Isnin, 25 Mei 2026

Mekanik didakwa 3 lagi pertuduhan miliki senjata api, peluru hidup


Seorang mekanik sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Sik, hari ini atas tiga pertuduhan memiliki senjata api, peluru hidup dan pistol tiruan awal bulan ini.


Tertuduh, Mohd Shahifuldin Mohd Shahiran, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.


Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki selaras senapang Remington Model 1100 buatan Amerika Syarikat (AS) tanpa lesen atau permit sah.


Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Kampung Luar Siong, Baling kira-kira jam 6 petang pada 6 Mei lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam kali sebatan.


Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki 156 peluru hidup pelbagai jenis tanpa lesen atau permit sah di lokasi, tarikh dan masa sama.


Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


Mohd Shahifuldin turut didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan bertulis Glock 19 Gen 4 buatan Austria bersama satu kelopak peluru tanpa alasan munasabah di tempat dan masa yang sama.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 12 Julai depan untuk sebutan semula kes, lantikan peguam dan serahkan dokumen.


Pada 13 Mei lalu, tertuduh turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di Baling atas lima pertuduhan berkaitan pemilikan senjata api, peluru dan senjata tiruan sebelum mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.


Tertuduh ditahan pada 1 Mei susulan penemuan tiga pistol termasuk satu pistol tiruan serta dua laras senapang angin di sebuah bengkel kenderaan yang didakwa disimpan sebagai koleksi peribadi.


Lima hari kemudian polis menemukan selaras senapang patah, sepucuk pistol tiruan dan lebih 180 butir peluru yang disembunyikan di dapur dan loteng sebuah rumah di Baling hasil serbuan susulan.


Mohd Shahifuldin dibawa ke Mahkamah Sik hari ini untuk tiga pertuduhan memiliki senjata api, peluru hidup dan pistol tiruan awal bulan ini. - Foto NSTP.


EmoticonEmoticon