Sabtu, 10 Januari 2026

Kerajaan akan terus ambil tindakan terhadap "ikan besar" - PM Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan akan terus mengambil tindakan terhadap 'ikan besar', termasuk bekas Perdana Menteri dan bekas menteri dalam usaha membanteras rasuah.


Perdana Menteri, berkata rasuah bukan saja berleluasa namun bersifat sistemik dan memerlukan usaha yang sangat besar.


"Walaupun ada kejayaan, kita masih berdepan isu besar. Anda juga sedar bahawa dalam kalangan pemimpin politik, termasuk pembangkang, sokongan tidak begitu kuat.


"Setiap kali kerajaan menyentuh pemimpin besar atau tokoh korporat utama, akan ada suara yang mempertikaikan tindakan berkenaan," ketika sidang media selepas menghadiri majlis pembukaan rasmi Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) di Zoo Negara, hari ini.


Anwar berkata, beliau juga akan terus memantau Kabinet serta jentera kerajaan dengan sangat rapi.


Sementara itu, ditanya mengenai keperluan melakukan reformasi besar-besaran dalam pasukan pertahanan negara susulan siasatan kes rasuah dalam pasukan itu, Anwar berkata jika dibandingkan beberapa tahun lalu, tahap penguatkuasaan sekarang adalah berkesan dan agak membanggakan.


"Saya tidak mengatakan bahawa saya berpuas hati sepenuhnya. Tetapi saya memuji agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Imigresen dan lain-lain," katanya.


EmoticonEmoticon