan-ikan terdampar di halaman rumah dan kawasan letak kereta di Texas. - Foto JimWeaver.

Puluhan ekor ikan jatuh dari langit di kawasan bandar Texarkana pada 29 Disember 2021. - Foto KSLA.

Antara ikan yang jatuh dari langit ketika ribut petir melanda bandar Texarkana. - Foto The city of Texarkana.

Selasa, 2 November 2021

Lelaki Sesat Lebih 2 Bulan Di Kawasan Paling Sejuk Dunia Ditemui Selamat

Lelaki Sesat Lebih 2 Bulan Di Kawasan Paling Sejuk Dunia Ditemui Selamat


Seorang lelaki yang tersesat di kawasan terbiar yang dipenuhi beruang, di salah satu kawasan paling sejuk ditemui masih bernyawa sebaik diselamatkan selepas lebih dua bulan dilaporkan hilang, lapor New York Post pada 28 Oktober 2021.


Yegor Krivoshapkin, 45, dijumpai dengan luka beku (frostbite) memenuhi badan di kawasan berpenduduk paling sejuk di dunia, dua minggu selepas pasukan penyelamat berputus asa dan mengatakan dia tidak mungkin selamat.


Bapa tiga anak itu ditemui pada jarak 305.8 kilometer dari lokasi hilang di Yakutia, 'kerajaan ais' Siberia, bahkan dia berjaya mengelak daripada diserang beruang coklat dan serigala ketika merayau di kawasan berkenaan.


Namun Yegor yang juga pengembala rusa kutub itu menyebabkan pasukan penyelamat tertanya-tanya, selepas dia sukar menjelaskan keberadaannya dan bagaimana dia terselamat. Lelaki itu hilang pada Ogos, akhir musim panas dan ditemui ketika suhu menurun hingga -20 darjah Celsius.


Terdapat laporan menyebut Yegor menemui makanan tin berusia 40 tahun dalam salji, yang dicampakkan di kawasan berkenaan ketika zaman Soviet sebagai bekalan kecemasan untuk pengembala yang hilang.


Yakutia is the planet’s coldest populated region.

Saudara-saudaranya telah diberi amaran bahawa "tiada sesiapa akan selamat dalam cuaca begitu, anda perlu realistik" tetapi mereka enggan berputus asa dan terus berharap.


Mirror UK melaporkan keluarga Yegor mengupah peramal, Maria Kupriyanova atau dikenali Sanaaya yang menjangkakan lelaki itu akan dijumpai pada hari penting keluarga.


"Dia dijumpai pada hari jadi cucu saya. Syukur dengan ramalannya. Adakah ini mistisisme atau realiti?" kata kakak Yegor, Svetlama.


Katanya, Yegor tiba-tiba muncul di khemah yang ditinggalkan oleh pengembala rusa di kutub Rodion Golikov, yang dilengkapi dengan dapur dan bekalan. Helikopter Polar Airlines mengambil masa lima hari untuk mengesan kedudukan Yegor dan membawanya keluar selepas ditemui penduduk di khemah tersebut.


Dia dihantar ke Hospital Batagay dan menerima rawatan intensif hingga stabil. Kepada kakaknya, Yegor bercerita bahawa dia tidur 'di bawah pokok' dan mengalami pitam serta dalam keadaan tidak sedar ketika merayau sendirian.


Yegor sesat selama dua bulan dalam 'kerajaan ais' dan dijumpai lebih 300km dari lokasi hilang di Yakutia, Siberia. - Foto The Siberian Times.

Pasukan penyelamat yang menyelamatkan Yegor selepas hilang selama lebih 2 bulan. - Foto The Siberian Times.

Ahad, 31 Oktober 2021

Puluhan 'Kapal Hantu' Dari Era Perang Dunia Kedua Tiba-Tiba Timbul

Puluhan 'Kapal Hantu' Dari Era Perang Dunia Kedua Tiba-Tiba Timbul


TOKYO - Dua dozen 'kapal hantu' dari era Perang Dunia Kedua timbul di permukaan Laut Pasifik susulan aktiviti gelombang seismik akibat gempa bumi. Kapal perang itu terdampar kira-kira 1,280 kilometer dari Tokyo berdasarkan rakaman dan gambar tersiar, lapor Mirror UK pada 28 Oktober 2021 lalu.


Aktiviti seismik di dasar gunung berapi Fukutoku-Okanoba menghasilkan pulau kecil berbentuk C berdiameter 1 kilometer, namun ia perlahan-lahan tenggelam dan kini dianggarkan satu pertiga daripada saiz asalnya.


Menurut agensi Pengawal Pantai Jepun, pulau kecil itu dibentuk oleh lava yang mengalir keluar ketika letusan berlaku kemudian ia mengeras, diperbuat daripada campuran batu apung dan debu gunung berapi.


Namun, letusan sama mengeluarkan 24 kapal yang tenggelam ketika perang Iwo Jima pada tahun 1945, membabitkan 70,000 tentera laut Amerika Syarikat (AS) dan 20,000 tentera Jepun.



Kapal yang timbul itu dikatakan milik tentera Jepun yang karam selepas ditawan tentera laut AS dalam pertempuran berkenaan. Disebabkan Iwo Jima tidak mempunyai pelabuhan, kapal itu ditenggelamkan untuk bertindak pemecah ombak, menurut Akrib AS.


Ini bukan kejadian pertama kapal perang naik ke permukaan, memandangkan ia pernah berlaku 35 tahun lalu kerana aktiviti seismik sebelum karam semula.


Pengarah Pusat Promosi Kajian Gunung Berapi, Setsuya Nakada berkata, perubahan air laut yang merebak ke kawasan sekitar menandakan aktiviti gunung berapi belum selesai. - Sumber Mirror UK.


Aktiviti gunung berapi menyebabkan kapal timbul di permukaan laut. - Foto Agensi.

Pertempuran Iwo Jima berlaku pada tahun 1945. - Foto Bettmann Archive.

Sabtu, 16 Oktober 2021

Fenomena Unik, Gurun Tandus Di Chile Berubah Menjadi Taman Bunga

Fenomena Unik, Gurun Tandus Di Chile Berubah Menjadi Taman Bunga


Gurun Atacama di Chile kelihatan berwarna-warni minggu ini, selepas bunga liar tumbuh mekar di padang tandus, lapor laman berita CNN Indonesia pada 15 Oktober 2021.


Pemandangan unik itu membuatkan pemerintah setempat merancang untuk membangunkan sistem pengairan yang akan membuatkan panorama khas musim bunga di sana menjadi lebih kerap.


Mekarnya bunga di gurun itu adalah fenomena alam yang terjadi setiap lima hingga tujuh tahun sekali dengan hamparan pasir kering berganti menjadi hamparan kebun bunga berwarna ungu muda.


Projek sistem pengairan buatan yang dicadangkan oleh Kementerian Pertanian Atacama bertujuan menghasilkan bunga lebih kerap, iaitu sepanjang Ogos hingga September setiap tahun.



"Kami akan memasang projek pengairan di beberapa daerah di wilayah Gurun Atacama," kata perwakilan presiden untuk Wilayah Atacama Patricio Urquieta, dipetik laporan laman berita Reuters pada Rabu lalu.


Namun begitu, penduduk, pemerhati setempat dan pihak berkuasa seperti Gabenor Atacama, Miguel Vargas bimbang bunga liar yang mekar di kawasan gurun mungkin memiliki kesan negatif.


"Kami tidak setuju dengan idea ini. Kami akan melihat apakah alasan saintifik pengumuman itu yang akan mengganggu fenomena semula jadi seperti bunga mekar secara tiruan," katanya.


Atacama dikenali dengan daya tarikan kepada pelancong seperti taman negara, pantai dan pemandangan pergunungan.


Khamis, 30 September 2021

Banjir Berwarna Merah Seakan 'Darah' Gemparkan Penduduk Kampung Seri Jaya Baru

Banjir Berwarna Merah Seakan 'Darah' Gemparkan Penduduk Kampung Seri Jaya Baru


Kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi di Johor Bahru, pagi ini bukan sahaja mengejutkan penduduk kerana air memasuki rumah mereka dengan cepat, namun turut digemparkan dengan aliran air berwarna merah.


Penduduk kampung Azmi Misri berusia 54 tahun berkata, fenomena banjir merah yang melanda di situ, selepas hujan lebat lebih tiga jam awal pagi tadi adalah kejadian pertama yang berlaku.


Beliau yang juga mantan Ketua Kampung Pasir berkata, ia menimbulkan kebimbangan penduduk apabila banjir kilat itu berbau seperti minyak, selain menyebabkan anggota badan menjadi gatal.


"Banjir kilat memang sering melanda kawasan ini apabila hujan lebat bertembung dengan air pasang, namun banjir merah pagi tadi tidak pernah berlaku. Saya dan penduduk di sini, percaya banjir merah ini berpunca dari kilang tekstil berhampiran yang sudah setahun tidak beroperasi.



"Ia berikutan bau minyak yang kuat dipercayai dari mesin dan bahan yang ditinggalkan di situ. Penduduk berharap perkara ini disiasat pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kepada kesihatan penduduk," katanya.


Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas , Mohd Yazid Abdul Rahman, berkata air banjir kilat awal pagi tadi naik hingga ke paras satu meter, surut dalam kira-kira jam 8.30 pagi tadi.


Beliau berkata, pihaknya melakukan pemantauan di perkampungan berkenaan berikutan risau air banjir berwarna merah itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk.


"Namun, air merah itu surut dalam tempoh beberapa jam dan tiada masalah lain yang timbul. Penduduk juga tidak dipindahkan ke kawasan lain dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.


Keadaan 'banjir merah' yang menggemparkan penduduk di Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi di Johor Bahru.

Jumaat, 24 September 2021

Tular Pokok Kelapa Bercabang Lapan, Ada Yang Mahu Beli Tawar Harga RM4,406

Tular Pokok Kelapa Bercabang Lapan, Ada Yang Mahu Beli Tawar Harga RM4,406


Sebatang pokok kelapa setinggi lapan meter yang tumbuh di Kabupaten Pacitan, Jawa Timur telah menarik perhatian orang ramai kerana keunikannya yang bercabang lapan, lapor Times Indonesia pada 23 September 2021.


Pokok berusia 40 tahun milik Kateno, 56, dari Desa Ploso itu dianggap istimewa kerana kebiasaannya pokok kelapa hanya tumbuh lurus tanpa dahan bercabang. Menurut Kateno, pokok kelapa itu pernah mahu dibeli orang pada harga 15 juta rupiah (RM4,406).


"Seingat saya, benihnya adalah benih biasa seperti kebanyakan pokok kelapa yang selalu saya tanam. Saya tidak sangka apabila tumbuh, ia akan bercabang lapan seperti ini hingga ada yang sanggup membelinya," katanya.


Namun begitu, Kateno menolak tawaran itu dengan baik. Dia menjelaskan bahawa pokok kelapa itu ditanam pada tahun 1980, kerana keunikannya, bapanya berpesan agar pokok tersebut tidak diserahkan kepada orang lain.


Sementara itu, Ketua Kampung Desa Ploso, Agus Cahyono mengakui kisah tular pokok kelapa ini menjadikan desa itu sebagai salah satu lokasi pelancongan popular di Jawa Timur.


Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan pemerintah tempatan untuk membuat jalan yang lebih baik untuk ke kampung mereka. Pembinaan jalan raya diharapkan dapat memudahkan orang ramai atau pelancong yang ingin melihat pokok kelapa ini secara langsung.


Agus juga bersyukur kerana Kampung Desa Ploso mempunyai banyak potensi baik dalam sektor pelancongan dan perniagaan yang diuruskan sendiri oleh penduduknya.


Pokok kelapa bercabang lapan milik seorang penduduk Desa Ploso, Jawa Timur yang kini tular. - Foto Times Indonesia.

Ahad, 22 Ogos 2021

Satu Panahan Petir Menyebabkan 550 Kambing Biri-Biri mati Di Georgia

Satu Panahan Petir Menyebabkan 550 Kambing Biri-Biri mati Di Georgia


Media Georgia, Amerika Syarikat baru-baru ini menyiarkan rakaman video menunjukkan lebih 500 ekor kambing biri-biri mati akibat dipanah petir ketika meragut rumput di kawasan pergunungan di Ninotsminda, selatan Georgia.


Memetik laporan Oddity Central pada 20 Ogos 2021, insiden itu berlaku ketika kumpulan kambing berkenaan meragut rumput di padang Gunung Abul, Ninotsminda dekat selatan Georgia pada 9 Ogos lalu.


Pada hari kejadian, pemilik kambing biri-biri Nikolay Levanov, menerima panggilan telefon kecemasan dari pekerjanya memaklumkan ratusan kambing ternakannya maut akibat dipanah petir.


Lebih memeranjatkan Levanov, lebih 400 kambing biri-biri miliknya mati dipanah petir yang sama. Pada 12 Ogos, pihak berkuasa memaklumkan jumlah kambing biri-biri yang mati dalam insiden tersebut berjumlah 550 ekor, termasuk kambing milik penternak lain.


Rakaman video yang tular di tempat kejadian menunjukkan ratusan bangkai kambing biri-biri bergelimpangan atas padang rumput di kawasan pergunungan Abul.


Timbalan Datuk Bandar Ninotsminda, Alexander Mikeladze menyifatkan insiden tersebut sebagai perkara luar biasa, selain tidak menyangka satu panahan petir boleh menyebabkan ratusan haiwan ternakan maut.


"Ini merupakan kes pertama berlaku melibatkan insiden panahan petir menyebabkan ratusan haiwan mati," katanya.


Sementara itu, Levanov dan beberapa penternak lain memohon bantuan kewangan daripada pihak berkuasa Georgia atas kerugian yang mereka alami berhubung insiden berkenaan. Bagaimanapun, pihak berkuasa harus menentukan punca sebenar kematian kambing biri-biri itu.


"Sejujurnya, ini kes pertama. Kami belum mendengar bahawa ribut petir boleh membunuh begitu banyak kambing biri-biri," kata wakil datuk bandar Ninotsminda, Alexander Mikeladze.


Tambahnya, sudah tentu pejabat datuk bandar memberikan sokongan, tetapi pemilik haiwan itu mesti menyampaikan pendapat pakar untuk menentukan secara tepat penyebab kematian ternakan mereka.


Lebih 500 kambing biri-biri mati di padang Gunung Abul, Ninotsminda dekat selatan Georgia.

Khamis, 12 Ogos 2021

Remaja berjaya rakam imej awan berwajah 'syaitan' seakan bertongkatkan pelangi cantik

Remaja berjaya rakam imej awan berwajah 'syaitan' seakan bertongkatkan pelangi cantik


Seorang remaja berusia 14 tahun dari Australia berjaya merakam imej gumpalan awan yang kelihatan sangat misteri seperti wajah yang menakutkan, lapor Daily Mail pada 10 Ogos 2021.


Kata Jarvis Smallman, imej tersebut di rakam ketika matahari terbenam selepas tamat waktu persekolahan. Menerusi gambar yang dikongsikan, kelihatan pelangi pada bahagian bawah gumpalan awan dalam corak berpusing itu.


"Gambar itu diambil ketika matahari terbenam selepas tamat waktu persekolahan. Saya gembira melihatnya. Ia adalah satu gambar yang cantik," katanya.


Jarvis memuat naik gambar tersebut pada Instagram miliknya beserta kapsyen 'Awan paling cantik yang pernah saya lihat setakat ini walaupun kelihatan agak menakutkan'.


Gambar itu kemudiannya dikongsi oleh stesen radio ABC South West dan menerima banyak komen positif daripada netizen yang mengagumi kecantikannya.


"Wah, gambar semula jadi yang hebat kerana merangkumi kombinasi wajah 'pelawak', pelangi, yang cantik dan buruk," tulis seorang pengguna.


"Ini membuatkan bulu roma saya berdiri. Menakutkan. Gambar yang hebat," komen seorang lagi netizen.


Gambar tersebut mempunyai imej seperti wajah yang menakutkan serta pelangi yang cantik. - Foto Jarvis Smallman.

Isnin, 2 Ogos 2021

Misteri Cahaya Hijau Muncul Di Ruang Udara Turki Dikaitkan Kemunculan UFO

Misteri Cahaya Hijau Muncul Di Ruang Udara Turki Dikaitkan Kemunculan UFO

Tangkap layar video tular di media sosial.

Tular di internet beberapa klip video memaparkan sebuah objek dipercayai meteor berwarna hijau jatuh di bandar Izmir, Turki, mencetuskan spekulasi mengenai satelit terhempas atau objek terbang tidak dikenali (UFO).


Menurut lapor akhbar The Sun 3 Ogos 2021, insiden yang berlaku di bandar Izimir di Aegean itu berjaya dirakamkan melalui video pada pukul 2 pagi (waktu tenpatan), kelmarin.


Menerusi beberapa klip video, objek berwarna hijau itu dilihat menghilang di belakang bukit, tetapi rakaman lain menunjukkan objek tersebut dilihat meluncur dengan laju di langit sebelum mengeluarkan kilauan cahaya hijau yang terang kemudian seolah-olah kelihatan terhempas ke bumi.


Kejadian luar biasa itu dikongsi pengguna media sosial yang membawa kepada pelbagai spekulasi bahawa objek tersebut berkemungkinan adalah sampah angkasa lepas, serpihan satelit dan ada yang mempercayai ia adalah kemunculan UFO.



Menurut saksi, kedengaran bunyi letupan kuat ketika objek tersebut terhempas ke Bumi yang berkemungkinan disebabkan rosak atau pelanggaran dengan atmosfera. "UFO telah dilihat di langit 'PrayforTurkey'," tulis seorang netizen di sosial media.


Spekulasi itu bagaimanapun ditepis seorang profesor astrofizik, Dr. Hasan Ali Dal, yang menjelaskan bahawa insiden tersebut dikenali sebagai 'bebola api' dan berlaku apabila meteor mula terbakar dalam udara.


"Kebiasaannya, ia terbakar di bahagian atas atmosfera, menyebabkan batu angkasa akan hancur sebelum sampai ke tanah dan proses itu boleh kedengaran seperti bunyi letupan.


"Ia boleh dianggap sebagai fenomena yang lebih dikenali ramai sebagai tahi bintang dan kebiasaannya berlaku ketika tempoh masa hujan meteorit," jelasnya.


Ketika ini, Bumi sedang mengalami kejadian hujan meteor Perseid yang kebiasannya berlaku sepanjang bulan Julai dan Ogos setiap tahun.


BACA: Gambar meteor memancarkan cahaya hijau dirakam secara tidak sengaja muncul di langit India.


Objek tersebut dilihat meluncur dengan laju di langit Izmir, Turki sebelum mengeluarkan kilauan cahaya berwarna hijau yang terang. - Foto The Sun.

Sabtu, 17 Julai 2021

Vila misteri tiba-tiba muncul di tepi pantai selepas 28 tahun hilang

Vila misteri tiba-tiba muncul di tepi pantai selepas 28 tahun hilang


Sebuah vila misteri ditemui terdampar secara tiba-tiba di tepi pantai di Costa de Sol, El Salvador, menyebabkan ramai pengunjung berteka teki asal usul bangunan tersebut, lapor laman berita Oddity Central pada 15 Julai 2021 lalu.


Penduduk tempatan dan pe­lancong keliru berhubung pene­muan tersebut di Pantai La Puntilla baru-baru ini. Bagaima­napun, terdapat teori popular mengatakan bahawa vila itu hanyut dan terus 'menghilang' dalam bencana taufan yang membadai El Salvador lebih 20 tahun lalu.


Akhbar tempatan, La Prensa Grafica melaporkan bahawa beberapa penduduk memberitahu, vila misteri yang tiba-tiba muncul itu merupakan sebuah hotel dikenali sebagai Hotel Puerto Ventura kira-kira 28 tahun lalu.


Hotel tersebut dibina hanya beberapa meter dari laut sekali gus menguatkan kemungkinan bahawa ia dihanyutkan oleh air laut.


"Mereka membinanya terlalu dekat dengan pantai. Mereka juga tidak membuat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa untuk membinanya (hotel) dan itulah akibatnya," kata seorang penduduk tempatan.



Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan bagaimana hotel tersebut musnah dalam kejadian Taufan Mitch yang telah membadai El Salvador pada tahun 1998 dan mengakibatkan lebih 9,000 kematian.


Kini, bangunan dua tingkat tersebut menjadi tarikan pelancong yang datang ke situ untuk bergambar. Ada antara pengunjung memanjat tingkat atas vila tersebut bagi mendapatkan gambar pemandangan yang lebih cantik.


Bagaimanapun, penduduk setempat, Coralia Sotelo berkata, beberapa kanak-kanak pernah melihat seorang lelaki kulit hitam yang sangat tinggi berkeliaran di sekitar vila tersebut pada waktu malam, menyebabkannya takut untuk menghampiri kawasan itu.


"Saya takut untuk pergi ke situ dan tidak pernah menghampirinya. Beberapa kanak-kanak yang pergi ke pantai itu untuk menangkap penyu pada waktu malam memberitahu mereka ada terlihat lelaki itu," ujarnya.



Khamis, 17 Jun 2021

Penduduk Gempar Bandar Gippsland Diselimuti Sarang Labah-Labah Selepas Banjir

Penduduk Gempar Bandar Gippsland Diselimuti Sarang Labah-Labah Selepas Banjir


Penduduk dikejutkan dengan penemuan jaringan sarang labah-labar besar menyelimuti pokok-pokok dan padang rumput di bandar wilayah Gippsland, wilayah Vistoria, Australia selepas berlaku banjir besar.


Jaringan sarang raksasa yang lebar itu terbentuk setelah kota-kota di negara itu dilanda banjir beberapa waktu lalu. Sebaik sahaja banjir tamat, jutaan labah-labah turut memindahkan sarang mereka dari kawasan yang tergenang air ke pokok-pokok di kawasan kering.


Maka terhasillah satu jaringan hamparan sarang labah-labah ibarat selimut sutera yang menyelimuti pokok-pokok termasuk tanaman penduduk. Fenomena tersebut menciptakan hamparan besar yang halus yang menutupi kawasan antara kota Sale dan Longford.



Pakar serangga di Muzium Victoria, Dr Walker berkata, labah-labah itu menggunakan jalinan tali temali sutera itu untuk menyelamatkan diri dari kawasan yang berair.


"Bagi sesetengah orang, ini adalah mimpi buruk. Bagi saya, itu benar-benar indah. Selimut sutera yang bergelombang di seluruh kawasan tanaman," katanya.


Menurut Walker, untuk menyelamatkan diri, labah-labah yang duduk di tanah perlu segera keluar dengan cara membawa jaringan sarang dan menjaringkan sarang mereka pada tumbuh-tumbuhan.


"Ini juga menunjukkan secara harfiah bahawa puluhan ribu, kalau tidak pun jutaan labah-labah ada di permukaan tanah," ujar Dr Walker.


Seorang penduduk Marco Brunel, wanita berusia 45 tahun yang sudah tinggal selama 10 tahun di kawasan itu, mengatakan bahawa dia tidak pernah melihat perkara seperti itu.


"Saya tidak tahu apa yang harus saya fikirkan ketika pertama kali melihatnya. Ia seperti alam semula jadi yang aneh," katanya. Sumber: The Age (15/6/2021).


Labah-labah yang tak terhitung jumlahnya di Longford telah membuat sarang jaringan sutera menyelimuti tumbuh-tumbuhan.

Labah-labah yang tak terhitung jumlahnya di Longford telah membuat sarang jaringan sutera menyelimuti tumbuh-tumbuhan.

Labah-labah yang tak terhitung jumlahnya di Longford telah membuat sarang jaringan sutera menyelimuti tumbuh-tumbuhan.

Ahad, 30 Mei 2021

Beberapa Lubang Misteri Tiba-Tiba Muncul Di Siberia, Saintis Mula Risau

Beberapa Lubang Misteri Tiba-Tiba Muncul Di Siberia, Saintis Mula Risau


Di sebuah semenanjung terpencil di atas lingkaran Arktik, sebuah lubang besar terbentuk disyaki disebabkan oleh letupan dari bawah tanah. Di sekitar lubang itu, akar-akar tanaman yang tumbuh mengelilingi telah hangus, menunjukkan betapa hebatnya lubang di tengah-tengah Arktik Siberia ini terbentuk.


Menurut BBC Future, Evgeny Chuvilin seorang ahli geologi Institut Sains dan Teknologi Skolkovo, Moscow, Rusia mengunjungi lokasi lubang itu pada September 2020 tahun lalu untuk melakukan penelitian.


Katanya, dia percaya lubang itu terbentuk dari letupan gas metana dan karbon dioksida yang terperangkap di dalam tanah bersama ais. Apabila cuaca semakin panas ais tersebut akan cair menyebabkan berlaku fenomena lebih biasa seperti berlakunya letupan.


Penemuan ini adalah salah satu daripada beberapa lubang misteri yang terdapat di Kutub Utara Siberia, yang pertama kali ditemui pada tahun 2014. Para penyelidik telah mengenal pasti 15 kawah lain yang dianggap berasal dari letupan semula jadi.


Susulan itu, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Minyak dan Gas Rusia, Vasily Bogoyavlensky, mengatakan bahawa sekurang-kurangnya tujuh lubang misteri dilihat. Foto satelit mendedahkan bahawa salah satu lubang itu mempunyai kawah kecil di dalamnya.



"Saya membandingkan penemuan ini seperti cendawan. Apabila anda menjumpai satu cendawan, pastikan terdapat cendawan lain di sekitarnya. Saya meramalkan akan ada 20 hingga 30 lubang lagi," kata Vasily.

Vasily mendesak para penyelidik untuk mencegah bencana yang berkaitan dengan penemuan lubang itu. Dia mengatakan, bencana itu boleh memberi kesan negatif terhadap infrastruktur minyak di wilayah ini. Dia mengatakan bahawa pelepasan gas yang berkaitan dengan perubahan iklim adalah penyebab lubung itu terbentuk.

"Kajian mendalam diperlukan untuk mengetahui penyebab kemunculan lubang misteri itu. Kita juga harus tahu adakah lubang lain akan muncul lagi di kawasan itu," ujarnya.



Isnin, 12 April 2021

Anak Kambing Didakwa 'Jelmaan Nenek Moyang' Berwajah Manusia Gemparkan Penduduk

Anak Kambing Didakwa 'Jelmaan Nenek Moyang' Berwajah Manusia Gemparkan Penduduk


Seorang petani di India terkejut apabila melihat anak kambing yang baru dilahirkan memiliki rupa paras dan sifat lengkap persis manusia. Kelahiran anak kambing berkenaan telah menggemparkan penduduk di sebuah kampung di Gujarat, India.


Times Now News melaporkan kambing yang dilahirkan tanpa ekor pada 9 April lalu di Seltipada, Songadh City, daerah Surat itu mempunyai bahagian wajah yang kelihatan seperti manusia dan ianya sangat ketara pada dahi, mata, mulut dan turut memiliki janggut.


Berita mengenai kelahiran luar biasa anak kambing itu tular di media sosial dan menggemparkan orang ramai. Haiwan aneh itu bagaimanapun mempunyai kaki empat dan telinga seperti kambing normal.


Petani itu, Ajaybhai Vasana berkata, ibu kambing itu tidak menunjukkan sebarang keganjilan sepanjang tempoh membuntingkan anaknya itu. Katanya, dia perasan mengenai sesuatu yang pelik pada anak kambing itu ketika merawat ibu kambing.


Dalam rakaman video berdurasi 15 saat anak kambing itu terbaring dan dibaluti kain. Namun, dilaporkan haiwan itu hanya mampu bertahan 10 minit selepas dilahirkan sebelum mati.


Walaupun kebanyakan warganet beranggapan kelahirannya itu berpunca daripada mutasi genetik namun penduduk setempat menganggap ia sebagai Tuhan mahupun jelmaan nenek moyang mereka.


Dalam video tular di laman sosial itu turut memaparkan aksi penduduk kampung memujanya. Mereka mengebumikan anak kambing itu dengan mengadakan upacara khas keagamaan bagi memberi penghormatan kepadanya.


Anak kambing yang dilahirkan tanpa ekor itu mempunyai bahagian wajah yang kelihatan seperti manusia dan ianya sangat ketara pada dahi, mata, mulut dan turut memiliki janggut.

Rabu, 10 Mac 2021

Misteri 'Tasik Neraka' Lake Natron, Mampu Menukar Haiwan Yang Berkunjung Menjadi Batu

Misteri 'Tasik Neraka' Lake Natron, Mampu Menukar Haiwan Yang Berkunjung Menjadi Batu


Terdapat sebuah tasik di Tanzania, Afrika yang sungguh cantik apabila dilihat dari jauh. Dari sudut pandangan kita, tasik itu mungkin kelihatan biasa sahaja, merupakan tempat persinggahan burung-burung untuk berhijrah atau mencari makan.


Namun, tasik ini mempunyai misteri tersendiri di mana ia mampu menukar burung-burung atau haiwan sekelilingnya menjadi batu. Tasik ini di beri gelaran sebagai 'Tasik Neraka' oleh penduduk dunia kerana ia sangat menghakis.


Pemandangan di sekitar tasik Natron agak menyeramkan kerana ia di penuhi dengan haiwan-haiwan yang telah menjadi 'batu' atau mengeras seakan-akan disimen. Lebih menyeramkan, keadaan haiwan-haiwan ini seolah-olah masih hidup walaupun hakikatnya sudah mati.



Air di Tasik Natron ini mempunyai pH setinggi 10.5 dan ia boleh membakar kulit dan mata haiwan. Ia mempunyai pH yang sedemikian kerana natrium karbonat dan mineral lain mengalir ke dalam tasik itu dari bukit-bukit di sekitarnya. Pada masa yang sama, natrium karbonat itu dahulunya digunakan dalam pemumiaan pada zaman Mesir.


Semasa musim pembiakan, lebih kurang 2 juta burung bangau menggunakan tasik cetek sebagai tempat pembiakan utama mereka di Afrika. Sarang bangau dibina di atas pulau-pulau kecil yang terbentuk di tasik semasa musim kering. Tasik Natron yang memiliki keluasan sehingga 642 kilometer persegi menjadikan ia sukar untuk dilalui oleh burung-burung tersebut.



Jika haiwan-haiwan ini cuba mendarat atau termasuk ke dalam tasik berkenaan, ia akan menjadi keras disebabkan kandungan sodium karbonat atau garam natrium yang sangat tinggi yang melekat pada badan. Suhu yang tinggi di tasik tersebut juga merupakan penentu nasib haiwan-haiwan yang terjerumus ke dalam tasik.


Air yang cepat panas dan cepat tersejat dengan mudah melekat pada tubuh mereka. Apa yang berlaku, mereka tidak mampu terbang disebabkan bulu yang semakin mengeras dan memberat menyebabkan haiwan-haiwan ini mati serta-merta dan menjadi batu.


Seorang jurugambar amatur, Nick Brandt telah menceritakan pengalamannya dalam buku Across The Ravaged Land, ketika dia mula-mula tiba disitu, dia terkejut dengan apa yang dilihat. Dia menemui berpuluh-puluh ekor bangkai bangau, burung, kelawar, helang dan sebagainya dalam keadaan masih sempurna.


Terpegun dengan apa yang dilihat, dia mengutip beberapa ekor bangkai lalu diletakkan diatas ranting dan batu untuk diambil gambar. Tujuannya adalah untuk memberi nafas baharu kepada bangkai-bangkai itu.


Menurut para pengkaji, tasik Natron menerima air daripada kawasan sekitarnya seperti dari bukit. Tetapi air yang telah masuk tidak dapat mengalir keluar dan hanya dapat tersejat melalui udara. Keadaan tersebut akhirnya menyebabkan airnya menjadi sangat bergaram dan jumlah bahan kimia natron yang banyak pula seterusnya menjadikan airnya sangat beralkali.


Suhu airnya pula boleh mencapai setinggi 41 darjah celsius. Walau bagaimanapun, ada beberapa spesis hidupan yang dapat menyesuaikan diri dengan keadaan yang sangat ekstrem ini, contohnya ikan talapia Alcolapia Latilabris, flamingo dan sejenis alga. Alga yang unik itu pula menjadi sumber makanan kepada flamingo (sebab badan ia berwarna merah jambu) dan menjadi punca kepada warna air tasik tersebut berwarna kemerah-merahan. Sumber: Smith Sonian Mag