Sabtu, 31 Ogos 2024

20 letupan kedengaran selepas 31 kenderaan di atas bumbung bangunan terbakar

20 letupan kedengaran selepas 31 kenderaan di atas bumbung bangunan terbakar


Lebih 20 letupan kedengaran selepas 31 buah kenderaan terbakar di atas bumbung Menara Golden Mile, Beach Road, Singapura tengah hari tadi, lapor portal berita AsiaOne.


Sejumlah kenderaan yang mempunyai jenama sama itu terbakar dalam kejadian tersebut. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dilihat berada di lokasi kejadian.


AsiaOne bercakap dengan saksi dikenali sebagai Chua yang pejabatnya Welcab.sg terletak di tingkat 14 Menara Golden Mile. Pejabatnya menghadap tempat letak kereta itu di tingkat 7 sebuah bangunan berdekatan.



"Saya datang dari makan tengah hari kira-kira pukul 12.40 tengah hari (waktu tempatan) apabila saya perasan tiga buah kereta yang diletakkan di sudut kanan terbakar.


"Ketika itu, kenderaan polis pertama sudah berada di tempat kejadian dan anggota-anggota dilihat pantas membuat panggilan. Kami mula berpindah tidak lama kemudian," kata Chua.


Tambahnya, lebih 20 letupan kedengaran dalam kejadian itu.


SCDF berkata dalam satu kenyataan di laman Facebook bahawa pihaknya berjaya memadamkan kebakaran itu. Ia menjelaskan, penemuan awal menunjukkan kereta-kereta itu bukan kenderaan elektrik.


Seramai 45 orang dipindahkan dari premis itu oleh polis dan SCDF, dengan tiga mangsa terhidu asap tetapi enggan dihantar ke hospital.


Gambar yang diserahkan kepada AsiaOne menunjukkan sebanyak 31 kenderaan rosak akibat kebakaran itu. Punca kejadian masih dalam siasatan. - Sumber Asia One.


Sebanyak 31 kenderaan terbakar di Menara Golden Mile, Singapura. - Foto Facebook/Masterpiece Collectibles, Welcab.sg/ Chua.

Jumaat, 30 Ogos 2024

Motosikal berkuasa tinggi hilang kawalan tersangkut celah pagar kedai kopi

Motosikal berkuasa tinggi hilang kawalan tersangkut celah pagar kedai kopi


Sebuah motosikal berkuasa tinggi tersangkut di celah pagar sebuah kedai kopi di Pattaya, Thailand, namun tiada mangsa yang cedera, lapor portal berita Thaiger pada 29 Ogos 2024.


Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu, motosikal tersebut ditunggang oleh dua pelancong China.


Polis Pattaya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut sebelum anggota-anggotanya bergegas ke tempat kejadian di samping pasukan penyelamat sukarelawan.


Menurut laporan polis, dua pelancong China dipercayai pasangan suami isteri, hilang kawalan sebelum merempuh pagar kedai kopi berkenaan.



Ia menyebabkan tayar hadapan motosikal tersebut tersangkut di celah pagar. Pembonceng wanita dilaporkan terjatuh di atas jalan tetapi dia diselamatkan individu lain.


Pemilik kedai kopi itu berkata, pasangan berkenaan bersetuju untuk membayar ganti rugi ekoran kerosakan pagar tersebut.


"Mereka telah bersetuju untuk menampung kos, dan kami sedang merundingkan pampasan," katanya.


Seorang pemandu teksi motosikal berusia 49 tahun, yang enggan dikenali, menyaksikan keseluruhan kejadian itu.


"Saya nampak motosikal itu merempuh pagar dan wanita itu terjatuh ke kaki lima. Saya segera berlari menolongnya," katanya. - Sumber The Thaiger.


Sebuah motosikal tersangkut ada palang sebuah pagar di Pattaya. - Foto Pattaya News.
Sepasang suami isteri jual anak mereka RM5,663 kerana terdesak

Sepasang suami isteri jual anak mereka RM5,663 kerana terdesak


Sepasang suami isteri di barat laut India tergamak menjual bayi mereka berusia lima hari dengan nilai 1.10 lakh (RM5,663.96) kepada pasangan tiada anak.


Mereka antara enam individu ditahan polis Nagpur dalam satu operasi dikendalikan Skuad Anti-Pemerdagangan Manusia (AHTS).


Polis mendedahkan, kes pemerdagangan kanak-kanak haram membabitkan bukan hanya penjual dan pembeli, namun dua individu lain sebagai orang tengah.


Menurut pihak berkuasa itu, suspek dikenali sebagai Sunil@Bhondu Dayaram Gendre dan isterinya, Shweta masing-masing berusia 31 dan 27 tahun serta pasangan tiada anak iaitu Pournima Shelke, 32, dan suaminya Snehdeep Dharamdas Shelke, 45, yang menetap di Badlapur, Thane.


Katanya, kedua-dua orang tengah itu dikenal pasti sebagai Kiran Ingle dan suaminya, Pramod Ingle masing-masing berusia 41 dan 45 tahun yang menetap di bandar Nagpur di Maharashtra.


Dilaporkan pasangan suami isteri itu nekad menjual anak kerana mempunyai masalah kewangan.


"Sunil dan Shweta Gendre menjual anak lelaki mereka yang baru lahir kepada pasangan Shelke melalui Kiran dan Pramod Ingle pada 22 Ogos.


"Pasangan Shelke, yang juga saudara kepada Kiran Ingle, didakwa membayar 1.10 lakh (RM5,663.96) untuk mendapatkan bayi itu sebelum membawanya ke rumah mereka tanpa melalui prosedur pengambilan anak angkat di bawah undang-undang sah," katanya.


Polis berkata, sebaik menerima maklumat itu, AHTS menahan enam individu terbabit mengikut Seksyen 75 dan 81 Akta Keadilan Juvana (Penjagaan dan Perlindungan Kanak-Kanak).


"Bayi itu kini ditempatkan sementara di rumah anak yatim tempatan," kata pegawai polis itu. - Sumber India TV News.

Rabu, 28 Ogos 2024

Misteri jutaan 'ikan terbang' pada waktu malam mungkin petanda gempa besar dan tsunami

Misteri jutaan 'ikan terbang' pada waktu malam mungkin petanda gempa besar dan tsunami


Kemunculan jutaan ikan di pesisir pantai mencetuskan pelbagai spekulasi dan ada yang mengaitkannya dengan petanda gempa besar dan tsunami.


Kejadian 'ikan terbang' itu dilaporkan di sepanjang pantai Selatan Priangan Timur dan Pantai Cipatujuh, Kabupaten Tasikmalaya, Jawa Barat di Indonesia pada minggu lalu.


Ia turut menjadi tular di media sosial setelah ada rakaman video pada waktu malam itu memaparkan sekumpulan penduduk cuba menangkap 'ikan terbang' berkenaan.


Dalam rasa seronok dengan rezeki berlimpah-limpah, timbul juga rasa takut jika bencana lebih dahsyat bakal berlaku.


"Bukan hanya di pesisir Cipatujah, ia turut terjadi di sepanjang pesisir Pangandaran, Tasikmalaya hingga ke Santolo, Garut," kata wakil Himpunan Nelayan Seluruh Indonesia (NHSI) Kabupaten Tasikmalaya, Jawa Barat, Dedi Mulyadi pada Selasa (27/8/2024).


Menurutnya, fenomena pelik seperti itu adalah perkara biasa, namun tidak 'sebanyak' yang dirakamkan memandangkan ia berlaku ketika musim kemarau panjang.


"Ada mula khuatir jika ia mungkin memberi amaran awal tentang fenomena aneh lain di dasar laut," ujarnya.


Pada 2020, Ketua Bidang Mitigasi Gempa dan Tsunami (BMKG), Daryono pernah menyatakan fenomena ikan naik ke darat bukan petanda akan berlaku gempa.


"Ramalan sedemikian adalah tidak benar sama sekali," ujarnya. - Sumber Tribun News.


Kemunculan jutaan ikan di pesisir pantai mencetuskan pelbagai spekulasi dan ada yang mengaitkannya dengan petanda gempa besar dan tsunami. - Foto Tribun News.
Lelaki tak sedarkan diri selepas dipaksa isteri makan 'terung gila' untuk hentikan ketagihan arak

Lelaki tak sedarkan diri selepas dipaksa isteri makan 'terung gila' untuk hentikan ketagihan arak


Seorang lelaki di wilayah Mahasarakham, rantau Isaan di Thailand tidak sedarkan diri selepas isterinya memaksa dia mengambil buah beracun kerana percaya ia dapat membantu mangsa berhenti minum arak, lapor laman berita Thaiger semalam.


Hospital Mahasarakham mengeluarkan amaran kepada orang awam selepas lelaki Thai tersebut yang dikenali sebagai Thongdaeng, 61, dimasukkan ke hospital akibat makan buat beracun itu.


Buah itu dikenali sebagai Makhuea Ba atau 'terung gila' dalam bahasa Thai.


Buah itu kelihatan serupa dengan terung Thai tetapi mempunyai banyak duri kecil. Semua bahagian tumbuhan itu adalah beracun dan kesannya boleh membunuh manusia.


Simptom biasanya kelihatan antara 30 hingga 60 minit selepas makan buah beracun itu. Antaranya adalah mulut dan tekak menjadi kering, halusinasi, degupan jantung menjadi cepat dan tidak sedarkan diri.


Ratree, 56, yang merupakan isteri Thongdaeng mengaku kepada pegawai perubatan bahawa dia memberi suaminya makan terung beracun itu.


Katanya, dia mahu suaminya berhenti minum minuman keras dan kembali bekerja.


Seorang jiran memberitahunya bahawa terung tersebut dapat membantu untuk menghilangkan ketagihan arak.


Ratree membawa suaminya ke hospital dan dia bernasib baik kerana doktor-doktor di sana dapat menyelamatkan mangsa. - Sumber The Thaiger.


Gambar menunjukkan tumbuhan Makhuea Ba. - Foto Thaiger.

Selasa, 27 Ogos 2024

Penumpang tergantung di udara ketika ribut selepas permainan Sky Screamer tergendala

Penumpang tergantung di udara ketika ribut selepas permainan Sky Screamer tergendala


Tergantung di udara selama 10 minit ketika ribut bukan suatu pengalaman indah, namun itu yang ditanggung pengunjung sebuah taman tema di Mexico.


Kejadian dilapor berlaku Ahad minggu lalu selepas permainan dikenali Supergirl Sky Flight tergendala ketika angin dan hujan lebat, membiarkan pengunjung tergantung di ketinggian 200 kaki.


Sebuah video menunjukkan bagaimana mereka terperangkap dalam perjalanan di udara dikelilingi oleh hujan dan kabus. Ada diantara mereka dilihat 'bergetar ketakutan'.


Mangsa, Omar Hernández Medrano dilapor UPI berkata, pada awalnya permainan yang turut dikenali Sky Screamer itu berfungsi baik, sebelum ia tiba-tiba berhenti di udara.


"Saya dan rakan terkandas di ketinggian lebih 100 kaki di udara selama kira-kira 10 minit sebelum dipindahkan (diselamatkan)," katanya.


Six Flags Mexico dalam kenyataan berkata, ribut menyebabkan beberapa permainan berhenti beroperasi buat seketika.


Katanya, pihaknya mematuhi semua prosedur keselamatan yang ditetapkan dan permainan mula beroperasi semula pada lewat petang.


Difahamkan, tiada kecederaan dilaporkan susulan insiden berkenaan. - Sumber Daily Mail.


Penumpang tergantung di udara selepas permainan Supergirl Sky Flight tergendala akibat ribut di Mexico City. - Foto Daily Mail.

Isnin, 26 Ogos 2024

Gambar UFO, cakera logam di atas tasik paling terbaik pernah dirakam

Gambar UFO, cakera logam di atas tasik paling terbaik pernah dirakam


Sekeping gambar objek terbang tidak dikenali (UFO) di Costa Rica dianggap paling terbaik pernah dirakamkan, lapor portal berita Daily Star.


Seorang jurugambar, Sergio Loaiza merakamkan gambar itu lebih 50 tahun lalu dengan menggunakan kamera pembuatan peta ketika dia terbang melintasi Costa Rica.


Dia yang dalam misi meninjau tanah untuk pembinaan projek hidroelektrik berhampiran Gunung Berapi Arenal tetapi ternampak sesuatu yang ganjil.


Semasa terbang melintasi Tasik Cote pada kira-kira ketinggian 3.048 meter, Loaiza merakamkan banyak gambar hitam putih beresolusi tinggi di atas tasik tersebut dan hutan hujan di sekelilingnya.


Bagaimanapun, dalam satu gambar itu, terdapat sebuah cakera logam metalik yang berkilat.


Ia merupakan imej yang sering terdapat dalam filem-filem klasik dan dikenali sebagai piring terbang.


Seorang wartawan, Leslie Kean kemudian menganggap gambar UFO itu sebagai yang terbaik pernah dirakamkan.


"Anda dapat melihat dengan jelas matahari memantulkan objek bulat ini dan apa yang penting ialah ia adalah gambar kerajaan," katanya.


Sebuah UFO (kiri) dirakamkan lebih 50 tahun lalu. - Foto Instituto Geográfico Nacional de Costa Rica.
Gara-gara adik mengadu, abang tikam bapa hingga maut bengang dimarahi

Gara-gara adik mengadu, abang tikam bapa hingga maut bengang dimarahi


Seorang anak tergamak menikam bapanya hingga maut gara-gara bengang dimarahi berpunca adiknya yang mengadu. Kejadian berlaku di di Desa Kesugengan Kidul, Kecamatan Depok, Kabupaten Cirebon pada Jumaat, 23 Ogos lalu.


Ketua Kampung Desa Kesugengan Kidul, Wardinah yang mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian memilukan itu terjadi sekitar jam 3.30 petang (waktu tempatan) di belakang rumah mereka.


"Kronologinya begini, suspek pada mulanya pergi ke sungai yang terletak hanya 300 meter dari rumah, yang pada masa itu dia melihat adiknya sedang mencuci baju.


"Suspek kemudiannya melempar batu kepada adiknya, Aam, 24, yang membuatkan dia pulang dan mengadu kepada ayahnya," katanya kepada pemberita pada Sabtu (24/8/2024).


Susulan aduan adiknya itu, ayah suspek Jana, 79, segera pergi ke sungai lantas memarahi suspek K, 29, sementara Aam meneruskan kegiatannya membasuh pakaian dan mandi di sungai.


Maka dari situ berlakulah pertikaman lidah antara mereka, hingga akhirnya suspek mengeluarkan sebilah pisau.


"Pisau sepanjang 15 sentimeter itu digunakan suspek untuk menikam mangsa di bahagian perut sehingga mangsa meninggal dunia," katanya lagi.


Selepas kejadian itu, Aam yang melihat bapanya terbaring tidak berdaya segera meminta pertolongan.


Sementara itu, pelaku masih berada di lokasi malah sempat mencuci pisau yang digunakan untuk menikam bapanya.


Wardinah turut menambah, pelaku kemudian pulang ke rumah dan mencari Aam.


Setibanya di hadapan rumah, K memukul Aam dengan bongkah kayu berisi paku menyebabkan Aam mengalami kecederaan di kepala dan terpaksa mendapat dua jahitan.


Suspek kini telah ditahan polis dan akan dibawa ke balai polis Cirebon untuk tindakan lanjut. - Sumber Tribun Jabar.


Lokasi rumah mereka yang berada di Desa Kesugengan Kidul, Kecamatan Depok, Kabupaten Cirebon. - Foto Eki Yulianto/Tribun Jabar.

Lokasi K menikam ayahnya hingga mati di Desa Kesugengan Kidul, Kecamatan Depok, Kabupaten Cirebon. - Foto Eki Yulianto.

Lelaki disyaki pembunuh terbaring diikat ketika hendak ditangkap polis di Desa Kasugengan Kidul, Kecamatan Depok, Kabupaten Cirebon. - Foto Tribun Jabar.

Ahad, 25 Ogos 2024

Wanita rakam video menakjubkan saat tujuh matahari muncul di langit

Wanita rakam video menakjubkan saat tujuh matahari muncul di langit


Satu klip video yang dirakam dari sebuah hospital di China menunjukan terdapat tujuh matahari di langit, lapor portal berita Daily Mail pada 23 Ogos 2024.


Rakaman video itu menarik perhatian dan menyebabkan netizen di seluruh dunia keliru.


Ketika kejadian, seorang wanita sedang merakam fenomena matahari terbenam apabila sesuatu yang menakjubkan berlaku.


Imej yang dirakam menunjukkan terdapat lebih daripada sebuah matahari di langit.


Bagaimanapun, video berdurasi satu minit yang kelihatan seperti keajaiban kosmik itu sebenarnya adalah ilusi optik yang 'dicipta' oleh tingkap kaca di mana ia dirakam.


Video itu dirakam dari tingkat 11 sebuah hospital di Chengdu, China pada 18 Ogos lalu.


Wanita merakam video itu yang dikenali sebagai Wang berkata, penonton terpesona dengan paparan tersebut kerana kelihatan seperti di luar realiti, demikian menurut laman berita Jam Press.


Ramai netizen memberikan teori tentang bagaimana fenomena itu berlaku.


"Ia berlaku kerana gangguan medan magnet yang menjadikan alam semesta selari," tulis seorang netizen di platform media sosial China, Weibo.


"Sama seperti bagaimana anda akan melihat pantulan dalam cermin, cahaya dibiaskan dan dipantulkan dari kaca berlapis, dengan setiap lapisan mencipta salinan imej yang lain.


"Kecuali matahari paling terang di tengah, yang merupakan yang sebenar, yang lain adalah sebahagian daripada ilusi optik," menurut Biro Kosmik membetulkan isu itu. - Sumber Daily Mail.


Wang merakamkan video yang menunjukkan tujuh matahari. - Foto Tangkap Layar/Jam Press.

Sabtu, 24 Ogos 2024

Dua beranak ditemui maut di rumah mereka dipercayai kelaparan

Dua beranak ditemui maut di rumah mereka dipercayai kelaparan


Misteri rumah bergelap selain sunyi sepi membongkarkan penemuan mayat dua beranak yang dipercayai sudah meninggal dunia, sejak lebih seminggu lalu di Taman Indah, Sungai Abong, Muar, semalam.


Mayat dua beranak masing-masing berusia 37 dan 76 tahun ditemui oleh sebuah pertubuhan kebajikan (NGO) yang dipanggil penduduk selepas curiga terhadap kelibat mereka tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu.


Difahamkan, mayat dua beranak itu ditemui kira-kira jam 12 tengah hari dengan bapanya ditemukan dalam bilik air manakala anak lelakinya di atas sofa.


Pada masa sama, seorang lagi anaknya, wanita berusia 44 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui selamat namun dalam keadaan tidak bermaya.


Tiga beranak itu menetap di rumah terbabit sejak sekian lama selepas ibunya meninggal dunia beberapa tahun lalu, dengan kedua-dua anaknya dikategorikan OKU lembam.


Jiran yang enggan dikenali berkata, pada hari penemuan itu, mereka pelik apabila rumahnya bergelap lalu meminta bantuan NGO untuk memeriksanya.


"Penduduk memanggil NGO terbabit kerana mereka selalu datang ke sini menghantar bantuan memandangkan bapanya tidak bekerja.


"Dua anaknya pula, masing-masing lelaki dan perempuan adalah OKU dan dijaga sepenuhnya oleh bapa mereka.


"Apabila pintu dibuka, mereka melihat anaknya lelakinya terbaring atas sofa manakala anak perempuannya dalam keadaan tidak bermaya dipercayai kelaparan," katanya.


Katanya, NGO dan penduduk taman itu kemudian menghubungi polis bagi mendapat bantuan selanjutnya.


Menurutnya lagi, ketika polis memasuki rumah, mereka menemui mayat bapanya dalam bilik air," katanya ketika ditemui.


Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mereka sementara seorang lagi dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.


Lokasi penemuan mayat dua beranak di sebuah rumah di Taman Indah, Sungai Abong.- Foto Kosmo Online.