Selasa, 10 Disember 2024

Pokok besar tumbang, dua pelancong maut di lokasi popular Bali

Pokok besar tumbang, dua pelancong maut di lokasi popular Bali


Sekumpulan pelancong asing yang sedang menikmati percutian di kawasan pelancongan popular di Pulau Bali, Indonesia dikejutkan dengan insiden sebuah pokok besar tumbang, lalu mengakibatkan kecederaan dan kematian.


Dalam kejadian pada tengah hari Selasa (10 Disember 2024) di Monkey Forest, Ubud itu, dua lelaki warganegara asing disahkan terkorban sementara seorang lagi mengalami kecederaan.


Portal berita Kompas hari ini melaporkan, pihak polis Gianyar mengesahkan, dua pelancong asing yang maut itu berasal dari Korea Selatan bernama Kim Hyoeun, 42, dan warga Perancis iaitu Justine Christine, 32. Seorang lagi mangsa yang cedera juga berasal dari Korea Selatan.


"Terdapat salah satu pokok tumbang dan menimpa pengunjung di Monkey Forest. Saat ini tercatat dua orang meninggal dan satu dalam keadaan cedera," ujar kenyataan dari polis.



Buat masa ini, pihak berkuasa telah mengarahkan supaya kawasan pelancongan itu ditutup buat sementara waktu, dan siasatan kini dijalankan berkaitan punca pokok besar itu tumbang.


Monkey Forest terkenal dalam kalangan pelancong yang mahu berkunjung ke tapak kuil tradisional yang terletak dalam kawasan tanah rimba, dan sering kali 'disapa' dengan gelagat kawanan monyet dan kera di situ.


Dalam pelbagai video yang kini tular di media sosial, kelihatan sekumpulan pelancong asing lari bertempiaran apabila menyedari sebuah pokok yang tinggi dan besar tumbang ke arah laluan legar di lokasi tarikan itu.


Ada beberapa pelancong yang sempat menyelamatkan diri manakala ada yang terperangkap di bawah rimbunan dahan dan ranting yang menghempap.


Berkait insiden berkenaan, Ketua Perhubungan Masyarajat Polis Daerah Bali, Jansen Avitus, menasihatkan orang ramai dan para pelancong supaya berwaspada semasa keluar dari rumah.


Dilaporkan, Bali ketika ini turut menerima tempias musim monsun, dan banyak kawasan di sekitar pulau peranginan itu yang dibadai hujan lebat dan angin kencang.


Memetik katanya dari laporan Kompas, cuaca buruk seumpamanya kerap mencetuskan risiko tinggi, terutamanya di daerah yang banyak terdapat pokok-pokok besar di pinggir jalan. - Sumber Kompas.com.


Dalam kejadian pada Selasa di Monkey Forest, Ubud itu, dua lelaki warganegara asing disahkan terkorban sementara seorang lagi mengalami kecederaan. - Foto TribunTrends.

Isnin, 9 Disember 2024

Wanita berusia 60-an dalam rumah maut dirempuh kereta

Wanita berusia 60-an dalam rumah maut dirempuh kereta


Seorang wanita warga emas berusia dalam lingkungan 60-an terbunuh selepas dilanggar sebuah kereta yang merempuh kediamannya dalam kemalangan di timur London, lapor akhbar Metro UK pada 8 Disember 2024.


Kejadian berlaku kejiranan Eastern Avenue, bandar Ilford di England.


Perkhidmatan kecemasan dikerah ke tempat kejadian sekitar pukul 4.10 petang (waktu tempatan) kelmarin selepas menerima laporan kemalangan.



"Sebuah kereta merempuh pejalan kaki, kenderaan lain dan sebuah bangunan.


"Mangsa disahkan meninggal dunia sejurus selepas anggota polis, paramedik dan bomba tiba untuk memberi bantuan.


"Pemandu kenderaan bagaimanapun tidak ditangkap," tambah polis.


Imej mengejutkan menunjukkan bagaimana kereta itu merempuh taman hadapan sebelum melanggar sebuah rumah selepas ia terbabas dari jalan raya.


Pemandu kereta itu berhenti di tempat kejadian dan tidak ditahan tetapi detektif meminta mana-mana saksi atau mereka yang mungkin merakam kemalangan itu pada rakaman kamera pemuka untuk tampil ke hadapan.


Waris wanita itu telah dimaklumkan dan sedang disokong oleh pegawai pakar, kata polis. - Sumber Metro UK.


Sebuah kereta berwarna hitam yang rosak selepas merempuh rumah di Eastern Avenue, Ilford. - Foto UKNIP.

Ahad, 8 Disember 2024

Kereta kuda lumba haram di lebuh raya mengundang kecaman netizen

Kereta kuda lumba haram di lebuh raya mengundang kecaman netizen


Perbuatan sekumpulan penduduk mengadakan perlumbaan kereta kuda di sebuah lebuh raya di India mengundang kecaman orang ramai, lapor portal berita The Indian Express pada 6 Disember 2024.


Kejadian berlaku di Lebuh Raya Ekspres Timur, Mumbai pada Selasa lalu.


Rakaman yang dimuat naik di laman X oleh akaun @thaver_mohamed menunjukkan beberapa 'peserta' menaiki kereta kuda pada kelajuan tinggi.


Lebih mengejutkan, mereka diiringi kumpulan penunggang motosikal yang hadir untuk menyokong dan meraikan peserta.


Menurut polis tempatan, siasatan awal mendapati perlumbaan yang berlangsung antara Ghatkopar hingga Mulund itu dianjurkan tanpa kebenaran.


"Pihak berkuasa sedang giat menjalankan siasatan," tambah polis.


Rakaman itu mencatatkan lebih 1,300 tontonan dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen.


Sebilangan netizen juga menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan awam dan kekejaman haiwan akibat perlumbaan tersebut. - Sumber The Indian Express.


Tangkap layar menunjukkan beberapa peserta menunggang kereta kuda pada kelajuan tinggi di sebuah lebuh raya di Mumbai. - Foto X.

Sabtu, 7 Disember 2024

Tayar bas meletup, 26 maut manakala 28 lagi cedera dalam kemalangan

Tayar bas meletup, 26 maut manakala 28 lagi cedera dalam kemalangan


Sekurang-kurangnya 26 orang maut manakala 28 lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di laluan Issia-Daloa, barat Cote d'Ivoire pada petang Jumaat, menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan negara itu.


Kenyataan itu memaklumkan tragedi berlaku berhampiran kampung Brokoua apabila satu tayar bas mini meletup dan menyebabkan kemalangan antara dua kenderaan, lapor AP News hari ini.


Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Besar Issia, kira-kira 357 kilometer dari Abidjan, hab ekonomi Cote d'Ivoire.


Menurut kenyataan itu, pasukan kementerian telah dihantar ke lokasi kejadian untuk mengenal pasti punca kemalangan.


Secara purata, antara 1,000 hingga 1,500 orang maut setiap tahun dalam kemalangan jalan raya di Cote d'Ivoire, yang mempunyai sekitar 1.5 juta kenderaan di jalan raya, menurut data Kementerian Pengangkutan.


Côte d'Ivoire ialah sebuah negara sub-Sahara di selatan Afrika Barat yang mempunyai jumlah penduduk sekitar 29 juta.


Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Cote d'Ivoire memperkenalkan beberapa langkah untuk mengurangkan jumlah kemalangan maut, termasuk pelaksanaan sistem mata pada lesen memandu, larangan import kenderaan berusia lebih lima tahun, penyelenggaraan jalan raya dan pemasangan kamera. - Sumber AP News.


Ivory Coast Road Accident. - Foto 24 Seven News.

Khamis, 5 Disember 2024

Detik ngeri wanita diserang jerung ketika menyelam

Detik ngeri wanita diserang jerung ketika menyelam


Seorang pesohor media sosial menghadapi detik cemas apabila digigit seekor jerung spesies nurse shark ketika menyelam di Kepulauan Maldives, lapor portal berita Daily Mail pada 4 Disember 2024.


Ketika kejadian baru-baru ini, Lilian Tagliari sedang berenang sambil ditemani kawanan 50 ekor jerung apabila salah seekor daripadanya menggigit betis kanan mangsa.


Dia menjerit sebelum darah tersembur daripada kakinya yang turut mempunyai kesan gigitan jerung tersebut.


Tagliari berkata, jerung itu menyangka dia adalah ikan disebabkan daya penglihatan haiwan tersebut yang teruk.


"Pemandu bot membaling bangkai ikan ke dalam air dan disebabkan nurse shark mempunyai daya penglihatan yang teruk, ia mungkin menyangka kaki saya adalah ikan," ujarnya.


Selepas kejadian, Tagliari mengambil ubat antibiotik bagi mengelakkan jangkitan bakteria dan keadaannya bertambah baik.


Menurut saluran televisyen National Geographic, kebanyakan nurse shark yang boleh membesar sehingga panjang 4.2 meter, tidak berbahaya kepada manusia. - Sumber Daily Mail.


Salah seekor jerung menggigit kaki kanan Tagliari. - Foto Compass Media.

Rabu, 4 Disember 2024

Pemancing ditendang jerung 'terbang' yang muncul secara tiba-tiba dalam kegelapan

Pemancing ditendang jerung 'terbang' yang muncul secara tiba-tiba dalam kegelapan


Sekumpulan pemancing mengalami detik cemas apabila mereka diserang seekor jerung yang melompat naik secara tiba-tiba dari permukaan laut dan mendarat di dalam bot, lapor akhbar The Sun UK pada 3 Disember 2024.


Kejadian berlaku di luar pantai Korea pada 18 November lalu.


Rakaman yang dimuat naik di platform YouTube memaparkan sejumlah orang sedang memancing di atas bot dalam keadaan gelap.


Situasi tenang bertukar ngeri apabila salah seorang pemancing diserang secara mengejut oleh seekor jerung yang 'terbang' dari laut dan menghempaskan badannya ke arah mereka.



Lebih mengerikan apabila jerung tersebut mendarat di dalam bot dan berhempas pulas untuk kembali ke dalam air.


"Selepas jerung itu berhenti bergelut, ia disukat dan ditimbang.


"Kami mendapati jerung itu berukuran 2.2 meter panjang, manakala beratnya melebihi 150 kilogram," kata salah seorang pemancing.


Rakaman itu mencatatkan lebih 1.9 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.


"Wah, ini adalah video memancing Korea terbaik yang pernah saya lihat dalam hidup. Tiada perbandingan," komen seorang netizen. - Sumber The Sun UK.


Tangkap layar menunjukkan seekor jerung yang muncul dalam kegelapan dan menghempaskan badannya ke arah pemancing. - Foto Jam Press.

Isnin, 2 Disember 2024

Lelaki tukang cat positif dadah dituduh belasah suami teman wanitanya

Lelaki tukang cat positif dadah dituduh belasah suami teman wanitanya


"Kalau saya mengaku salah, boleh tak kurangkan hukuman," demikian pertanyaan seorang tukang cat yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Muar, hari ini, atas pertuduhan memukul suami teman wanitanya, bulan lalu.


Tertuduh, Mohd Rashimi Mahmood, 43, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap suami teman wanitanya berusia 42 tahun di hadapan sebuah rumah di Jalan Salleh, Parit Setongkat di Muar, pada jam 6 petang, 27 November lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.


Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa ke rumah tertuduh untuk mengajak isterinya pulang selepas tiga hari berada di situ.


Mangsa pada ketika itu memarahi isterinya namun tertuduh masuk campur urusan rumah tangga pasangan terbabit.


Kemuncaknya apabila tertuduh memukul suami teman wanitanya hingga cedera di perut, lengan dan paha sebelum mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqiilah Ahmad Rofaie manakala tertuduh diwakili Siti Nurashikin Fuaddin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Susulan pengakuan tidak bersalah, mahkamah menetapkan 13 Januari ini untuk serahan dokumen serta membenarkannya diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.


Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.


Di mahkamah sama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana air kencing positif dadah.


Tertuduh mengaku bersalah dengan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 serta perintah penjara lima bulan jika gagal membayarnya.


Tukang cat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar, atas tuduhan mencederakan suami teman wanitanya. - Foto NSTP.

Ahad, 1 Disember 2024

Gara-gara Google Maps, tiga lelaki maut selepas kereta terjunam dari jambatan

Gara-gara Google Maps, tiga lelaki maut selepas kereta terjunam dari jambatan


Tiga lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam dari jambatan yang tidak lengkap dan terjatuh ke dasar sungai ketika menggunakan Google Maps untuk navigasi di Uttar Pradesh, India, pada awal pagi 24 November lalu.


The Straits Times yang memetik laporan beberapa media tempatan India melaporkan, mangsa dalam perjalanan dari Noida ke Bareilly untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan apabila kenderaan mereka jatuh dari jambatan ke Sungai Ramganga.


Beberapa laporan lain pula menyatakan mereka dalam perjalanan pulang selepas perayaan itu.


Mereka dipercayai mengikuti panduan dalam aplikasi navigasi yang membawa kenderaan mereka ke jambatan yang tidak diterangi dengan lampu dan belum lengkap.


Kereta mereka kemudian terjunam lebih 15 meter sebelum terhempas ke bawah jambatan, lapor The Times of India.


Kereta yang remuk dan tiga lelaki yang terperangkap di dalamnya ditemukan pada pagi 24 November lalu oleh penduduk dari kampung Allapur. Penduduk kemudian segera memaklumkan kejadian kepada polis.


"Kira-kira 9.30 pagi, kami dimaklumkan mengenai sebuah kereta rosak yang dijumpai di Sungai Ramganga," kata jurucakap polis kepada Hindustan Times.


"Pasukan kami menemukan sebuah Wagon R, dipercayai sebagai teksi yang jatuh dari jambatan yang tidak lengkap. Mayat-mayat mangsa sudah ditemukan dan dihantar untuk bedah siasat," katanya.


Ketiga-tiga lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Dua daripadanya dikenali sebagai Nitin dan Ajit berusia 30 tahun, manakala seorang lagi dikenali sebagai Amit, 40, lapor akhbar India The Economic Times.


Pegawai polis Faridpur, Ashutosh Shivam berkata, bahagian hadapan jambatan itu runtuh ke dalam sungai semasa banjir awal 2024 tetapi perubahan itu tidak dipaparkan dalam Google Maps.


Beliau menambah bahawa tiada penghadang keselamatan atau papan tanda amaran di jambatan terbabit, lapor The Economic Times.


Terkejut dengan kejadian itu, ahli keluarga mangsa dan penduduk di kawasan terbabit mengkritik Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan kerana gagal menutup jambatan yang tidak lengkap berkenaan.


Empat jurutera dari Jabatan Kerja Raya dan seorang pegawai yang tidak dinamakan dari Google Maps sedang membantu siasatan polis, lapor The Economic Times.


Jurucakap Google dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian berkenaan. - Sumber The Straits Times.


Kereta dinaiki tiga lelaki terjunam dari jambatan yang tidak lengkap di Uttar Pradesh, India, pada awal pagi 24 November lalu. - Foto Surya Reddy/X.

Sabtu, 30 November 2024

Lelaki selamba pikul buaya ganas serang penduduk seberat 150 kilogram

Lelaki selamba pikul buaya ganas serang penduduk seberat 150 kilogram


Seorang pegawai hidupan liar di negeri Uttar Pradesh mengundang perhatian orang ramai kerana bersahaja memikul seekor buaya gergasi di atas bahunya, lapor stesen penyiaran NDTV pada 29 November 2024.


Kejadian berlaku di sebuah perkampungan di Pauthiyahurd, daerah Hamirpur pada 26 November lalu.


Rakaman dimuat naik di laman X oleh akaun @ManojSh28986262 menunjukkan lelaki itu memikul buaya sepanjang 6.09 meter yang ditangkap di sebuah kolam.


Buaya seberat 150 kilogram itu pertama kali dikesan sebulan lalu sebelum mula mengganas dan mengganggu penduduk kampung sejak tiga minggu lepas.


Kerana takut diserang, penduduk tempatan menghubungi pihak berkuasa.


"Pasukan jabatan hutan berjaya menangkap reptilia ganas itu selepas melakukan pemantauan selama tiga minggu. 


"Sebelum dipikul, mulut dan anggota badan buaya itu diikat dengan kain serta tali," demikian menurut keterangan video berkennaan. 


Reptilia itu kemudian dilepaskan ke dalam hutan berdekatan. - Sumber NDTV.


Tangkap layar menunjukkan buaya seberat 150 kilogram itu dipikul oleh seorang lelaki di daerah Hamirpur. - Foto NDTV.

Khamis, 28 November 2024

Pesakit positif dadah mengamuk di hospital serang beberapa jururawat

Pesakit positif dadah mengamuk di hospital serang beberapa jururawat


Seorang pesakit yang berada di bawah pengaruh methamphetamine bertindak ganas dengan menyerang jururawat ketika dibawa ke sebuah hospital di wilayah Maha Sarakham, lapor laman berita Thaiger pada 27 November 2024.


Berdasarkan video yang dimuat naik di platform TikTok, beberapa jururawat dilihat berlari keluar dari sebuah bilik.


Seorang pesakit lelaki yang tidak berbaju dan memegang rel katil kemudian keluar dari bilik itu sambil mengejar mereka.


Berdasarkan beberapa laporan, insiden itu berlaku selepas pesakit berkenaan dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya sendiri ekoran masalah ketagihan dadah yang teruk.


Kebiasaannya, pesakit yang menunjukkan gejala-gejala kegelisahan teruk akan diikat pada katil hospital di kedua-dua tangannya.


Bagaimanapun, ibu pesakit tersebut dilaporkan meminta agar anaknya hanya diikat sebelah tangan, menyebabkan dia mampu melepaskan diri dan menyerang jururawat.


Situasi mencemaskan itu bagaimanapun dapat dikawal sejurus polis tiba.


Tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu, manakala pesakit berkenaan ditahan polis sebelum dirujuk ke kemudahan psikiatri untuk penilaian dan penjagaan lanjut. 


Insiden itu telah mencetuskan perbincangan di media sosial tentang keperluan untuk perlindungan dan sokongan yang lebih baik untuk profesional penjagaan kesihatan. Ramai telah menyatakan empati mereka terhadap mereka yang terlibat, menyedari keadaan mencabar di mana mereka beroperasi.


Keadaan ini bukan sahaja memberi perhatian kepada risiko peribadi yang dihadapi oleh jururawat tetapi juga menggariskan cabaran sistemik dalam kemudahan penjagaan kesihatan apabila mengendalikan pesakit dengan isu tingkah laku yang teruk.


Memandangkan hospital sedang berusaha untuk menaik taraf infrastruktur, terdapat harapan bahawa insiden masa depan dapat dicegah, memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk pesakit dan kakitangan, lapor KhaoSod. - Sumber The Thaiger


Pesakit berkenaan keluar dari bilik sambil mengejar jururawat. - Foto Khaosod.