Khamis, 26 Ogos 2021

Cef Sediakan Sup Ular Maut Dipatuk 'Kepala' Reptilia Itu Yang Baru Dipotong Untuk Dimasak

Cef Sediakan Sup Ular Maut Dipatuk 'Kepala' Reptilia Itu Yang Baru Dipotong Untuk Dimasak


Nasib malang menimpa seorang cef apabila maut dipatuk 'kepala' ular tedung yang baru dipotong, ketika menyiapkan hidangan sup ular yang amat terkenal di bahagian selatan China.


Menurut laporan akhbar Daily Star pada 24 Ogos 2021, Peng Fan dari bandar Foshan telah menghabiskan masa selama 20 minit untuk menyediakan hidangannya dan memotong kepala ular tedung berbisa tersebut.


Ketika mencapai kepala haiwan itu untuk dibuang ke dalam tong sampah, ia secara tiba-tiba mematuk lelaki itu, menyebabkan suasana bertukar kecoh dan memeranjatkan pelanggan yang ada di restoran tersebut.


Menurut seorang pelanggan, Lin Sun, 44, dia sedang makan di restoran tersebut bersempena sambutan ulang tahun kelahiran isterinya apabila suasana tiba-tiba menjadi kecoh. Mereka yang mendengar jeritan dari arah dapur pada awalnya tidak tahu apa yang sedang berlaku.


"Pekerja restoran kemudiannya menghubungi doktor namun sebaik sahaja bantuan perubatan tiba, lelaki itu dilaporkan sudah mati. Selepas mendengar berita itu, kami terus berhenti makan," katanya.


Bisa daripada ular tedung itu mengandungi neurotoksin yang boleh membunuh dalam masa 30 minit, mengakibatkan lumpuh dan membuatkan mangsa mengalami sesak nafas sehingga boleh membawa maut. 


Terdapat penawar bagi bisa tersebut, namun ia perlu diberikan kepada mangsa secepat mungkin. Menurut seorang pakar, ular dan beberapa reptilia lain masih boleh bergerak sehingga satu jam selepas dibunuh.


Katanya, tidak mustahil haiwan itu masih hidup dan menggigit tangan Peng Fan. Selepas kepalanya dipotong, ia dianggap telah mati namun masih terdapat pergerakan reflektif. Ini bermakna ular masih boleh mematuk meskipun selepas kepalanya cedera teruk.


Ular tedung senduk boleh memindahkan bisanya dari jarak 2.7 meter. - Foto Getty Images.
Pemburu Melepaskan Tembakan Disangka Burung, Lelaki Maut Ditembak

Pemburu Melepaskan Tembakan Disangka Burung, Lelaki Maut Ditembak


Seorang lelaki maut ditembak apabila seorang pemburu yang menyangkanya seekor burung di kawasan hutan Nanga Dayu iaitu antara sempadan RH Uding, Ulu Budu, Saratok dengan RH Anthony, Sungai Merah, Dayu Pakan, semalam


Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin, berkata dalam kejadian jam 4 petang, mangsa yang dikenali sebagai Nissa Jamu, 29, meninggal dunia di tempat kejadian.


Katanya, sebelum kejadian, mangsa dan dua rakannya bergerak dari RH Anthony dan mereka berehat seketika di kawasan itu sebelum memulakan pemburuan.


"Suspek pula adalah lelaki 45 tahun yang memburu sendirian dari arah Ulu Budu, Saratok. Apabila tiba di lokasi, dia didakwa melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka seekor burung.


"Selepas tembakan itu, suspek ke tempat mangsa dan mendapati dia telah tersalah tembak. Dia didakwa meminta maaf kepada dua rakan mangsa dan pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Andam berkata, bagaimanapun suspek tampil menyerah diri di Balai Polis Julau dan ditahan kira-kira 2 pagi hari ini. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.


Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati lebih 15 kesan tembakan dijumpai di belakang badan dan kepala mangsa. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Katanya, kes juga disiasat mengikut seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya.


Senapang, peluru serta peralatan yang dirampas daripada suspek yang menembak seorang lelaki ketika berburu di kawasan hutan Nanga Dayu, Pakan. - Foto Melvin Joni.
Hujan Di Puncak Greenland Petanda Kurang Baik, Bandar-Bandar Pinggir Pantai Akan Tenggelam

Hujan Di Puncak Greenland Petanda Kurang Baik, Bandar-Bandar Pinggir Pantai Akan Tenggelam


Sebilangan saintis meyuarakan kebimbangan terhadap fenomena hujan di puncak tertinggi litupan ais di Greenland, kerana mencetuskan petanda lapisan ais mencair pada kadar yang pantas. Perkara itu didedahkan oleh sekumpulan saintis pada Jumaat (20/8/2021), lapor Reuters.


Lapisan ais kedua terbesar dunia selepas Antartika itu mengalami hujan selama beberapa jam pada 14 Ogos lepas, di puncak tertingginya setinggi 3,216 meter. Kejadian itu dijangka terus berlaku, seiring peningkatan suhu global.


Secara keseluruhan, sebanyak tujuh bilion tan hujan turun di seluruh Greenland bagi tempoh tiga hari bermula dari 14 Ogos lepas, yang merupakan rekod tertinggi dicatatkan sejak 1950.



Pakar glasiologi Pemantauan Bumi Lamont-Doherty dari Universiti Columbia, Indrani Das berkata, ia bukan satu petanda yang baik untuk lapisan ais. Air pada permukaan ais adalah tidak bagus, kerana menjadikan lapisan ais lebih terdedah terhadap pencairan permukaan.


Bukan sahaja air lebih hangat berbanding salji, ia juga kelihatan lebih gelap, maka ia menyerap lebih banyak cahaya matahari berbanding memantulkannya kembali. Kesan ais yang mencair itu akan mengalir ke laut, seterusnya mengakibatkan paras air laut meningkat.


Sementara itu, menurut laporan laman berita The Guardian, paras laut global boleh meningkat sebanyak kira-kira enam meter sekiranya semua ais di Greenland cair, meskipun proses itu akan mengambil masa selama beratus-ratus tahun untuk berlaku.


Keadaan itu boleh menenggelamkan bandar-bandar pinggir pantai seperti Mumbai, New York dan Amsterdam. Sejak tahun 1994, beberapa trilion tan ais telah hilang dari Greenland sekali gus meningkatkan paras laut. 


Pada Julai lalu, pencairan ais besar di Greenland sudah cukup untuk meningkatkan paras air seluruh negeri Florida sehingga 5 sentimeter. Baca juga: Lapisan Ais Greenland Mencair Kira-Kira 8 Bilion Tan Sehari Kesan Gelombang Panas.


Kesan ais yang mencair itu akan mengalir ke laut, seterusnya mengakibatkan paras air laut meningkat. - Foto Reuters.

Ais yang mencair mengalir di sepanjang lapisan ais Greenland pada tahun 2007. - Foto CNN.

Rabu, 25 Ogos 2021

Model Playboy Bida RM2.5 Juta Tisu Digunakan Messi Mengesat Air Mata Dan Hingus

Model Playboy Bida RM2.5 Juta Tisu Digunakan Messi Mengesat Air Mata Dan Hingus


Seorang peminat fanatik Lionel Messi dan juga model majalah Playboy, Luana Sandien sanggup membida 438,000 pound (RM2.5 juta) bagi mendapatkan tisu yang mengandungi 'DNA' bintang Argentina tersebut, lapor The Sun 24 Ogos 2021.


Sandien berkata, dia terus membida dengan nilai tersebut bagi mendapatkan tisu yang digunakan bagi mengesat air mata dan hingus Messi ketika majlis perpisahan bintang Barcelona itu selepas terlihat iklan di Internet.


"Saya terus membida de­ngan nilai 438,000 pound untuk mendapatkan tisu tersebut. Selepas itu, iklan tersebut hilang. Saya menawarkan lebih separuh daripada amaun yang dipaparkan dalam iklan terbabit dan saya percaya saya mampu memenanginya.


"Bagaimanapun iklan itu hilang selepas saya membidanya, lenyap entah ke mana. Iklan itu lesap tanpa memaklumkan langkah berikutnya. Jadi saya tidak tahu sama ada terdapat orang lain yang berjaya memenangi bidaan itu.



"Ataupun pengiklan sudah menyerah kalah dengan idea tersebut. Saya harap saya memperolehnya," ujar Sandien menjelaskan bahawa dia berusaha mendapatkan tisu Messi itu.


Belum pasti sama ada mo­del dari Brazil yang mempunyai 45,000 pengikut di Instagram itu berupaya memenangi bidaan tersebut, namun jika berjaya, Sandien merancang untuk bergambar dengan tisu tersebut dalam keadaan tidak senonoh.


Seperti diketahui, Lionel Messi mengucapkan selamat tinggal kepada Barcelona pada 8 Ogos 2021 lalu. Pada sidang media perpisahan, Messi tidak dapat menahan tangisan.


Isteri Lione Messi, Antonela Roccuzzo kemudian menunjukkan sikap prihatin terhadap suaminya yang menitiskan air mata. Antonela juga mengambil tisu yang diberikan kepada Messi untuk mengesat air matanya.


Menariknya, ada orang yang mengambil tisu yang digunakan Messi mengesat air mata dan hingus itu. Tisu tersebut kemudian dijual di sebuah laman sesawang lelongan antarabangsa bernilai AS$1 juta. Baca Juga: Tisu Messi Guna Untuk Lap Air Mata Dijual RM4.24 Juta.


Tisu yang digunakan Lionel Messi untuk mengelap hingus dan air mata dalam majlis perpisahannya awal bulan ini menjadi rebutan (Gambar kiri Luana Sandien).
Antibodi haiwan llama hentikan penularan Covid-19 dalam ujian makmal

Antibodi haiwan llama hentikan penularan Covid-19 dalam ujian makmal


Antibodi haiwan llama kemungkinan besar akan mempunyai peranan global dalam membantu memerangi Covid-19. Ini sekiranya ujian klinikal dijalankan syarikat bioperubatan Belgium berjalan lancar seperti dijanjikan, lapor Reuters.


Penyelidik dari Pusat Bioteknologi Perubatan VIB-UGent di Ghent berkata, antibodi yang diekstrak daripada seekor llama yang dikenali dengan nama 'Winter' itu telah berjaya mematikan penularan koronavirus.


Ketua Pegawai Perubatan ExeVir VIB-UGent, Domunique Tersago, mengatakan teknologi yang merupakan kemajuan terbesar ini dilihat dapat meningkatkan peranan vaksin dalam melindungi orang ramai yang mempunyai sistem berdaya tahan yang lemah, selain merawat para individu yang dijangkiti di hospital.


"Antibodi llama yang luar biasa dapat bercantum dengan bahagian tertentu pada S Protein virus dan kami tidak melihat mutasi pada kadar tinggi di sana," katanya.


Tambahnya, antibodi juga menunjukkan tahap peneutralan kuat terhadap varian Delta yang mudah menular. Para penyelidik menjangkakan ujian klinikal terhadap sukarelawan sihat yang dimulakan minggu lalu akan menunjukkan kesan yang sama.


Menurut Ketua Kumpulan VIB-UGent, Xavier Saelens, seperti Ilama dan spesis unta yang lain, Winter menghasilkan versi antibodi yang lebih kecil dan stabil berbanding haiwan-haiwan yang lain.


"Saiznya yang kecil membolehkan ia untuk mencapai sasaran hingga ke bahagian virus yang sukar diakses oleh antibodi biasa," katanya.


Pencarian bagi rawatan Covid-19 itu adalah susulan kepada kajian yang dijalankan pada 2016 melibatkan penggunaan antibodi haiwan llama untuk melawan virus SARS dan MERS.


Pada 2018, syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi membayar 3.9 bilion euro kepada Ablynx, sebuah syarikat perubatan yang mempunyai kepakaran dalam penyelidikan antibodi llama.


Antibodi llama menunjukkan tahap peneutralan kuat terhadap varian Delta yang mudah menular. - Foto Getty Images.

Selasa, 24 Ogos 2021

Tumbuk muka dan mengejar jururawat sebelum cuba lari dari hospital

Tumbuk muka dan mengejar jururawat sebelum cuba lari dari hospital


Tindakan seorang pesakit Covid-19 cuba melarikan diri dari Hospital Sungai Buloh semalam mengundang padah apabila mengalami kecederaan selepas terjatuh dari tingkat lima.


Memetik laporan Harian Metro, kejadian itu berlaku pada 3.20 petang semalam. Mangsa yang berusia 33 tahun dimasukkan di dalam wad hospital itu pada 3 pagi hari sama akibat positif Covid-19.


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'aton Abu Bakar berkata, pesakit yang kelihatan murung itu cuba keluar dari wad sebelum bergelut dengan jururawat yang cuba menghalangnya.


"Pesakit lelaki itu bertindak agresif terhadap jururawat dengan menumbuk muka dan mengejar jururawat yang menghalangnya untuk keluar dari wad berkenaan. Dia turut mengganggu pesakit lain sebelum pergi ke tepi tingkap wad dan cuba terjun," katanya.


Beliau berkata, kejadian itu disedari staf lain hospital dan cuba menyelamatkannya, namun pesakit itu akhirnya terjatuh ke aras bawah hospital.


Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk menerima rawatan lanjut kerana cedera di badan dan muka. Kes masih dalam siasatan polis untuk tindakan selanjutnya.


Lelaki positif Covid-19 tumbuk jururawat sebelum cuba lari dari hospital.
Pembaca Meter TNB Cedera Digigit Anjing Ketika Bertugas

Pembaca Meter TNB Cedera Digigit Anjing Ketika Bertugas


Seorang pembaca meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera di tangan kanannya akibat digigit seekor anjing ketika menjalankan tugas di Jalan Api-Api 1, Taman Megah Ria, Johor Bahru, Johor, kelmarin (Ahad).


Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd. Faridzuan Nordin, 27, dikatakan telah diterkam oleh anjing yang meluru keluar dari sebuah rumah di taman perumahan itu apabila pintu pagar kecil dibuka.


Difahamkan, pintu pagar kecil itu dibuka oleh cucu pemilik rumah tersebut. Menerusi perkongsian yang tular di media sosial semalam, mangsa dan anak pemilik anjing kemudian dilaporkan bergelut dengan anjing berkenaan beberapa minit sebelum haiwan itu melepaskan gigitan.


Mangsa yang kesakitan dan terkejut kemudiannya dilaporkan meminta bantuan di aplikasi WhatsApp dengan menghantar gambar digigit anjing pada 12.15 tengah hari.


Susulan itu, beberapa orang rakan sekerja berhampiran segera datang ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa dan membawanya ke klinik untuk mendapatkan suntikan dan rawatan susulan.


Mangsa bagaimanapun dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk membuat pemeriksaan dan rawatan lanjut. Insiden digigit anjing itu menyebabkan mangsa mengalami luka akibat gigitan di lengan kanan yang agak serius, ibu jari tangan kiri dan calar-calar di bahagian kaki kiri.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan telah menerima laporan yang dibuat mangsa pada hari sama kejadian berlaku.


"Mangsa bagaimanapun secara sukarela menarik balik laporan itu setelah perbincangan dibuat oleh kedua-dua belah pihak. Kes telah diselesaikan dengan baik," jelas beliau.


Seorang pembaca meter TNB cedera selepas digigit anjing dalam kejadian di Taman Megah Ria, Johor Bahru, Johor.
Kerepek 'Rare' Berjaya Dijual RM61K, Ia Bersaiz Lebih Besar Dan Bengkak

Kerepek 'Rare' Berjaya Dijual RM61K, Ia Bersaiz Lebih Besar Dan Bengkak


Tuah buat seorang remaja di Sydney apabila ditawarkan AU$20,000 (RM61,047.69) untuk kerepek rangup 'rare' yang ditemuinya dalam bungkusan makanan ringan keluaran Doritos, lapor Daily Mail pada 22 Julai lalu.


Rylee Stuart, 13, berkata, dia menemui kerepek rangup itu dalam keadaan bengkak dan saiz lebih besar berbanding biasa sebelum memuat naik gambar di TikTok sebelum ia tular.


Katanya, dia mencuba nasib mengiklankan kerepek rangup berkenaan di eBay dengan harga bida permulaan AU$0.99 (RM3.02) sebelum meningkat kepada AU$5,000 (RM15,271.29) dalam masa dua jam.


Lelongan itu mencetuskan kegilaan apabila menyaksikan tawaran meningkat kepada lebih dari AS$20,000 hanya dalam beberapa hari. Pihak eBay terpaksa menurunkan iklan lelongan itu selepas harga meningkat kepada AU$20,300 (RM62,001.45).



Syarikat pengeluar kerepek berkenaan, Doritos akhirnya menawarkan harga lelongan terakhir, AU$20,000. Rylee turut dijemput ke program Today Show di mana dia menyimpan kerepek itu dalam bekas.


"Saya tak sangka semua ini akan berlaku. Ayah ada mengatakan bahawa sejak dia membeli paket itu, ia adalah miliknya, tetapi saya memakan kerepek itu dan menjumpainya, jadi saya percaya itu adalah milik saya," kata Rylee.


Sebelum ini menjual barang makanan aneh dengan harga ribuan ringgit di laman web tersebut sebagai fenomena yang sangat biasa. Baru-baru ini, nugget ayam berbentuk seperti watak popular dari permainan video 'Among Us' juga telah berjaya dijual dengan harga AU$136,000.



Isnin, 23 Ogos 2021

Planet Marikh Berkemungkinan Didiami Makhluk Asing Yang Hidup Di Dalam Tanah

Planet Marikh Berkemungkinan Didiami Makhluk Asing Yang Hidup Di Dalam Tanah


Kewujudan makhluk dari angkasa lepas atau lebih dikenali sebagai alien, sering menjadi perdebatan ramai. Sehingga kini masih belum ada pengesahan akan kewujudan mana-mana spesis alien, meskipun banyak teori konspirasi timbul berkenaan kewujudan makhluk ini.


Terbaru, memetik laporan akhbar Daily Star pada 15 Ogos 2021, satu kajian mendapati Planet Marikh berkemungkinan didiami oleh makhluk asing yang hidup di bawah permukaan tanah.


Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Astrobiology itu mendedahkan bahawa di bawah permukaan tanah di Marikh, hidupan mikrob boleh berkembang selama berbilion-bilion tahun.


Justeru, saintis-saintis menyelidik mengenai kehidupan yang berpotensi di bawah permukaan planet tersebut dengan mengkaji ketulan batuannya. Mereka mendapati bahawa sejuta mikrob boleh hidup dalam hanya satu kilogram batu, keadaan sama seperti sampel di Bumi.


Permukaan tanah di Marikh berkemungkinan agak sukar untuk dihuni memandangkan keadaannya yang telah rosak akibat ribut debu, angin solar dan sinar kosmik.



Menurut ketua penyelidik kajian tersebut yang juga saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Jesse Tarnas, disebabkan itu, peluang terbaik untuk habitat di Marikh hidup adalah di bawah tanah.


"Sekiranya planet tersebut mengandungi air, ia bererti terdapat peluang yang baik untuk hidupan berada di situ," katanya.


Sebelum ini, pasukan saintis telah mengkaji solek mineral dan unsur radioaktif batu di Marikh, mereka memasukkannya ke dalam komputer super yang mensimulasikan proses radiolysis.


Kajian itu menunjukkan sejauh mana proses itu menghasilkan gas hidrogen dan sulfat yang penting, dan mendapati bahawa jika ada cecair, manusia akhirnya dapat melihat bukti kehidupan di angkasa.


Objek misteri menyerupai 'wanita' dan beberapa penampakan lain ini dirakam oleh robot Curiosity Rover milik NASA di planet Marikh pada 2015 lalu.

Sampel batu dari planet Marikh dikaji semasa eksperimen. - Foto NASA/SWNS.
Sudah Makan Separuh Baru Perasaan Ada Skru Dan Nat Dalam Piza Yang Ditempah

Sudah Makan Separuh Baru Perasaan Ada Skru Dan Nat Dalam Piza Yang Ditempah


Seorang wanita terkejut selepas menemukan nat dan skru dalam piza yang ditempahnya. Dia sudah hampir separuh menikmati pizanya ketika menemukan objek tersebut yang tersembunyi dalam keju.


Menurut laporan Metro.co.uk pada 22 Ogos 2021, Gemma Barton yang terkejut dengan keadaan itu kemudiannya menghubungi kedai piza berkenaan di Thornton Cleveleys, Lancashire untuk memaklumkan penemuannya.


Pengurus cawangan kedai tersebut segera memohon maaf dan memulangkan semula duitnya. Selepas insiden itu, Barton memuat naik gambar piza yang ditempahnya ke dalam media sosial dan meminta orang ramai supaya berhati-hati.


"Tolong periksa terlebih dahulu sebelum makan piza anda kerana berisiko tercekik objek yang berbahaya. Tidak dapat bayangkan jika ada di antara kita yang tertelan dan tercekik skru atau nat," katanya.



Dalam pada itu, jurucakap kedai pizza tersebut kesal dengan kejadian berkenaan dan memohon maaf atas perkara yang berlaku, dan pihaknya akan memastikan perkara itu tidak berulang.


"Kami mengambil serius atas semua aduan yang dibuat oleh pelanggan kerana hal itu penting untuk meningkatkan kualiti piza kami. Kami mohon maaf atas kecuaian ini dan akan menambah baik perkhidmatan dari semasa ke semasa," ujarnya.


Pelanggan yang kecewa itu segera mengadu kepada Domino's Pizza dengan penemuannya itu. - Foto MEN Media.

Nat yang tersembunyi dalam piza yang ditempah Gemma Barton. - Foto MEN Media.