Rabu, 12 November 2025

Presiden FIFA, Gianni Infantino Didakwa Langgar Artikel 15 Kod Etika

Presiden FIFA, Gianni Infantino Didakwa Langgar Artikel 15 Kod Etika

 

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berdepan tuduhan melanggar peraturan badan induk bola sepak dunia itu berhubung prinsip neutral politik susulan kenyataannya dalam satu majlis awam baru-baru ini.


Tuduhan berkenaan dibuat oleh bekas Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus FIFA, Miguel Maduro yang mendakwa Infantino secara terbuka menyokong seorang tokoh politik, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap tahap ketelusan dan keadilan organisasi itu.


Ketika berucap pada forum 'America Business Forum' di Miami, Infantino dilaporkan memuji agenda politik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.


Infantino turut dipetik berkata, program Trump 'nampak cukup baik' selain menggesa orang ramai supaya menyokong apa yang sedang beliau lakukan.


Kenyataan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pemerhati sukan antarabangsa mengenai sejauh mana FIFA benar-benar mematuhi kod etika yang ditetapkannya sendiri.


Maduro dalam reaksi balasnya menegaskan kenyataan Infantino jelas bertentangan dengan Artikel 15 Kod Etika FIFA yang menetapkan bahawa pegawai dan organisasi FIFA perlu mengekalkan neutraliti sepenuhnya dalam hal ehwal politik.


Beliau menambah, sokongan terbuka terhadap mana-mana tokoh politik adalah pelanggaran prinsip asas yang selama ini menjadi tunjang kepada reputasi FIFA sebagai badan sukan global yang bebas daripada pengaruh politik.


Insiden ini sekali lagi membuka perbincangan tentang batasan neutraliti politik dalam pentadbiran sukan antarabangsa, khususnya memandangkan pengaruh dan kedudukan FIFA yang begitu besar di peringkat dunia.


Setakat ini, FIFA masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut atau menjelaskan pendirian Infantino selepas majlis berkenaan.

Lelaki cemas dikejar beruang gergasi, kereta kena cakar bonet kemik

Lelaki cemas dikejar beruang gergasi, kereta kena cakar bonet kemik


Seorang pekerja ladang kuda di Jepun berdepan detik cemas apabila diserang seekor beruang gergasi ketika cuba mengundurkan keretanya untuk melarikan diri, lapor akhbar The Sun UK.


Kejadian berlaku di Ladang Kuwata yang terletak di Pulau Hokkaido, Khamis lalu.


Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan beruang itu meluru laju ke arah kereta yang dipandu pekerja terbabit sebelum menyerang menggunakan kedua-dua cakarnya sehingga mencetuskan bunyi dentuman kuat.


Serangan itu meninggalkan kesan kemik dan calar pada bonet kereta.


Ladang Kuwata kemudian memuat naik beberapa imej yang memaparkan kesan cakar dalam pada permukaan logam.


Pemilik ladang berkata, beruang itu muncul ketika pekerja tersebut sedang membuat rondaan untuk memberi makan kepada haiwan ternakan.


"Tiada kerosakan lain selain apa yang dilihat dalam klip video dan pekerja kami selamat. Sila berhati-hati jika anda tinggal berdekatan dengan ladang atau melalui kawasan itu," tambahnya.


Tangkap layar video menunjukkan beruang itu mengejar seorang pekerja yang cuba melarikan diri. - Foto Newsflash.

Selasa, 11 November 2025

Majikan putus ibu jari tangan kiri dilibas pembantu rumah warga asing

Majikan putus ibu jari tangan kiri dilibas pembantu rumah warga asing


Seorang majikan putus ibu jari tangan kiri selepas bergelut dengan pembantu rumah warga asing di Kota Sultan Ahmad Shah (Kotasas), Kuantan hari ini.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi berlaku di rumah teres dua tingkat yang diduduki mangsa dan ibunya yang berusia 57 tahun.


"Polis menerima panggilan Mers 999 kira-kira jam 8.43 pagi oleh ibu mangsa memaklumkan mengenai pergaduhan antara anak lelakinya yang berusia 28 tahun dengan pembantu rumah warganegara Filipina berusia 44 tahun," katanya dalam kenyataan.


Ketika kejadian, katanya, ibu mangsa berada di bilik tidurnya di tingkat atas rumah itu.


Tambah Ashari, selepas mendengar jeritan anaknya dari tingkat bawah, wanita itu bergegas turun dan mendapati berlaku pergelutan antara anaknya dengan pembantu rumah mereka di ruang tamu rumah.


"Wanita itu memberitahu cuba meleraikan pergaduhan, namun suspek bertindak melibas sebilah pisau dan terkena kepalanya. Kemudian, wanita itu merampas pisau tersebut.


"Berlaku pergelutan di dapur pula kerana suspek cuba mengambil pisau lain," katanya.


Ashari berkata, akibat pergelutan itu, wanita terbabit turut mengalami kecederaan pada ibu jari tangan kiri, manakala anaknya yang bekerja sebagai Eksekutif Kanan putus ibu jari tangan kiri selain luka di kepala dan kaki.


Beliau memaklumkan terdapat kesan kelaran di pergelangan tangan kiri suspek dipercayai berpunca daripada cubaan bunuh diri.


Berikutan itu, suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan perintah reman akan diperoleh esok.


Kedua-dua mangsa dan suspek dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.


"Punca pergaduhan dipercayai kerana suspek mengalami tekanan kerana bekerja dengan lelaki tersebut di rumah itu, namun punca utama masih dalam siasatan," tambahnya.


Jelas Ashari, polis turut merampas enam bilah pisau dan sebilah gunting untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Isnin, 10 November 2025

Wanita patah leher gara-gara menguap terlalu kuat

Wanita patah leher gara-gara menguap terlalu kuat


Seorang wanita di Britain mengalami patah leher selepas menguap terlalu kuat sehingga memaksa dia menjalani pembedahan kecemasan, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.


Hayley Black, 36, menguap pada suatu pagi ketika dia mahu memberi susu kepada anaknya.


Ia adalah perkara biasa yang dilakukan sebelum wanita itu secara tiba-tiba merasa sensasi renjatan elektrik meresap ke seluruh badannya.


Black serta-merta menyedari terdapat sesuatu yang tidak kena, justeru dia meminta suaminya untuk menghubungi ambulans.


Selepas ujian imbasan dilakukan, doktor menyedari bahawa tulang C6 dan C7 di leher Black bergerak ke dalam tulang belakangnya.


"Ia sungguh gila. Tulang C6 dan C7 bergerak ke dalam tulakang belakang apabila saya menguap kerana kekuatan menguap itu. Doktor katakan bahawa ia adalah kejadian yang sangat pelik," kata Hayley.


"Ibu saya memberitahu bahawa doktor menjangkakan saya mempunyai peluang 50/50 sama ada boleh berjalan dan berpotensi untuk terus hidup," tambahnya.


Black bagaimanapun bernasib baik apabila dia menjalani pembedahan segera dan cuma perlu menggunakan kerusi roda selama enam bulan serta harus mempelajari untuk berjalan semula.


Bagaimanapun, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerosakan saraf kekal dan parut trakea di mana doktor telah membuang cakera di lehernya.


Black mengalami patah leher kerana menguap terlalu kuat. - Foto Kennedy News.
Kertas siasatan kes 'Inspektor Sheila' siap, tunggu arahan lanjut TPR

Kertas siasatan kes 'Inspektor Sheila' siap, tunggu arahan lanjut TPR


Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes wanita dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' yang didakwa memperlekeh dan mempersoalkan tindakan anggota polis ketika menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki warga Pakistan, baru-baru ini.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kertas siasatan berkenaan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini dan pihaknya kini menunggu arahan selanjutnya.


"Untuk makluman, kertas siasatan kes Inspektor Sheila telah dilengkapkan dan telah dirujuk ke Pejabat Yang Arif TPR pada hari ini. Kita sedang menunggu arahan lanjut," katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.


Kes tersebut membabitkan kejadian pada malam Selasa lalu di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, apabila polis melakukan pemeriksaan terhadap lelaki warga Pakistan yang didapati memandu tanpa lesen.


Namun, wanita berkenaan didakwa mempertikai tindakan anggota bertugas serta menuduh mereka tidak mengetahui undang-undang selain mendakwa polis mengugut warga asing itu.


Susulan laporan dibuat, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghina.


Terdahulu, tular satu video di media sosial yang dimuat naik wanita sama, mendakwa anggota polis terbabit mengugut lelaki Pakistan berkenaan.


Difahamkan, Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023, seiring beberapa kes lain yang pernah dikaitkan dengannya termasuk menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.


Tangkap layar video tular menunjukkan 'Inspektor Sheila' menuduh anggota polis mengugut seorang penunggang motosikal warga Pakistan.

Ahad, 9 November 2025

Polis Thailand tahan lelaki Malaysia tipu wang tunai warga tempatan RM426,00

Polis Thailand tahan lelaki Malaysia tipu wang tunai warga tempatan RM426,00


Polis Diraja Thailand menahan seorang lelaki warganegara Malaysia pada Jumaat selepas disyaki menyamar sebagai pegawai kerajaan untuk menipu mangsa dan memperoleh wang tunai melebihi 3.3 juta baht (kira-kira RM426,000).


Ketua Bahagian Polis Metropolitan 2, Mej Jen Kiattikul Sonthanan, berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan di daerah Don Mueang, Bangkok, berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Thonburi pada 7 November atas kesalahan penipuan dengan menyamar sebagai individu lain.


Beliau berkata suspek yang dikenali sebagai Tan dari Sabah itu ditahan di sebuah hotel di Soi Saranakhom 3, Don Mueang.


"Polis turut merampas pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian, sebuah beg galas hitam, dua telefon bimbit, satu sampul kad SIM AIS kosong, empat kad SIM Singapura yang belum digunakan, satu kad SIM kosong dan tiga kad debit asing," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat Sabtu.


Penahanan itu dibuat susulan laporan oleh seorang mangsa berusia 70 tahun yang mendakwa menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai polis dari Balai Polis Mueang Khon Kaen.


Individu terbabit mendakwa akaun bank mangsa terpalit dalam kegiatan keldai akaun dan pengubahan wang haram.


Suspek kemudian menghantar mesej, dokumen palsu serta membuat panggilan video bagi membincangkan aset mangsa, sebelum mengarahkan mangsa menyediakan wang dan barangan berharga untuk "pemeriksaan."


"Mangsa yang terpedaya, bertindak mengeluarkan wang tunai, menjual barangan peribadi dan menyerahkan sejumlah 3.3 juta baht kepada suspek," katanya.


Kiattikul berkata mangsa hanya membuat laporan polis selepas menyedari wang berkenaan tidak dipulangkan seperti dijanjikan.


Penyiasat dari Don Mueang kini bekerjasama dengan polis Thung Khru bagi memperluas siasatan dan menjejaki anggota lain sindiket penipuan itu, kata beliau.


Penyiasat dari Don Mueang kini bekerjasama dengan polis Thung Khru bagi memperluas siasatan dan menjejaki anggota lain sindiket penipuan itu. - Foto Bernama.
Pelumba haram dikejar polis rempuh bar, 4 hilang nyawa dan 11 cedera

Pelumba haram dikejar polis rempuh bar, 4 hilang nyawa dan 11 cedera


Sekurang-kurangnya empat orang meninggal dunia, manakala 11 lagi cedera apabila kenderaan yang hilang kawalan merempuh sebuah bar di negeri Florida, lapor akhbar The Sun UK.


Kejadian berlaku di bar Bradley, 7th Avenue dalam bandar Tampa semalam.


Pemandu kenderaan yang dikenali sebagai Silas Sampson, 22, didakwa merempuh berpuluh-puluh orang ketika cuba melarikan diri daripada polis kerana kesalahan memandu secara berbahaya.


Polis Tampa berkata, tiga pelanggan ditemui mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital.


"Kira-kira 11 orang cedera, dengan salah seorang daripada mereka kritikal," kata polis.


Kesemua mangsa merupakan orang dewasa, demikian menurut pihak berkuasa.


Suspek diberkas di tempat kejadian menjelang pukul 1 pagi (waktu tempatan).


"Suspek memandu kenderaan pada kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan lalu merempuh lebih 12 orang yang berada di luar bar tersebut," tambah polis.


Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.


Kereta milik suspek yang remuk selepas melanggar sebuah bar di Tampa, Florida. - Foto Fox 13.

Sabtu, 8 November 2025

Penerima bantuan malu rumah ditampal pelekat bertulis 'Keluarga Miskin'

Penerima bantuan malu rumah ditampal pelekat bertulis 'Keluarga Miskin'


Seorang lelaki di Branjangan, wilayah Jawa Tengah mengundang perhatian ramai selepas enggan membenarkan pekerja menampal pelekat bertulis 'keluarga miskin' untuk penerima bantuan kerajaan.


Kejadian berlaku di Desa Tepi Sungai, daerah Bangkong semalam.


Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @lambe_turah menunjukkan lelaki terbabit memarahi seorang pekerja yang ingin menampal pelekat bertulis 'Keluarga Miskin Penerima yang Berhak Menerima Bantuan Pemerintah'.


Dia berulang kali menolak pelekat itu ditampal, dipercayai malu kerana rumahnya besar dan memiliki sebuah kereta.


"Tampalan pelekat merupakan arahan daripada pemerintah dan wajib untuk semua penerima bantuan. Kalau enggan, nama anda akan dibuang dalam sistem," kata pekerja itu dalam video.


Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi.


"Penerima bantuan siap ada kereta, rumah," kata seorang netizen.


"Ini namanya tamak," kata pengguna media sosial lain.


Lelaki itu memarahi seorang pekerja yang ingin menampal pelekat 'Keluarga Miskin' di hadapan rumahnya. - Foto Instagram.

Jumaat, 7 November 2025

Seorang lelaki maut selepas makan telur cicak panggang

Seorang lelaki maut selepas makan telur cicak panggang


Seorang lelaki di Kemboja meninggal dunia akibat keracunan makanan, dipercayai selepas memakan telur cicak yang dipanggang, lapor portal berita Must Share News.


Khut Ratana, 34, ditemukan tidak bernyawa sekitar pukul 8.10 pagi (waktu tempatan) di perkampungan Russey Krak, Banteay Meanchey pada 29 Oktober lalu.


Polis berkata, dua kanak-kanak berumur 10 tahun memberitahu bahawa mereka melihat Ratana minum minuman keras di bawah rumahnya sebelum seekor cicak melompat berhampirannya.


"Cicak itu ditangkap, kulitnya disiat lalu dibakar. Ratana kemudian memakan daging dan telur haiwan tersebut.


"Biarpun diberitahu tentang risiko memakan telur cicak, Ratana tidak mengendahkan amaran.


"Pada keesokan pagi, ibu kepada kanak-kanak itu mendapati Ratana telah meninggal dunia di bawah buaian dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa," kata polis.


Polis dan pakar forensik mengesahkan bahawa kematian Ratana berpunca daripada keracunan makanan.


Ratana memakan daging dan telur cicak selepas ia dipanggang. - Foto Khmer Times/Canva.
Pemilik disaman, kucing peliharaan sering ceroboh rumah jiran tinggalkan 'taik'

Pemilik disaman, kucing peliharaan sering ceroboh rumah jiran tinggalkan 'taik'


Seorang pemilik kucing di Perancis berdepan tindakan undang-undang selepas haiwan peliharaannya didakwa kerap menceroboh kawasan jiran sehingga menyebabkan kerosakan termasuk kesan tapak kaki pada dinding, air kencing di atas selimut dan najis di taman.


Pemiliknya, Dominique, 70, dari wilayah Hérault, Perancis berkata, dia terkejut apabila menerima notis saman daripada jirannya yang tidak didedahkan identiti.


Pada Januari lalu, mahkamah memutuskan pemilik kucing itu bersalah dan didenda 1,250 euro (RM6,190), selain berdepan penalti tambahan jika Remy melintasi pagar jiran itu lagi.


"Apabila menerima notis sabitan, saya ibarat dipukul teruk.


"Sejak keputusan itu, saya terpaksa kurung Remy dalam rumah. Dia jadi gemuk dan agresif. Saya tak berani lepaskan dia ke taman sendiri kerana bimbang dia melompat pagar.


"Seolah-olah dia kena hukuman tahanan rumah," kata Dominique kepada akhbar Le Parisien.


Dominique mempersoalkan keputusan mahkamah apabila jiran tersebut tidak dapat membuktikan Remy satu-satunya kucing yang berkeliaran, memandangkan terdapat banyak kucing lain termasuk yang terbiar di kawasan itu. Namun, hakim tetap berpihak kepada plaintif.


Kes tersebut masih belum berakhir apabila Dominique sekali lagi dipanggil ke mahkamah Disember ini, selepas Remy didakwa kembali menceroboh halaman jiran berkenaan.


Jika sabit kesalahan, Dominique bakal berdepan denda tambahan 2,000 euro (RM9,890) dan penalti harian 150 euro (RM740).


Kes ganjil ini menarik perhatian kumpulan hak asasi haiwan di Perancis yang menyifatkan keputusan mahkamah itu menafikan naluri semula jadi kucing yang suka menjelajah persekitaran mereka.


Tahun lalu, satu kes hampir sama berlaku apabila sepasang suami isteri disaman kerana ayam jantan peliharaan mereka berkokok terlalu kuat.


Kucing diberi nama Remy didakwa menceroboh rumah jiran dan merosakkan harta benda penduduk. - Foto Agensi.