Jumaat, 15 Mei 2026

Imigresen gempur pusat pelacuran di Bukit Bintang, harga sebuah bilik cecah RM100,000


Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan tidak bermoral berselindung di sebalik sebuah hotel tiga bintang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang menawarkan pakej pelacuran warga asing dengan harga bilik mencecah RM100,000.


Hotel itu menjadi tumpuan pelanggan warga asing terutama dari China kerana terdapat pusat hiburan bertaraf lima bintang yang menawarkan pakej pelacuran warga asing di tingkat satu hingga enam bangunan berkenaan.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas risikan dilakukan selama dua minggu.


Menurutnya, operasi bermula kira-kira jam 1.30 pagi semalam membabitkan 131 pegawai pelbagai pangkat bersama empat pegawai agensi sahabat.


"Seramai 243 individu telah diperiksa dalam operasi ini, membabitkan 194 warga asing dan 49 warga tempatan telah diperiksa dalam operasi ini.


"Hasil pemeriksaan, JIM menahan seramai 152 warga asing yang terdiri daripada 129 warganegara China, dua Taiwan, lima Vietnam, lima Myanmar, lapan Bangladesh serta masing-masing seorang warganegara Indonesia, Turki dan Vanuatu.


"Kesemua individu yang berumur di antara 21 hingga 32 tahun ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 39(b) Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 17 saman kepada saksi (Borang 29) semasa operasi itu dijalankan.


Mengulas lanjut, Zakaria berkata, modus operandi premis yang beroperasi sejak tiga bulan lalu itu dikawal ketat pengawal keselamatan tempatan dan hanya pelanggan berstatus VVIP dibenarkan memasuki premis berkenaan.


"Harga bagi sebuah bilik bermula daripada RM50,000 dan mencecah RM100,000 bagi sebuah bilik eksklusif yang boleh dilanggan lebih dari 24 jam.


"Ketika serbuan dibuat, beberapa warga asing berada dalam keadaan khayal dan leka dengan alunan muzik yang kuat sehingga tidak menyedari kehadiran pegawai di lokasi tersebut," katanya.


Katanya, kesemua warga asing itu ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.


"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.


EmoticonEmoticon