Ahad, 6 November 2022

Sofa dipercayai dilempar dari balkoni hempap kereta tepi jalan hingga 'hancur'


Seorang lelaki di Australia yang meletakkan kenderaannya di tepi sebatang jalan berdekatan daerah Ultimo di Sydney, terkejut apabila mendapati kereta tersebut rosak teruk akibat dihempap sebuah sofa, lapor akhbar Metro UK.


Herbert Xia, meletakkan kereta yang disewanya di sebatang jalan dekat sebuah kawasan kediaman kurang daripada 15 minit sebelum kembali semula ke lokasi itu.


Setibanya Herbert di jalan tersebut, dia terkejut apabila mendapati sebuah sofa menghempap dan memecahkan cermin hadapan kereta Toyota Yaris itu.


Polis kini sedang menyiasat insiden berkenaan dan mencadangkan bahawa sofa itu telah dicampak dari balkoni sebuah unit berhampiran yang mengadakan parti.


"Kejadian itu sungguh pelik, jika saya berada dalam kereta tersebut sewaktu sofa itu menghempap, saya mungkin telah dimasukkan ke hospital," kata Herbert kepada agensi berita 9News.



Sofa itu dilaporkan menghempap beberapa pokok sebelum mengenai kereta Herbert. Kereta tersebut dilaporkan telah ditinggalkan di Jalan Jones di Ultimo pada jam 7.30 malam Khamis lalu.


Gambar kejadian itu menunjukkan kereta tersebut mengalami kerosakan yang teruk dengan sofa berkenaan masih berada di atasnya. Daun juga kelihatan berguguran di atas bonet kereta tersebut.


"Sofa itu dicampak dari tempat tinggi dan ia berlaku ketika orang ramai pulang dari kerja," kata Ketua Inspektor Polis Sydney, Gary Coffey. - Sumber Metro UK.


Gambar menunjukkan kereta itu remuk sepenuhnya dengan sofa masih di atasnya, dengan daun bertaburan di atas bonet. - Foto Metro UK.

Gambar menunjukkan keadaan kereta itu selepas dihempap sebuah sofa. - Foto Metro UK.


EmoticonEmoticon