Rabu, 7 Januari 2026

Kecurian kabel antara punca utama gangguan perkhidmatan rel - Anthony Loke

Kecurian kabel antara punca utama gangguan perkhidmatan rel - Anthony Loke


Kecurian kabel antara punca utama gangguan perkhidmatan rel yang berlaku di beberapa laluan pengangkutan awam, selain faktor teknikal dan cuaca, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.


Loke berkata, dakwaan mengenai keadaan semakin meruncing adalah tidak tepat berdasarkan statistik, memandangkan jumlah gangguan menunjukkan trend penurunan sejak tiga tahun kebelakangan ini.


"Tidak dinafikan bahawa gangguan masih berlaku, tetapi daripada segi angka, jumlah gangguan sebenarnya sudah menurun.


"Ada gangguan mekanikal, ada gangguan sistem dan ada juga gangguan yang di luar jangkaan seperti kecurian kabel. Apabila kabel dipotong, sistem isyarat akan terjejas dan tren akan berhenti serta-merta atas faktor keselamatan," katanya pada sidang media Pembentangan Laporan Prestasi PRASARANA 2025 dan Pelan 2026 di Menara PRASARANA, Kuala Lumpur hari ini.


Beliau berkata, kebanyakan sistem rel termasuk Transit Aliran Massa (MRT) dan beberapa laluan Transit Aliran Ringan (LRT) beroperasi tanpa pemandu dan dikawal sepenuhnya melalui Pusat Kawalan Operasi (OCC), justeru sebarang gangguan pada sistem kabel akan menyebabkan tren berhenti secara automatik.


"Selain kecurian kabel itu, gangguan juga boleh berlaku akibat cuaca buruk, termasuk hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan dahan pokok atau objek asing seperti papan iklan jatuh ke atas landasan.


"Reka bentuk sistem rel di negara ini mengutamakan keselamatan penumpang, menyebabkan tren tidak dibenarkan bergerak sekiranya terdapat sebarang halangan di laluan," katanya.


Dalam pada itu, beliau menegaskan Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) terus memperkukuh langkah penyelenggaraan termasuk penggunaan pendekatan penyelenggaraan berdasarkan ramalan berasaskan data bagi mengurangkan risiko gangguan teknikal.


"Kita sedang menambah baik dari segi penyelenggaraan dan penggantian alat ganti secara lebih sistematik. Namun, ada insiden yang di luar kawalan seperti cuaca dan kecurian kabel. Ini yang kita harap orang ramai dapat memahami," katanya.


Mengulas penambahbaikan perkhidmatan, beliau memaklumkan kerajaan sudah menganugerahkan perolehan 26 set tren baharu kepada ZELC-CRM-CLM Consortium (CRRC), selain perancangan menambah tiga set tren monorel serta kerja baik pulih melibatkan 50 set tren sedia ada.


"Fokus utama Kementerian Pengangkutan (MOT) ketika ini adalah meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan rel dan bas, termasuk penambahbaikan perkhidmatan first mile dan last mile menerusi pengembangan Rapid On-Demand (ROD) serta penggunaan kenderaan elektrik.


"Usaha berterusan itu penting bagi memastikan pengangkutan awam kekal sebagai pilihan utama rakyat, khususnya pengguna harian yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan berkenaan," katanya.

Selasa, 6 Januari 2026

'Kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama' - Zahid

'Kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama' - Zahid


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini, kata Presiden parti berkenaan hari ini.


Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, setiap keputusan yang bakal dibuat akan diteliti secara menyeluruh dan berhati-hati bagi mengelakkan UMNO "dipatuk oleh ular yang sama buat kali kedua di tempat yang sama".


"Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memuktamadkannya lagi... itu sebabnya perincian penting," katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya hari ini.


Beliau mengulas sama ada UMNO dan PAS akan kembali bekerjasama bawah payung Muafakat Nasional (MN) seperti sebelum ini.


Ahmad Zahid berkata, resolusi itu telah dibentangkan oleh Ketua Pemuda UMNO dalam mesyuarat Biro Politik semalam dan dibincangkan secara terbuka namun tiada keputusan muktamad dicapai.


Pada 3 Januari lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh di Konvensyen Khas sayap itu membawa dua usul iaitu parti berkenaan kembali bekerjasama dengan PAS dan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan serta bertindak sebagai pembangkang.


Ahmad Zahid juga memaklumkan bahawa tiada kata putus dicapai mengenai gesaan Pemuda UMNO agar parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.


"Tidak ada keputusan muktamad yang telah dicapai dan insya-Allah, ini adalah satu keputusan besar yang akan dibuat oleh parti... apabila tiba waktunya, kita akan umumkan.


"Saya mempunyai pendirian dari awal, parti juga mempunyai pendirian dari awal… kita tidak akan pernah melakukan tebuk atap pada kerajaan yang ada sekarang, dan kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan," katanya.

Remaja lelaki 'kutip' petrol, jual di Thailand dicekup

Remaja lelaki 'kutip' petrol, jual di Thailand dicekup


Kegiatan seorang remaja lelaki yang disyaki 'mengutip' petrol di stesen-stesen minyak sekitar Padang Besar sebelum menjual bahan api itu di Thailand tumpas apabila dia ditahan semalam.


Suspek berusia 17 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu itu ditahan anggota penguat kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis di sebuah stesen minyak di Padang Besar.


Pengarah Pejabat KPDN negeri, Rohaida Hassan berkata, anggota penguat kuasa bertindak menahan kereta jenis Proton Wira dinaiki suspek kerana disyaki mempunyai tangki yang diubah suai.


Katanya, risikan selama dua minggu itu mengesyaki suspek membuat pembelian petrol di stesen-stesen minyak sekitar Padang Besar untuk diselewengkan.


"Pemeriksaan awal terhadap kenderaan berkenaan menemui tangki yang telah diubah suai dan berisi cecair yang disyaki petrol.


"Dianggarkan sebanyak 100 liter petrol dijumpai di dalam tangki yang telah diubah suai itu dengan nilai rampasan petrol dianggarkan RM265," ujarnya.


Difahamkan, modus operandi suspek adalah membeli petrol di stesen-stesen minyak di Padang Besar sebelum menjualnya kepada pihak ketiga di Thailand.


Suspek disyaki membeli petrol RON95 pada harga biasa, bukan harga Budi Madani RON95 (Budi95). Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Isnin, 5 Januari 2026

Bapa dua anak dipenjara sebulan curi barangan keperluan di pasar raya

Bapa dua anak dipenjara sebulan curi barangan keperluan di pasar raya


Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama sebulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah mencuri barangan keperluan bernilai RM113.70 di sebuah pasar raya pada 1 Januari lalu.


Hukuman itu diputuskan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak terhadap Muhamad Azrul Haqim Azman, 29, yang juga penganggur selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya pada Isnin.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan mencuri dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta benda di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu kira-kira jam 9.30 malam.


Kes berkenaan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, manakala bagi kesalahan berulang, tertuduh boleh dikenakan hukuman lebih berat termasuk sebatan.


Antara barangan yang terlibat ialah produk mandian dan penjagaan diri, termasuk satu unit Carrie Junior Hair and Body Wash, dua unit Selsun Shampoo 2-in-1, satu unit Lifebuoy Body Wash serta sehelai singlet jenama Byford.


Dalam rayuannya, peguam tertuduh memaklumkan anak guamnya berdepan kesukaran hidup selepas kehilangan pekerjaan dan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.


Selain itu, katanya, tertuduh juga sudah berkeluarga dan mempunyai dua orang anak yang masih kecil berusia empat tahun dan tiga bulan.


Menurut peguam terbabit, barangan yang diambil itu bukan untuk tujuan komersial sebaliknya bagi kegunaan harian tertuduh dan keluarganya.


Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh menghidap penyakit darah tinggi, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan merupakan kesalahan pertama yang dilakukan olehnya.


Mahkamah kemudian memutuskan hukuman penjara ke atas tertuduh berkuatkuasa bermula tarikh tangkap pada 2 Januari lalu.


Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ummi Sharmimi Harun.

Ahad, 4 Januari 2026

Lelaki mengaku nabi ditahan, ramalan dunia kiamat pada 2025 gagal

Lelaki mengaku nabi ditahan, ramalan dunia kiamat pada 2025 gagal


Seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai nabi, dikenali sebagai Ebo Noah, ditahan polis Ghana selepas menyebarkan ramalan palsu bahawa dunia akan berakhir pada 25 Disember 2025, sekali gus mencetuskan ketakutan dan panik dalam kalangan penduduk tempatan.


Ebo Noah, atau nama sebenarnya Evans Eshun, ditahan oleh Pasukan Khas Pemeriksaan Siber Polis Ghana pada Rabu susulan penyebaran video tular yang mengandungi dakwaan tersebut.


Gambar lelaki itu dalam tahanan polis dengan tangan bergari turut tersebar luas di media sosial. Individu berkenaan sebelum ini mencuri perhatian selepas mendakwa membina sebuah 'bahtera Nabi Nuh versi moden' dan menggelarkan dirinya sebagai utusan Tuhan.


Dalam video yang tular, Ebo Noah mendakwa menerima amaran daripada Tuhan bahawa dunia akan musnah pada 25 Disember 2025 akibat hujan lebat dan banjir besar.


Beliau turut mendakwa diarahkan untuk membina bot bagi menyelamatkan manusia dan mendakwa telah membina 10 buah bot bagi tujuan tersebut.



Melalui akaun Instagram yang mempunyai kira-kira 32,000 pengikut, beliau memperkenalkan dirinya sebagai 'Ebo Jesus'.


Selain itu, beliau pernah memuat naik sebuah video di YouTube pada Ogos tahun lalu bertajuk What Will Happen and How It Will Happen, yang turut mengandungi dakwaan serupa.


Dalam video berkenaan, beliau mendakwa merancang untuk tinggal di bahtera tersebut selama kira-kira tiga tahun bagi menghadapi tempoh banjir besar yang kononnya akan melanda dunia.


Bagaimanapun, siasatan mendapati bahtera yang didakwa dibina oleh Ebo Noah sebenarnya bukan miliknya. Dalam perkembangan seterusnya, beliau mendakwa telah merayu kepada Tuhan supaya memberi lebih masa kepada manusia.


Dalam satu lagi video yang turut menjadi tular, Ebo Noah mendakwa bahawa usahanya berpuasa selama tiga minggu telah menyebabkan Tuhan 'menangguhkan' kemusnahan dunia.


Beliau malah menggesa orang ramai untuk bersuka ria dengan alasan bahawa bencana tersebut telah ditangguhkan.


Pihak berkuasa Ghana menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang penyebaran maklumat palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Ugutan potong lidah Shah Rukh Khan cetus kecaman di India

Ugutan potong lidah Shah Rukh Khan cetus kecaman di India


Seorang pemimpin Hindu Mahasabha mencetuskan kecaman meluas selepas mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan, dengan menawarkan ganjaran tunai sebanyak 100,000 rupee (RM4,500) kepada sesiapa yang 'memotong lidah' aktor berkenaan.


Kenyataan provokatif itu dibuat oleh Presiden Daerah All India Hindu Mahasabha, Meera Rathore di Agra ketika beliau bercakap kepada wartawan di Mathura pada Khamis lalu.


Rathore ketika itu berada di lokasi bagi merakam kenyataannya berkaitan kes Aniruddha Acharya Maharaj.


Dalam insiden sama, Rathore turut menghitamkan poster Shah Rukh Khan dan 'memukulnya' dengan selipar sebagai simbol bantahan, tindakan yang kemudiannya tular di media sosial.


Menurut Rathore, kenyataan tersebut didakwa dibuat susulan kemarahan terhadap keganasan yang berlaku ke atas penganut Hindu di Bangladesh.


Beliau menuduh Shah Rukh Khan, yang juga pemilik sebuah francais Liga Perdana India (IPL), bersikap tidak sensitif berhubung isu tersebut berikutan penglibatan pemain dari Bangladesh dalam pasukan berkenaan.


"Saudara-saudara Hindu kami dibakar hidup-hidup di Bangladesh, namun individu ini dikatakan membeli dan memberi makan kepada mereka.


"Jika perkara seperti ini berlaku kepada saudara kami, kami tidak akan berdiam diri," katanya sambil mengulangi tawaran ganjaran tersebut.


Kenyataan Rathore dibuat di tengah-tengah kemarahan beberapa pertubuhan Hindu di India susulan laporan keganasan terhadap penganut Hindu di Bangladesh, yang mencetuskan gesaan agar kerajaan India mengambil tindakan tegas.


Ini bukan kali pertama Shah Rukh Khan menjadi sasaran kritikan dalam konteks berkenaan.


Sebelum ini, penceramah agama Devaki Nandan Thakur serta pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP), Sangeet Som, turut mengeluarkan kenyataan terhadap aktor itu, termasuk melabelkannya sebagai pengkhianat.


Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kepimpinan tertinggi BJP atau tokoh politik kanan India berhubung kenyataan kontroversi tersebut.


Shah Rukh Khan pada asalnya tidak terlibat secara langsung dalam bantahan berkaitan keganasan di Bangladesh, namun penglibatannya sebagai pemilik francais IPL yang menampilkan pemain dari negara itu dilaporkan menjadi punca beliau dikaitkan dengan kontroversi berkenaan.

Dikejar anjing, penunggang motosikal maut, isteri dan anak cedera parah

Dikejar anjing, penunggang motosikal maut, isteri dan anak cedera parah


Seorang penunggang motosikal maut manakala isteri dan bayi lelakinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan akibat dikejar seekor anjing dalam kemalangan di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap, Simpang Renggam, malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Amirul Azim Hamdan, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Benelli TNT300 bersama isterinya yang juga berusia 28 tahun serta bayi lelaki berusia setahun lapan bulan dari arah Tasik Machap menuju ke kawasan perumahan Taman Murni.


Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan selepas dikejar seekor anjing sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian belakang sebuah motolori jenis Scania yang diletakkan di bahu jalan sebelah kanan.


"Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


"Isteri dan bayi mangsa pula mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah dikejarkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang dengan ambulans," katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.


Bahrin berkata, kedua-dua mangsa kini sedang menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan hospital berkenaan.


Menurut beliau, pemandu lori, seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun, telah menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap. - Foto IPD Kluang.

Sabtu, 3 Januari 2026

Pegawai tentera didakwa bayar RM23,000 selepas noda gadis

Pegawai tentera didakwa bayar RM23,000 selepas noda gadis


Seorang pegawai tentera laut Thailand didakwa membayar 180,000 baht (RM23,000) kepada seorang gadis selepas dia menodainya di wilayah Chon Buri, lapor portal berita Thaiger.


Gadis berusia 23 tahun itu membuat aduan di Balai Polis Sattahip pada 30 Disember 2025 selepas dinoda dan ditinggalkan dalam keadaan tanpa seurat benang bogel awal pagi 28 Disember lepas.


Mangsa berkata, dia hanya mengetahui bahawa suspek ialah seorang pegawai tentera laut.


Menurut gadis itu, dia dan dua rakannya yang juga wanita, keluar minum di sebuah tempat hiburan sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan).


Dua lelaki Thai kemudian menyertai meja tiga wanita tersebut dan memperkenalkan diri sebagai kelasi.


Apabila memutuskan untuk meninggalkan tempat hiburan itu, seorang lelaki lain menghampiri mangsa dan menawarkan untuk menghantarnya pulang.


Percaya bahawa lelaki itu adalah rakan kepada dua pelaut tadi, gadis tersebut bersetuju tetapi kemudian menyedari bahawa dia tidak dibawa ke tempat penginapannya.


Sebaliknya, lelaki itu memandunya ke sebuah penginapan tentera laut dan suspek cuba membawa gadis tersebut ke biliknya, tetapi mangsa menolak.


Wanita itu memberitahu polis bahawa dia tidak mampu melarikan diri dan dinodai di atas but sebuah kenderaan yang diparkir di penginapan tersebut.


Portal berita Matichon kemudian melaporkan bahawa mangsa menarik balik aduannya selepas suspek bersetuju untuk membayar 180,000 baht sebagai ganti rugi.


Seorang pegawai tentera laut didakwa merogol seorang gadis. - Foto Naewna.
'Ugutan pertama sejak 14 bulan pegang jawatan' - Ketua Polis Kelantan

'Ugutan pertama sejak 14 bulan pegang jawatan' - Ketua Polis Kelantan


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ugutan menerusi contengan menggunakan dakwat merah yang diterimanya baru-baru ini adalah yang pertama sejak beliau mengambil alih jawatan itu kira-kira 14 bulan lalu.


Beliau berkata, ugutan terbuka melalui tulisan pada dinding Lapang Sasar Menembak Kontinjen Polis Kelantan di Gunong, Bachok itu diterima pada 22 Disember lalu.


"Ugutan terbuka dengan mesej mengancam pada dinding itu adalah yang pertama saya terima sejak mengambil alih jawatan Ketua Polis Kelantan pada Oktober 2024.


"Sebelum ini, saya hanya dimaklumkan mengenai ugutan oleh pegawai Cawangan Khas," katanya.


Berdasarkan maklumat daripada pegawai Cawangan Khas, beliau berkata memang terdapat ugutan yang ditujukan kepadanya.


"Saya percaya ugutan itu ditujukan kepada saya berikutan pendirian tegas pihak polis dalam melaksanakan operasi terhadap semua bentuk kegiatan jenayah, termasuk dadah, pemberi pinjaman wang haram dan lain-lain," katanya.


Beliau berkata, polis negeri sudah menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menjejaki pihak yang bertanggungjawab mencemarkan dinding perimeter lapang sasar menembak berkenaan.


"Tindakan itu mungkin dilakukan oleh remaja nakal, namun polis percaya terdapat individu tertentu di sebalik kejadian ini.


"Mereka yang bertanggungjawab boleh disifatkan sebagai tidak menghormati undang-undang kerana berani mengugut pegawai penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas membanteras jenayah.


"Kami akan mengesan mereka yang terbabit dengan mengumpul maklumat daripada penduduk setempat.


"Mereka tidak akan terlepas kerana perbuatan sedemikian seolah-olah mencabar pihak berkuasa," katanya.


Mohd Yusoff berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Beliau menegaskan ugutan itu tidak pernah melemahkan semangatnya untuk terus melaksanakan tanggungjawab membanteras jenayah di negeri ini serta mengekalkan keharmonian awam.


Semalam, Mohd Yusoff mengesahkan beliau menerima ugutan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah yang terjejas akibat tindakan tegas polis negeri terhadap kegiatan jenayah.

Berlagak samseng pegang kayu di plaza tol undang padah, polis buru dua individu

Berlagak samseng pegang kayu di plaza tol undang padah, polis buru dua individu


Tindakan dua individu berlagak samseng dengan memegang objek disyaki kayu di Plaza Tol Sungai Long, Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) mengundang padah apabila mereka kini diburu polis susulan kejadian itu pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan diterima pada jam 9.08 malam tadi.


"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada hari sama kira-kira jam 9 pagi serta melibatkan dua individu dengan salah seorang daripadanya memegang objek disyaki kayu.


"Akibat insiden tersebut, aliran trafik di kawasan berkenaan terjejas dan menimbulkan kebimbangan orang awam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.


"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-974 0758," katanya.


Tindakan dua individu berlagak samseng mengundang padah apabila kedua mereka kini sedang diburu pihak polis.