Selasa, 6 Ogos 2024

Pecah masuk rumah bekas suami, pempengaruh media sosial ditahan reman 6 hari

Pecah masuk rumah bekas suami, pempengaruh media sosial ditahan reman 6 hari


Pempengaruh media sosial direman enam hari bagi membantu siasatan kes pecah masuk rumah bekas suami dan bekas madunya, di Kota Bharu, bulan lalu.


Perintah tahanan reman ke atas wanita berusia 20-an itu dikeluarkan Majistret Amin Rashidi Ramli bermula hari ini sehingga Ahad.


Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut, susulan barang milik pengadu yang didakwa hilang.


Beliau berkata, terdahulu pihak polis menerima satu laporan daripada bekas madu wanita itu pada jam 9.47 malam kelmarin mengenai kejadian pecah rumah di Kota Bharu yang didakwa berlaku kira-kira jam 11.30 malam 22 Julai lalu.


"Berdasarkan laporan itu, wanita berkenaan (bekas madu) menyedari rumahnya dipecah masuk dan mendapati 'sliding door' (pintu gelongsor) hadapan berada dalam keadaan terbuka.


"Beberapa barangan juga didapati hilang dan pengadu juga menjumpai satu beg plastik ubat di atas meja di dalam biliknya, tertulis nama perempuan yang dikenali olehnya dan suami," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, bertindak di atas maklumat, suspek berjaya ditangkap pada 11.30 malam semalam.


Katanya, hasil siasatan mendapati terdapat kesan umpil pada pintu jeriji keselamatan dan pintu cermin hadapan rumah, selain suspek mengaku masuk ke dalam rumah semasa ketiadaan pengadu.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama enam hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.


"Kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya.


Terdahulu, tular video rakaman siaran langsung di TikTok yang memaparkan wanita berkenaan dan bekas madunya bercerita kisah rumah tangga mereka sebelum ini.


Menerusi video itu, wanita berkenaan mendakwa sering dikasari oleh bekas suaminya sehingga dia tidak sanggup lagi untuk hidup bersama dengan lelaki itu.


Ketika bersiaran langsung, kira-kira 50,000 orang yang melihatnya dan video berkenaan tular serta mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.


Pempengaruh media sosial ditahan reman, didakwa pecah masuk rumah bekas suami. - Foto Nik Abdullah Omar.

Isnin, 5 Ogos 2024

Penjual jus seksi halau pelanggan yang mahu bergambar dikecam netizen

Penjual jus seksi halau pelanggan yang mahu bergambar dikecam netizen


Seorang penjual jus di Thailand yang sebelum ini menempa populariti kerana wajahnya yang jelita, didakwa mula bersikap sombong sehinggakan sanggup menghalau pelanggan yang datang ke kedainya.


Laman berita Detik melaporkan, Join Ploychanok Puathanyawong mula menjadi sensasi internet pada 2022 disebabkan penampilannya yang menarik dan seksi.


Disebabkan itu, kedai jus miliknya mula diserbu ramai pelanggan dari dalam dan luar negara sehinggakan Join terpaksa mengupah pengawal peribadi.


Namun, wanita tersebut baru-baru ini menerima banyak kecaman pelanggan selepas dia menolak permintaan untuk bergambar.


Menurut majalan online 8days, ramai netizen mengeluh kerana penjual digelar 'wanita tembikai' itu tidak lagi ramah dan sopan seperti sebelumnya.


Join dikatakan sering mengusir pengunjung yang merakam gambar tanpa membeli daripada kedainya.


Dia juga kerap membelakangi pelanggan yang merakam kandungan di premis itu selain pengawal peribadi turut diarah menghalau pengunjung yang tidak membeli.


Tambah pelanggan, mereka perlu membeli sekurang-kurangnya satu jus minuman berharga minimum 150 baht (RM18.83) sebelum dibenarkan merakam gambar.


"Harga sudah menjadi mahal. Dia seperti polis yang menghalang orang merakam gambar," kata seorang netizen.


"Dia sudah tidak seramah dulu. Popularitinya membuatkan dia besar kepala," kata pengguna media sosial lain. - Sumber Detik Sumut.


Join Ploychanok Puathanyawong mula dikenali ramai pada 2022. - Foto TikTok.

Ahad, 4 Ogos 2024

Taktik GRO, warga asing sembunyi di bilik rahsia dalam tandas terbongkar

Taktik GRO, warga asing sembunyi di bilik rahsia dalam tandas terbongkar


Taktik 11 warga asing termasuk sembilan wanita pelayan pelanggan (GRO) bersembunyi bilik rahsia di sebuah pusat hiburan di Ipoh, pada awal pagi tadi terbongkar apabila mereka berjaya dicekup pihak berkuasa.


Pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menggunakan penukul dan pemotong besi untuk membuka pintu di sebalik dinding jubin dalam tandas premis berkenaan.


Operasi memotong jubin dan pintu konkrit itu mengambil masa hampir sejam untuk membuka dan menahan kesemua warga asing terdiri sembilan wanita warga China dan dua lelaki warga Bangladesh.



Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, berkata 11 individu itu antara 53 warga asing yang ditahan dalam operasi yang dijalankan serentak di dua pusat hiburan berasingan di Greentown dan Taman Canning, Ipoh.


Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun.


"Operasi yang dijalankan hampir lima jam bermula jam 1.30 pagi melibatkan 26 pegawai termasuk polis telah memeriksa 175 warganegara asing dan tempatan.


"Daripada jumlah itu, 53 orang yang ditahan terdiri daripada 25 wanita warga China, 16 wanita Vietnam, seorang wanita Thailand, seorang wanita Indonesia dan 10 lelaki Bangladesh," katanya.


Meor Hezbullah berkata, kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.


"Siasatan dan tindakan lanjut dilakukan mengikut proses undang-undang kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.


"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana telah tinggal atau berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang telah dikeluarkan," katanya.


Tambah beliau, pihaknya berharap masyarakat membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam negara ini.


Wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai GRO antara 53 yang ditahan dalam Op Gegar di Ipoh. - Foto ihsan Imigresen.

Sabtu, 3 Ogos 2024

Duduk di tepi jalan tawar khidmat 'teman wanita cantik untuk disewa' serendah RM0.63 sen

Duduk di tepi jalan tawar khidmat 'teman wanita cantik untuk disewa' serendah RM0.63 sen


Satu klip video tular di media sosial di China memaparkan wanita-wanita yang menawarkan perkhidmatan 'teman wanita cantik untuk disewa', lapor saluran berita Tribun News pada 1 Ogos 2024.


Teman wanita sewaan ini telah menjadi fenomena baharu dan sedang hangat diperkatakan di China. Di Bandar Shenzhen, wanita muda duduk di tepi jalan sambil mempamerkan tulisan.


Tawaran itu dibuka kepada lelaki yang kesepian dan mahukan peneman atau perkhidmatan tertentu.


Dalam posting tular, sebilangan wanita didakwa tawarkan perkhidmatan peluk, cium atau sekadar berkawan sehari dengan harga mampu milik.


Salah seorang daripada mereka berkata 1 yuan (RM0.63) untuk pelukan, 10 yuan (RM6.30) untuk ciuman, 15 yuan (RM9.39) menemani pelanggan menonton wayang bersama.


Terdapat juga wanita lain yang tawarkan perkhidmatan lain iaitu 20 yuan (RM12) untuk membantu kerja rumah dan 40 yuan (RM24) untuk minum bersama.


Rakaman juga memaparkan wanita-wanita berkenaan menawarkan perkhidmatan itu di tepi jalan sambil mengenakan pakaian seksi untuk menarik pelanggan.


Bagaimanapun, mereka tetap dengan pendirian untuk tidak menerima sebarang permintaan seksual. - Sumber Tribun News.


Tangkap layar memaparkan wanita-wanita yang menawarkan perkhidmatan itu di bandar Shenzhen. - Foto Tribunnews.

Jumaat, 2 Ogos 2024

Berang kerap ditanya 'bila nak kahwin' lelaki nekad pukul jiran hingga mati

Berang kerap ditanya 'bila nak kahwin' lelaki nekad pukul jiran hingga mati


Seorang lelaki berusia 45 tahun di Indonesia ditahan selepas nekad membunuh jirannya kerana kerap ditanya bila hendak berkahwin, lapor saluran berita Tribun News semalam.


Kejadian berlaku di Pasar Simangambat, wilayah Sumatera Utara pada Isnin 29 Julai lalu.


Suspek bernama Parlindungan Siregar dilaporkan memukul mangsa, Asgim Irianto, 60, menggunakan kayu sehingga meninggal dunia.


Menurut pegawai polis tempatan, AKP Maria, suspek dipercayai memukul mangsa akibat berang kerana ditanya bila hendak berkahwin.


"Mangsa sempat melarikan diri tetapi dikejar oleh suspek dan dipukul berkali-kali di bahagian kepala. 


"Pembunuhan itu berhenti selepas seorang individu meleraikan mereka dan mengambil kayu tersebut," kata AKP Maria.


Walaupun telah dibantu, nyawa mangsa tidak dapat diselamatkan.


"Masyarakat membantu mangsa untuk dibawa ke pusat kesihatan masyarakat.


"Setibanya di puskesmas, pihak puskesmas menyatakan mangsa sudah meninggal dunia," kata Maria, Rabu (31/7/2024).


Polis berjaya menahan suspek dan dibawa ke Balai Polis Tapanuli Selatan untuk disoal siasat. - Sumber Tribun News.


Suspek dipercayai memukul mangsa gara-gara berang kerana kerap ditanya bila hendak berkahwin. - Foto Tribunnews.

Khamis, 1 Ogos 2024

Ditikam 15 kali kerana tak dapat jawap soalan ayam atau telur keluar dahulu

Ditikam 15 kali kerana tak dapat jawap soalan ayam atau telur keluar dahulu


'Apa yang keluar dahulu? Ayam atau telur?' Siapa sangka teka-teki berunsur jenaka yang biasa diajukan untuk menguji minda individu ini akhirnya membawa maut.


Gara-gara berang dengan soalan itu tidak dapat dijawap, seorang lelaki di Indonesia dikenali sebagai Kadir Markus, 47, tergamak menikam rakannya sebanyak 15 kali dengan badik dalam kejadian menggemparkan di sebuah desa di daerah Tongkuno, kabupaten Muna di Sulawesi Tenggara pada Rabu (24/7/2024).


Ketua Polis Sektor Tongkuno atau Kapolsek, Inspektor Abdul Hasan mengesahkan kejadian tikaman itu.


Menurutnya, kedua-dua lelaki itu berada di bawah pengaruh alkohol ketika insiden tersebut. Motif pembunuhan adalah kerana mangsa tidak dapat menjawab soalan pelaku.


"Kadir Markus telah mengajukan soalan paradoksikal tersebut kepada rakannya yang dikenali sebagai DR, hingga berlaku pertengkaran tidak lama selepas itu.


"Kerana tidak dapat menjawab, mangsa meminta izin untuk pulang, namun tindakannya mengundang kemarahan pelaku yang berlari ke rumahnya untuk mengambil sebilah badik lalu menikam mangsa," ujarnya.


Penduduk membantu mangsa dengan membawanya ke Hospital Wakuru, namun nyawanya tidak dapat diselamatkan.


Sementara itu, pelaku Kadir Markus, kemudian menahan sebuah motosikal dan menyerah diri kepada polis.


Abdul Hasan mengesahkan suspek telah diberkas malah senjata berbahaya dan sepasang seluar miliknya turut dirampas.


"Dia telah didakwa dengan kes pembunuhan dan bakal dihukum penjara sehingga 18 tahun jika disabitkan kesalahan," jelasnya lagi. - Sumber Tribun News.


Kadir Markus ,47, warga desa Lakapera, Kecamatan Gu, Kabupaten Buton Tengah, Sulawesi Tenggara membunuh temannya, berinisial DR di jalan sumbu Raha-Lakapera, Desa Labasa, Kecamatan Tongkuno, Kabupaten Muna, Rabu (24/7/2024) petang. Motif pembunuhan ini kerana mangsa tidak dapat menjawab soalan pelaku tentang mana yang keluar dulu, telur atau ayam. - Foto Serambi News.

Rabu, 31 Julai 2024

Kecoh anak kambing mata satu kelihatan seperti 'makhluk asing' lahir di Cianjur

Kecoh anak kambing mata satu kelihatan seperti 'makhluk asing' lahir di Cianjur


Seorang penternak haiwan di Cianjur, wilayah Jawa Barat terkejut apabila seekor kambing betina peliharaannya melahirkan anak bermata satu, lapor saluran berita Tribun Jabar pada 30 Julai 2024.


Anak kambing itu memiliki satu mata di bahagian tengah dahinya, sehingga kelihatan seperti 'makhluk asing'.


Kambing putih milik Amad, 60, itu dikatakan mempunyai kelainan genetik ketika dilahirkan oleh induknya pada pagi Isnin (19/7/2024).


Haiwan itu turut dilahirkan tanpa hidung dan dubur, demikian disampaikan oleh Ketua Kampung Sindangresmi, Imas.


"Sebenarnya ada tiga ekor tetapi dua (anak kambing) dilahirkan secara normal. Anak kambing ini bermata satu dan tidak ada hidung serta dubur," kata Imas.


Pemilik kambing Amad berkata, dia belum pernah menyaksikan kelahiran sedemikian walaupun sudah menjadi penternak selama bertahun-tahun.


Bagaimanapun, anak kambing itu dilaporkan meninggal dunia 24 jam selepas ia dilahirkan disebabkan keadaan fizikal haiwan itu tidak dapat menyusu daripada ibunya.


"Pagi tadi dia meninggal dunia kerana langsung tidak mendapat makanan," katanya Imas.


Tambahan Imas, kehadiran kambing itu mengejutkan penduduk. Malah, penduduk sengaja datang beramai-ramai ke lokasi sangkar berkenaan untuk melihatnya secara langsung. - Sumber Tribun News.


Kelahiran anak kambing bermata satu itu menarik perhatian orang ramai. - Foto TribunJabar.
Viral seorang pencuri buang air besar dalam kereta polis

Viral seorang pencuri buang air besar dalam kereta polis


Seorang pencuri di Wajo, Sulawesi Selatan, Indonesia dirakam membuang air besar ketika ditahan oleh polis, lapor saluran berita Tribunnews pada 29 Julai 2024.


Menerusi rakaman kejadian yang dimuat naik di platform Instagram, suspek bernama Messa membuang air besar dalam seluar ketika berada di dalam kereta polis.


Kesemua anggota polis terbabit dilihat menutup hidung mereka, kerana tidak tahan dengan bau itu sambil menurunkan tingkap kereta. 


Seorang pegawai polis, Alvin Aji berkata, lelaki itu ditahan atas kesalahan mencuri telefon bimbit.


"Kami menahan suspek kerana mencuri telefon bimbit. Dia kemudian membuang air besar ketika anggota-anggota polis membawanya ke Balai Polis Wajo," kata Alvin.


Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan rata-rata netizen terhibur dengan kejadian itu.


"Polis turunkan tingkap, jadi ada peluang untuk pencuri itu melarikan diri. Tapi sayang tangannya digari," kata netizen.


"Kesian yang duduk di belakang, mesti bau 'pekat' bukan main lagi," kata netizen lain. - Sumber Tribun News.


Tangkap layar menunjukkan pencuri itu membuang air besar di tempat duduk belakang semasa ditahan polis. - Foto Instagram @infopalembangterbaru.

Selasa, 30 Julai 2024

Polis sahkan dua lelaki maut dalam pembetung disyaki pencuri kabel

Polis sahkan dua lelaki maut dalam pembetung disyaki pencuri kabel


Dua lelaki yang ditemui maut selepas terperangkap dalam lubang pembetung di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kamunting, pagi tadi adalah pencuri kabel.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, hasil siasatan polis menemui kesan kabel dari sebuah syarikat telekomunikasi telah dipotong sebelum kedua-dua suspek terperangkap di dalam lubang sedalam enam meter.


"Kejadian disedari orang awam yang ternampak penutup lubang itu dalam keadaan terbuka pada jam 8 pagi tadi dan memaklumkan kejadian itu kepada polis.


"Berikutan itu, pihak polis menghubungi syarikat telekomunikasi terbabit dan pihak Bomba untuk memaklumkan perkara itu.


"Hasil pemeriksaan yang dijalankan menemui dua lelaki terbabit dipercayai terperangkap dalam lubang sedalam kira-kira enam meter itu.


"Polis memanggil bantuan daripada pihak bomba untuk membawa naik mayat dua lelaki terbabit disebabkan keadaan lubang itu agak dalam dan kekurangan oksigen," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.


Menurut Rodzi, dua lelaki itu dipercayai sudah berjaya memotong kabel syarikat telekomunikasi itu pada lubang pertama yang jaraknya kira-kira 30 meter dari lubang kedua.


Bagaimanapun katanya, ketika hendak memotong kabel di lubang kedua, mereka dipercayai terperangkap dan mati akibat tiada oksigen.


Bagaimanapun setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat kedua-dua lelaki berusia 27 dan 31 tahun itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat," katanya.


Kejadian disedari orang awam yang ternampak penutup lubang dalam keadaan terbuka pada jam 8 pagi tadi sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis. - Foto Astro Awani.
Pura-pura kena culik, rupanya bersekongkol dengan kekasih gelap, isteri dijel 3 bulan dan denda RM2,000

Pura-pura kena culik, rupanya bersekongkol dengan kekasih gelap, isteri dijel 3 bulan dan denda RM2,000


Perbuatan seorang isteri bersekongkol dengan kekasih gelap melakukan peras ugut terhadap suaminya dengan meminta wang RM2,000 membawa padah apabila dikenakan hukukan penjara tiga bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, Pontian hari ini.


Majistret Nur Azzuin Abdul Moati membuat keputusan itu selepas tertuduh, Syuzzana Yahaya, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.


Teman lelakinya, Mohd Feardous Osman, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.


Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pemerasan melalui aplikasi WhatsApp kepada Zakaria Mohd Nooh, 41, dengan mendatangkan ketakutan untuk mendorongnya menyerahkan wang tunai.


Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Pekan Nanas, Pontian pada pukul 12.14 tengah hari pada 26 Julai lalu.


Mengikut fakta kes, pesanan WhatsApp itu meminta wang sebanyak RM2,000 dipindahkan ke dalam akaun selain ugutan tidak melibatkan polis jika tidak mahu isteri dan anak-anak mati kelaparan atau salah seorang ahli keluarga tidak akan selamat.


Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana hukuman tersebut.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini manakala kedua-duanya tidak diwakili peguam.


Majistret Nur Azzuin kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 kepada Syuzzana, jika gagal membayar denda, akan dipenjara tiga bulan lagi.


Mohd Feardous pula dibenar ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 September depan sebagai serahan dokumen dan sebutan semula kes.


Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang disangka hilang bersama tiga anak ketika dalam perjalanan pulang ke kampung rupanya bersekongkol dengan teman lelaki untuk mengugut suami sendiri menyerahkan wang sebanyak RM2,000.


Ketua Polis Pontian Mohammad Shofee Tayib berkata, suami suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah membuat laporan polis pada 9.47 malam Jumaat.


Syuzzana (kiri) dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 selepas mengaku salah melakukan peras ugut bersama teman lelakinya, Mohd. Feardous (kanan) terhadap suaminya meminta wang tebusan RM2,000 pada 26 Julai lalu. - Foto Kosmo Online.