Sabtu, 26 Jun 2021

3 Pengawal, 9 Ekor Anjing Dikerah Jaga Kebun Mangga 'Istimewa' Elak Daripada Dicuri


Seorang lelaki di Jabalpur, India tidak menyangka anak pokok mangga 'istimewa' yang dibeli daripada seorang individu kini menyebabkan dia terpaksa menggunakan khidmat sembilan ekor anjing dan tiga pengawal untuk menjaga tanaman buah mangganya daripada dicuri.


Portal berita Newsweek pada 23 Jun 2021, melaporkan Sankalp Singh Parihar dan rakannya kini menanam sejenis mangga termahal di dunia sejak empat tahun lalu.


Parihar menceritakan, pada masa itu dia sedang mencari biji kelapa hibrid ketika dia membeli anak pokok mangga dari seorang pelancong yang ditemui ketika menaiki kereta api dengan harga AS$33 (RM137).


"Saya tidak tahu mangga jenis apa, tetapi saya menamakannya Damini dengan nama ibu saya dan menanamnya.


"Saya menanamnya sebagai tanaman mangga biasa, tetapi beberapa bulan kemudian, saya melihat ia berubah (warna) merah yang indah," katanya kepada Vice.


Berita kejayaan mangga uniknya tersebar seluruh India dan menimbulkan kegembiraan dalam kalangan peniaga di negara itu. Tidak lama kemudian, dia mengetahui rupanya dia memiliki mangga Miyazaki iaitu varieti amat diinginkan dari Jepun, atau dipanggil 'telur matahari'.



Setiap mangga Miyazaki dilaporkan berharga kira-kira AS$50 (RM208) dan menjadikannya makanan mewah. Sejak itu, Parihar dilaporkan menerima tawaran setinggi AS$283 (RM1,177) untuk sebiji buah itu.


Seperti yang dilaporkan Pusat Promosi Produk dan Perdagangan Tempatan Miyazaki, di Jepun, pertumbuhan mangga Miyazaki dipantau pada setiap peringkat.


Setiap buah mesti mempunyai berat sekurang-kurangnya 350 gram dan kandungan gula, sekurang-kurangnya 15 peratus untuk dijual kepada pengguna.


Tidak seperti kebanyakan buah lain, mangga itu dipetik hanya apabila masak sepenuhnya, menjadikannya amat senang untuk rosak. Jaring dipasang pada buah supaya buah yang masak tidak jatuh ke atas tanah.


Menurut The Times of India, Parihar menanam 150 pokok mangga Miyazaki di kebunnya, tetapi hanya empat pokok menghasilkan buah.


"Tahun lalu ada insiden kecurian dan jadi kami memutuskan untuk meningkatkan keselamatan di sini. Kami membela seekor anjing tahun lalu. Sekarang, kami memiliki sembilan anjing dan mengupah tiga pengawal keselamatan," jelas Parihar kepada The Times of India.


Nama mangga Miyazaki diinspirasi dari sebuah bandar di Jepun yang turut menanam buah terbabit. Mangga jenis itu kaya dengan antioksidan, beta-karoten dan asid folik. Ia ditanam pada musim penuaian puncak antara bulan April dan Ogos.


Parihar turut menggunakan anjing untuk mengawal pokok mangga di kebunnya. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon