Selasa, 30 Disember 2025

Muhyiddin umum letak jawatan Pengerusi PN

Muhyiddin umum letak jawatan Pengerusi PN


Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).


Peletakan jawatan itu disahkan sendiri bekas Perdana Menteri itu menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.


"Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.


"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah lama memberikan sokongan kepada saya selama saya memimpin PN sejak penubuhannya lima tahun lalu," katanya.


Muhyiddin turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti dianggotai.


Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengesahkan Muhyiddin telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai ketua gabungan itu.


Beliau berpandangan keputusan Muhyiddin berundur sebagai Pengerusi PN merupakan tindakan yang bijak dan tepat dalam situasi PN memerlukan momentum baru menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).


"Saya yakin Pas akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui Perikatan Nasional sebagai Pengerusi yang baru.


"Tidak semestinya Presiden Parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh menggembleng kekuatan parti-parti yang ada di bawah Perikatan Nasional," katanya.


Beliau berkata, rombakan pastinya akan dilakukan terhadap organisasi PN bagi memberikan fokus yang lebih kepada gerak kerja selepas ini.


"Tahniah Tan Sri Muhyidin Yasin atas sikap terbuka beliau. Selamat bekerja Pengerusi Perikatan Nasional yang baru," ujarnya lagi.

Isnin, 29 Disember 2025

'Tiada istilah setiakawan dalam kamus BERSATU' - Ketua Wanita AMANAH

'Tiada istilah setiakawan dalam kamus BERSATU' - Ketua Wanita AMANAH


Pemimpin AMANAH hari ini menempelak BERSATU dengan mendakwa tiada istilah setiakawan dalam budaya parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Sebaliknya, Ketua Wanita AMANAH, Datuk Aiman Athirah Sabu mendakwa ia digantikan dengan sikap mementingkan diri dan khianat terhadap rakan sendiri.


Beliau berkata sejarah awal penubuhan BERSATU sendiri tidak dapat dipisahkan daripada episod pengkhianatan mandat rakyat apabila beberapa pemimpinnya memilih jalan pintas demi merebut kuasa.


"BERSATU sememangnya licik, pencapaian awalnya adalah khianat mandat rakyat. Bahasa yang digunakan oleh kebanyakan pemimpin PAS hari ini selepas polemik Perlis adalah 'kawan makan kawan'.


"Mana ada istilah setiakawan dalam kamus BERSATU. Yang ada hanyalah khianat dan 'selfish', tetapi jangan lupa, PAS juga pernah merasai nikmat menjadi Kerajaan Persekutuan selama 33 bulan hasil kerjasama politik yang lahir daripada pengkhianatan dan sikap 'kawan makan kawan' BERSATU," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.


Pada masa sama, beliau mendakwa pengkhianatan berskala besar itu didorong oleh nafsu kuasa segelintir pemimpin, namun ironinya dijenamakan sebagai penyatuan Melayu dan diberi jenama halal dengan sentimen kebencian terhadap DAP dijadikan 'ramuan' penguat.


Mengulas budaya politik semasa, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata generasi hari ini didedahkan dengan politik bermartabat rendah yang menjadikan ungkapan 'tiada kawan dan lawan yang kekal' sebagai justifikasi untuk menghalalkan pelbagai cara.


"Memang suatu yang sangat malang apabila generasi kita ini didedah didik dengan politik rendah martabat dan akalnya dengan kepercayaan serta amalan bahawa 'dalam politik, tiada kawan dan lawan yang kekal'.


"Diguna semberono dan wewenangan dalam banyak masa. Ini sebetulnya badi kuasa! Diulang ratib dengan sempurna oleh kebanyakan, meski agama mengingatkan kita niat sama sekali tidak menghalalkan cara," tegasnya.


Beliau turut menyentuh pendirian PAS yang berubah daripada konsep tahaluf siyasi kepada ta'awun siyasi, dengan memilih musuh tradisi sebagai kawan, apabila merasakan mustahil membentuk kerajaan tanpa sokongan UMNO.


"Di situ liciknya politik PAS yang gagal dibaca oleh kebanyakan kerana dibungkus kemas dengan agama. Puluhan tahun rakyat diasuh untuk percaya UMNO sebagai parti taghut, namun naratif itu berubah secara mendadak apabila kepentingan kuasa mengambil tempat.


"Kegagalan mengurus perbezaan dengan DAP pula dijadikan alasan memecahkan Pakatan Rakyat. Nah, ini bukan setiakawan," katanya.


Pada masa sama, beliau berkata tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh, dilihat mengambil kesempatan daripada isu adendum dan kemelut politik di Perlis untuk mengasak permusuhan dalam Kerajaan Perpaduan, meskipun kerajaan sedang berusaha membangunkan negara.


Menurutnya, sikap provokatif berterusan hanya mencerminkan kegagalan sebahagian pemimpin menghayati semangat perpaduan dan kerjasama dalam kerajaan bersama.


"Dalam apa saja kerjasama, kesaling fahaman dan hormat itu petua asas. Jangankan dengan pihak luar daripada kerangka kelaziman kita, bahkan dalam pasukan yang sama atau rumah yang sama dan darah daging sendiri pun wajib dipatuhi.


"Daripada terus menguak jurang perbezaan dan mencetuskan permusuhan, lebih manis dan matang jika semua pimpinan pemuda Perpaduan bertemu dan mengamalkan rukun ukhuwah yang jujur dan santun.


"Belajarlah daripada kematangan, tawaduk, kebijaksanaan dan hikmah pemimpin-pemimpin kita. Jangan fikir kita sahaja yang terluka dan marah," katanya.

MB baharu Perlis umum potong gaji RM3,000 sebulan, setiap EXCO RM1,500

MB baharu Perlis umum potong gaji RM3,000 sebulan, setiap EXCO RM1,500


Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mengumumkan potongan gaji bulanan sebanyak RM3,000 pada hari pertama memulakan tugas, sebagai usaha membantu mengurangkan beban kewangan negeri.


Menurutnya, pendekatan sama turut melibatkan semua barisan Exco baharu dengan potongan gaji sebanyak RM1,500 sebulan.


"Di kesempatan ini, saya nak umumkan pemotongan gaji saya sebanyak RM3,000 bagi setiap bulan dan juga exco yang bakal saya lantik kita akan buat pemotongan sebanyak RM1,500 setiap bulan untuk menstabilkan keadaan ekonomi rakyat dan juga Negeri Perlis.


"Bagi saya tiada masalah (untuk exco baharu) InsyaALLAH," katanya selepas sesi 'clock-in' pada hari pertama bertugas di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Seri Putra hari ini.


Jelas Abu Bakar, langkah itu dibuat sebagai salah satu pengorbanan terhadap rakyat dan negeri.


"Sebab ini kita kena bagi khidmat kita kepada negeri dan rakyat sekurang-kurangnya rakyat di bawah yang masih nak cari RM500 sebulan pun berat, jadi saya dengan rela hati buat pemotongan ni supaya rakyat nampak ini pengorbanan yang kita nak buat untuk majukan negeri.


"Keadaan ini akan beralih bila keadaan ekonomi kita berjalan elok, sempurna dan sebagainya, kita tengok nanti... kalau saya pun RM3,000, kalau kali (darab) dengan setahun dua InsyaALLAH, banyak juga untuk bantu negeri," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan barisan exco baharu Kerajaan Negeri Perlis yang dianggotai wakil Bersatu dan Pas akan dilantik selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu lagi.


Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, barisan exco akan dilantik setelah perbincangan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail dibuat, seterusnya menghantar cadangan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk diperkenankan.


Pada Ahad media melaporkan, Abu Bakar dilantik menjadi Menteri Besar baharu menggantikan Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan Khamis lalu.


Ia susulan lapan ADUN terdiri daripada tiga ADUN Pas dan lima ADUN Bersatu bertindak menandatanggani akuan bersumpah (SD) hilang sokongan terhadap Mohd Shukri.


Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kemudian berkenan melantik ADUN Kuala Perlis itu sebagai Menteri Besar Perlis baharu di mana Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis disempurnakan di Istana Arau pada Ahad.

Dua beranak lepaskan anjing pitbull serang jiran

Dua beranak lepaskan anjing pitbull serang jiran


Seorang lelaki bersama bapanya ditahan pihak berkuasa Vietnam selepas didakwa melepaskan seekor anjing jenis pitbull untuk menyerang seorang jiran dalam satu pertengkaran di ibu negara itu.


Polis Hanoi pada Sabtu memaklumkan, Tran Quoc Luong, 37, dan bapanya, Tran Nhat Hoa, 66, kini disiasat bagi menentukan sama ada tindakan mereka boleh diklasifikasikan sebagai mengganggu ketenteraman awam.


Insiden berkenaan dilaporkan berlaku pada petang 25 Disember lalu di Komun Hong Van, apabila Luong terlibat dalam pertengkaran mulut dengan seorang jiran lelaki berusia 39 tahun.


Keadaan pada awalnya berjaya dileraikan oleh Hoa, namun ketegangan kembali memuncak tidak lama kemudian.



Menurut polis, pertengkaran kedua tercetus apabila Luong melepaskan anjing peliharaannya keluar dari rumah dan sekali lagi bertembung dengan jiran berkenaan bersama isterinya.


Dalam kekecohan itu, Luong didakwa menumbuk muka jiran terbabit beberapa kali. Pada masa sama, Luong dipercayai mengarahkan anjingnya menyerang, menyebabkan mangsa serta beberapa orang awam lain cedera.


Walaupun orang ramai cuba menghalang, anjing berkenaan terus bertindak agresif sehingga mencetuskan kekecohan di kawasan kejiranan tersebut.


Seorang saksi memaklumkan anjing itu merupakan jenis pitbull seberat lebih 30 kilogram dan bersifat sangat agresif apabila dilepaskan, malah turut menggigit seorang wanita yang berada berhampiran lokasi kejadian. Kes berkenaan kini dalam siasatan lanjut pihak polis.

Ahad, 28 Disember 2025

13 ditahan merusuh guna kerusi, pisau pemotong daging punca sebab hutang

13 ditahan merusuh guna kerusi, pisau pemotong daging punca sebab hutang


Seramai 12 lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian merusuh menggunakan senjata tajam di sebuah restoran di Taman Mount Austin, Johor Bahru, awal pagi Sabtu.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.50 pagi.


Menurutnya, hasil siasatan kejadian itu mendapati sekumpulan lelaki telah menyerang mangsa dan rakannya menggunakan kerusi besi serta pisau pemotong daging.


"Akibat serangan tersebut mangsa mengalami kecederaan di kepala, lengan dan betis, selain calar di beberapa bahagian badan sebelum mendapatkan rawatan di hospital.


"Kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan hutang peribadi antara dua individu sehingga mencetuskan pergaduhan melibatkan beberapa suspek lain," katanya dalam kenyataan hari ini.


Raub berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan melancarkan operasi dan berjaya menahan kesemua suspek di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru.


Katanya, tangkapan dilakukan dalam tempoh antara pukul 3 pagi Sabtu hingga 12.40 tengah malam, hari ini (Ahad) melibatkan suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun.


"Polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit, sebilah pisau serta pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan lanjut.


"Hasil semakan rekod lampau mendapati tujuh suspek mempunyai rekod jenayah dan kes dadah," katanya.


Selain itu, ujarnya, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati enam individu positif dadah jenis ketamin.


Menurut Raub, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Kes sama turut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat.


Beliau berkata, kesemua 12 suspek lelaki direman tujuh hari sehingga 3 Januari 2026, manakala wanita warga Vietnam direman tiga hari sehingga 30 Disember ini, dan polis masih giat mengesan individu lain yang terlibat dalam kejadian tersebut.


Tangkap layar video kejadian pergaduhan dipercayai berlaku di sebuah restoran di Taman Mount Austin, Johor Bahru malam tadi.
Tunjuk samseng guna kayu hoki, 2 lelaki direman angkara bertengkar buat pusingan-U

Tunjuk samseng guna kayu hoki, 2 lelaki direman angkara bertengkar buat pusingan-U


Dua lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah susulan video pertengkaran antara mereka yang tular di media sosial.


Insiden itu membabitkan salah seorang lelaki memegang kayu hoki yang berlaku di Jalan Permatang Nibong, Bukit Mertajam.


Majistret Nik Muhammad Shahrul Aiman membenarkan perintah reman untuk kedua-dua suspek sehingga 31 Disember bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Terdahulu, kedua-dua lelaki tiba di premis mahkamah pada jam 9.40 pagi hari ini dengan tangan mereka digari dan diiringi oleh polis.


Klip video berdurasi 37 saat tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki memegang kayu hoki dan memarahi pemandu kereta.


Video itu mendapat kecaman daripada netizen, yang mendakwa ia adalah tindakan buli jalan raya dan menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.


Difahamkan kejadian itu berlaku jam 1.30 petang pada 25 Disember lalu membabitkan kedua-dua lelaki itu, yang masing-masing memandu Proton Exora dan Perodua Myvi.


Lelaki berusia 44 tahun itu, yang bekerja di sektor swasta, dilaporkan memandu Proton Exora bersama keluarganya, manakala lelaki berusia 28 tahun itu, seorang juruteknik, memandu Perodua Myvi, juga bersama keluarganya.


Difahamkan pemandu Perodua Myvi itu membuat pusingan U secara tiba-tiba, yang menyebabkan rasa tidak puas hati di pemandu Proton Exora.


Kedua-duanya kemudian memberhentikan kenderaan mereka dan dipercayai sudah menyelesaikan masalah tersebut.


Bagaimanapun, selepas meneruskan perjalanan mereka, juruteknik itu didakwa meminta pemandu Exora itu berhenti buat kali kedua.


Pertemuan kedua dilaporkan membawa kepada pertengkaran lisan antara kedua-dua lelaki itu, dan pemandu Exora didakwa mengeluarkan kayu hoki.


Susulan itu, kedua-dua lelaki itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebelum ditangkap semalam untuk membantu siasatan.

Hadi Awang dedah dua punca utama krisis DUN Perlis

Hadi Awang dedah dua punca utama krisis DUN Perlis


Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa krisis politik Perlis berpunca daripada dua faktor utama yang disifatkannya sukar diterima sehingga memaksa parti itu mengambil sikap tegas.


Jelasnya, punca pertama didorong sikap segelintir pihak yang menuntut jawatan, sedangkan dalam PAS dan ajaran Islam, jawatan tidak wajar diberikan kepada individu yang memintanya walaupun memiliki kelayakan.


"Jawatan adalah amanah. Dalam Islam, orang yang meminta jawatan tidak boleh diberi dan bukan semua boleh diberi jawatan. Ini prinsip yang jelas dan kita berpegang dengannya," katanya.


Mendedahkan demikian dalam siaran Youtube Presiden PAS, Abdul Hadi mendakwa, situasi itu dialami PAS setiap kali mahu memerintah negeri.


Keadaan itu, katanya, dihadapi ketika PAS menang pilihan raya di Terengganu pada 1959 dan bertahan selama dua tahun setengah selepas berlaku undi tidak percaya, 'membeli' wakil rakyat dan pelbagai perkara lagi.


"Di Kelantan kita juga menghadapinya pada 1978, kerajaan jatuh sebab undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dan di Kedah pun sama, rombongan orang PAS berarak sebab ada cucuk dan mendesak supaya Ustaz Azizan (Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak) dipecat.


"Kini terjadi di Perlis. Cikgu Shukri (bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan) itu sebenarnya memang ada masalah kesihatan dari sebelum pilihan raya, beliau pernah rebah masalah jantung hingga dimasukkan ke hospital.


"Kita lantik sebab beliau masih layak jadi Menteri Besar dan pentadbiran tiga tahun berlangsung molek (baik), tiba-tiba akhir ini berlaku apa seperti sekarang," katanya.


Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata perebutan jawatan sentiasa menjadi pencetus perpecahan dan pengkhianatan, sekali gus melemahkan kestabilan pentadbiran dan keutuhan parti.


Mengulas punca kedua, beliau menjelaskan krisis itu turut didorong oleh desakan supaya projek-projek besar diluluskan tanpa mematuhi peraturan, malah disertai unsur penyelewengan dan rasuah.


"Ada tekanan berkaitan projek yang tidak ikut peraturan. Menteri Besar kita tidak boleh ikut perkara yang salah," katanya menegaskan keengganan Mohd Shukri tunduk kepada tekanan menyebabkan beliau dizalimi, bukannya berlaku zalim walaupun pentadbirannya diterima rakyat serta dilihat memerintah dengan adil dan berintegriti.


Mengulas langkah seterusnya, Abdul Hadi berkata, PAS bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Negeri (PRN), sambil menegaskan sokongan rakyat terhadap PAS kekal kukuh dan tidak terjejas.


"Tiga ADUN sudah gugur, Perlis ini mempunyai 15 kerusi, kita (PAS) ada enam (kerusi), BERSATU (lima) kerusi, mahu tubuhkan kerajaan bagaimana?


"Jika mahu terus memerintah pun boleh, Selangor pernah jadi ketika Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar, empat orang EXCO, kita pun boleh, namun kita bersedia untuk PRK mahupun PRN," katanya.


Ditanya mengenai nasib tiga ADUN PAS yang digugurkan keahlian parti, Abdul Hadi berkata, terpulang kepada parti sama ada mahu menerima mereka atau sebaliknya.


"Itu satu kesalahan besar, kerana setiap rakyat ada bai'ah (bersumpah), mereka tidak boleh melawan arahan parti kecuali arahan bercanggah dengan hukum Islam," katanya.


Beliau juga berkata, PAS tidak boleh terus menghukum BERSATU kerana ahlinya ada pelbagai golongan dan pandangan, sebaliknya PAS berharap ada tindakan daripada kepimpinan BERSATU.


"Kita tidak tergugat kepercayaan, lihat di internet ramai orang simpati dan kita ada dua nama untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, kita telah kemukakan," katanya.


Untuk rekod, polemik di Perlis tercetus selepas wujud gerakan lima ADUN BERSATU dan tiga PAS menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.


Susulan itu, tiga ADUN PAS terbabit terhenti keahlian serta-merta, namun tiada sebarang tindakan di pihak BERSATU.

Berang ditegur kerana memotong barisan, pensyarah ludah juruwang

Berang ditegur kerana memotong barisan, pensyarah ludah juruwang


Seorang lelaki didakwa bertindak biadab apabila meludah seorang juruwang wanita di sebuah pasar raya di Makassar, Sulawesi Selatan selepas tidak berpuas hati ditegur kerana memotong barisan pembayaran.


Insiden itu yang berlaku di sebuah pasar raya di Jalan Perintis Kemerdekaan, Kecamatan Tamalanrea pada Rabu tular di media sosial selepas rakaman video kejadian berkenaan dikongsi orang ramai.


Rakaman tersebut menunjukkan lelaki berkenaan dalam keadaan marah sebelum meludah ke arah juruwang wanita, yang bagaimanapun kekal tenang dan meneruskan tugasnya secara profesional.


Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Makassar (UIM) yang dikenal pasti sebagai AS.


Rektor UIM Makassar, Muammar Bakry mengesahkan, individu dalam video berkenaan adalah pensyarah Fakulti Pertanian dan memaklumkan pihak universiti akan mengambil tindakan sewajarnya.


"Kami belum boleh mengulas secara terperinci kerana individu terbabit masih belum dipanggil memberi keterangan. Namun, kes ini pasti akan dibawa ke peringkat siasatan dalaman," katanya ketika dihubungi media pada Jumaat.


Beliau menegaskan perbuatan tersebut disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan boleh menjejaskan imej institusi pendidikan.


"Perbuatan dalam video itu jelas tidak wajar. Pihak universiti akan mengenakan tindakan tatatertib akademik mengikut peraturan sedia ada," katanya.


Menurut Muammar, AS merupakan seorang pegawai Aparatur Sipil Negara (ASN) yang dipinjamkan perkhidmatannya sebagai tenaga pengajar di UIM, dan prosedur lanjut akan ditentukan bersama pihak berkaitan.


Sementara itu, mangsa yang dikenal pasti sebagai N, berusia 21 tahun, telah membuat laporan polis di Balai Polis Tamalanrea berhubung kejadian tersebut.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polsek Tamalanrea, Iptu Sangkala, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan sedang melengkapkan dokumentasi siasatan.


"Laporan dibuat atas kesalahan berkaitan penghinaan, dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.


Kes berkenaan mencetuskan kecaman masyarakat yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai melampau serta mencerminkan sikap tidak beretika, khususnya melibatkan individu berstatus pendidik.

Sabtu, 27 Disember 2025

Lelaki ditahan, guna MyKad orang lain tebus subsidi BUD195

Lelaki ditahan, guna MyKad orang lain tebus subsidi BUD195


Tindakan seorang lelaki menggunakan MyKad milik individu lain bagi menebus subsidi BUDI95 mengundang padah apabila pemilik dokumen berkenaan menyedari namanya digunakan tanpa pengetahuan semalam.


Individu warga tempatan berusia 42 tahun itu dipercayai mengambil kesempatan ke atas kehilangan MyKad milik mangsa.


Suspek menggunakannya untuk menebus subsidi bahan api di sebuah stesen minyak di Gemencheh, Negeri Sembilan, dengan menyamar sebagai pemilik sah dokumen berkenaan.


Perbuatan itu bagaimanapun terbongkar apabila pemilik MyKad menyedari berlaku penebusan BUDI95 atas namanya walaupun tidak pernah berbuat demikian, sebelum tampil membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias, berkata susulan aduan berkenaan, siasatan dan risikan dijalankan yang membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan disyaki memiliki serta menggunakan MyKad bukan miliknya bagi tujuan penebusan subsidi.


"Hasil siasatan mendapati MyKad milik pengadu digunakan untuk menebus BUDI95 di sebuah stesen minyak di Gemencheh tanpa pengetahuan dan kebenaran pemilik sebenar.


"Suspek ditahan pada jam 12 tengah hari di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Baru, Sungai Lerek, Negeri Sembilan," katanya .


Menurutnya, kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki serta menggunakan kad pengenalan bukan miliknya bagi tujuan tidak sah.


Katanya, permohonan perintah reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Tampin bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, manakala proses pendakwaan dijangka dilaksanakan selepas siasatan dilengkapkan.


Dalam pada itu, Hisham menegaskan bahawa perbuatan memiliki atau menggunakan MyKad orang lain, termasuk bagi tujuan penebusan bantuan atau subsidi kerajaan, adalah kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang tegas.


"Orang ramai yang menemui MyKad atau dokumen pengenalan diri hendaklah segera menyerahkannya kepada JPN atau balai polis berhampiran bagi mengelakkan penyalahgunaan yang boleh merugikan pemilik serta kerajaan," katanya.

Ahli PAS Perlis jangan 'curah minyak ke dalam api' - Shahidan

Ahli PAS Perlis jangan 'curah minyak ke dalam api' - Shahidan


Ahli PAS Perlis diingatkan supaya tidak 'mencurah minyak ke dalam api' dengan mengeluarkan kenyataan yang menggugat kestabilan parti itu ketika kemelut politik melanda negeri itu.


Teguran itu susulan beberapa pimpinan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang dilihat begitu agresif mengeluarkan kenyataan berbaur menghasut, terutama kepada tiga pimpinan parti yang sudah ditamatkan keahlian, sekali gus pengosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).


Timbalan Pesuruhjaya III PAS Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli termasuk beberapa pimpinan PAS negeri di dalam media sosial sebagai cubaan mengganggu gugat kestabilan parti.


"Orang yang bercakap itu, kita pun tidak tahu sama ada menggunakan akaun sebenar atau 'fake account' dan sekiranya dia itu ahli PAS, maka tidak sepatutnya dia mengeluarkan kenyataan dan begitu juga difahamkan ada wakil rakyat PAS Perlis yang turut sama mengeluarkan kenyataan kerana itu saya sedang perhatikan anda.


"Kenyataan rasmi ini harus mendapat kebenaran daripada ibu pejabat dan ini bukanlah cara PAS mengeluarkan kenyataan secara melulu kerana kita berwala' dan bermusyawarah. pada waktu ini saya sedang menunggu 'lampu hijau' untuk menjalankan mesyuarat Perikatan Nasional (PN) atau tidak," katanya ditemui pemberita di rumahnya di Jejawi, Arau hari ini.


Menurut Shahidan, PN Perlis bertindak sebagai penenang keadaan di sebalik kemelut yang melanda dan selaku Pengerusi PN Perlis, beliau menegaskan hubungan PAS negeri dan BERSATU negeri masih baik.


"Yang ini (hubungan) tidak ada masalah, sebab itu saya sering memanggil kedua-dua parti ini untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PN.


"Malah, ketika ini sudah lima kali mesyuarat PN dilakukan dalam masa dua bulan, (dan) pelbagai aspek diperbincangkan... segala keputusan tidak dibuat sendiri, sebaliknya dicapai secara bersama.


"(Cuma ketika ini) Kita tidak dapat maklumat sama ada berlakunya mesyuarat PN terutama di Pusat, namun Mesyuarat PAS sudah pun dilakukan tempoh hari, tetapi saya ingin tegaskan... di Perlis, PAS dan Bersatu tiada masalah," katanya.


Kemelut politik di Perlis berlaku apabila lapan ADUN PN termasuk tiga daripada PAS didapati menandatangani akuan berkanun (SD) yang menyatakan penarikan sokongan mereka terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam pentadbiran kerajaan negeri.


Ekoran tindakan itu, PAS Pusat yang bermesyuarat serta-merta memberhentikan keahlian ketiga-tiga ADUN, iaitu Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Saad Seman (Chuping) dan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), sekali gus menyebabkan Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan mengumumkan kekosongan tiga kerusi dan memohon PRK diadakan.


Rentetan itu juga, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatan pada Khamis lalu, atas alasan masalah kesihatan dan mahu memberi tumpuan terhadap kawasan Sanglang, selaku ADUN yang disandang sejak 2013.