Isnin, 29 Disember 2025

MB baharu Perlis umum potong gaji RM3,000 sebulan, setiap EXCO RM1,500


Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mengumumkan potongan gaji bulanan sebanyak RM3,000 pada hari pertama memulakan tugas, sebagai usaha membantu mengurangkan beban kewangan negeri.


Menurutnya, pendekatan sama turut melibatkan semua barisan Exco baharu dengan potongan gaji sebanyak RM1,500 sebulan.


"Di kesempatan ini, saya nak umumkan pemotongan gaji saya sebanyak RM3,000 bagi setiap bulan dan juga exco yang bakal saya lantik kita akan buat pemotongan sebanyak RM1,500 setiap bulan untuk menstabilkan keadaan ekonomi rakyat dan juga Negeri Perlis.


"Bagi saya tiada masalah (untuk exco baharu) InsyaALLAH," katanya selepas sesi 'clock-in' pada hari pertama bertugas di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Seri Putra hari ini.


Jelas Abu Bakar, langkah itu dibuat sebagai salah satu pengorbanan terhadap rakyat dan negeri.


"Sebab ini kita kena bagi khidmat kita kepada negeri dan rakyat sekurang-kurangnya rakyat di bawah yang masih nak cari RM500 sebulan pun berat, jadi saya dengan rela hati buat pemotongan ni supaya rakyat nampak ini pengorbanan yang kita nak buat untuk majukan negeri.


"Keadaan ini akan beralih bila keadaan ekonomi kita berjalan elok, sempurna dan sebagainya, kita tengok nanti... kalau saya pun RM3,000, kalau kali (darab) dengan setahun dua InsyaALLAH, banyak juga untuk bantu negeri," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan barisan exco baharu Kerajaan Negeri Perlis yang dianggotai wakil Bersatu dan Pas akan dilantik selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu lagi.


Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, barisan exco akan dilantik setelah perbincangan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail dibuat, seterusnya menghantar cadangan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk diperkenankan.


Pada Ahad media melaporkan, Abu Bakar dilantik menjadi Menteri Besar baharu menggantikan Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan Khamis lalu.


Ia susulan lapan ADUN terdiri daripada tiga ADUN Pas dan lima ADUN Bersatu bertindak menandatanggani akuan bersumpah (SD) hilang sokongan terhadap Mohd Shukri.


Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kemudian berkenan melantik ADUN Kuala Perlis itu sebagai Menteri Besar Perlis baharu di mana Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis disempurnakan di Istana Arau pada Ahad.


EmoticonEmoticon