Khamis, 21 Mac 2024

Siapa punya wang RM500,000 ditinggal di parkir pusat beli-belah?

Siapa punya wang RM500,000 ditinggal di parkir pusat beli-belah?


Polis meminta pemilik sebuah bagasi berisi wang lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat parkir kereta pusat beli-belah di Damansara supaya tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagasi berwana merah jambu dan putih itu ditemukan seorang pengawal keselamatan kira-kira pukul 8 pagi semalam.


"Di dalam bagasi tersebut, terdapat wang tunai not RM10, RM50 dan RM100.


"Kami meminta pemilik beg ini supaya tampil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya bersama bukti berkaitan bagi mengesahkan wang tersebut adalah miliknya," katanya pada sidang akhbar di IPD Subang Jaya hari ini.


Hussien memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lokasi tersebut tidak dapat memberikan bukti yang mencukupi berkenaan pemilik wang tunai tersebut.


"Di tempat parkir itu terdapat CCTV, namun bukan di kawasan beg itu dijumpai. CCTV tersebut dipasang di kawasan keluar masuk kenderaan," ujarnya.


Menurut Hussien, pihaknya percaya wang tunai yang dijumpai itu adalah tulen dan akan mendapatkan pengesahan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dalam masa terdekat.


"Susulan itu, kita membuka siasatan di bawah kertas inkuiri polis berkaitan penemuan wang berkenaan.


"Jika pemilik ingin menuntut wang berkenaan, kita minta turut membawa bukti-bukti berkaitan. Bagaimanapun sekiranya ia tidak dituntut, wang ini kita akan serahkan kepada pihak mahkamah untuk tindakan selanjut," katanya.


Wang tunai yang dijumpai dalam bagasi di tempat parkir di pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya pada Rabu. - Foto Sinar Harian.

Rabu, 20 Mac 2024

Bank alami gangguan, pelanggan boleh keluar wang 'tanpa had' lebih RM189 juta

Bank alami gangguan, pelanggan boleh keluar wang 'tanpa had' lebih RM189 juta


Pengguna sebuah bank komersial terbesar di Ethiopia ibarat mendapat durian runtuh apabila mereka bebas mengeluarkan jumlah wang yang dikehendaki, gara-gara berlaku gangguan sistem pada awal pagi Sabtu lalu, lapor BBC News pada 18 Mac 2024.


Pelanggan Commercial Bank of Ethiopia (CBE) mendapat maklumat bahawa mereka boleh mengeluarkan wang melebihi baki dalam akaun mereka.


Media tempatan melaporkan lebih AS$40 juta (RM189 juta) dikeluarkan atau dipindahkan ke akaun bank lain sebelum CBE berjaya membekukan semua transaksi setelah beberapa jam.


Presiden CBE, Abe Sano berkata, kebanyakan wang itu dikeluarkan oleh penuntut universiti setelah khabar angin tentang kejadian tersebut.


"Barisan panjang dapat dilihat di mesin teler automatik (ATM) di beberapa kampus. Mereka berlumba-lumba keluarkan wang sehingga polis tiba," jelas laporan itu lagi.


Salah seorang pelajar University Institute of Technology memberitahu, dia tidak percaya apabila dimaklumkan oleh rakannya.


Seorang lagi penuntut di Dilla University di selatan Addis Ababa berkata, sejumlah rakannya mengeluarkan wang dari ATM antara waktu tengah malam dan 2 pagi (waktu tempatan).


Lebih 38 juta merupakan pemegang akaun CBE yang ditubuhkan kira-kira 82 tahun lalu.


Sementara itu, Bank Pusat Ethiopia yang bertindak sebagai badan induk sektor kewangan menjelaskan 'gangguan' itu berlaku ketika aktiviti penyelenggaraan dan pemeriksaan.


Sebanyak tiga universiti mengeluarkan kenyataan meminta penuntut yang terlibat supaya mengembalikan wang yang bukan milik mereka.


"Sesiapa yang memulangkan wang tidak akan didakwa atas kesalahan jenayah," kata Abe Sano.


Seorang pelajar dari Universiti Jimma berkata, dia tidak mendengar mengenai sesiapa memulangkan wang itu, namun menambah, dia melihat kenderaan polis berada di kampus. - Sumber BBC News.


Ibu pejabat CBE di Addis Ababa. - Foto AFP.
Lelaki maut ditikam kerana minum air oren rakan ketika buka puasa

Lelaki maut ditikam kerana minum air oren rakan ketika buka puasa


Seorang lelaki warga Bangladesh maut ditikam rakan sekerja ketika berbuka puasa di asrama pekerja sebuah kilang di Seksyen 36 di Shah Alam, semalam.


Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.20 malam pada Selasa.


Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek iaitu seorang lelaki Pakistan berusia 51 tahun berang apabila mangsa meminum air orennya ketika berbuka puasa.


"Hasil siasatan polis mendapati mangsa adalah seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 49 tahun dan bekerja sebagai pekerja am. Mangsa dan suspek tinggal bersama-sama di dalam kontena yang dijadikan sebagai asrama kilang.


"Kejadian berpunca daripada suspek marah apabila mangsa meminum air orennya semasa berbuka puasa yang mana suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, suspek kemudian ditahan pada 7.30 malam di lokasi kejadian dan semakan mendapati mereka adalah rakan sekerja.


Katanya, turut dirampas adalah pisau yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.


"Suspek akan direman hari ini di Makamah Shah Alam, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.


Anggota polis membawa keluar mayat mangsa yang mati ditikam oleh rakan sekerjanya ketika berbuka puasa di asrama pekerja sebuah kilang di Seksyen 36, Shah Alam, Selangor pada Selasa. - Foto Sinar Harian.

Selasa, 19 Mac 2024

Kerap mengalami sakit kepala, rupanya cacing pita bertelur dalam otak

Kerap mengalami sakit kepala, rupanya cacing pita bertelur dalam otak


Penderitaan seorang lelaki yang kerap mengalami sakit kepala atau migrain terbongkar apabila telur cacing pita ditemui dalam kepalanya, lapor NBC News pada 12 Mac 2024.


Pembongkaran itu diketahui selepas lelaki warga Amerika berusia 52 tahun menemui seorang doktor selepas mengadu sakit kepala teruk dan ubat dimakannya gagal memberikan kelegaan kepadanya.


Doktor yang melakukan imbasan mendapati sejumlah telur cacing pita 'bersarang' dalam otaknya.


Selepas membuat pemeriksaan lanjut, lelaki itu disahkan menghidap penyakit neurocysticercosis, sejenis jangkitan daripada larva cacing pita babi yang boleh memasuki tisu seperti otak dan otot.


Penyelidik berkata, pada mulanya mereka hairan selepas mendapati lelaki itu mengakui dia tidak pernah mengunjungi mana-mana kawasan berisiko tinggi.


"Selepas diselidik, pesakit menafikan dia memakan daging mentah atau makanan jalanan.


"Pada masa sama dia mengakui gemar memakan daging separuh masak sepanjang hayatnya," menurut kajian dalam American Journal Of Case Report.


Penyelidik percaya jangkitan itu berpunca akibat tidak mencuci tangan selain memakan daging tidak dimasak sempurna.


Namun nasib lelaki itu baik apabila diberikan ubat anti-parasit dan anti-radang dan dilaporkan pulih seperti sedia kala.


Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat menyatakan dalam laman webnya bahawa sistiserkosis boleh berlaku kepada individu yang tidak pernah mengembara keluar dari negara ini.


"Sebagai contoh, individu yang dijangkiti cacing pita dan dia tidak mencuci tanggannya berkemungkinan tidak sengaja mencemari makanan dengan telur cacing pita semasa menyediakan makanan kepada orang lain," katanya. - Sumber NBC News.


Imbasan menunjukkan telur cacing pita yang bersarang dalam otak seorang lelaki di Amerika Syarikat. - Foto NBC News.

Isnin, 18 Mac 2024

Tiga beradik antara 12 lelaki ditahan terlibat judi laga ayam di kebun kelapa sawit

Tiga beradik antara 12 lelaki ditahan terlibat judi laga ayam di kebun kelapa sawit


Tiga beradik antara 12 lelaki ditahan kerana disyaki terlibat judi laga ayam di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Kolam Air Talang, Kampung Station di Kuala Kangsar, semalam.


Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, serbuan itu menahan suspek berusia 33 hingga 64 tahun termasuk penganjur.


Katanya, mereka diberkas dalam Op Dadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada pukul 4.45 petang.


"Polis merampas seunit kain kanvas, 20 besi pancang, dua taji, penimbang elektronik, 11 sangkar, lima kelambu, 14 ekor ayam laga dan wang tunai sebanyak RM5,852.


"Aktiviti judi laga ayam itu dipercayai mula aktif sejak awal bulan ini dan diadakan pada setiap Ahad bermula pukul 2 hingga 6 petang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Beliau berkata, caj sebanyak RM20 dikenakan terhadap setiap pemilik ayam laga dengan wang pertaruhan dikenakan antara RM300 hingga RM1,000 bagi setiap perlawanan laga ayam.


Ketika serbuan dijalankan, kumpulan lelaki tersebut duduk mengelilingi gelanggang bulat yang dipasang kain kanvas dan pancang besi yang dijadikan lokasi laga ayam.


Apabila melihat kehadiran pasukan polis, kesemua lelaki itu cuba melarikan diri namun gagal dan berjaya ditangkap.


Kesemua tangkapan direman mulai hari ini sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 32(1)(a) dan Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.


Antara yang ditahan kerana disyaki terlibat judi laga ayam di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Kolam Air Talang, Kampung Station di Kuala Kangsar semalam. - Foto ihsan pembaca.
Terjatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter, pekerja kilang patah kaki dan bahu

Terjatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter, pekerja kilang patah kaki dan bahu


Pekerja kilang patah kaki dan bahu selepas terjatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter di kawasan perindustrian Kulim Hi Tech, semalam.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, panggilan kecemasan kejadian diterima pada 8.58 malam.


Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Kulim Hi Tech yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mat Puat Ghazali tiba di lokasi bersama tujuh anggota.


"Setibanya di lokasi, didapati pekerja warga Bangladesh berusia 25 tahun masih berada di dalam tangki berkenaan dipercayai terjatuh dan mengalami patah kaki dan bahu.


"Anggota memberikan rawatan awal sebelum mengeluarkan mangsa dari tangki itu menggunakan 'rope rescue' dan pengusung," katanya dalam kenyataan.


Menurut Azmir, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut dan operasi tamat pada 10.21 malam.


Pekerja asing jatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter dikeluarkan anggota bomba. - Foto Bomba.

Ahad, 17 Mac 2024

Seekor kerbau albino dijual pada harga RM2.4 juta

Seekor kerbau albino dijual pada harga RM2.4 juta


Seekor kerbau albino dijual dengan harga 18 juta baht (kira-kira RM2.4 juta) di sebuah pameran di Thailand, baru-baru ini, lapor laman berita Nation Thailand pada 13 Mac 2024.


Kerbau diberi nama Ko Muang Phet itu adalah milik Damrongsak Morakot dari wilayah selatan Phetchaburi.


Walaupun berat untuk berpisah dengan Ko Muang Phet, Damrongsak berharap pemilik baharunya akan terus mempertahankan legasinya dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kerbau albino Thailand.


Menurut rekod, Ko Muang Phet memegang gelaran kerbau pembiakan gergasi terkemuka Thailand, kekal tidak tewas dalam pertandingan selama bertahun-tahun. Ia terkenal dengan 'kecantikannya' dan saiz yang sangat besar, pada ketinggian 180 sentimeter.


Kerbau berumur lima tahun itu mempunyai keupayaan pembiakan luar biasa kerana 90 peratus daripada anaknya akan dilahirkan dengan ciri-ciri albino, menjadikannya ia aset penting dalam pembiakan kerbau.


Menambah kemasyhurannya, Ko Muang Phet juga mencatatkan kejayaan dalam dunia hiburan kerana membintangi watak kerbau Ai Khlaow dalam versi terbaru drama televisyen popular, Mon Rak Luk Thung.


Kerbau itu dibeli oleh Ladang Wanasuwan di Chiang Rai semasa Pesta Kerbau Thai Uthai Thani ke-12 yang diadakan pada hujung minggu lalu, pada harga 18 juta baht (kira-kira RM2.4 juta) dan menjadikannya pemerolehan kerbau paling mahal.


Menurut laporan media, Ko Muang Phet sudah 'bersara' daripada pertandingan dan pemiliknya memberikan tumpuan kepada usaha melahirkan generasi baharu kerbau albino.


Damrongsak menerangkan bagaimana semangatnya untuk meneroka potensi industri kerbau Thailand membawanya kepada Ko Muang Phet.


Bermula dengan pembelian dan penternakan kerbau biasa, Damrongsak secara beransur-ansur membina sembilan Ladang Morakot di daerah Tha Yang, Phetchaburi.


Dia membesarkan Ko Muang Phet dan memelihara kerbau itu seperti kanak-kanak serta menjadikannya haiwan kesayangan di ladangnya. - Sumber Nation Thailand.


Kerbau albino yang diberi nama Ko Muang Phet. - Foto The Nation.

Sabtu, 16 Mac 2024

Lelaki dicekup selepas kali ketiga datang curi duit tabung masjid

Lelaki dicekup selepas kali ketiga datang curi duit tabung masjid


Tindakan seorang lelaki mencuri wang daripada tabung Masjid Che Mohid di Guntung, Setiu tidak berhasil apabila dia ditahan pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, perbuatan lelaki berusia 50 tahun itu berjaya dihidu selepas kakitangan masjid berkenaan menerima notifikasi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui telefon bimbit, Khamis lalu.


"Imam tersebut menerima notifikasi rakaman CCTV melalui telefon bimbit sekitar jam 5 pagi yang mengesan berlaku pergerakan di dalam masjid.


"Apabila diperiksa dia mendapati seorang lelaki telah memasuki ruang solat dalam masjid dan mengambil duit daripada tabung masjid berkenaan.


"Suspek juga merupakan orang yang sama dilihat melakukan perbuatan itu sehari sebelum kejadian," katanya ketika dihubungi di Setiu, hari ini.


Afandi berkata, selepas dikesan mencuri duit tabung masjid, suspek sekali lagi muncul dalam keadaan mencurigakan di ruangan solat lelaki di masjid itu sekitar jam 3 petang pada Jumaat.


Katanya, suspek cuba melarikan diri selepas terserempak dengan imam dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang cuba mendekatinya.


"Ketika itu berlaku sedikit pergelutan menyebabkan suspek cedera pada bahagian muka sebelum berjaya ditangkap.


"Suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," ujarnya. - Sumber Sinar Harian.


Tindakan seorang lelaki mencuri duit tabung masjid terbongkar apabila perbuatannya itu dirakam CCTV. - Foto Sinar Harian.
Remaja 17 tahun diculik, dipukul beramai-ramai

Remaja 17 tahun diculik, dipukul beramai-ramai


Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera parah selepas dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang di Johor Bahru pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, ekoran kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan di telinga kiri serta lebam di beberapa bahagian termasuk pipi, leher, bahu dan belakang badan.


"Susulan itu, tiga suspek berusia 15 hingga 37 tahun ditahan hari ini bagi membantu siasatan. Kejadian ini yang tular dalam media sosial dipercayai berlaku pada jam 5 petang.


"Berdasarkan rakaman, mangsa telah dipukul menggunakan topi keledar di kawasan perumahan, sebelum dimasukkan ke dalam kereta Proton Satria dan dibawa ke tempat lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dibawa ke sebuah rumah di kawasan berhampiran dan dipukul menggunakan kayu cota serta beberapa objek lain.


Mohd Sohaimi berkata, seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai 26 rekod jenayah lampau selain turut positif dadah jenis methamphetamine.


Motif kejadian katanya, masih dalam siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 363, Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.


"Selain itu, polis masih giat memburu beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut," ujarnya.


Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki dipukul beberapa individu sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan dipercayai berlaku di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru semalam.
Wanita jumpa wang hampir RM300,000 dalam van mini miliknya

Wanita jumpa wang hampir RM300,000 dalam van mini miliknya


Seorang wanita tidak menyangka menemui sebuah beg mengandungi wang tunai sebanyak 1.2 bilion dong (RM238,958) di dalam van mini miliknya, lapor portal berita VNEXpress pada 15 Mac 2024.


Nguyen Thi Luc, 44, menemui beg tersebut selepas dia menghantar bekalan telur kepada penjaja di sebuah pasar tempatan di Hanoi pada Rabu lalu.


Selepas melakukan penghantaran, dia menemui wang tersebut di dalam beg plastik dan bertanya kepada beberapa orang di sekitar van mini itu tetapi mereka mengaku bukan pemiliknya.


Dia kemudian membawa wang itu ke balai polis terdekat.


Pasukan polis yang melakukan pencarian menyeluruh selama tiga jam akhirnya berjaya mengesan pemilik wang tunai itu yang merupakan seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Le Duc Son.


Dia memperoleh wang itu selepas menjual sebidang tanah pada hari sebelumnya.


"Anak lelaki Son mengambil beg berisi wang itu dan secara tidak sengaja meninggalkannya di sekitar pasar Dinh," kata seorang ketua polis tempatan, Le Duy Hoa.


Polis membuat dokumentasi yang diperlukan sebelum menyerahkan semula wang itu kepada Son. Dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Luc dan para pegawai kerana mendapatkan semula wangnya. - Sumber VNExpress.


Nguyen Thi Luc bertanya kepada orang berhampiran selepas menemui beg plastik dengan wang tunai sebanyak 1.2 bilion dong di dalam van mininya pada 13 Mac 2024. - Foto diperoleh oleh VnExpress.