Sabtu, 21 November 2020

Kes Covid-19 dijangka naik mendadak di Sabah


Kota Kinabalu: Selepas memperolehi hasil ujian saringan di dua lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ia dijangka akan mengalami kenaikan kes Covid-19 baharu secara mendadak khususnya daerah Kota Kinabalu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, saringan masih dilakukan di dua kawasan terbabit iaitu Kampung Numbak dan penempatan Telipok


"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) masih membuat saringan Covid-19 di Kampung Numbak dan penempatan Telipok yang mana mempunyai jumlah penduduk padat iaitu sekitar 21,000 orang.


"Hasil keputusan ujian yang akan dikeluarkan oleh JKNS nanti dijangka menyumbang kepada kenaikan mendadak jumlah positif kes Covid-19 bagi Kota Kinabalu dalam masa yang terdekat, namun ia bergantung kepada proses ujian yang dijalankan," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Sementara itu, Masidi berkata, kadar pematuhan penduduk Sabah terhadap prosedur operasi standard (SOP) terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir mencapai seratus peratus.


"Tiga daerah iaitu Kunak, Kudat dan Beaufort mencatatkan kadar pematuhan sebanyak 98.5 peratus manakala lima daerah iaitu Penampang, Papar, Kota Marudu, Beluran dan Sandakan mencatatkan sebanyak 98 peratus.


"Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah sebanyak 97.93 peratus yang mana empat daerah iaitu Kota Kinabalu, Kinabatangan, Sipitang dan Kota Belud mencapai tahap kadar pematuhan sebanyak 99 peratus.


"Selain itu, enam lagi daerah iaitu Tuaran, Keningau, Tenom, Tawau, Lahad Datu dan Semporna merekodkan kadar pematuhan rakyat terhadap SOP sebanyak 97 peratus dan bagi daerah Ranau pula mencatatkan sebanyak 96 peratus kadar pematuhan," katanya.


Sabah hari ini (21/11/2020) mencatatkan sebanyak 346 kes baharu dengan sebanyak tiga kematian masing-masing membabitkan Keningau, Kudat dan Lahad Datu.


Sumber: Harian Metro


EmoticonEmoticon