Rabu, 30 September 2026

Kerap tayang emas dan wang mengundang padah, rumah dirompak

Kerap tayang emas dan wang mengundang padah, rumah dirompak


Tindakan YouTuber wanita India gemar mempamerkan emas dan wang milik keluarganya di media sosial mengundang padah apabila rumahnya dipecah masuk sebelum barangan kemas dilarikan pencuri.


Agensi berita PTI melaporkan, pencipta kandungan dikenali sebagai Madhumitha itu sebelum ini kerap memuat naik video mengenai gaya hidupnya termasuk menunjukkan wang tunai dan barang kemas milik keluarga.


Malah, dalam satu video tular, wanita itu dilihat mencurahkan sejumlah wang kertas 500 rupee (RM21) ke atas anaknya yang masih kecil sambil bercerita mengenai kehidupan mewah keluarganya.


Dia turut memberitahu dalam video berkenaan dirinya membeli barang kemas setiap bulan.


Polis kini mengesyaki pencuri mungkin memantau aktiviti Madhumitha di media sosial sebelum melakukan pecah di rumahnya di Nagercoil, Tamil Nadu.


Kandungan yang dimuat naik berkemungkinan memberi gambaran mengenai kekayaan keluarga berkenaan.


Kejadian disedari selepas Madhumitha dan keluarganya pulang daripada perjalanan singkat ke Tirunelveli sebelum mendapati rumah mereka sudah dipecah masuk.


Pemeriksaan mendapati barang kemas seberat kira-kira 118 sovereign (944 gram) yang disimpan di dalam almari hilang.


Susulan laporan dibuat, polis membuka siasatan dengan pakar cap jari dan pasukan forensik dihantar ke kediaman berkenaan bagi mengumpul bukti.

Aksi duduk atas penyu cetus kontroversi, lelaki berdepan tindakan undang-undang

Aksi duduk atas penyu cetus kontroversi, lelaki berdepan tindakan undang-undang


Tindakan pelancong lelaki duduk di atas seekor penyu sambil menunjukkan ototnya selain memegang anak haiwan itu membawa padah apabila dia kini berdepan tindakan undang-undang di Oman.


Rakaman yang turut dikongsi media tempatan bagi meningkatkan kesedaran menunjukkan pelancong terbabit duduk di atas belakang seekor penyu sambil menunjukkan otot bahunya.


Pada masa sama, dia dilihat memegang seekor anak penyu dengan sebelah tangannya.


Khaleej Times melaporkan, perbuatan lelaki terbabit dirakam di kawasan Ras Al Hadd sebelum video berkenaan tular di media sosial dan mendapat perhatian pihak berkuasa negara itu.


Pihak Berkuasa Alam Sekitar Oman memaklumkan, tindakan diambil selepas pihaknya memantau rakaman yang tersebar dan mendapati perbuatan berkenaan melanggar undang-undang serta peraturan perlindungan hidupan liar negara itu.


"Kita mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh, mendekati atau mengganggu penyu bagi memastikan keselamatan haiwan itu serta memelihara habitat semula jadinya


"Perlindungan biodiversiti adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kesedaran dan komitmen semua pihak termasuk rakyat tempatan, penduduk serta pelancong.


"Pengunjung perlu melaporkan sebarang pelanggaran atau perbuatan yang boleh memudaratkan hidupan liar kerana tindakan yang mengancam haiwan serta habitat semula jadi tidak akan diterima," katanya.


Ras Al Hadd yang terletak di wilayah Sur, Sharqiya kira-kira 350 kilometer dari Muscat menjadi lokasi antara 6,000 hingga 12,000 penyu datang bertelur sepanjang musim panas dari Jun hingga Oktober setiap tahun.


Kawasan itu menjadi habitat empat jenis penyu iaitu penyu agar, penyu lipas, penyu karah dan penyu tempayan manakala penyu belimbing turut ditemui di perairan berhampiran pantai Oman.


Penyu agar antara spesies paling banyak ditemui di Ras Al Hadd dengan haiwan berkenaan menghabiskan sebahagian besar kehidupannya di laut sebelum kembali ke daratan ketika musim panas untuk bertelur.

Selasa, 29 September 2026

Lelaki belasah penunggang motosikal, berang bayi terjaga, menangis akibat bunyi ekzos

Lelaki belasah penunggang motosikal, berang bayi terjaga, menangis akibat bunyi ekzos


Gara-gara tidak berpuas hati ekzos motosikal dibunyikan kuat hingga mengejutkan bayinya, seorang lelaki bertindak memukul penunggang motosikal di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ismail, Mersing.


Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian Jumaat lalu itu selepas video kejadian berdurasi satu minit 45 saat tular di laman sosial.


"Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu selepas suspek yang juga lelaki tempatan berang apabila mendakwa mangsa memotong kenderaan dinaikinya dan membunyikan ekzos dengan kuat hingga menyebabkan bayi dipangku isterinya terjaga dan menangis.


"Suspek kemudian bertindak memukul mangsa yang juga lelaki tempatan. Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan pada pipi kiri dan perut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Abdul Razak berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.


Katanya, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Johor hari ini untuk tindakan selanjutnya.


"Suspek diarahkan untuk dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Mersing esok.


"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya," katanya.


Justeru, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi yang akhirnya boleh memudaratkan diri sendiri.

Peletakan jawatan berkuat kuasa sebaik Najib jalani tahanan rumah, kata Loke

Peletakan jawatan berkuat kuasa sebaik Najib jalani tahanan rumah, kata Loke


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.


Beliau berkata, Anwar memintanya untuk terus menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat masa ini, namun peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari penjara untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.


"Peletakan jawatan ini adalah keputusan parti berdasarkan respons dan pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak yang kita tidak bersetuju," katanya selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2026, hari ini.


Anthony berkata, surat berkenaan diserahkan sendiri kepada Perdana Menteri ketika kedua-duanya mengadakan perbincangan mengenai keputusannya untuk berundur daripada Jemaah Menteri.


Buat masa ini, beliau masih menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan dan belum ada pengganti dilantik bagi jawatan berkenaan. Anthony turut menegaskan keputusannya untuk berundur kekal selaras dengan pendirian DAP.


Pada 19 September lalu, Anthony menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.


Beliau berkata menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

3 kapal Tentera Laut Myanmar bawa pulang 1,473 warganya yang ditahan di Malaysia

3 kapal Tentera Laut Myanmar bawa pulang 1,473 warganya yang ditahan di Malaysia


Tiga kapal Tentera Laut Myanmar tiba di perairan negara awal pagi ini bagi fasa pertama penghantaran pulang membabitkan 1,473 warga Myanmar yang ditahan di Malaysia.


Operasi penghantaran pulang itu dilaksanakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Manjung yang juga Markas Pemerintahan Armada Barat.


Difahamkan, operasi penghantaran itu tidak diuar-uarkan secara umum kepada orang ramai bagi mengurangkan sebarang risiko gangguan sepanjang perjalanan atas faktor keselamatan.


Tiga kapal milik Tentera Laut Myanmar tiba di perairan negara awal pagi hari ini membabitkan kapal Landing Platform Dock (LPD) kelas Makassar (UMS Moattama), kapal kelas frigat (UMS King Sin Phyu Shin) dan kapal hospital (UMS Thanlwin).


Ketiga-tiga kapal itu dijangka berlayar sambil diiringi tiga bot daripada TLDM, APMM dan Pasukan Polis Marin sehingga ke kawasan perairan antarabangsa.


Ia dilakukan selepas proses pemindahan kesemua tahanan dijangka selesai sekitar 5 petang hari ini.


Wartawan yang mengikuti operasi mendapati kumpulan pertama tahanan warga Myanmar menaiki sekurang-kurangnya lima bas ekspres dua tingkat.


Mereka tiba seawal jam 4 pagi di pekarangan Stadium Majlis Perbandaran Manjung untuk pemeriksaan sebelum dipindahkan ke atas kapal.


Warga asing terbabit turut diberikan makanan dan perkhidmatan perubatan asas di lokasi sebelum dihantar pulang.


Kesemua warga Myanmar itu membabitkan individu dari 14 depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara. Keadaan di pangkalan tentera tenang dan terkawal sepanjang proses pemindahan berlangsung berikutan persiapan rapi dijalankan membabitkan penugasan kira-kira 819 pegawai dan anggota JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).


Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Makhzan Mahyuddin berkata, jumlah tahanan paling ramai membabitkan Depoh Belantik, Kedah seramai 300 orang serta Depoh Tanah Merah, Kelantan, sekitar 200 orang.


Menurutnya, pemindahan membabitkan seramai 1,370 individu lelaki, 79 orang wanita dan 20 kanak-kanak lelaki serta tujuh kanak-kanak perempuan.


"Kesemuanya berusia lingkungan lapan hingga 60 tahun. Seperti dimaklumkan KDN baru-baru ini, kerajaan mengutamakan program penghantaran pulang secara sukarela melibatkan 5,000 warganegara Myanmar yang layak ke negara asal secara berperingkat.


"Individu yang terlibat untuk proses penghantaran pulang ini dikenal pasti oleh kerajaan Myanmar dan dikemukakan nama-nama berkenaan melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos," katanya pada sidang media di atas Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti hari ini.


Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Malaysia, Datuk Lokman Affendi Ramli dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor.


Julai lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan dicapai dengan kerajaan Myanmar untuk menghantar pulang 5,000 warganegara itu yang berada di Malaysia.


Perdana Menteri berkata, perkembangan itu adalah satu langkah awal dalam menangani isu berkenaan, di samping bagi memastikan isu ketenteraman awam di Malaysia terus dapat dipelihara.


Susulan itu, Anwar dilapor berkata, akan mengundang Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia sebagai langkah memperkukuh rundingan dua hala, termasuk usaha menyelesaikan isu Rohingya yang berada di negara ini.


Katanya, keputusan itu dibuat selepas Malaysia mengambil pendekatan berunding secara langsung dengan kerajaan Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Lelaki OKU hilang dipercayai masuk ke ladang kelapa sawit

Lelaki OKU hilang dipercayai masuk ke ladang kelapa sawit


Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Batu 8, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah, semalam.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Muhammad Nurfirdaus Hariz Hamdan, 26, mengalami masalah OKU lembam dan menghidap penyakit asma.


Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.38 petang daripada polis berhubung kehilangan lelaki berkenaan, yang dipercayai masuk ke kawasan ladang kelapa sawit di belakang rumahnya.


"Abang mangsa telah membuat laporan setelah menyedari adiknya tiada di rumah dan pintu belakang telah terbuka.


"Pencarian mangsa sejauh 700 meter dari rumahnya ke kawasan ladang kelapa sawit dilakukan oleh anggota bomba dan polis, termasuk unit K9 yang dibahagikan kepada enam kumpulan, namun mangsa masih belum ditemukan," katanya dalam kenyataan.


Operasi itu membabitkan tujuh anggota BBP Batu Gajah bersama tujuh anggota polis, termasuk dua anggota unit K9 serta kira-kira 30 orang kampung, dan pencarian ditangguhkan pada 6 petang semalam atas faktor keselamatan.


Beliau berkata, operasi disambung semula 8 pagi ini di tiga kawasan pencarian, iaitu paya, lombong dan tali air, selain membabitkan tambahan anggota dari balai berhampiran dan pasukan K9 bomba.

Tiga ditahan, simpan burung tanpa lesen bernilai hampir RM710,000

Tiga ditahan, simpan burung tanpa lesen bernilai hampir RM710,000


Dua wanita dan seorang lelaki diberkas selepas didapati menyimpan pelbagai jenis burung tanpa lesen bernilai RM709,950 dalam serbuan di Kampung Binjai Manis, Kuala Terengganu.


Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal, berkata, serbuan dilakukan pihaknya bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu antara 4.10 petang hingga 5.30 petang Ahad.


Katanya, pemeriksaan dilakukan ke atas enam kediaman dan tiga individu ditahan iaitu seorang lelaki dan dua wanita berusia 46, 33 dan 23 tahun kerana kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).


"Hasil serbuan, sejumlah hidupan liar terdiri pelbagai spesies burung dilindungi berserta sangkar dianggarkan bernilai RM709,950 disita.


"Antara dirampas, 38 burung luris leher, dua burung murai batu, sembilan burung ruak-ruak dan pelbagai spesies burung lain disyaki dilindungi termasuk burung daun daun besar, punai tanah, kelicap kunyit, merbah kapur, bayan serindit, merbah jambul, bayan puling dan daun sayap biru," katanya dalam kenyataan malam tadi.


Beliau berkata, pihaknya juga merampas 60 unit sangkar dan operasi itu membabitkan keseluruhan 24 anggota.


"Semua individu yang ditahan bersama rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya.

PATI dikhuatiri lemas ketika cuba larikan diri daripada serbuan PGA di Sungai Kelantan

PATI dikhuatiri lemas ketika cuba larikan diri daripada serbuan PGA di Sungai Kelantan


KOTA BHARU - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dikhuatiri lemas di Sungai Kelantan ketika cuba melarikan diri daripada serbuan pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang membongkar kegiatan kemasukan migran di Kampung Lembah Sireh, di sini, awal Isnin (28 September).


Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, lelaki berkenaan dipercayai antara PATI yang cuba meloloskan diri ketika pasukan penguat kuasa melakukan pencarian semula di kawasan sungai berkenaan.


Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi pencarian itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan, tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India.


Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati lelaki tempatan berkenaan mengaku berperanan sebagai tekong darat.


"Hasil soal siasat lanjut, lelaki berkenaan memaklumkan terdapat seorang PATI yang dipercayai lemas di sungai tersebut ketika cuba melarikan diri," katanya kepada pemberita.


Ahmad Radzi berkata, kejadian itu berlaku susulan serbuan pasukan Strike Force Kompeni B, Strike Force Kompeni A, Cawangan Risik dan Task Force Batalion 8 PGA dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira jam 10.30 malam Isnin.


Katanya, serbuan itu dijalankan susulan maklumat berkaitan aktiviti kemasukan migran di kawasan tepi Sungai Kelantan, Kampung Lembah Sireh.


"Hasil serbuan awal, kita menahan seorang lelaki warga India, enam lelaki dan tiga wanita warga Indonesia.


"Pasukan turut merampas sebuah kereta Nissan Almera dan sebuah motosikal Honda Vario," katanya.


Beliau berkata, kesemua tangkapan bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.


Menurutnya, pencarian semula dilakukan selepas pasukan percaya masih terdapat baki PATI yang berada di sekitar kawasan sungai berkenaan.

Isnin, 28 September 2026

Guru wanita didakwa amang seksual pelajar lelaki 16 tahun

Guru wanita didakwa amang seksual pelajar lelaki 16 tahun


Seorang guru agama wanita di sebuah sekolah menengah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.


Tertuduh berusia 48 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.


Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium mulut kanak-kanak itu, semasa kejadian bagi maksud seksual pada November 2024.


Haslina juga didakwa melakukan perbuatan sama dengan cara memeluk mangsa sebulan selepas itu.


Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara membuat mangsa meraba bahagian dada tertuduh, bagi maksud seksual pada November tahun yang sama.


Haslina didakwa melakukan semua perbuatan itu di bilik Pendidikan Islam, di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Kinta kira-kira 3.30 petang.


Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin memohon agar mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.


Bagaimanapun, tertuduh diwakili Peguam Amira Sofea An-Nur Ahmad Basri memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai enam anak berusia antara lapan hingga 22 tahun merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga.


Mahkamah diberitahu, anak tertuduh masih bersekolah sementara suami tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.


Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Polis buru pemandu mabuk dipercayai warga asing rempuh meja, kerusi warung bubur

Polis buru pemandu mabuk dipercayai warga asing rempuh meja, kerusi warung bubur


Seorang lelaki dipercayai warga asing memandu kereta dalam keadaan berbahaya sebelum merempuh meja dan kerusi warung bubur di Taman Sentosa, Johor Bahru, awal pagi tadi.


Dalam kejadian jam 2 pagi itu, suspek didakwa turut menghayunkan batang paip besi ke arah seorang lelaki ketika mangsa sedang makan di warung berkenaan.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu susulan laporan dibuat seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pada jam 2.27 pagi hari ini.


Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa dihampiri suspek warga asing yang muncul menaiki sebuah kereta.


"Suspek kemudian menghayunkan paip besi dibawa ke arah pengadu namun sempat dielak.


"Suspek yang dipercayai dalam keadaan mabuk kemudian masuk semula ke dalam kereta selepas melihat orang ramai datang untuk meleraikan keadaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Azrul Hisham berkata, suspek kemudiannya memandu secara melulu sebelum melanggar kerusi dan meja di warung bubur berkenaan.


"Suspek bagaimanapun dapat melarikan diri dari lokasi kejadian.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 324/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan," katanya.


Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.