Khamis, 26 Ogos 2021

Cef Sediakan Sup Ular Maut Dipatuk 'Kepala' Reptilia Itu Yang Baru Dipotong Untuk Dimasak


Nasib malang menimpa seorang cef apabila maut dipatuk 'kepala' ular tedung yang baru dipotong, ketika menyiapkan hidangan sup ular yang amat terkenal di bahagian selatan China.


Menurut laporan akhbar Daily Star pada 24 Ogos 2021, Peng Fan dari bandar Foshan telah menghabiskan masa selama 20 minit untuk menyediakan hidangannya dan memotong kepala ular tedung berbisa tersebut.


Ketika mencapai kepala haiwan itu untuk dibuang ke dalam tong sampah, ia secara tiba-tiba mematuk lelaki itu, menyebabkan suasana bertukar kecoh dan memeranjatkan pelanggan yang ada di restoran tersebut.


Menurut seorang pelanggan, Lin Sun, 44, dia sedang makan di restoran tersebut bersempena sambutan ulang tahun kelahiran isterinya apabila suasana tiba-tiba menjadi kecoh. Mereka yang mendengar jeritan dari arah dapur pada awalnya tidak tahu apa yang sedang berlaku.


"Pekerja restoran kemudiannya menghubungi doktor namun sebaik sahaja bantuan perubatan tiba, lelaki itu dilaporkan sudah mati. Selepas mendengar berita itu, kami terus berhenti makan," katanya.


Bisa daripada ular tedung itu mengandungi neurotoksin yang boleh membunuh dalam masa 30 minit, mengakibatkan lumpuh dan membuatkan mangsa mengalami sesak nafas sehingga boleh membawa maut. 


Terdapat penawar bagi bisa tersebut, namun ia perlu diberikan kepada mangsa secepat mungkin. Menurut seorang pakar, ular dan beberapa reptilia lain masih boleh bergerak sehingga satu jam selepas dibunuh.


Katanya, tidak mustahil haiwan itu masih hidup dan menggigit tangan Peng Fan. Selepas kepalanya dipotong, ia dianggap telah mati namun masih terdapat pergerakan reflektif. Ini bermakna ular masih boleh mematuk meskipun selepas kepalanya cedera teruk.


Ular tedung senduk boleh memindahkan bisanya dari jarak 2.7 meter. - Foto Getty Images.


EmoticonEmoticon