Satu sindiket pemerdagangan manusia membabitkan penghantaran pengantin perempuan ke China terbongkar selepas penduduk curiga dengan kehadiran dua wanita muda di sebuah rumah di sebuah perumahan, Bandar Pontianak, Kalimantan Barat.
Portal Kompas melaporkan rasa curiga itu timbul hasil maklumat diterima oleh Mawardi iaitu seorang penduduk tempatan ketika dia bekerja di sebuah kedai buah.
Dia mengaku mendengar cerita daripada rakannya mengenai dua wanita yang didakwa meminta bantuan.
"Saya bekerja di sebuah kedai buah. Seorang rakan memberitahu mengenai dua gadis yang perlu diselamatkan," kata Mawardi pada Selasa.
Menurut maklumat diterimanya, kedua-dua wanita itu berasal dari Medan dan pada awalnya dijanjikan pekerjaan. Namun selepas tiba di Pontianak, mereka dipercayai akan dihantar ke China.
"Mereka kata akan ditawarkan pekerjaan di Medan. Tetapi apabila sampai di sini, mereka memberitahu akan dihantar ke China," kata Mawardi.
Simpati dengan keadaan mangsa, Mawardi kemudian melaporkan perkara itu supaya tindakan lanjut dapat diambil segera.
"Saya menghubungi ketua kampung dan meminta bantuan kerana saya kasihan melihat mereka," katanya.
Keesokan harinya, beberapa pihak berkaitan pergi ke lokasi yang dipercayai menjadi tempat perlindungan sementara mangsa.
Pemeriksaan dilakukan dari rumah ke rumah sehingga akhirnya pihak berkuasa menemui lokasi dua wanita itu.
Menurut Mawardi, salah seorang mangsa kelihatan ketakutan dan dipercayai sangat tertekan sehingga tidak berani bercakap banyak.
"Dia kelihatan takut dan seperti diugut. Dia juga tergesa-gesa ketika keluar dari rumah," kata Mawardi yang turut memaklumkan salah seorang wanita itu dipercayai masih muda.
Sebelum ini, polis membongkar kegiatan disyaki pemerdagangan manusia menggunakan modus operandi perkahwinan kontrak atau tempahan pengantin perempuan untuk lelaki dari China di Pontianak.
Ketua Polis Pontianak, Endang Tri Purwanto berkata, kes itu masih dalam siasatan dan proses pengumpulan bukti.
Menurut maklumat diperolehi, dua mangsa dari Medan masing-masing berusia 15 dan 25 tahun didakwa direkrut oleh seorang wanita berusia 49 tahun dari Deli Serdang, Sumatera Utara.
Kedua-duanya dijanjikan puluhan juta rupiah sekiranya bersedia berkahwin dengan lelaki dari China di Wilayah Hunan.
Mangsa berusia 25 tahun dijanjikan wang sebanyak 50 juta rupiah (RM11,000), manakala remaja perempuan berusia 15 tahun dijanjikan 40 juta rupiah (RM8,894).
Bagi meyakinkan mangsa, individu itu didakwa menunjukkan gambar wanita yang dikatakan berjaya menjalani kehidupan mewah selepas berkahwin dengan lelaki dari China.
Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Jalan H Kadir yang dipercayai digunakan sebagai tempat perlindungan sementara sebelum mangsa dihantar ke luar negara.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa menyelamatkan dua wanita dan menahan suspek yang merekrut mangsa.
Polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk pasport, dokumen perjalanan dan dokumen perjanjian.
Ketika ini, kedua-dua mangsa ditempatkan di rumah perlindungan, manakala suspek yang merekrut mangsa masih menjalani soal siasat di Ibu Pejabat Polis Pontianak.












