Cemburu kerana cinta tidak dibalas disyaki motif seorang lelaki menikam leher rakan wanitanya yang juga ibu tunggal dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Titi Gajah, Kepala Batas, Alor Setar malam tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mangsa wanita tempatan berusia 35 tahun ditikam dengan satu tikaman menggunakan senjata tajam pada jam 9.19 malam.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, kira-kira jam 1.50 pagi, polis mengesan suspek lelaki terbabit di 6.2 kilometer (km) dari lokasi kejadian dan sedang bersembunyi di sebuah masjid di Taman Uda.
"Siasatan mendapati suspek mempunyai satu rekod di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kerana mencederakan bekas teman wanitanya pada 2017.
"Suspek direman tujuh hari dan ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia bebas pengaruh dadah," katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.
Adzli berkata, siasatan berkaitan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan tetapi pihaknya percaya ia berkemungkinan akibat cemburu atau cinta tidak berbalas.
Katanya, suspek dan mangsa bekerja dalam bidang sama sebagai ejen hartanah tetapi berlainan syarikat dan mengenali antara satu sama lain sejak setahun lalu.
"Mangsa dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," katanya.
Adzli berkata, kejadian berlaku di dalam kereta Mazda 3 dan berdasarkan rakaman kamera rakaman litar tertutup (CCTV) berdekatan, beberapa minit selepas kereta itu tiba di lokasi, mangsa bertindak membunyikan hon untuk menarik perhatian orang awam sebelum suspek melarikan diri.
"Suspek dipercayai berjalan kaki ke masjid berkenaan melalui kawasan sawah padi dan senjata yang digunakan dalam kejadian itu masih dikesan, dipercayai pisau 'rambo' atau pemutar skru.
"Mangsa diberi rawatan awal dengan bantuan doktor klinik berhampiran yang berjaya menyelamatkan mangsa sebelum dihantar ke HSB disebabkan kecederaan leher yang dialami mangsa dari kiri ke kanan, " katanya.
Adzli berkata, suspek berstatus duda dan tidak mempunyai anak manakala mangsa adalah ibu tunggal yang mempunyai dua anak. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.











