Khamis, 2 Januari 2025

Polis tahan 5 wanita serang, pukul janda di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel

Polis tahan 5 wanita serang, pukul janda di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel


Polis tahan lima wanita berusia antara 16 hingga 62 tahun termasuk dua beranak selepas disyaki menyerang dan memukul seorang wanita di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di Tawau, Isnin lalu (30 Disember).


Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mereka itu ditahan susulan laporan dibuat mangsa pada 4.41 petang semalam (Rabu).


Menurutnya, mangsa dalam laporannya mendakwa kejadian berlaku pada 11 pagi ketika dia mahu memasuki kenderaan sebelum mendapati empat tayar Proton X50 itu pancit.


"Tidak lama kemudian, dia didatangi oleh lima orang wanita yang tidak dikenali sebelum menyerang dan memukul pengadu hingga mengakibatkan dia mengalami beberapa kecederaan dan pendarahan di muka, belakang dan sebelah kiri kepala.


"Pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh abang mangsa yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu," katanya ketika di hubungi hari ini.


Jasmin berkata, mangsa juga turut mendakwa barang kemas miliknya iaitu seutas gelang tangan emas dan sepasang anting-anting dianggarkan bernilai RM4,000 hilang dipercayai diambil oleh seorang daripada suspek terbabit.


Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa berusia 36 tahun berstatus janda yang mempunyai seorang anak dan mengenali seorang lelaki yang tinggal sekampung sebelum menjalin hubungan sebagai pasangan kekasih lebih kurang sebulan.


"Punca kejadian disebabkan mangsa dituduh sebagai perampas suami orang. Bagaimanapun, mangsa mendakwa hanya mengetahui teman lelakinya itu masih bujang," katanya.


Sementara itu, Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan permohonan perintah tahanan reman oleh pegawai penyiasat Inspektor Robiatul Adawiyah Japri ke atas semua suspek sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.


Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan terima laporan dari seorang wanita yang mendakwa diserang kerana dituduh menjalinkan hubungan dengan suami orang. - Foto Harian Metro.

Rabu, 1 Januari 2025

13 individu cedera, kereta dipandu warga emas rempuh pasar tradisional

13 individu cedera, kereta dipandu warga emas rempuh pasar tradisional


Sekurang-kurangnya 13 orang cedera di Seoul selepas sebuah kereta merempuh pasar tradisional, lapor laman berita Sputnik/RIA Novosti, memetik agensi berita Yonhap.


Kejadian itu berlaku pada Selasa apabila seorang lelaki berusia 73 tahun memandu sedannya merempuh orang ramai di Pasar Mokdong Kkaebi di barat daya Seoul, kata polis.


"Saya memecut untuk mengelak bas di hadapan saya dan kemudian menekan brek berhampiran gerai pasar.


"Bagaimanapun, saya tidak ingat dengan jelas apa yang berlaku seterusnya," kata pemandu itu, yang ujian alkohol dan dadah menunjukkan keputusan negatif.


Bagaimanapun, dia tidak menyatakan bahawa kejadian itu disebabkan oleh pecutan kereta itu secara tiba-tiba, kata polis.


Penguatkuasa undang-undang Seoul berkata ia akan menyiasat perkara itu menggunakan rakaman daripada kamera pengawasan pasar.


Sekurang-kurangnya 13 orang cedera di Seoul selepas sebuah kereta merempuh pasar tradisional. - Foto Sinar Harian.

Selasa, 31 Disember 2024

Aktivis Fahmi Reza ditahan polis berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan

Aktivis Fahmi Reza ditahan polis berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan


Aktivis yang juga pereka grafik, Fahmi Reza ditahan bagi membantu siasatan susulan 30 laporan polis berhubung karikatur penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memberitahu, pereka grafik itu diberkas kira-kira pukul 5 petang selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang semalam.


Katanya, Fahmi ditahan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas perbuatan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.



"Siasatan masih dijalankan dan reman akan dipohon pagi ini mengikut prosedur Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi memudahkan proses siasatan," katanya.


Perintah reman terhadap Fahmi dikeluarkan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali, di Mahkamah Majistret di Kota Kinabalu hari ini.


Karikatur kontroversi itu menggambarkan Musa Aman memakai tanjak dengan wang kertas RM100 di dalam mulutnya. Versi awal karikatur tersebut turut memaparkan frasa "Perasuah Nombor Satu Sabah" dalam Bahasa Melayu.


Musa Aman dilantik Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 17 Disember dan akan memulakan tugas pada 1 Januari 2025.


Sebelum ini, dia menghadapi 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram tetapi telah dibebaskan.


Menurut hantaran media sosial Fahmi, dia memaparkan poster tersebut pada dinding di Asia City, Kota Kinabalu, pada 27 Disember yang diturunkan hanya beberapa jam kemudian.


Pelbagai kumpulan dan individu telah mengecam penahanan Fahmi, menuntut pembebasannya segera serta mengkritik tindakan undang-undang terhadapnya sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara. - Sumber Malaysia Kini.


Fahmi Reza ditahan reman selama sehari bermula hari ini atas siasatan kes membabitkan karikatur Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman. - Foto Facebook/Fahmi Reza.

Isnin, 30 Disember 2024

Lelaki tumbuk muka, pukul kepala pekerja kedai makan dengan penutup tong sampah ditahan

Lelaki tumbuk muka, pukul kepala pekerja kedai makan dengan penutup tong sampah ditahan


Polis telah menahan seorang lelaki yang menumbuk dan memukul kepala seorang pekerja sebuah kedai makan dengan penutup tong sampah di Machang Bubok, Bukit Mertajam yang tular di media sosial.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata suspek kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.


Menurutnya, polis mengesan video yang dimuatnaik melalui laman sosial Facebook (FB) berdurasi satu minit dan 36 saat sekitar jam 10 pagi tadi.


"Kejadian memaparkan individu dipukul di sebuah kedai makan yang mana siasatan lanjut mendapati insiden berlaku kelmarin (27 Disember) kira-kira jam 2.45 pagi.


"Suspek didapati telah menumbuk muka mangsa beberapa kali serta memukul kepala mangsa menggunakan penutup tong sampah.


"Polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan tangkapan terhadap suspek dilakukan yang mana dia kini direman hingga esok bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Jelasnya, punca kejadian berkaitan perselisihan faham isu peribadi dan tiada kaitan dengan isu perkauman sepertimana yang didakwa.


"Siasatan lanjut masih lagi diteruskan dan kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat keselamatan awam dan harta benda," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan.


Tangkap layar video tular memaparkan lelaki memukul dan menumbuk pekerja kedai makan. - Foto media sosial.

Ahad, 29 Disember 2024

Pemandu mabuk, tiada lesen rempuh pintu bank di Tawau

Pemandu mabuk, tiada lesen rempuh pintu bank di Tawau


Tindakan seorang lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol menyebabkan kenderaan yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pintu sebuah premis bank dalam kejadian di Jalan Mahkamah Tawau pada awal pagi Ahad (hari ini).


Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, pemandu berusia 25 tahun turut didapati tiada lesen memandu.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga di lokasi tersebut.


"Hasil siasatan mendapati, lelaki tersebut memandu seorang diri dari Bandar Tawau menuju ke rumahnya di Tanjung Batu.


"Pemandu yang tiada lesen memandu turut didapati memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan dan kerosakan harta benda apabila melanggar pintu bank di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Bagaimanapun Jasmin berkata, kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kecederaan tetapi pemandu tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020)," katanya.


Sebelum itu, tular satu video berdurasi lapan saat memaparkan sebuah kenderaan dilihat berada di dalam premis sebuah bank di Tawau.


Sebuah kenderaan merempuh pintu sebuah premis bank di Tawau. - Foto Sinar Harian.

Sabtu, 28 Disember 2024

Kapal angkasa NASA tidak terbakar selepas lakukan misi paling hampir dengan matahari

Kapal angkasa NASA tidak terbakar selepas lakukan misi paling hampir dengan matahari


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) secara rasmi mencipta sejarah apabila sebuah kapal angkasa miliknya berada paling hampir dengan Matahari, lapor portal berita Daily Mail pada 27 Disember 2024.


Agensi angkasa lepas milik Amerika Syarikat (AS) itu mengesahkan bahawa kapal angkasa dikenali sebagai Parker Solar Probe terselamat ketika menghampiri Matahari dan kini beroperasi seperti biasa.


Agensi itu memaklumkan bahawa pasukan operasi di makmal fizik gunaan Universiti Johns Hopkins di Maryland menerima isyarat, iaitu nada suar, daripada probe itu sejurus sebelum tengah malam Khamis.


Kapal angkasa itu dijangka menghantar data telemetri terperinci tentang statusnya pada 1 Januari.


Kapal angkasa itu dilancarkan dari Cape Canaveral, negeri Florida pada Ogos 2018 sebelum memulakan perjalanan sejauh 149,668,992 kilometer menuju ke orbit Matahari.


"Parker Solar Probe telah 'menelefon' (menghubungi) ke rumah (pangkalan NASA di Florida)!


"Selepas berada hanya 6.1 juta kilometer dari permukaan Matahari pada 24 Disember lalu yang merupakan penerbangan terdekat dalam sejarah, kami telah menerima isyarat daripada Parker Solar Probe mengesahkan kapal angkasa itu selamat," kata NASA di platform X.


Semasa penerbangan, Parker Solar Probe menempuh suhu sehingga 982 darjah Celsius sambil bergerak pada kelajuan 692,017 kilometer sejam tetapi perisai haba melindungi kapal angkasa itu dengan berkesan.


Selain memecahkan rekod, saintis-saintis berharap misi itu akan membolehkan mereka mengukur cara material dipanaskan hingga berjuta-juta darjah Celsius, mengesan asal usul angin Matahari dan mempelajari cara zarah bertenaga mencapai hampir kelajuan cahaya. - Sumber Daily Mail.


Ilustrasi artis kapal angkasa NASA berada dekat dengan matahari. - Foto AFP.

Khamis, 26 Disember 2024

Lelaki ceroboh bangunan 'nak tangkap hantu' dipenjara 3 bulan

Lelaki ceroboh bangunan 'nak tangkap hantu' dipenjara 3 bulan


Pembantu kedai cuci kenderaan dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas pertuduhan menceroboh bangunan untuk melakukan aktiviti paranormal, Sabtu lalu.


Muhammad Haikal Mesrol, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bangunan terbiar milik pengurus berusia 66 tahun, di Bukit Pasir, Batu Pahat, 7.10 pagi, 21 Disember lalu.


Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan berkuatkuasa dari tertuduh ditahan, 21 Disember lalu.


Muhammad Haikal Mesrol, 24, dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh bangunan untuk melakukan aktiviti paranormal. - Foto Harian Metro.
Cucu rakam, simpan video lucah nenek dipenjara serta didenda RM4,000

Cucu rakam, simpan video lucah nenek dipenjara serta didenda RM4,000


Seorang lelaki yang merakam dan menyimpan video lucah milik ahli keluarga, termasuk neneknya, dipenjara empat hari dan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.


Tertuduh, 23, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.


Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja di kebun sawit didakwa menyimpan video dan gambar lucah dalam telefon miliknya di sebuah rumah di Batu Pahat pada 11.15 malam, 23 Disember lalu.


Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta dan laporan, polis menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubungan pautan yang digunakan tertuduh yang mana ada kaitan dengan video dan lucah dirakamnya.


Sebaik menerima maklumat itu, polis menyerbu rumah didiami tertuduh bersama ahli keluarga lain dan merampas telefon bimbit miliknya.


Pemeriksaan menemukan beberapa gambar dan video yang dirakam tertuduh. Hasil soal siasat, tertuduh mengaku bahan lucah itu milik nenek, ibu saudara dan sepupuya.


Semua video dan gambar itu dirakam ketika mereka sedang mandi dan juga menyalin pakaian dalam bilik.


Berikutan itu, polis menahan tertuduh pada hari sama dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.


Pada prosiding itu, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Tertuduh, Mohammad Fazlie Isa, 23, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku rakam dan miliki video lucah beberapa individu termasuk neneknya. - Foto NSTP.

Rabu, 25 Disember 2024

Doktor wanita belasah penjual roti kerana tak puas hati inti sedikit

Doktor wanita belasah penjual roti kerana tak puas hati inti sedikit


Seorang doktor wanita di Medan, wilayah Sumatera Utara membelasah seorang penjual roti gara-gara tidak berpuas hati terhadap intinya yang sedikit, lapor laman berita DetikSumut, semalam.


Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), doktor tersebut muncul secara tiba-tiba lalu melempar bungkusan roti ke arah penjual berkenaan.


Dia terus menarik rambut penjual roti bernama Fitra Samosir, 26, dan memukulnya tanpa henti serta turut menendang mangsa.


Mangsa berkata, pada hari kejadian, doktor tersebut ada datang membeli roti bakar di gerainya pada waktu petang.


"Dia memang ada datang membeli roti pada waktu petang. Dia memesan roti bakar Bandung coklat keju," kata Fitra sambil menambah, kejadian berlaku pada pukul 7 malam (waktu tempatan) pada 19 Disember.


Ujar Fitra, sebelum doktor itu berlalu pergi, dia ada bertanya punca wanita berkenaan menyerangnya secara tiba-tiba.


"Sebelum pergi barulah dia memberitahu bahawa inti roti bakar itu sedikit," katanya.


Doktor tersebut pada tahun lalu pernah mengundang kontroversi apabila video dia bertengkar dengan seorang wanita lain berhubung tempat parkir di hospital menjadi tular.


Dalam pada itu, Fitra membuat laporan polis berhubung serangan tersebut. - Sumber Detiksumut.


Mangsa dibelasah di hadapan gerainya. - Foto Istimewa.

Selasa, 24 Disember 2024

Isteri nekad bakar suami kaki judi ketika leka bermain judi online

Isteri nekad bakar suami kaki judi ketika leka bermain judi online


Seorang wanita di Kutai Kartanegara, wilayah Kalimantan Timur membakar suaminya ketika lelaki itu leka bermain judi online di rumah mereka, lapor laman berita DetikJogja pada 21 Disember 2024.


Wanita dikenali sebagai LW, 26, bertindak demikian kerana sudah tidak tahan dengan sikap mangsa, AD, 39, yang ketagih bermain judi online.


Dalam kejadian pada 17 Disember lalu, mangsa ketika itu sedang bermain judi menggunakan telefon bimbit milik anak mereka.


LW yang berang lantas menyiram minyak tanah ke atas badan suaminya. Anak mereka yang berada berdekatan turut disambar serpihan api dan mengalami cedera ringan.


Seorang jiran yang terdengar jeritan dari rumah pasangan itu dengan segera datang membantu memadamkan api. Ketiga-tiga mereka kemudian dibawa ke hospital terdekat.


"Kedua-duanya melecur, tetapi bagi lelaki itu lukanya lebih parah, mencapai 80 persen.


"Motif serangan adalah kekecewaan mendalam terhadap suaminya yang ketagih judi online dan menjual barangan berharga termasuk telefon bimbit," kata Ketua Polis Kutai Kartanegara, Inspektor Maryono, Sabtu (21/12/2024).


Mangsa pada awalnya membuat laporan polis terhadap isterinya, namun kemudian menarik balik laporan tersebut dan mengaku bersalah atas sikapnya sendiri. - Sumber Detik.com.


Mangsa berada dalam keadaan stabil. - Foto Polres Kukar.