Khamis, 30 Oktober 2025

Marahkan isteri kerana curang, suami roboh rumah sendiri guna jengkaut

Marahkan isteri kerana curang, suami roboh rumah sendiri guna jengkaut


Seorang suami di Sragen, wilayah Jawa Tengah nekad merobohkan rumahnya sendiri gara-gara marah selepas mendapat tahu bahawa isterinya berlaku curang, lapor laman berita Lambe Turah hari ini.


Dalam satu video tular yang dimuat naik di platform TikTok, sebuah jengkaut dilihat merobohkan sebuah rumah, sedikit demi sedikit hingga akhirnya menjadi rata.


Jentera berat itu dikendalikan oleh lelaki itu sendiri, yang dikatakan sudah hilang sabar dengan sikap isterinya.


"Lagi insiden kecurangan sehingga rumah dirobohkan di Sragen. Kecurangan membuatkan si suami marah," kata keterangan video tersebut.


Sejumlah penduduk setempat juga dilihat memerhatikan kejadian tersebut sambil menunjukkan reaksi terkejut dengan tindakan si suami.


Bagaimanapun, lelaki tersebut tetap meneruskan tindakan itu meskipun ia merupakan rumah hasil daripada titik peluhnya sendiri.


Video itu menerima pelbagai komen pengguna media sosial dengan ada yang berpendapat ia adalah salah satu cara seseorang menzahirkan kemarahan akibat dicurangi.


Sebilangan netizen pula mengecam tindakan tersebut kerana ia dianggap merugikan harta benda yang dibangunkan dengan wang sendiri.


Si suami mengendalikan sendiri jengkaut ketika merobohkan rumahnya. - Foto TikTok.
Datuk bandar dikecam 'check in' hotel bersama suami orang

Datuk bandar dikecam 'check in' hotel bersama suami orang


Seorang datuk bandar di Jepun menerima kecaman ramai selepas mengaku menginap lebih 10 kali di sebuah 'hotel cinta' dengan rakan sekerjanya yang sudah berkahwin, lapor portal berita Must Share News.


Datuk Bandar Maebashi, Akira Ogawa, 41, mengadakan sidang akhbar selepas berita dia bermalam di 'hotel cinta' dengan pegawai bawahan itu tular.


Ogawa mengaku melawat hotel itu dengan pekerja terbabit, namun beliau menafikan mereka menjalinkan hubungan sulit.


Tambah Ogawa, mereka menginap di hotel tersebut lebih 10 kali sejak Februari lalu.


"Ini adalah untuk mengelakkan pandangan serong dan membincangkan soal kerja dengan lebih selesa," lapor akhbar Chosun Daily memetik kenyataan Ogawa.


Pasangan itu pada awalnya bertemu di restoran, namun pekerja tersebut mencadangkan Ogawa untuk pergi ke hotel.


Beliau turut menanggung semua perbelanjaan bagi setiap penginapan di hotel tersebut.


Ogawa menyesal kerana tindakannya mencetuskan salah faham dan berhasrat untuk meneruskan peranan sebagai datuk bandar.


Ogawa memberikan penjelasan dalam sidang akhbar di Maebashi, Jepun. - Foto ANN.

Rabu, 29 Oktober 2025

Misteri 'awan hitam' jatuh dari langit gempar penduduk Jawa Barat

Misteri 'awan hitam' jatuh dari langit gempar penduduk Jawa Barat


Penduduk di daerah Subang, Jawa Barat gempar dengan kemunculan beberapa gumpalan menyerupai 'awan hitam' yang jatuh ke kawasan pertanian dan sawah padi, lapor portal berita DetikJabar hari ini.


Kejadian luar biasa itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang tertanya-tanya sama ada fenomena tersebut ada kaitan dengan aktiviti semula jadi atau cuaca ekstrem.


Namun, Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Bandung mengesahkan bahawa fenomena berkenaan bukan disebabkan oleh proses semula jadi.


"Berdasarkan hasil kajian awal aspek meteorologi, fenomena tersebut tidak termasuk dalam kejadian alam yang disebabkan oleh proses cuaca, awan atau aktiviti atmosfera lain," kata Ketua BMKG Bandung, Teguh Rahayu dalam kenyataannya hari ini.


Hasil pemerhatian menunjukkan gumpalan hitam itu kemungkinan besar berpunca daripada aktiviti di permukaan bumi, bukan daripada proses atmosfera.


"Namun, bagi memastikan sumber serta kandungan bahan tersebut, disarankan agar pemeriksaan lanjut dilakukan oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar atau Agensi Pengurusan Bencana Daerah setempat," tambahnya.


'Awan hitam' yang jatuh di Subang kelmarin. - Foto TikTok@infobandungselatan.

Selasa, 28 Oktober 2025

'Lelaki miliki seorang isteri amat rugi' - Senator Nigeria

'Lelaki miliki seorang isteri amat rugi' - Senator Nigeria

 



Seorang senator Nigeria, Ned Nwoko menjadi perhatian ramai kerana menyindir golongan suami di negara itu yang cuma mempunyai seorang isteri, lapor laman berita Premium Times semalam.


Ahli politik berusia 64 tahun itu kembali menjadi tajuk berita, 10 hari selepas isteri keenamnya, Regina Daniels menuduh beliau memukul wanita tersebut.


Ned menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya menyalahkan tingkah laku pelakon berusia 25 tahun itu terhadap penyalahgunaan dadah, selain menggambarkan isterinya itu sebagai seorang yang ganas dan merosakkan.


"Lelaki yang hanya mempunyai seorang isteri amat rugi," kata Ned di tengah-tengah kemelut rumah tangga dengan Regina.


Kenyataan itu dibuat susulan rakaman temu bual tahun 2020 yang kembali tular di mana beliau menyatakan sokongan penuh terhadap poligami dan mengisyaratkan hasrat untuk mempunyai lebih ramai isteri.


Beliau turut mendedahkan hasrat untuk berkahwin lagi sambil menjelaskan bahawa Regina sudah mengetahui pendiriannya.


Katanya, beliau berasal daripada keluarga poligami dan mempunyai kasih yang mendalam terhadap kanak-kanak.


Gambar fail Ned Nwoko dan isterinya, Regina Daniels. - Foto Threads/Regina.Daniels.
Anwar berlepas ke Korea Selatan Khamis ini, hadiri mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC

Anwar berlepas ke Korea Selatan Khamis ini, hadiri mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlepas ke Korea Selatan pada Khamis ini untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).


"Saya akan berlepas pada Khamis selepas sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen," katanya kepada Bernama selepas sidang media majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur hari ini.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dijadual tiba di Korea Selatan pada Khamis, sehari sebelum mesyuarat APEC berlangsung dari Jumaat, 31 Oktober hingga Sabtu, 1 November.


APEC 2025 akan diadakan di bandar pantai tenggara Gyeongju. Ini merupakan kali kedua Korea Selatan menjadi tuan rumah mesyuarat APEC selepas kali pertama pada tahun 2005.


Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka berlepas ke Korea Selatan hari ini sejurus selesai mesyuarat dua hala antara ASEAN dan Australia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).


Anwar, yang menjadi tuan rumah kepada pemimpin ASEAN serta enam lagi pemimpin negara rakan dialog termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dijangka bertemu semula dengan mereka di Korea Selatan memandangkan negara mereka juga merupakan anggota APEC.


Menurut laporan agensi berita, beberapa pemimpin APEC telah mula tiba di Korea Selatan.


Tema APEC 2025 ialah "Membina Esok yang Mampan" dengan Korea Selatan memberi tumpuan kepada kemajuan perdagangan serantau, kecerdasan buatan (AI) dan kemampanan, termasuk mesyuarat peringkat menteri yang akan membincangkan topik seperti kesihatan, ekonomi digital serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah APEC pada 2020 dalam format maya pertama susulan penularan pandemik Covid-19.


Pusat Kesenian Gyeongju, lokasi utama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC). - Foto Jung Yeon-je/AFP.

Isnin, 27 Oktober 2025

Polis tahan warga China miliki 2,057 kad ATM, rampas wang tunai RM69,334

Polis tahan warga China miliki 2,057 kad ATM, rampas wang tunai RM69,334


Seorang lelaki warga China berusia 35 tahun ditahan di Thailand kerana memiliki beribu-ribu kad mesin juruwang automatik (ATM) milik orang lain tanpa kebenaran, lapor portal berita Thaiger.


Suspek diberkas sekitar pukul 12.04 tengah hari (waktu tempatan) di wilayah Chiang Rai, utara Thailand pada Khamis lalu.


Tangkapan dibuat selepas beberapa anggota polis yang sedang melakukan rondaan mendapati suspek bertindak mencurigakan berhampiran sebuah bank dan cuba melarikan diri.


"Polis menemui sejumlah kad ATM dan slip pemindahan wang di dalam beg suspek.


"Selepas menggeledah bilik hotelnya, polis menemui 2,057 kad ATM, wang tunai 537,900 baht (RM69,334) dan dokumen yang mengandungi maklumat akaun serta kad-kad tersebut.


"Suspek memberitahu bahawa dia bertindak atas arahan seorang warga China yang menghubunginya melalui aplikasi pemesejan, Lark.


"Dia diarah untuk mengeluarkan dan memindahkan wang sebagai sebahagian daripada rangkaian jenayah siber yang lebih besar," kata Komander Polis Chiang Rai, Mejar Jeneral (Polis) Manop Senakul.

 

Polis tunjuk kad ATM dan wang tunai yang dirampas daripada suspek. - Foto The Nation.

Perjanjian perdagangan AS-Malaysia tidak jejas kedaulatan Malaysia - Duta Besar AS

Perjanjian perdagangan AS-Malaysia tidak jejas kedaulatan Malaysia - Duta Besar AS


Amerika Syarikat (AS) tidak melihat perjanjian perdagangan yang ditandatangani bersama Malaysia menjejaskan kedaulatan negara ini.


Sebaliknya, Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard Kagan, berkata beliau percaya keputusan Malaysia bagi menjalinkan hubungan dengan lebih rapat dengan AS melalui perjanjian perdagangan itu dibuat secara berdaulat oleh kerajaan negara ini.


"Saya langsung tidak bersetuju dengan dakwaan itu. Perkara utama di sini ialah apabila kita bergerak ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi dalam aktiviti ekonomi, maka perlunya wujud kerjasama yang lebih erat.


"Dan saya rasa kita melihat perkara itu dalam banyak bidang. Kita juga menjelaskan sejak beberapa tahun memang ada isu yang kita tidak sependapat, tetapi saya percaya perjanjian ini melindungi kedaulatan Malaysia.


"Keputusan untuk menjalin hubungan lebih rapat dengan AS dibuat secara berdaulat oleh kerajaan Malaysia sendiri. Saya fikir ini mencerminkan dasar kerajaan yang jelas," katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur.


Kunjungan Presiden AS, Donald Trump, semalam ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, menyaksikan beberapa perjanjian ditandatangani antaranya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dan perjanjian untuk menaik taraf hubungan dua hala ke arah Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).


Terdahulu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mendakwa ART yang ditandatangani Malaysia dilihat bukanlah satu bentuk timbal balik seperti yang digambarkan, sebaliknya adalah satu bentuk penyerahan terhadap AS.


Mohamed Azmin mendakwa salah satu klausa paling merugikan ialah Artikel 5.1, yang mewajibkan Malaysia mengikut sekatan perdagangan atau sekatan ekonomi AS terhadap negara lain.


Pada masa sama, Kagan berkata, kejayaan memeterai perjanjian perdagangan yang dibuat dengan semangat sahabat, menunjukkan AS menghormati kedaulatan Malaysia sepanjang proses itu berlangsung.


"Jika kita imbas kembali pada bulan April, apa yang dikatakan pembangkang di Malaysia? Mereka berkata Malaysia memerlukan satu perjanjian dengan AS.


"Terdapat pandangan meluas, dan saya percaya pandangan itu masih kekal, bahawa adalah sangat penting bagi Malaysia untuk terus mempunyai hubungan perdagangan istimewa dengan AS," katanya.


Kagan turut mengulas mengenai Artikel 5.3 yang menyatakan bahawa jika Malaysia ingin memeterai perjanjian perdagangan bebas baharu dengan negara lain, ia mesti mendapat persetujuan AS sekiranya negara itu berpendapat perjanjian terbabit boleh menjejaskan kepentingannya.


Katanya, beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu penyerahan kedaulatan, sebaliknya ia lebih kepada pengiktirafan ketika dua negara berkenaan memasuki fasa baharu dalam hubungan dua hala.


"Saya fikir begitulah hubungan antara rakan kongsi rapat berfungsi. Sekiranya AS melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan Malaysia, contohnya menandatangani perjanjian yang mengancam kepentingan Malaysia, kita juga mengharapkan kerajaan Malaysia akan membangkitkannya dengan kami.


"Begitu juga sebaliknya. Jadi saya tidak melihat ini sebagai penyerahan kedaulatan, tetapi lebih kepada pengiktirafan bahawa kita sedang memasuki fasa baharu dalam hubungan dua hala," katanya.


Beliau berkata, Malaysia tidak seharusnya kehilangan akses kepada pasaran eksport keduanya yang terbesar hanya kerana isu terbabit dalam perjanjian berkenaan.


Katanya, Malaysia tidak rugi dengan perkembangan itu kerana negara memperoleh akses kepada pasaran AS yang amat penting dalam pembangunan ekonomi negara dan menjadi salah satu pasaran eksport terbesar di dunia.


"Ini adalah sebahagian daripada proses rundingan. Dalam mana-mana rundingan, ada perkara yang kita peroleh, dan ada yang kita lepaskan.


"Dari perspektif AS pula, ada yang mungkin bukan ideal bagi kami, tetapi keseluruhannya, perjanjian ini amat menguntungkan kedua-dua pihak.


"Ia memberikan kepastian, kestabilan, dan hala tuju kepada hubungan perdagangan yang seimbang yang dalam jangka panjang sangat baik bukan sahaja untuk rakyat Malaysia dan AS, tetapi juga untuk ekonomi global secara keseluruhan," katanya.


Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan pada sidang media pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur. - Foto Harian Metro.

Ahad, 26 Oktober 2025

Trump tiba di Malaysia, sempat bermesra dengan barisan penari di Kompleks Bunga Raya

Trump tiba di Malaysia, sempat bermesra dengan barisan penari di Kompleks Bunga Raya


Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat ke-13 serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 yang berlangsung selama dua hari.


Pesawat Air Force One itu mendarat sekitar jam 9.54 pagi, dan ketibaan Trump disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta Duta Besar Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D. Kagan.


Menariknya, Trump sempat bermesra dan menari dengan barisan penari Malaysia yang telah bersedia di dataran untuk menyambut ketibaan beliau.



Lawatan ini merupakan sebahagian daripada rangka lawatan Asia beliau (Trump) yang turut merangkumi Jepun dan Korea Selatan.


Di Malaysia, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, membincangkan isu perdagangan, keselamatan serantau dan kerjasama rakyat-ke-rakyat.


Antara agenda utama ialah penandatanganan dokumen kerjasama perdagangan dan keselamatan, serta penglibatan Trump dalam perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand yang dijangka dimeterai semasa sidang kemuncak.


Kehadiran Trump ke Malaysia dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh hubungan Amerika Syarikat dengan rantau Asia Tenggara, khususnya dalam konteks ketegangan geopolitik global dan persaingan kuasa besar.


Menariknya, Trump sempat bermesra dan menari dengan barisan penari Malaysia yang telah bersedia di dataran untuk menyambut ketibaan beliau. - Foto REUTERS.
Pemandu treler diikat, ditutup mata dan dilarikan lebih 30 kilometer sebelum ditinggal di tepi jalan

Pemandu treler diikat, ditutup mata dan dilarikan lebih 30 kilometer sebelum ditinggal di tepi jalan


Seorang pemandu treler ditemui dalam keadaan terikat dan mata ditutup di tepi jalan selepas dilarikan oleh tiga lelaki sejauh 34 kilometer dari Bentong ke Raub pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, seorang lelaki terdengar jeritan meminta tolong oleh mangsa berusia 37 tahun di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan, di Raub.


Menurutnya, sepasukan anggota peronda polis kemudian digerakkan ke lokasi sebelum membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk tindakan lanjut.


"Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai pemandu treler membawa muatan besi dari Balakong, Selangor ke Gua Musang, Kelantan, singgah berehat di sebuah warung makan di sempadan Bentong–Raub untuk mandi dan menukar pakaian.


"Selepas selesai mandi, mangsa didatangi tiga lelaki yang terus mengikat tangannya menggunakan pengikat kabel sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kereta," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.


Ujarnya, selepas kira-kira sejam berada di dalam kenderaan itu, mangsa diturunkan di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan dalam keadaan mata ditutup dengan pita pelekat hitam.


Jelasnya, siasatan turut mendapati motif utama kumpulan suspek adalah untuk melarikan lori treler yang membawa muatan besi terbabit.


Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini dalam keadaan stabil.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan," jelasnya.


Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan sekeliling, terutama ketika berhenti di kawasan terpencil pada waktu malam.


Ujarnya, sebarang maklumat berkaitan kejadian atau individu mencurigakan boleh disalurkan terus ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.


Keadaan mangsa yang ditemui dalam keadaan tangan terikat dan mata ditutup pelekat hitam di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan, Raub pada Jumaat. - Foto Sinar Harian.

Sabtu, 25 Oktober 2025

Naib Ketua Pemuda PAS Johor maut kemalangan, tak sempat elak kenderaan berhenti laluan kecemasan

Naib Ketua Pemuda PAS Johor maut kemalangan, tak sempat elak kenderaan berhenti laluan kecemasan


Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) meninggal dunia selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan hadir satu program parti di Kilometer 48.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di Johor Bahru hari ini.


Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Johor, Mohd Ridhwan Salamun berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian menimpa Allahyarham Muhammad Ariff Haron, 33, jam 11.54 pagi.


Katanya, Allahyarham menunggang motosikal dan terbabit kemalangan dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke program Pemukiman Pemuda PAS Negeri Johor di Pagoh.


"Difahamkan, Allahyarham menghantar tiga anak dan isterinya di rumah mentuanya, di Ulu Tiram dengan menaiki kereta, awal pagi hari ini.


"Bagaimanapun, Allahyarham menunggang motosikal seorang diri dari rumah mentuanya ke Pagoh untuk menghadiri program itu.


"Allahyarham tidak sempat mengelak sebuah kenderaan yang sedang berhenti di laluan kecemasan.


"Mangsa parah dan terbaring atas jalan sebelum dibantu sekumpulan penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Ridhwan berkata Muhammad Ariff yang juga Pengetua di Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Negeri Johor adalah seorang yang sangat komited dan gigih menjalankan tugas.


"Sifatnya tenang, lemah lembut dalam pertuturan, namun tegas dalam prinsip.


"Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat keluarga, sahabat perjuangan serta seluruh warga besar PAS Johor," katanya memaklumkan jenazah sudah dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran hari ini.


Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak masih kecil dengan yang sulung berusia enam tahun.


Allahyarham Muhammad Ariff meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 48.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di Johor Bahru hari ini. - Foto DPPNJ.