Isnin, 8 Disember 2025

SPRM sangkal Rafizi, nafi diperguna 'tekan' pemimpin lawan kem Nurul Izzah

SPRM sangkal Rafizi, nafi diperguna 'tekan' pemimpin lawan kem Nurul Izzah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli bahawa agensi itu digunakan untuk menyiasat calon dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei 2025.


SPRM menyifatkan tuduhan yang dibuat bekas timbalan presiden PKR itu sebagai "tidak berasas dan tidak benar".


"SPRM menegaskan bahawa siasatan hanya dijalankan berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima.


"Setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses pengesahan dan siasatan mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan," kata suruhanjaya itu pada satu kenyataan pada Ahad.


Dalam audio siar terbarunya, Rafizi mendakwa beberapa anggota PKR telah menjadi sasaran siasatan SPRM selepas dilihat tidak lagi digemari sesetengah pemimpin parti.


Kata Rafizi lagi, perkara sama turut berlaku terhadap ahli-ahli parti yang bertanding menentang Nurul Izzah Anwar dalam merebut jawatan timbalan presiden parti tersebut.


Rafizi yang kalah kepada Nurul Izzah dalam pemilihan tersebut merujuk kepada insiden seorang calon yang sehaluan dengannya didakwa, ditahan dan disiasat SPRM kerana membeli sebuah rumah lelong secara tunai.


Bagaimanapun, Rafizi tidak menamakan calon tersebut dan hanya menggambarkannya sebagai seseorang yang tidak pernah tewas dalam pemilihan parti di Selangor.


Sementara itu, SPRM turut menafikan dakwaan bahawa pihaknya "mengepung" rumah individu tertentu ketika siasatan dijalankan.


Jelasnya, semua tindakan agensi antirasuah itu selaras dengan keperluan dan tatacara siasatan.


"Ia merupakan satu kaedah siasatan yang biasa termasuk elemen kejutan untuk mengelakkan risiko pelupusan bukti. Selepas pengesahan bahawa individu tersebut tiada di rumah ketika itu, pegawai telah beredar seperti biasa.


"Pada keesokan hari, individu berkenaan telah hadir sendiri ke pejabat SPRM, rakaman percakapannya diambil dan beliau dibebaskan tanpa penahanan.


SPRM juga menegaskan bahawa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh membuat aduan melalui saluran sah seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM.


Langkah itu, menurutnya, penting bagi menilai dakwaan salah laku secara telus dan mengelakkan penyebaran tohmahan tanpa bukti di media sosial.

Ahad, 7 Disember 2025

MCA ada jalan sendiri, tapi PAS jadikan PN bukan pilihan - Wee Ka Siong

MCA ada jalan sendiri, tapi PAS jadikan PN bukan pilihan - Wee Ka Siong


MCA memberi bayangan bahawa parti itu tidak akan bersama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan ideologi parti komponennya iaitu Pas yang masih sukar diterima oleh majoriti masyarakat Cina.


Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kenyataan berbaur kontroversi yang dibuat oleh sebahagian pemimpin Pas merupakan antara faktor utama parti bukan Islam menjauhkan diri daripada PN.


Ujar Ka Siong, kenyataan tersebut mencerminkan pendekatan konservatif dan menyinggung perasaan penganut agama lain.


"Ada (pihak) mencadangkan supaya menyertai PN tetapi kami amat jelas bahawa masyarakat Cina sekian lama tidak mempunyai pandangan positif terhadap Pas, malah menolak parti itu.


"Melainkan, jika Pas membuat pembaharuan dalam parti, menjadi lebih moderat dan diterima oleh masyarakat majmuk.


"Jika tidak, faktor tersebut tetap menghindar parti bukan Islam untuk sehaluan dengan PN," katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung MCA, Wisma MCA, di Kuala Lumpur hari ini.


Sebelum ini, beberapa pemimpin MCA turut menyuarakan rasa tidak senang terhadap hubungan akrab UMNO-DAP yang dilihat bercanggah dengan pendirian politik lama parti itu.


Kemudian, perwakilan MIC pada 16 November lalu pula memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.


Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima, diluluskan dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).


Menurut Ka Siong, sentimen penolakan masyarakat bukan Islam terhadap Pas semakin meningkat sejak parti itu memutuskan hubungan dengan DAP hampir satu dekad lalu.


Beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan UMNO menjalinkan kerjasama politik di luar Barisan Nasional (BN), khususnya dengan DAP dan memberi amaran bahawa MCA tidak akan berdiam diri jika asas perjuangan gabungan tersebut terus terhakis.


"Pendirian MCA jelas iaitu tiada kerjasama dengan DAP. Jika UMNO terus meneroka kerjasama luar BN sehingga menjejaskan identiti gabungan ini, MCA akan menilai semula kedudukan kami.


"Kita akan membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan parti. Setiap isu yang berkaitan dasar dan hala tuju MCA akan dibincang dan diputuskan sewajarnya oleh Jawatankuasa Pusat pada masa yang tepat," ujarnya.

Pelajar kolej ditahan khalwat, kesan tompokan darah ditemui pada selimut di bilik mereka

Pelajar kolej ditahan khalwat, kesan tompokan darah ditemui pada selimut di bilik mereka


Pasangan muda yang baru saling mengenali melalui media sosial ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Segamat malam Sabtu, dengan penguat kuasa turut menemukan kesan tompokan darah pada selimut di bilik penginapan mereka.


Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan dilakukan kira-kira jam 10.30 malam selepas pasangan terbabit gagal membuka pintu dengan segera ketika diketuk.


"Pintu bilik hanya dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita berpakaian t-shirt dan seluar panjang sambil memegang vape.


"Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, wanita tersebut cuba menutup pintu namun tidak berjaya.


"Penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri sebelum masuk dan meminta wanita itu menyimpan vape berkenaan," katanya.


Pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki duduk di atas karpet dalam keadaan gelisah. Kedua-duanya berusia lingkungan 20-an, tidak mempunyai hubungan mahram dan bukan berasal dari daerah ini.


Menurut JAINJ, wanita tersebut merupakan pelajar sebuah kolej di negeri lain dan datang ke Segamat untuk bertemu lelaki berkenaan yang bekerja di daerah ini.


"Dalam pemeriksaan, penguat kuasa menjumpai seluar dalam dan baju dalam wanita di atas kerusi. Keadaan katil dan selimut juga berkedut dan berkecah dipercayai digunakan sebelum ketibaan anggota.


"Turut ditemui satu tompokan darah yang telah kering pada selimut, kira-kira sebesar syiling 50 sen lama. Punca darah tersebut tidak dapat dipastikan," jelas kenyataan itu.


Selain itu, dua tuala basah serta beberapa barangan peribadi wanita ditemukan di dalam almari, namun tiada pakaian milik lelaki. Rekod hotel menunjukkan bilik berkenaan disewa atas nama wanita tersebut selama dua hari.


"Ini merupakan hari kedua. Tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu berada bersama sejak semalam atau hanya hadir pada hari kejadian," menurut JAINJ.


Kedua-duanya akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.


Penguat kuasa JAINJ melakukan tangkapan ke atas pasangan yang disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Segamat. - Foto JAINJ.
Anwar kecewa usaha kerajaan tenggelam, 'sampah dan maki hamun' lebih menonjol

Anwar kecewa usaha kerajaan tenggelam, 'sampah dan maki hamun' lebih menonjol


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal apabila sebahagian maklumat sebenar mengenai dasar dan pencapaian kerajaan tidak sampai kepada rakyat seperti diharapkan.


Menurut beliau, usaha kerajaan sering kali tenggelam kerana kandungan bersifat negatif lebih mudah mendapat perhatian di media sosial.


"Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid kata ada 140 ikhtiar atau inisiatif baharu. Sebenarnya kalau kita kira 167 kesemuanya, tetapi tidak sampai kadang-kadang kepada khalayak.


"Apa yang sampai itu hanya 'sampah', sumpah dan maki hamun kerana ini negara demokrasi dan bebas... media sosial itu digunakan tidak untuk membina, tetapi untuk menghina," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di Putrajaya hari ini.


Perdana Menteri berkata, keadaan itu menyebabkan gambaran tidak tepat timbul seolah-olah kerajaan tidak melakukan sebarang pembaharuan.


Beliau menjelaskan, penyebaran maklumat yang tidak seimbang hanya memburukkan persepsi masyarakat terhadap usaha kerajaan.


Sehubungan itu, Anwar menggesa penjawat awam untuk memainkan peranan aktif dalam memberi penerangan dan memastikan maklumat tepat dapat disalurkan kepada orang ramai.


"Tugas kita menyampaikan apa yang dilakukan dan menegur atau mencadang apa yang perlu ditambah, yang perlu diperbaiki," ujarnya.


Beliau berkata, Kerajaan Madani tidak menolak kritikan, sebaliknya memerlukan teguran yang berasaskan fakta untuk memperkukuh pelaksanaan dasar.


Anwar turut mengakui terdapat rakyat yang tidak sabar menunggu hasil pelaksanaan projek tertentu dan memerlukan penjelasan yang konsisten daripada pihak kerajaan.


"Saya tak salahkan rakyat… kadang-kadang dia tak sabar menunggu, jadi kena jelaskan," katanya. - Sumber Awani.

Indonesia akan beli sehingga 200 helikopter tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana alam

Indonesia akan beli sehingga 200 helikopter tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana alam


Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan rancangan memperoleh sehingga 200 helikopter tahun depan bagi memperkukuh posisi pertahanan negara dan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana alam, lapor Agensi Berita Indonesia (ANTARA).


Beliau berkata, risiko bencana di Indonesia adalah tinggi berikutan kedudukannya dalam Lingkaran Api Pasifik, merujuk kepada respons kecemasan yang sedang berlangsung terhadap banjir dan tanah runtuh di Sumatera.


"Kami baharu sahaja menerima lima helikopter baharu minggu ini, dan bilangannya akan terus meningkat. Saya sudah mengarahkan pembantu saya untuk memperoleh 200 helikopter bermula Januari tahun depan," kata Prabowo semasa acara ulang tahun ke-61 Parti Golkar di Jakarta, semalam.


Beliau merakamkan ucapan takziah kepada penduduk yang terjejas akibat bencana itu dan berkata Indonesia kekal sebagai negara yang tabah serta mampu mengatasi krisis melalui tindakan bersama dan mobilisasi pantas.


Prabowo memberi jaminan bahawa kerajaan bertindak segera untuk memberi respons, termasuk menggerakkan 50 helikopter bagi menghantar bantuan serta menyokong operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas.


Beliau mempertahankan rancangan perolehan itu dengan berkata Indonesia perlu memperkukuh keupayaan bukan sahaja untuk menangkis ancaman ketenteraan, tetapi juga untuk bertindak balas secara berkesan sebagai negara yang terdedah kepada bencana.


Menjawab kritikan terhadap pembelian pertahanan berskala besar, beliau berkata, pemimpin negara mesti menjangka keperluan pada masa depan bagi memastikan negara bersedia menghadapi senario terburuk.


"Kita tidak mampu untuk tergesa-gesa mencari helikopter tambahan apabila bencana atau perang sudah berlaku," katanya.


Prabowo turut menegaskan komitmen kerajaan menggerakkan semua sumber yang ada, termasuk pesawat pengangkut tentera, bagi memastikan respons bencana yang pantas di seluruh negara.


Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ketika meninjau operasi penyediaan makanan kepada mangsa banjir di pusat evakuasi di Pandan, Tapanuli Tengah, wilayah Sumatera Utara. - Foto AFP.
Pelakon filem lucah ditahan di Bali, cuba hasilkan kandungan dengan pelancong

Pelakon filem lucah ditahan di Bali, cuba hasilkan kandungan dengan pelancong


Pelakon filem lucah ditahan di Bali, Khamis lalu, selepas polis tempatan membongkar dakwaan percubaan menghasilkan kandungan lucah membabitkan sekumpulan warga asing di sebuah studio di daerah Badung, lapor Jakarta Globe.


Menurut polis, tindakan pantas diambil selepas menerima laporan awam mengenai rakaman video lucah yang disyaki.


Akaun Instagram atas nama individu itu didakwa menyiarkan rakaman aktiviti kumpulan itu di Bali termasuk penggunaan sebuah trak pikap biru terang.


Pegawai polis menyerbu sebuah studio di Pererenan, Mengwi pada Khamis lalu dan menemukan 19 orang di situ termasuk wanita itu yang dipercayai pelakon utama.


Selain itu, polis turut merampas peralatan kamera, prop dan barang peribadi seperti kondom, pelincir, pemacu kilat USB serta dokumen pendaftaran kenderaan yang dikaitkan dengan trak pikap berkenaan.


Ketua Polis Badung, Timbalan Pesuruhjaya Polis M Arif Batubara berkata, 14 warga asing warga Australia berumur 19 hingga 40 tahun ditahan untuk disoal siasat.


Mereka kemudiannya dihantar pulang ke kediaman masing-masing di Bali pada malam Jumaat lalu, dan diletakkan di bawah pengawasan polis dan imigresen sementara siasatan diteruskan.


"Selepas menerima laporan, kami menyerbu studio yang disyaki digunakan untuk menghasilkan video yang bertujuan diedarkan dalam talian," kata Arif.


Katanya, lokasi dan semua peralatan disita untuk pemeriksaan lanjut. Empat warga Britain termasuk pelakon berkenaan yang berusia 26 tahun kekal ditahan untuk soal siasat.


Polis Indonesia berkata, kes itu disiasat di bawah undang-undang antipornografi ketat yang ketat dengan dengan potensi pertuduhan masih dalam semakan sementara mereka meneliti bukti dan bahan digital yang dirampas semasa serbuan.

Sabtu, 6 Disember 2025

Indonesia kenal pasti 700 potensi lokasi harta karun dari kapal karam

Indonesia kenal pasti 700 potensi lokasi harta karun dari kapal karam


Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan (KKP) baru sahaja mengumumkan penemuan luar biasa kira-kira 700 lokasi berpotensi besar yang menyimpan harta karun dari kapal karam.


Menurut laporan agensi berita ANTARA, 'khazanah' ini bukanlah sekadar bangkai kapal biasa. Ia dipercayai mengandungi artifak dan barangan antik yang bukan sahaja bernilai tinggi dari segi ekonomi, tetapi juga memiliki nilai sejarah yang tidak ternilai.


Menariknya, Frista Yorhanita, Pengarah Sumber Marin KKP, mendedahkan di Jakarta pada Khamis bahawa sekitar 90 peratus daripada lokasi tersebut ada kaitan dengan kapal dari China. Ini bermakna lautan Nusantara kita mungkin adalah 'muzium' terapung yang menyimpan kisah-kisah perdagangan purba antara Indonesia dan China.


"Sebahagian besar lokasi berada di sepanjang Laluan Sutera, laluan perdagangan purba yang sering digunakan kapal China, khususnya di sekitar Sumatera dan Jawa," jelasnya.


Menurut Yorhanita, buat masa ini, nilai potensi 'khazanah' tersebut masih belum dapat dianggarkan secara rasmi. Ini kerana, untuk mendapatkan angka yang tepat dan sah, Kementerian Kewangan yang akan mengambil alih tugas penilaian tersebut. Jadi, kita kena tunggu pakar kewangan negara membuat kira-kira.


"Nilainya belum dapat dianggarkan. Pengiraan kasar tidak boleh dijadikan rujukan kerana barangan ini adalah antik. Ia perlu diperiksa terlebih dahulu, sama ada masih utuh atau telah rosak, kerana keadaan itu akan memberi impak besar terhadap nilainya," katanya.


Yorhanita menjelaskan, KKP telah meluluskan 13 permit khas untuk kerja-kerja pengambilan muatan dari lokasi kapal karam yang dikenal pasti, malah sebahagian daripada proses pemulihan (salvage) itu sudah pun selesai.


Walau bagaimanapun, beliau belum dapat mendedahkan berapakah jumlah nilai sebenar harta karun yang telah berjaya dikeluarkan.


Pengurusan muatan kapal karam ini adalah salah satu keutamaan strategik bagi KKP dalam memastikan sumber marin diurus dengan baik. Selain fokus pada 'harta karun,' isu-isu penting lain yang menjadi tumpuan kementerian termasuklah pengurusan endapan marin, pembangunan biofarmakologi marin, dan usaha untuk mencapai swasembada garam.

JKR buat laporan polis susulan ceroboh jalan ditutup - Alexander

JKR buat laporan polis susulan ceroboh jalan ditutup - Alexander


Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat laporan polis bagi memastikan insiden ceroboh jalan ditutup tidak berulang susulan kemalangan maut di Hulu Terengganu, semalam.


Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata beberapa tindakan segera yang lain turut diambil JKR bagi kawasan jalan runtuh dari Kilometer (KM) 52 Jalan Kuala Jeneris sehingga Aring (Bukit Kawah).


"Antaranya adalah pemasangan papan tanda amaran dan sekatan konkrit di kedua-dua arah laluan dan pendaftaran maklumat bencana jalan runtuh di portal rasmi," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam kejadian itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki pasangan bakal berkahwin terhumban ke dalam gaung sehingga mengakibatkan kedua-duanya maut di tempat kejadian.


Mangsa seorang guru dikenal pasti sebagai Hassan Shazali, 52, manakala wanita yang maut, Suzaimah Che Azis, 34.



"Kementerian memandang serius isu keselamatan pengguna jalan raya dan mengingatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi arahan serta tanda penutupan di lokasi berisiko," katanya.


Beliau berkata penutupan laluan itu telah diwartakan di bawah Seksyen 70 Akta Pengangkutan Jalan 1987 merangkumi sebahagian Jalan Persekutuan FT36 dari Seksyen 55.60 hingga Seksyen 139.30.


Katanya, JKR sudah mendapat kelulusan bagi pembinaan jambatan baharu di Laluan FT036, Seksyen 89.00, Jalan Aring 8–Tasik Kenyir–Kuala Jeneris, Hulu Terengganu, yang diluluskan pada 25 Mac lalu dengan kos RM36 juta.


"Status terkini adalah di peringkat perolehan dengan Surat Setuju Terima dijangka diserahkan bulan ini," katanya.

Awie syukur dua anak genggam ijazah di MSU

Awie syukur dua anak genggam ijazah di MSU


Pendidikan dan masa depan anak-anak tetap menjadi keutamaan vokalis kumpulan Wings, Awie walau apapun terjadi dalam kehidupan dan kerjayanya.


Demikian pendirian pemilik nama penuh Ahmad Azhar Othman, 57, ketika ditemui dalam majlis graduasi dua anaknya sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Management and Science University (MSU) di Dewan Canselor MSU, hari ini.


Kata Awie, kegembiraannya pada hari ini berganda kerana kedua-dua anaknya diangkat penerima Anugerah Presiden dan Anugerah Dekan.


Anaknya, Putri Aleeya Antasha, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara dan Putri Aleefa Antasha, 23, Ijazah Sarjana Muda Fotografi dan Video Kreatif adalah antara 2,453 graduan daripada 128 program akademik yang diraikan majlis itu.


Alhamdulillah syukur, selesai graduasinya. Anak sulung saya (terima anugerah) President's List dan kedua Dean's List. Satu kebanggaan buat saya dan isteri.


"Saya memang mementingkan pelajaran anak-anak saya. Macam mana sekalipun, apa yang berlaku dalam hidup saya, apa yang berlaku dalam kerjaya saya, anak-anak saya ini saya utamakan pelajaran dulu.


"Apa yang mereka mahu untuk pelajaran mereka, saya akan cuba hidangkan sebaik mungkin. Alhamdulillah mereka ini digalakkan dari kecil untuk membaca, belajar dan sebagainya. Dan mereka mempunyai minat belajar sampailah ke hari ini.


"Insya Allah anak saya ini mungkin akan menyambung di peringkat ijazah sarjana," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan, di Shah Alam hari ini.


Katanya, selain Aleeya dan Aleefa, anak lelakinya, Putra Ahmad Merrah kini menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Pengajian Perniagaan.


"Alhamdulillah, syukur saya dapat anak-anak yang mahu mendengar kata dan mahu mengikut apa dirancangkan, tetapi biar rancangan itu sama rata, mereka mahu dan kita mahu.


"Kalau kita sahaja mahu, mereka tidak mahu pun susah juga. Jadi bila berbincang, saya dengan anak-anak macam kawan, kita berbincang elok-elok.


"Mereka tanya apa hendak buat, apa arah tuju dan ke mana hendak pergi. Jadi saya bagi idea, mereka setuju dan mereka memulakan langkahnya, malah saya sudah menyiapkan mereka dengan syarikat masing-masing untuk diuruskan," katanya.


Sementara itu, Putri Aleefa berkata, dia teruja dapat menggembirakan ayah dan ibunya dengan kejayaan diraih dalam pendidikan.


"Saya kini bekerja sebagai krew produksi bebas. Saya akan kerja dengan mana-mana syarikat produksi yang minat mengambil perkhidmatan saya.


"Impian saya untuk menjadi penerbit filem pada masa akan datang. Ayah (Awie) ada juga minta saya berlatih tulis skrip sebagai persediaan ke arah itu (menerbit filem)," katanya.


Awie bersama dua anak perempuannya, Putri Aleefa dan Putri Aleeya serta isterinya, pada majlis konvokesyan di MSU, Shah Alam hari ini. - Foto Kosmo Online.
Pelaku rasuah perlu dibankrapkan - Azam Baki

Pelaku rasuah perlu dibankrapkan - Azam Baki


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki memberi amaran tegas perasuah perlu dibankrapkan bagi mengelakkan mereka menikmati harta curi.


Beliau menegaskan komitmen agensi itu memulangkan semula setiap sen aset negara yang diseleweng kepada rakyat.


Katanya, pendekatan pemulihan aset akan terus diperhebatkan sepanjang tahun depan, selaras strategi SPRM mengurangkan ketirisan pada tahap maksimum dan memastikan perasuah tidak dapat menikmati hasil rompakan mereka.


Menurutnya, SPRM akan memfokuskan siasatan lebih agresif terhadap kes berprofil tinggi dan berskala besar pada tahun depan bagi memastikan individu mempunyai kedudukan, kuasa atau kekayaan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.


"Masyarakat kini semakin peka dan bijak menilai, sekali gus menuntut pendekatan baharu lebih berkesan dalam operasi, pencegahan serta pendidikan antirasuah di semua peringkat.


"Pendekatan lama yang lapuk perlu ditransformasikan, walaupun ada pendekatan baharu berusia setahun atau dua, ia mungkin tidak lagi relevan pada tahun mendatang," katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya yang disempurnakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


Azam berkata, keupayaan dan kemahiran pegawai SPRM akan terus dipertingkatkan melalui penggunaan teknik siasatan moden, selain kerjasama strategik dengan agensi di dalam dan luar negara bagi mengesan aset hilang atau dicuri.


Di bawah strategi antirasuah nasional, katanya, pelbagai pembaharuan undang-undang sedang digerakkan termasuk undang-undang perolehan, Rang Undang-undang Freedom of Information serta pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.


Beliau turut menyentuh pelaksanaan Default Protection Agreement serta pemberian insentif potongan cukai kepada syarikat melaksanakan program pencegahan rasuah sebagai antara pembaharuan penting yang akan diteruskan tahun depan.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menegaskan komitmen agensi itu memulangkan semula setiap sen aset negara yang diseleweng kepada rakyat. - Foto Free Malaysia Today.