Ahad, 18 Julai 2021

Burung Helang 'Harpy' Terbesar Di Dunia Diancam Masalah Kepupusan

Burung Helang 'Harpy' Terbesar Di Dunia Diancam Masalah Kepupusan


Kerana rupanya yang unik, burung helang Harpy mendapat tempat di hati netizen dan sangat popular di internet sehingga sering menjadi topik perbualan, malah gambar helang ini juga tidak pernah gagal membuat orang ramai kagum.


Helang Harpy lebih suka tinggal di hutan hujan tropika dataran rendah. Spesies burung helang yang besar ini memerlukan pokok-pokok besar dan kawasan hutan yang luas supaya senang mencari makanan sekali gus jumlahnya berkembang.


Burung Helang Harpy adalah antara burung pemangsa yang terbesar di dunia. Helang Harpy biasanya ditemui di kawasan hutan dari Mexico melalui Amerika Tengah sehingga ke utara Argentina di Amerika Selatan.


Kelebaran sayapnya boleh mencecah sehingga 7 kaki 4 inci, dan beratnya boleh mencapai sehingga 10 kilogram. Helang Harpy membina sarangnya tinggi di atas pokok-pokok tertinggi di hutan, dan biasanya memakan haiwan yang tinggal di atas pokok seperti monyet, sloth, iguana atau ular.


Cara burung ini membuat sarang dengan menggunakan beratus-ratus kayu dan ranting serta tumbuh tumbuhan dan bulu haiwan. Sarangnya akan dibina cukup besar kerana saiznya yang agak besar.



Menurut lapor BBC News pada 6 Julai 2021 lalu, helang Harpy hampir 90 peratus populasinya tinggal di hutan Amazon kini diancam masalah kepupusan, berikutan tidak dapat mencari makanan kerana penebangan hutan secara besar-besaran.


Ahli konservasi mengatakan bahawa helang itu mempunyai peluang 'hampir sifar' untuk bertahan hidup disebabkan penebangan hutan di Amazon. Menurut kajian terbaru, burung itu berjuang untuk memberi makanan pada anak-anaknya di beberapa kawasan hutan hujan yang telah ditebang.


Kira-kira 17 peratus hutan Amazon telah musnah dalam 50 tahun kebelakangan ini, dan kerosakan telah meningkat dalam beberapa tahun terakhir. Amazon dianggap sebagai 'rumah terakhir' untuk helang Harpy.


Penyelidik Carlos Peres, profesor sains alam sekitar di University of East Anglia, UK berkata, selain keluasan hutan yang semakin mengecil, aktiviti pemburuan haram turut menambahkan tekanan terhadap burung helang ini untuk meneruskan kelangsungan hidup.


Walaupun terdapat perlindungan undang-undang di beberapa negara, termasuk Brazil, Panama dan Suriname, perlindungan sukar dilaksanakan di kawasan hutan terpencil.


Kadar kemusnahan hutan hujan Amazon dilaporkan terus meningkat. Gelombang haba melampau mengakibatkan hutan ini terbakar antara satu faktor penyebabnya.

Burung helang Harpy adalah antara burung pemangsa terbesar di dunia kini diancam masalah kepupusan.
23 rumah atas air hangus terbakar di Tanjung Aru

23 rumah atas air hangus terbakar di Tanjung Aru


KOTA KINABALU, 18 Julai - Penduduk perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru Baru dikejutkan dengan kejadian kebakaran yang memusnahkan 23 buah rumah awal pagi hari ini.


Kebakaran pada pukul 4.32 pagi itu merupakan kejadian ketiga berlaku dalam tempoh singkat di kampung itu, yang mengakibatkan 33 rumah musnah pada 25 Mei lepas manakala 10 rumah lagi pada 6 Julai lepas.


Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada 4.32 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota yang terdiri daripada 36 orang dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan 10 buah jentera dan kenderaan utiliti.


"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu digegaskan ke tempat kejadian sejauh tiga kilometer itu dengan dibantu anggota BBP Penampang. Bomba mengalami kesukaran ke lokasi kejadian disebabkan laluan jalan yang sempit," menurut kenyataan itu.


Kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah rumah sebelum api merebak ke rumah berhampiran berikutan kedudukan rumah yang terlalu rapat. Kebakaran itu turut memusnahkan lima kereta dan enam motosikal namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Operasi pemadaman kebakaran berjalan lancar dan api berjaya dikawal pada 5.49 pagi. Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 8 pagi, manakala jumlah kerugian masih disiasat.


Kebakaran yang memusnahkan 23 rumah perkampungan atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu hari ini.

Keadaan rumah penduduk dan kenderaan di perkampungan Tanjung Aru yang hangus terbakar.

Kebakaran yang memusnahkan kira-kira 10 buah rumah atas air di Kota Kinabalu, 6 Julai lalu.

Sabtu, 17 Julai 2021

Vila misteri tiba-tiba muncul di tepi pantai selepas 28 tahun hilang

Vila misteri tiba-tiba muncul di tepi pantai selepas 28 tahun hilang


Sebuah vila misteri ditemui terdampar secara tiba-tiba di tepi pantai di Costa de Sol, El Salvador, menyebabkan ramai pengunjung berteka teki asal usul bangunan tersebut, lapor laman berita Oddity Central pada 15 Julai 2021 lalu.


Penduduk tempatan dan pe­lancong keliru berhubung pene­muan tersebut di Pantai La Puntilla baru-baru ini. Bagaima­napun, terdapat teori popular mengatakan bahawa vila itu hanyut dan terus 'menghilang' dalam bencana taufan yang membadai El Salvador lebih 20 tahun lalu.


Akhbar tempatan, La Prensa Grafica melaporkan bahawa beberapa penduduk memberitahu, vila misteri yang tiba-tiba muncul itu merupakan sebuah hotel dikenali sebagai Hotel Puerto Ventura kira-kira 28 tahun lalu.


Hotel tersebut dibina hanya beberapa meter dari laut sekali gus menguatkan kemungkinan bahawa ia dihanyutkan oleh air laut.


"Mereka membinanya terlalu dekat dengan pantai. Mereka juga tidak membuat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa untuk membinanya (hotel) dan itulah akibatnya," kata seorang penduduk tempatan.



Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan bagaimana hotel tersebut musnah dalam kejadian Taufan Mitch yang telah membadai El Salvador pada tahun 1998 dan mengakibatkan lebih 9,000 kematian.


Kini, bangunan dua tingkat tersebut menjadi tarikan pelancong yang datang ke situ untuk bergambar. Ada antara pengunjung memanjat tingkat atas vila tersebut bagi mendapatkan gambar pemandangan yang lebih cantik.


Bagaimanapun, penduduk setempat, Coralia Sotelo berkata, beberapa kanak-kanak pernah melihat seorang lelaki kulit hitam yang sangat tinggi berkeliaran di sekitar vila tersebut pada waktu malam, menyebabkannya takut untuk menghampiri kawasan itu.


"Saya takut untuk pergi ke situ dan tidak pernah menghampirinya. Beberapa kanak-kanak yang pergi ke pantai itu untuk menangkap penyu pada waktu malam memberitahu mereka ada terlihat lelaki itu," ujarnya.



Digelar penipu bersiri paling hebat, ramai jadi mangsa termasuk suami sendiri

Digelar penipu bersiri paling hebat, ramai jadi mangsa termasuk suami sendiri


Seorang wanita digelar penipu bersiri selepas memperdaya suami, rakan sekerja dan beberapa individu lain dengan mendakwa dia menghidap kanser paru-paru tahap akhir dan dijangka hidup 18 bulan sahaja, lapor Hull Live pada 15 Julai 2021 lalu.


Bagi meyakinkan mereka, Stephanie Hunter, 32, turut membotakkan kepalanya dan memakai selendang hingga rakan sekerjanya simpati dan mengumpul dana untuk menghadiahkan dia percutian terakhir ke Disneyland Paris bersama tiga anak berusia 13, sembilan dan lapan tahun.


Percutian VIP bernilai £7,000 (RM40,634.25) itu ditaja sepenuhnya dengan layanan mewah, sebelum penipuan Hunter akhir terbongkar apabila majikannya gagal mendapat pengesahan perubatan dan status terkini penyakitnya.


Dia akhirnya mengaku menipu ramai orang termasuk suami sendiri iaitu Jamie Wilkinson, apabila Perkhidmatan Sosial mula campur tangan berhubung urusan kebajikan anaknya selepas orang awam membuat aduan.


Kesnya dilapor kepada pihak berkuasa dan Hunter dari Freemantle Avenue, Hull dihadapkan ke Mahkamah Crown Hull, pada Khamis lalu dengan Hakim John Thackray menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadapnya.


Local efforts to get Hunter and her children to Disneyland raised a total of £10,446. - Foto Disney.

Ketika prosiding itu, Pendakwa raya David Godfrey memaklumkan mahkamah bahawa Hunter bekerja sebagai jurujual ResQ di George Street pada 2016, namun dilapor sakit dan mengemukakan surat cuti sakit selama 21 hari kerana kanser paru-paru dan memerlukan pembedahan.


Dia kemudian mendakwa rawatannya tidak berjaya dan perlu menjalani kemoterapi selama tiga bulan dan turut memberikan tarikh prosedur itu akan dijalankan menyebabkannya tidak boleh bekerja, tetapi masih dibayar gaji.


Mahkamah dimaklumkan pada Januari 2017, Hunter membotakkan kepalanya dan memakai selendang serta mampu bekerja selama seminggu sehingga September 2017.


Stephanie Hunter pretended she had terminal cancer. - Foto CPS.

Rakan sekerja yang prihatin kemudiannya mengumpul dana untuk Hunter bercuti buat kali terakhir bersama keluarga dan halaman kumpul dana secara dalam talian, Just Giving diwujudkan dengan keseluruhan dana diperoleh termasuk sumbangan ahli perniagaan adalah £10,446 (RM60,637.90).


Hakim John Thackray dalam penghakimannya berkata kepada Hunter bahawa dia seorang 'pemangsa dan memanipulasi' emosi dan kebaikan orang yang tersentuh dengan penderitaan yang didakwa dialaminya.


"Penipuan awak dan semua tindakan itu satu penghinaan. Kesalahan seperti ini akan menjejaskan keyakinan orang ramai dan menghalang mereka untuk menderma," katanya.


Hunter menyesali tindakannya berkata: "Saya tidak mahu meletakkan diri saya dalam kedudukan ini lagi." Dia menangis sebaik dibawa keluar dari kandang tertuduh selepas hukuman dijatuhkan.


The case was heard at Hull Crown Court. - Foto BPM MEDIA.

Tergamam menemui 18 ekor ular bersarang di bawah katil

Tergamam menemui 18 ekor ular bersarang di bawah katil


Kejadian ular masuk ke dalam kediaman bukan lah sesuatu perkara yang baru. Lebih-lebih lagi kalau musim hujan dan panas yang tak menentu. Ular adalah reptilia berdarah sejuk, maksudnya suhu badannya berubah ikut persekitaran.


Sebab tu musim panas, ular suka tempat teduh, tapi musim hujan, ia cari tempat panas macam dalam rumah dan kereta. Namun kejadian yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mungkin antara kes yang jarang kita dengar.


Menurut lapor laman berita United Press International (UPI) pada 14 Julai 2021, seorang wanita di AS tergamam menemui 18 ekor ular bersarang di bawah katil bilik tidurnya.


Trish Wilcher berkata, dia berada di bilik tidur rumah keluarganya di Augusta apabila melihat gumpalan di atas lantai.


"Sebelum tidur, saya terlihat benda bergumpal di atas lantai dan mahu mengambilnya sebelum ia tiba-tiba bergerak," katanya.


Wilcher dan suaminya, Max terkejut apabila mendapati 'gumpalan' itu adalah seekor anak ular dan mereka ternampak 16 ekor lagi anak ular di bawah katil tersebut.


Wilcher memuat naik foto anak ular yang ditemuinya itu di laman Facebook beserta kapsyen: "Saya rasa saya perlu berjumpa pakar sakit jantung selepas ini kerana terkejut".


Max kemudian mengambil alat penyepit untuk mengambil ular-ular tersebut dan meletakkannya di dalam sebuah beg sebelum melepaskan kesemua ular itu ke dalam semak berdekatan.


Seorang penangkap hidupan liar yang datang pada keesokan harinya mengesahkan bahawa reptilia itu adalah jenis tidak berbisa, manakala tiada lagi ular yang berada di dalam rumah itu.


Wilcher menemui 17 ekor anak ular bersama ibunya di bawah katil di bilik tidurnya.

Jumaat, 16 Julai 2021

Lelaki Menderita Penyakit 'Misteri' Tidur 300 Hari Dalam Setahun

Lelaki Menderita Penyakit 'Misteri' Tidur 300 Hari Dalam Setahun


Seorang lelaki berusia 42 tahun di India baru-baru ini menjadi perhatian berita antarabangsa kerana dilaporkan menderita penyakit 'pelik' yang menyebabkannya tidur selama 300 hari dalam setahun.


Purkharam, seorang penduduk di desa Bhadwa, di Rajasthan, India, diduga menderita 'hipersomnia paksi HPA'. Keadaan jarang berlaku ini menyebabkan pesakit tidur dalam jangka masa yang panjang sehingga 25 hari seperti yang dilalui Purkharam.


Menurut lapor Oddity Central pada 14 Julai 2021, Purkharam didiagnosis gangguan ini pada 23 tahun yang lalu. Ia menyebabkan dia akan tidur selama 15 jam pada satu masa.


Namun, keadaannya memburuk dan pada tahun 2015 keluarganya mulai membuat jadual tidur Purkharam yang menunjukkan dia tidur bukan beberapa jam tetapi menjadi beberapa hari.


Pada mulanya, dia hanya tidur dari tujuh ke lapan hari dalam satu masa tetapi memburuk menjadi 25 hari. Dari 365 hari untuk setahun, kini dia menghabiskan sekitar 300 hari dalam tempoh itu hanya terbaring dan tertidur.


Dilaporkan, Purkharam mempunyai sebuah kedai kecil di kampungnya. Namun disebabkan keadaannya, dia hanya beroperasi selama lima hari sebulan.



Kadang-kadang dia tertidur semasa bekerja dan apabila ia berlaku, dia tidak dapat dibangunkan kembali. Disebabkan itu, keluarganya terpaksa membawanya pulang serta memberinya makan dan membersihkan dirinya ketika tidur.


Oleh keadaannya itu, penduduk dikawasan perumahannya memberinya jolokan Kumbhakaran kerana kebiasaan Purkharam tidur selama enam bulan tanpa bangun. (Kumbhakaran berasal dari kisah Ramayana adalah adik Ravana yang dapat tidur selama 6 bulan dalam satu masa).


Menurut Isteri Purkharam, Lichmi Devi berkata, setelah suaminya bangun selepas tidur beberapa hari, perkara pertama yang dia lakukan adalah membuka kedainya. Malangnya, tidak ada yang tahu berapa lama dia akan dapat mengoperasikan kedainya sebelum dia tertidur semula.


Keadaan Purkharam hingga kini tidak dapat disembuhkan. Beberapa rawatan yang dilakukan juga menyebabkan kesan sampingan seperti sakit kepala dan keletihan. Sebaliknya, keluarga Purkharam masih percaya bahawa suatu hari nanti lelaki berusia 42 tahun ini dapat pulih dan kembali ke kehidupan normal.


Rakan-rakan yang datang di rumah melihat keadaan Purkharam yang semakin teruk.

Kini Purkharam menghabiskan masa tidur sekitar 300 hari dalam tempoh setahun.
Ular sawa 'kenyang' telan anak kambing ditangkap

Ular sawa 'kenyang' telan anak kambing ditangkap


BEAUFORT - Seekor ular sawa sepanjang hampir empat meter yang baru menelan seekor anak kambing berjaya ditangkap di Kampung Suasa, pada Khamis lalu.


Ular dengan berat kira-kira 25 kilogram itu ditemui di dalam kandang kambing pada jam 12.30 tengah hari selepas pemilik kambing menyedari kehadiran haiwan terbabit.


Susulan kejadian itu, pemilik terbabit bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.


Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort kemudian mengerahkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dengan menaiki dua buah jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.


"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seekor ular sawa berada di dalam sebuah kandang kambing. Hasil pemeriksaan mendapati ular itu telah menelan seekor anak kambing," katanya ketika dihubungi pada Khamis.


Katanya, pasukan bomba mengambil masa selama 10 minit untuk menangkap ular itu dengan menggunakan peralatan khas.


"Ular sepanjang 12 kaki itu ditangkap bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Tiada mangsa lain dilaporkan dalam kejadian ini dan operasi ditamatkan pada jam 1.23 petang," katanya.

Burung hantu bawa 'hadiah' setiap hari tanda terima kasih kerana pernah diselamatkan

Burung hantu bawa 'hadiah' setiap hari tanda terima kasih kerana pernah diselamatkan


Walaupun kisah burung hantu ini kedengaran pelik tetapi itulah yang berlaku dalam satu kejadian di Afrika Selatan beberapa tahun lalu. Seekor burung hantu membalas budi dengan membawa pulang 'hadiah' pada manusia yang pernah menyelamatkannya.


Kisah ini bermula dalam satu insiden yang berlaku di Afrika Selatan pada tahun 2011, seorang lelaki telah menemui seekor burung hantu dalam keadaan cedera. Sebagai seorang pencinta haiwan, sudah tentu lelaki ini akan membawa pulang burung yang cedera itu untuk mendapatkan rawatan asas.


Lelaki ini telah menjaga burung hantu itu di rumahnya selama dua bulan dan dalam tempoh itu, perhubungan di antara kedua-duanya menjadi akrab. Malah, burung hantu ini turut berkawan baik dengan haiwan peliharaan lain di rumah berkenaan iaitu kucing dan juga burung.


Setelah kesihatannya beransur pulih, burung hantu ini telah dibebaskan ke habitat asalnya. Namun, meskipun berjauhan, haiwan ini nampaknya langsung tidak melupakan jasa dan budi baik lelaki yang pernah merawatnya itu.



Buktinya, setiap hari selama empat tahun berturut-turut burung ini akan membawa pulang pelbagai jenis 'buah tangan' dari alam semulajadi sebagai tanda penghargaan kepada lelaki yang telah menyelamatkannya.


Antara 'hadiah' yang seringkali dibawa bersama adalah tikus dan juga anak ular. Adakalanya, burung hantu ini akan tunggu lelaki berkenaan terjaga dari tidur sambil menggigit tikus tersebut.


Burung hantu ini juga akan berkongsi hadiah berkenaan dengan rakan-rakannya iaitu si burung dan si kucing. Mungkin yang lain senang hati menerima hadiah pemberian burung hantu itu tetapi walau apa pun, hati burung hantu ini benar-benar baik dan suci.


Menurut kajian, burung hantu dikenali dengan sifat setia atau merupakan haiwan yang bersifat monogami. Mungkin sebab itu, burung hantu ini cuba membalas budi baik lelaki yang pernah merawatnya dan dianggap sebagai 'keluarganya'. - Sumber Era Baru.




Khamis, 15 Julai 2021

Lelaki Dakwa Dirinya Kebal Daripada Bisa Maut Dipatuk Ketika Cium Ular Tedung

Lelaki Dakwa Dirinya Kebal Daripada Bisa Maut Dipatuk Ketika Cium Ular Tedung


Tindakan seorang lelaki di Filipina cuba mencium seekor ular tedung yang mendakwa dirinya kebal daripada bisa ular maut selepas lidahnya dipatuk reptilia berbisa itu, lapor akhbar The Sun pada 14 Julai 2021, semalam.


Bernardo Alvarez, 62, yang digelar Lelaki Ular, menangkap spesies 'Ular Tedung Filipina Udara' yang sangat berbisa di sebuah rumah penduduk di Pekan Mangaldan, wilayah Pangasinan pada 9 Julai lalu.


Menurut laporan, penduduk pada mulanya bersorak apabila Alvarez berjaya menangkap ular itu namun situasi bertukar ngeri sekelip mata.


Mangsa cuba melakukan aksi mencium reptilia itu dengan meletakkan mulutnya terlalu dekat sebelum ular menggigit hujung lidahnya. Ular tedung tersebut yang dikenali sebagai antara ular paling berbisa di dunia.


Mangsa yang terkejut dengan serangan pantas ular itu menjerit kesakitan, rebah dan menggelupur di atas tanah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.


Pegawai kesihatan tempatan, Dr. Anna de Guzman berkata, bisa ular boleh menyebabkan lumpuh seperti yang berlaku pada Alvarev. 


"Apabila sistem badan lumpuh, ia akan menyebabkan mangsa tidak dapat bernafas, kandungan oksigen dalam badan terjejas dan akhirnya degupan jantung terhenti," katanya.


Pasukan perubatan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian dan cuba memberi bantuan pernafasan tetapi mangsa sudah tidak lagi responsif dan tubuhnya sudah kaku akibat kesan bisa itu.


"Mereka tidak berjaya menyelamatkannya kerana bisa terlalu kuat. Kami tidak tahu bagaimana untuk menerima kehilangannya," kata seorang ahli keluarga Alvrez, Teresa Oca.


Bernardo Alvarez, yang dikenali sebagai 'snake man', mendakwa dia kebal bisa ular. - Foto ViralPress.


Bernardo Alvarez maut selepas lidahnya digigit ular tedung semasa cuba mencium reptilia itu. - Foto Viral Press.

Dubai buka kolam renang terdalam di dunia, penyelam boleh menjelajah 'kota terbengkalai'

Dubai buka kolam renang terdalam di dunia, penyelam boleh menjelajah 'kota terbengkalai'


Dubai terkenal dengan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa, serta hotel-hotel mewah dan pusat membeli-belah terbesar di dunia semuanya berada di sini.


Terkini kota mega itu sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila baharu saja membuka kolam renang paling dalam di dunia, dan bakal menerima kunjungan pelancong dalam masa terdekat.


Kolam sedalam 60 meter itu bernama Deep Dive Dubai yang terletak di Nad El Sheba I, Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Lokasinya terletak dalam 25 minit dari Bandar Antarabangsa Dubai.


Menurut lapor CNN, kolam renang itu diklasifikasikan sebagai terdalam di dunia oleh Guinness World Records pada 22 Jun 2021 lalu, menewaskan pemegang rekod dunia sebelum ini iaitu Deepspot di Poland sedalam 45 meter.



Deep Dive Dubai menawarkan sesi menyelam di dalam air bersuhu 30 darjah celcius serta menjelajah sebuah kota terbengkalai yang tenggelam. Sebanyak 56 kamera dipasang di sekitar kolam renang bagi memastikan keselamatan penyelam.


Kolam renang itu turut memiliki ruang hiperbarik dengan kapasiti 12 orang ketika kecemasan. Pelbagai aktiviti lain dapat dilakukan di tempat tumpuan pelancongan ini seperti Scuba Diving dan Freediving.


Buat masa ini kemudahan menyelam itu hanya dibuka untuk penyelam yang mendapat undangan. Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan bin Mohammed Al Maktoum, seorang penyelam berpengalaman menjadi antara pengunjung pertama dan berkongsi pengalamannya di media sosial.



Tarikan paling utama di Deep Dive Dubai semestinya kota di bawah air yang bakal membawa penyelam meneroka 'tinggalan' pangsapuri, perpustakaan, ruang permainan serta studio yang ditenggelami air.


Lapor USA Today, Deep Dive Dubai mempunyai kota di bawah air dengan kemudahan lengkap seperti bangku, lampu jalan dan tingkap untuk mempamer barangan jualan. Terdapat juga pangsapuri yang lengkap dengan bilik tidur, ruang makan dan garaj yang lengkap dengan kereta dan motosikal.


Menurut Diver Net, Deep Dive Dubai akan dibuka kepada semua dengan usia minima 10 tahun. Pun begitu, penyelam perlu mempunyai sijil menyelam yang dikeluarkan oleh Persatuan Tenaga Pengajar Selam Profesional (PADI).