Ahad, 27 Jun 2021

Bayi tertukar, 20 tahun baru sedar selepas ujian DNA dilakukan

Bayi tertukar, 20 tahun baru sedar selepas ujian DNA dilakukan

Adryani Iwani (kiri) bersama Adryana Iwani (tengah) dan Noratirah. - Foto Bernama.

KUALA LUMPUR, 27 Jun - Bagaikan kisah dalam sinetron, dua keluarga terpaksa melalui kisah tragis apabila tiga bayi yang dilahirkan 20 tahun lepas, rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.


Lebih memeritkan, kejadian itu hanya disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, 'kembarnya' Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, telah dewasa dan disahkan September tahun lepas selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.


Adryani Iwani berkata, kejadian itu mula terbongkar ketika dia berada di tingkatan empat sewaktu mengikuti kem motivasi apabila secara tidak sengaja berjumpa dengan pelajar dari sekolah lain yang mendakwa mukanya seiras dengan rakan sekolah mereka, Noratirah.


"Saya kemudian meminta gambar Noratirah daripada pelajar itu sebelum dia berkongsi akaun Instagram (IG) Noratirah yang dikatakan seiras dan sebaya dengan saya.


"Apabila saya maklumkan perkara itu kepada kakak, dia mengiakan persamaan ketara wajah kami, namun mama berpandangan sebaliknya menyebabkan saya tidak ambil peduli selepas itu dan menganggapnya seperti pelanduk dua serupa," katanya.


Bagaimanapun bagaikan sudah ditakdirkan, mereka akhirnya bertemu buat kali pertama secara bersemuka di Karnival Jom Masuk U di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Mac 2019 menyebabkan masing-masing terpana apabila melihat persamaan yang ketara dari segi wajah dan bentuk badan.


"Saya terkejut, sebelum ini hanya dengar daripada kawan-kawan kata ada orang muka sama dengan saya, sekali tengok, eh…betullah ada orang muka serupa dengan saya. Belum pernah lagi saya berhadapan dengan perkara sedemikian," jelasnya.


Menurutnya, akibat terlalu terkejut masing-masing hanya berpandangan antara satu sama lain dan berlalu tanpa menyapa, namun perkara itu disedari oleh rakan-rakan yang lain.


Katanya, kejadian itu tidak berakhir di situ dan ia berlarutan hingga Ogos tahun lalu apabila seorang rakannya memaklumkan tarikh lahirnya sama dengan Noratirah iaitu pada 19 Ogos selepas dia memuat naik dalam media sosial gambar majlis sambutan hari lahirnya yang diadakan di rumah.


Menurutnya, Noratirah kemudian menghubunginya melalui IG dan bertitik tolak daripada itu, banyak perkara dibincangkan dan mendapati terlalu banyak persamaan untuk disifatkan sebagai kebetulan menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk melakukan ujian DNA.



"Selepas berbincang, kedua-dua keluarga sepakat melakukan ujian DNA di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan bagi mengenal pasti sama ada terdapat pertalian antara kami," katanya.


Pelajar Diploma Kejururawatan berkenaan menjelaskan, ujian DNA itu dilakukan menggunakan sampel darah membabitkan dirinya, ibunya (Siti Aminah Ismail, 66), Adryana Iwani, Noratirah dan 'bapa' Noratirah, Husin Omar.


"Apabila keputusan keluar, kami amat terkejut terutama mama yang terduduk dan menangis selepas mengetahui keputusan ujian DNA ialah 99.99 peratus menunjukkan saya dan Noratirah ialah pasangan kembar, anak kepada Ibeni Yanin Mohd Salleh dan Siti Aminah.


"Adryana Iwani yang sebelum ini didaftarkan sebagai pasangan kembar saya pula ialah anak kandung kepada Husin Omar dan Rahmah Isa (meninggal dunia pada 2018) yang sebelum itu membesarkan Noratirah," katanya.


Sementara itu, kakak Adryani Iwani, Ayu Haryani, 42, pula berkata, ibu mereka memaklumkan, doktor yang bertugas tidak pernah memaklumkan sama ada kembar yang dilahirkan ketika itu adalah kembar seiras atau sebaliknya.


"Tetapi disebabkan tag nama di kaki kedua-dua mereka nama mama, jadi keluarga kami tidak pernah terfikir tentang perkara itu dan beranggapan mereka kembar tidak seiras," katanya.


Ayu Haryani berkata, berdasarkan rekod pada sijil kelahiran, Noratirah dilahirkan pada 1.14 pagi, diikuti Adryana Iwani (1.27 pagi) dan kemudiannya Adryani Iwani (1.34 pagi).


Menurutnya, apabila diketahui keputusan ujian DNA, ibu mereka tidak dapat menerimanya dan pada peringkat awal, perkara itu juga tidak didedahkan kepada sesiapa kerana risau ia memberi kesan psikologi terutama kepada Adryana Iwani.


Katanya, walaupun keputusan ujian DNA sudah diketahui, Ayu Haryani berkata, keluarganya itu tetap menganggap Adryana Iwani sebahagian daripada sembilan adik-beradiknya dan akan memintanya untuk terus tinggal bersama memandangkan adik-beradik kandungnya yang lain semuanya sudah berkahwin.


"Ibu kandungnya pula sudah tiada manakala ayahnya meninggal dunia selepas dua bulan ujian DNA diketahui," katanya dan menambah mereka sekeluarga melantik peguam dan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berkenaan.


Pada masa sama juga Noratirah yang sebelum ini tinggal bersama 'ayahnya' di Kampung Pulau Kundur, Kota Bharu sudah berpindah dan tinggal bersama keluarga kandungnya di Kampung Langgar, Kota Bharu sejak Januari lalu. Sumber: Bernama/Harian Metro (27/6/2021).


Ayu Haryani berkata berdasarkan rekod pada sijil kelahiran, Noratirah (kanan) dilahirkan pada 1.14 pagi, diikuti Adryana Iwani (tengah) pukul 1.27 pagi dan kemudian Adryani Iwani (kiri) 1.34 pagi.
Lelaki buruan polis bertindak agresif ditembak mati

Lelaki buruan polis bertindak agresif ditembak mati


Seorang lelaki yang diburu polis sejak sebulan lalu maut ditembak selepas bertindak cuba menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang berhampiran pondok persembunyiannya dalam kawasan hutan di Jalan Air Terjun, Kampung Bukit di Bayan Lepas.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 34 tahun itu dikesan di kawasan berkenaan, sebelum sepasukan anggota polis tiba untuk menangkapnya kira-kira jam 3.30 pagi namun suspek bertindak agresif.


Kamarul Rizal berkata, bagi mempertahankan diri, anggotanya melepaskan dua das tembakan ke arah suspek, yang bertindak menyerang polis dengan sebilah parang.


"Akibat tembakan itu, suspek yang tidak bekerja, rebah dan disahkan meninggal dunia kira-kira 30 meter dari pondok yang menjadi tempat tinggalnya.


"Suspek sedang diburu polis tinggal di dalam kawasan hutan itu bagi mengelak dikesan susulan melakukan kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah Barat Daya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi tadi.


Tambah Kamarul Rizal berkata, polis menemui sebilah parang, pemutar skru serta peralatan menghisap dadah dalam pondok suspek.


Katanya, suspek diburu sejak sebulan lalu bagi membantu siasatan atas pelbagai kes termasuk pecah rumah dan curi namun dia dilaporkan menghilangkan diri.


"Semakan mendapati suspek yang masih dikehendaki polis mempunyai 22 rekod membabitkan kes jenayah dan narkotik," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Sabtu, 26 Jun 2021

Isteri meminta cerai, suami cabut atap rumah sebab harta sepencarian

Isteri meminta cerai, suami cabut atap rumah sebab harta sepencarian


Seorang lelaki bertindak mencabut atap rumah yang dibina bersama isterinya lapan tahun lalu sebagai persetujuan pembahagian harta sepencarian. Pasangan itu dalam proses perceraian di mahkamah bersetuju untuk membongkar rumah tersebut.


Kompas melaporkan pada rabu 24 Jun 2021, mengatakan kejadian berlaku di Desa Carangrejo, Kabupaten Ponorogo, Jawa Timur apabila si isteri bernama Anjar yang pulang ke kampung selepas enam bulan bekerja di Hong Kong meminta cerai dari suaminya, Agus.


Pembongkaran itu dilakukan kerana tak ada kesepakatan siapa yang berhak mendapat rumah tersebut. Mereka berdua kemudian menemui kata sepakat tentang bagaimana hendak membahagikan harta sepencarian sepanjang berkahwin selama 10 tahun.


"Mereka bersetuju untuk Agus hanya mengambil kayu yang menjadi atap rumah mereka kerana itu adalah milik orang tuanya.


"Kerja mencabut atap dijalankan di rumah berkenaan tanpa diganggu struktur binaan lain kerana tanah adalah milik ibu bapa Anjar," kata Setiausaha Desa Carangrejo, Juweni.


Juweni tidak mengetahui alasan di sebalik perceraian pasangan itu, namun mengakui Agus adalah suami yang baik malah menjaga kebajikan bapa mentuanya ketika Anjar bekerja di luar negara.


"Pihak pentadbiran desa cuma laksanakan tugasan yang diamanahkan iaitu mencabut atap rumah seperti yang dipersetujui. Hal-hal lain, kami tidak mahu masuk campur lagipun mereka berpisah dengan cara baik," ujar Juweni lagi.


Penduduk mencabut bumbung rumah milik Agus dan Anjar, sepasang suami isteri yang bercerai selepas 10 tahun berkahwin.
Warga Emas Selamatkan Remaja OKU Kena 'Pukul' Disangka Cuba Culik

Warga Emas Selamatkan Remaja OKU Kena 'Pukul' Disangka Cuba Culik


Tular sebuah video yang mendakwa berlaku kes culik membabitkan remaja orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di Bandar Country Homes di Rawang, pagi tadi hanya salah faham.


Kejadian berlaku kira-kira 9 pagi apabila remaja terbabit bersama ibunya yang berusia 54 tahun ke warung di lokasi kejadian membeli sarapan, sebelum disedari hilang oleh ibunya.


Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan mendapati remaja terbabit berjalan seorang diri tanpa pengetahuan ibunya dan menahan sebuah kenderaan yang ketika itu melalui kawasan berkenaan.


"Kenderaan yang dipandu oleh lelaki tempatan berusia 80 tahun (tanpa penumpang lain) itu berhenti dan membenarkan mangsa menaiki kenderaannya.


"Pemandu itu beranggapan mangsa meminta pertolongan namun lelaki tersebut tidak pasti arah tuju remaja itu, kerana tidak berkata apa-apa sehinggalah ditahan oleh beberapa buah kenderaan," katanya.


Susulan itu katanya, pengadu kemudian telah membuat pertanyaan kepada peniaga yang berada di kawasan berhampiran dan dimaklumkan anaknya itu telah mengikut seorang lelaki dengan menaiki sebuah kenderaan berwarna kelabu.


Katanya, hasil siasatan awal mendapati seorang kenalan ibu remaja tersebut telah memuat naik video kejadian yang berlaku sehingga kenderaan yang membawa anaknya berjaya ditemukan oleh orang awam di Saujana Rawang kira-kira pukul 12.30 tengah hari.


"Daripada siasatan yang dijalankan, polis mengesahkan tiada elemen culik atau melarikan dengan cara yang salah sebagaimana yang ditularkan," katanya.


Menurutnya, dalam kes ini, wanita terbabit turut membuat penarikan laporan polis yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kes Orang Hilang.


Terdahulu, tular video berdurasi 26 saat mendakwa seorang lelaki melarikan remaja OKU di Rawang. Video terbabit turut memaparkan lelaki berkenaan ditendang seorang wanita yang menahannya.


Tangkap layar video memaparkan pemandu ditendang seorang wanita yang menahannya.
Gajah membunuh 16 penduduk kampung setelah 'diusir dari kawanannya kerana tingkah laku buruk atau persaingan seksual'

Gajah membunuh 16 penduduk kampung setelah 'diusir dari kawanannya kerana tingkah laku buruk atau persaingan seksual'

Seekor gajah jantan yang telah membunuh 16 penduduk kampung di India. - Foto Reuters.

Seekor gajah jantan menyerang penduduk kampung dan menyebabkan 16 terbunuh sejak dua bulan lalu. Haiwan itu kemungkinan disingkirkan kawanannya dipercayai kerana 'kelakuan buruk dan persaingan dengan gajah jantan lain', lapor akhbar Daily Mail pada 24 Jun 2021.


Gajah dipercayai berusia antara 15 hingga 16 tahun itu mengamuk di daerah Santhal Pargana, negeri Jharkhand selepas terpisah daripada 22 ekor gajah lain.


"Ia dipercayai mahu mengawan dan disingkirkan akibat kelakuan buruk dan persaingan seksual dengan gajah jantan lain. Kami sedang mengkaji kelakuannya.


"Sebuah pasukan terdiri daripada 20 anggota sedang cuba mengesan gajah itu kerana keutamaan kami ketika ini adalah untuk melindunginya," kata pegawai hutan bahagian wilayah, Satish Chandra Rai kepada AFP.


Selasa lalu, ia telah mengangkat tubuh sepasang warga emas dengan menggunakan belalainya dan menghempas mereka sehingga mati pada waktu subuh. Haiwan itu yang dipercayai sedang dalam perjalanan untuk kembali kepada kawanannya. 


Satish berkata, haiwan itu hanya membunuh manusia yang menghalang, berada terlalu dekat dengannya atau cuba memprovokasinya dengan merakam gambar.


"Ia tidak memecah masuk rumah penduduk kampung atau menyerang orang awam. Kami mahu melihat jika ia diterima semula oleh kawanannya. Jika tidak, maksudnya ia telah membuktikan bahawa ia merupakan 'gajah nakal'," katanya.


India mempunyai populasi gajah liar Asia sebanyak 30,000 ekor dan sejak kebelakangan ini, terdapat banyak kejadian gajah yang dibunuh oleh penduduk tempatan - dan sebaliknya ketika penduduk menceroboh kawasan hutan.


Pada bulan November 2019, seekor gajah yang mengamuk dan membunuh lima penduduk kampung di India ditangkap setelah operasi besar-besaran untuk memburu haiwan itu.


Seekor gajah yang mengamuk dan membunuh lima penduduk kampung di India pada 2019 telah ditangkap. - Foto AFP.
3 Pengawal, 9 Ekor Anjing Dikerah Jaga Kebun Mangga 'Istimewa' Elak Daripada Dicuri

3 Pengawal, 9 Ekor Anjing Dikerah Jaga Kebun Mangga 'Istimewa' Elak Daripada Dicuri


Seorang lelaki di Jabalpur, India tidak menyangka anak pokok mangga 'istimewa' yang dibeli daripada seorang individu kini menyebabkan dia terpaksa menggunakan khidmat sembilan ekor anjing dan tiga pengawal untuk menjaga tanaman buah mangganya daripada dicuri.


Portal berita Newsweek pada 23 Jun 2021, melaporkan Sankalp Singh Parihar dan rakannya kini menanam sejenis mangga termahal di dunia sejak empat tahun lalu.


Parihar menceritakan, pada masa itu dia sedang mencari biji kelapa hibrid ketika dia membeli anak pokok mangga dari seorang pelancong yang ditemui ketika menaiki kereta api dengan harga AS$33 (RM137).


"Saya tidak tahu mangga jenis apa, tetapi saya menamakannya Damini dengan nama ibu saya dan menanamnya.


"Saya menanamnya sebagai tanaman mangga biasa, tetapi beberapa bulan kemudian, saya melihat ia berubah (warna) merah yang indah," katanya kepada Vice.


Berita kejayaan mangga uniknya tersebar seluruh India dan menimbulkan kegembiraan dalam kalangan peniaga di negara itu. Tidak lama kemudian, dia mengetahui rupanya dia memiliki mangga Miyazaki iaitu varieti amat diinginkan dari Jepun, atau dipanggil 'telur matahari'.



Setiap mangga Miyazaki dilaporkan berharga kira-kira AS$50 (RM208) dan menjadikannya makanan mewah. Sejak itu, Parihar dilaporkan menerima tawaran setinggi AS$283 (RM1,177) untuk sebiji buah itu.


Seperti yang dilaporkan Pusat Promosi Produk dan Perdagangan Tempatan Miyazaki, di Jepun, pertumbuhan mangga Miyazaki dipantau pada setiap peringkat.


Setiap buah mesti mempunyai berat sekurang-kurangnya 350 gram dan kandungan gula, sekurang-kurangnya 15 peratus untuk dijual kepada pengguna.


Tidak seperti kebanyakan buah lain, mangga itu dipetik hanya apabila masak sepenuhnya, menjadikannya amat senang untuk rosak. Jaring dipasang pada buah supaya buah yang masak tidak jatuh ke atas tanah.


Menurut The Times of India, Parihar menanam 150 pokok mangga Miyazaki di kebunnya, tetapi hanya empat pokok menghasilkan buah.


"Tahun lalu ada insiden kecurian dan jadi kami memutuskan untuk meningkatkan keselamatan di sini. Kami membela seekor anjing tahun lalu. Sekarang, kami memiliki sembilan anjing dan mengupah tiga pengawal keselamatan," jelas Parihar kepada The Times of India.


Nama mangga Miyazaki diinspirasi dari sebuah bandar di Jepun yang turut menanam buah terbabit. Mangga jenis itu kaya dengan antioksidan, beta-karoten dan asid folik. Ia ditanam pada musim penuaian puncak antara bulan April dan Ogos.


Parihar turut menggunakan anjing untuk mengawal pokok mangga di kebunnya. - Foto Twitter.

Jumaat, 25 Jun 2021

Manusia Boleh Melahirkan Bayi Di Planet Marikh

Manusia Boleh Melahirkan Bayi Di Planet Marikh


Dalam penerokaan dilakukan robot peninjau, Curiosity beberapa tahun lalu menemui kewujudan hidrogen, karbon dan oksigen serta bukti planet Marikh pernah menampung organisma.


Sekumpulan saintis NASA mendapati Marikh sejak bilion tahun lampau memiliki sistem tasik dan aliran air berpanjangan, sekali gus membuktikan planet merah pernah memiliki persekitaran lebih baik berbanding jangkaan penyelidik sebelumnya.


Maka tidak hairanlah planet ini menjadi pilihan untuk dikaji manusia berbanding lapan planet lain yang wujud dalam sistem suria di alam semesta ini.


Menurut lapor New York Post pada 17 Jun 2021, mengatakan sekumpulan saintis mendapati sperma boleh bertahan di Marikh selama beratus-ratus tahun sekali gus meningkatkan potensi manusia boleh melahirkan bayi di Planet Merah itu kelak.


Ketua penyelidik yang juga saintis di Universiti Yamanashi, Jepun, Profesor Sayaka Wakayama berkata, penemuan ini penting kepada manusia untuk lebih maju dalam bidang penerokaan angkasa lepas.


Beliau berkata demikian susulan kajian kesan radiasi terhadap sperma tikus yang dikeringkan dan disimpan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama enam tahun. 


Komuniti saintis sebelum ini percaya radiasi di angkasa lepas akan memusnahkan sperma, menjadikan pembiakan sesuatu yang mustahil malah berisiko menyebabkan kanser.


Robot peninjau, Curiosity. - Foto Reuters.

Analisis terbaharu bagaimanapun mendapati sperma cecair tikus itu berada dalam keadaan sihat walaupun selepas sekian lama berada di angkasa lepas. Pasukan penyelidik Profesor Wayakama menjangkakan sperma yang dikeringkan itu mampu hidup di ISS sehingga 200 tahun.


Penemuan itu membuktikan bahawa manusia boleh membentuk kehidupan di planet berbeza, sesuatu yang dianggap penting oleh para saintis memandangkan sumber yang berkurangan.


Menurut Wakayama, apabila tiba masanya untuk berpindah ke planet lain, kita hanya perlu menjaga kepelbagaian sumber genetik, tidak hanya untuk manusia tetapi juga untuk binatang peliharaan dan domestik.


Selain sperma, haiwan lasak tardigrade yang juga dikenali sebagai 'beruang air' dilaporkan dapat hidup selama 30 tahun tanpa makanan atau minuman dan bertahan pada suhu 302 Celsius, menyebabkan para penyelidik membuat kesimpulan bahawa ia juga mampu bertahan di planet lain.


Kawasan dinamakan 'Kimberley' di planet Marikh, dikatakan pernah mempunyai air berdasarkan kedudukan rendah di tepi gunung dan pembentukan rekahan batu. - Foto Agensi.
Misteri Alat Pengimbas Suhu Berbunyi Sendiri Kesan 'Seseorang' Tapi Tiada Orang Lalu

Misteri Alat Pengimbas Suhu Berbunyi Sendiri Kesan 'Seseorang' Tapi Tiada Orang Lalu


Tular di laman Twitter sejak Isnin lepas, seorang lelaki telah berkongsi pengalaman misterinya apabila pengimbas suhu badan yang disediakan di premis perniagaannya berbunyi sendiri seakan sedang mengimbas suhu seseorang.


Dipetik dari laporan Kosmo, mengatakan video tular berdurasi 11 saat itu memaparkan mesin pengimbas suhu, pada awalnya tidak mengesan apa-apa suhu badan kerana tiada orang, namun secara tiba-tiba mesin itu memaparkan suhu 35 darjah Celcius.


Menurut @afndysd yang merakam video tersebut memberitahu, mesin pengimbas suhu itu berbunyi pada waktu Maghrib sahaja seolah-olah sedang memeriksa suhu badan 'seseorang' walaupun tiada kelibat sesiapa.



"Jika mahu kata mesin pengimbas suhu itu sensitif, saya rasa tidak. Ini kerana, mesin pengimbas suhu itu hanya akan berbunyi pada waktu Maghrib. Waktu yang lain dia senyap sahaja kecuali ada pelanggan yang datang.


"Mengenai azan di kedai, kedai saya bersebelahan dengan sebuah surau dan saya masih tidak berani untuk membuat bacaan ruqyah. Mungkin juga ada masalah pepijat (bug) pada mesin pengimbas suhu tersebut," jelasnya.


Rata-rata pengguna laman Twitter berseloroh dan mahu menyedapkan hati tuan kedai tersebut daripada berfikir negatif mengenai kehadiran entiti yang menyeramkan itu.


Ada yang berkongsi pengalaman serupa, tak kurang juga ada yang membuat lawak jenaka. "Nasib baik suhu normal. Kalau demam, jangan bagi dia masuk," kata seorang netizen.


"Comel je hantu ni, main scan suhu pula. Baru saya tahu suhu badan hantu lagi rendah dari manusia. Mungkin sebab dah mati, hantunya sejuk," gurau netizen lain.


"Periksa suhu je? Cuba periksa aplikasi MySejahtera, mana tahu mungkin ada dalam senarai," balas seorang netizen. Sumber: Izzatul 'Ain Azman/Kosmo (25/6/2021).

Remaja terkejut jumpa lintah dalam burger McDonald

Remaja terkejut jumpa lintah dalam burger McDonald


Dua remaja mendakwa menemukan seekor lintah di dalam burger McDonald yang dibelinya daripada restoran makanan segera itu di Stoke, Staffordshire di London.


Menurut lapor berita Metro UK pada rabu lalu, Aimee Welch, 18, dan teman lelakinya Josh Bakin, 19, mengatakan burger yang mereka beli di restoran Festival Park, cawangan McDonald itu dimasukkan dalam beg, dan kemudian membawanya pulang untuk di makan.


Welch mengatakan ketika Bakin membuka bungkusan burger untuk lihat timun jeruk ada diletakkan atau tidak, dia menemui sejenis objek yang berlendir. Pada mulanya mereka sangka acar, apabila dipegang ia sebenarnya lintah.


"Ia berada di atas keju dan daun salad, apabila melihatnya dengan lebih dekat kami dapati ia adalah lintah.


"Ia amat menjijikkan untuk melihat lintah itu. Saya tidak mahu pergi atau makan di restoran itu lagi," katanya.


Welch berkata, mereka kemudian mengembalikan semula burger tersebut kepada cawangan restoran itu pada waktu petang. Pasangan kekasih itu diberi pulangan wang sebanyak 5 pound (RM29).


The McDonald's outlet in Festival Park (Image Google).

Dalam pada itu, jurucakap restoran makanan segera berkenaan meminta maaf kepada pasangan remaja tersebut atas insiden yang berlaku. Katanya, siasatan mendapati tiada bukti menunjukkan bahawa burger itu tercemar.


"Kami mohon maaf atas pengalaman pelanggan ini. Keselamatan makanan sangat penting bagi kami dan kami sangat menekankan kawalan kualiti, mengikuti standard yang ketat untuk mengelakkan ketidaksempurnaan.


 "Setelah melakukan penyelidikan di restoran, kami tidak menemukan apa-apa untuk menunjukkan produk itu tercemar dengan benda asing di restoran tersebut.


"Pasukan Perkhidmatan Pelanggan kami telah menghubungi pelanggan untuk meminta maaf dan membantu mencari penyelesaian," kata jurucakap McDonald.


John Bakin dan Aimee Welch mendakwa menemukan seekor lintah dalam burger yang dibeli di McDonald. - Foto BPM MEDIA.

Khamis, 24 Jun 2021

Dukun ikat 22 jin 'nakal' berusia 100 tahun dalam rumah

Dukun ikat 22 jin 'nakal' berusia 100 tahun dalam rumah


Seorang dukun di Indonesia yang baru bertaubat dari dunia perdukunan mendedahkan bahawa dia mengikat 22 jin berusia 100 tahun di dalam rumahnya, lapor Suara.com pada 23 Jun 2021, semalam.


Ki Joko Bodo dari Pondok Gede, Jakarta Timur berkata, jin-jin yang diikat itu adalah daripada spesies 'nakal' dan sering menimbulkan masalah. Tindakan itu dilakukan sebagai bentuk hukuman atas tindakan jahat makhluk tersebut.


Menurut Joko, dia mengikat makhluk halus tersebut di rumah kerana boleh mengawalnya agar tidak terlepas lalu mengganggu penduduk kampung.


Joko, turut mengatakan bahawa lampu di rumahnya hanya dinyalakan seketika, kerana bimbang beberapa perkara, salah satunya adalah untuk mengelak berlaku litar pintas yang disebabkan oleh roh, dan sebagainya.


"Saya selalu mematikan lampu, litar pintas mungkin berlaku kerana mereka tidak menyukai lampu. Saya hanya menyalakan lampu di beberapa tempat untuk seketika sebelum mematikannya.


"Kawasan rumah saya memang menjadi lokasi hantu, makhluk halus dan jin berkumpul. Malah pontianak juga sering singgah di pokok-pokok sekitar rumah," jelasnya.


Tambah Joko, walaupun dirinya sedang berusaha kembali ke pangkal jalan, dia masih meneruskan pekerjaannya sebagai penghalau hantu dan berinteraksi dengan dunia spiritual.


"Ini adalah pekerjaan dan sumber rezeki saya jadi sukar untuk ditinggalkan terus. Jika ada pelanggan yang datang meminta pertolongan halau hantu, saya masih cuba bantu," ujarnya.


Joko Bodo ikat 22 ekor jin dalam rumah kerana bersikap nakal dan suka mengganggu orang. - Foto Suara.com.