Sabtu, 5 November 2022

Pada 8 November ini Malaysia dilintasi gerhana bulan 'berdarah'


Penduduk negara ini berpeluang melihat gerhana bulan penuh 'berdarah' pada 8 November depan. Menurut pakar falak tanah air, Datuk Dr. Azahari Mohamed, meskipun mula berlaku pukul 4.03 petang bagi sentuhan P1, gerhana tersebut hanya boleh dilihat ketara mulai 6.59 petang.


"Ketika bermula fasa gerhana penumbra, kita di Malaysia tidak dapat lihat lagi kerana bulan berada pada altitud -39.6 darjah iaitu di bawah ufuk dengan azimut ialah 66 darjah," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia pada 3 November 2022.


Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi hantaran dalam laman sosial rasmi memaklumkan kejadian gerhana bulan penuh itu dengan durasi keseluruhan selama 85 minit itu juga dapat disaksikan penduduk di rantau tenggara Eropah, benua Asia, Australia, Amerika, Lautan Pasifik, Lautan Hindi, Lautan Atlantik, Antartika dan Artik.


Di Malaysia, Mysa berkata, ia tidak kelihatan secara keseluruhan kerana mula terjadi ketika hari masih siang tetapi boleh disaksikan semasa fasa maksimum sehingga tempohnya habis.


Mengulas lanjut, Azahari berkata, apabila fasa bulan mula terbit ketika sentuhan ufuk pukul 6.53 petang, penampakan gerhana tersebut pada azimut 73 darjah masih lagi sukar kelihatan.


"Ia boleh disaksikan ketika fasa maksimum atau disebut sebagai sentuhan G selepas enam minit kemudian semasa azan Maghrib telah pun berkumandang di Kuala Lumpur," jelasnya.


Gerhana bulan penuh berlaku apabila orbit bulan melintasi masuk dalam bayang-bayang bumi yang disebut sebagai umbra ketika kedudukan tepat sebaris bumi antara bulan dan matahari.


Jika hanya sebahagian bulan berada dalam kawasan umbra, ia dipanggil fasa gerhana bulan separa dan sekiranya dalam kawasan penumbra, kesan gelap tidak ketara dicam mata kasar.


Untuk fenomena kali ini, Uranus akan dikesan berhampiran bulan tetapi imej planet tersebut agak kelam untuk dilihat oleh mata dan cuma boleh disaksikan dengan penggunaan teleskop.


"Fasa gerhana penuh ini diunjurkan berakhir pukul 7.41 malam ketika sentuhan U3 sebelum fasa gerhana separa berakhir pula pada pukul 8.49 malam semasa sentuhan U4," kata Azahari.


Beliau memberitahu bulan akan kembali normal dan mula menampakkan wajah purnama ketika fasa gerhana penumbra tamat atau turut disebut sebagai sentuhan P4 pada pukul 9.56 malam.


Seperti senario pada 26 Mei 2021, gerhana bulan penuh kali ini bakal tampak seperti warna kemerahan yang berdarah kerana pembiasan cahaya matahari atau serakan Rayleigh.


Penduduk Malaysia yang terlepas menyaksikan fenomena berkenaan namun boleh berpeluang untuk melihat kembali kejadian gerhana tersebut sekali lagi pada 7 September 2025 kelak.


Imej gerhana bulan penuh 'berdarah' yang dapat disaksikan di Malaysia pada petang 26 Mei 2021. - Foto Utusan Malaysia.


EmoticonEmoticon