Khamis, 10 Jun 2021

Gadis Remaja Sanggup Jual Motor Ayah, Gara-Gara Ingin Bertemu Lelaki Dikenali Dalam 'Online Game'

Gadis Remaja Sanggup Jual Motor Ayah, Gara-Gara Ingin Bertemu Lelaki Dikenali Dalam 'Online Game'


Baru-baru ini, satu video tular mengenai seorang remaja perempuan dilihat menangis di ruang menunggu di lapangan terbang Sultan Thaha Jambi, Indonesia. Gadis remaja itu menangis setelah gagal menemui rakan lelaki di Jakarta yang dikenalinya melalui permainan video dalam talian.


Menurut laporan Detik News, kejadian itu berlaku pada selasa lalu (8/6/2021), seorang gadis remaja bernama Indri terlihat kebingungan serta terkandas di lapangan terbang tersebut, yang dikatakan ingin bertemu dengan seorang lelaki di Jakarta.


Difahamkan, gadis itu membatalkan niatnya saat akhir untuk ke Jakarta setelah dia keliru dengan keputusannya. Dia mula meragui tindakannya selepas memikirkan mengenai kedua ibu bapanya. Berseorangan di situ, dia kebingungan dan hanya mampu menangis.


Seorang jurujual bernama Monik, yang berada di lapangan terbang kemudian menghampiri remaja tersebut. Monik juga mengupas kisah gadis itu yang kelihatan keliru di lapangan terbang.


"Saya melihat remaja ini seakan kebingungan, kemudian saya datang dan bertanya, ternyata dia berasal dari Jambi pergi ke Jakarta untuk bertemu dengan rakan lelaki yang selalu bermain dengannya dalam talian," kata Monik kepada wartawan, Rabu lalu.



Monik berkata, dia memujuk gadis itu untuk menceritakan kisahnya, remaja itu kemudian mengatakan dia ingin pergi ke Jakarta dengan wang berjumlah Rp20 juta (RM5,771), dan memaklumkan wang itu diperoleh hasil menjual motosikal ayahnya.


Remaja itu dipercayai memberontak dan nekad untuk berjumpa lelaki yang dikenalinya itu tetapi ia tidak diteruskan kerana keluarganya dapat mengetahui mengenai perkara tersebut setelah video mengenainya tular.


"Sebenarnya dia tetap berkeras mahu pergi, tetapi untungnya setelah videonya menjadi viral, keluarganya datang ke lapangan terbang. Tidak cuma itu, remaja itu juga secara tidak sengaja bertemu dengan seorang guru sekolahnya, akhirnya dia membatalkan hasrat untuk ke Jakarta," kata Monik.


Sementara itu, Pengurus Besar Sultan Thaha Jambi Airport Agus Supriyanto menjelaskan, bahawa remaja itu merupakan penumpang yang akan berlepas pada selasa. Namun, pihaknya membatalkan penerbangan gadis itu, kerana turut merasa curiga terhadap gadis itu yang kelihatan kebingungan dan tidak mempunyai penjaga.


Keluarganya yang berasal dari Desa Tangkit, Wilayah Jambi, dilaporkan telah menjemputnya di lapangan terbang untuk membawanya pulang. Sumber: Detik News


Lelaki ini memasang 2 taring gergasi di mulutnya seperti 'Orc' makhluk mitologi

Lelaki ini memasang 2 taring gergasi di mulutnya seperti 'Orc' makhluk mitologi


Seorang lelaki berasal dari bandar Iguatemi Brazil, membuat tatu di hampir keseluruhan badannya, serta mengubah dirinya menjadi penampilan 'Orc' dengan memasang dua taring palsu gergasi yang diletakkan di barisan gigi bawah.


Dia membelanjakan kira-kira RM3000 untuk memasang sepasang taring besar di gigi bawahnya untuk membuat dirinya kelihatan seperti Orc, makhluk yang menakutkan.


Dia mengatakan pertama kali membuat tatu pada usia 15 tahun dan sejak itu dia ingin menambah lebih banyak tatu dan mengubah bentuk tubuhnya, menjalani beberapa prosedur yang membuatnya kelihatan agak unik.


Lelaki berusia 41 tahun ini turut memiliki sepasang bola mata bertatu hitam, sekitar 80 peratus tubuhnya ditutup dengan tatu, lidah terbelah, beberapa implan subdermal dan telinga yang dihiris. Namun, pengubahsuaian di mulut inilah yang menarik perhatian kebanyakan orang.


"Saya cuba menjadi diri sendiri, ini adalah idea saya sendiri, inspirasi saya datang dari hati, saya tidak diilhamkan oleh sesiapa pun," kata lelaki orc itu.


Peminat pengubahsuaian badan dari Brazil ini mengakui bahawa dia gembira dengan penampilannya yang unik, tetapi dia mengakui bahawa dia tidak begitu disukai oleh rakan dan keluarganya.


"Ibu saya tidak menyukainya, ayah saya tidak bertolak ansur dan rakan-rakan saya merasa pelik. Namun itu sama sekali tidak mengubah minat saya," ujarnya.


Mengenai gading di barisan gigi bawah, dia tidak menyatakan apakah itu kekal atau sementara. Dia mempunyai seorang isteri yang mempunyai minat yang sama dalam tatu dan pengubahsuaian badan, sehingga mereka nampak bahagia.


Orc adalah makhluk mitologi yang muncul dalam cerita fiksyen cerita rakyat dan fantasi sebagai binatang dengan tubuh yang menyerupai manusia, kadang-kadang seperti raksasa, biasanya berwarna hijau, dengan wajah yang menyerupai babi, kera dan raksasa dengan taring panjang, sifatnya garang dan buas. Sumber: Alahna Kindred/The Sun (3/11/2020).


Orc telah membelanjakan kira-kira RM3000 untuk memasang taring gergasi pada gigi barisan bawahnya. - Foto Jam Press

Orc telah membelanjakan kira-kira RM3000 untuk memasang taring gergasi pada gigi barisan bawahnya. - Foto Jam Press

Rabu, 9 Jun 2021

Makhluk purba ditemui masih hidup setelah 24,000 tahun membeku di Siberia

Makhluk purba ditemui masih hidup setelah 24,000 tahun membeku di Siberia


Sebuah organisma mikroskopik multisel ditemui masih hidup setelah membeku selama 24,000 tahun di Siberia. Makhluk mikro yang disebut Bdelloid Rotifers ini biasanya tinggal dipersekitaran berair dan mempunyai kemampuan luar biasa untuk bertahan hidup dalam keadaan ekstrem.


Para saintis Rusia menemui makhluk itu dalam inti tanah beku yang diekstrak dari lapisan ais di Sungai Alayeza, Arktik Rusia, menggunakan rig penggerudian. Setelah dicairkan, ia dapat membiak secara aseksual walaupun telah menghabiskan ribuan tahun dalam keadaan beku, suatu keadaan yang dikenali sebagai crytobiosis.


Penyelidikan sebelumnya mengatakan bahawa makhluk mikro ini dapat bertahan hidup dalam keadaan beku sehingga 10 tahun. Tetapi kajian terbaru, yang diterbitkan dalam Current Biology pada 07 Jun 2021, Isnin lalu, menunjukkan bahawa makhluk itu dapat bertahan selama ribuan tahun atau bahkan selama-lamanya.


"Laporan kami adalah bukti paling sukar setakat ini bahawa makhluk multisel dapat dibekukan dan disimpan seperti itu selama ribuan tahun dan kemudian hidup kembali," kata Stas Malavin, seorang penyelidik dari Institute of Physicochemical and Biological Problems in Soil Science.


Dalam kajian terbaru itu, para penyelidik Rusia menggunakan radiocarbon untuk menentukan bahawa makhluk yang mereka temui dari permafrost berusia sekitar 24,000 tahun. Dia mengatakan lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk melihat bagaimana makhluk yang membeku ribuan tahun kembali hidup.


Walaupun tidak semua rotifer bertahan dalam proses pembekuan, penyelidikan menunjukkan bahawa makhluk itu memiliki beberapa mekanisme yang dapat melindungi sel dan organ mereka dari bahaya pada suhu yang sangat rendah.


Para saintis dalam kajian itu, turut menempatkan puluhan mamalia yang telah lama mati tetapi terpelihara dengan baik, termasuk beruang gua dan raksasa yang telah punah yang juga telah digali dari lapisan ais, untuk memeriksa prosesnya.


Sebelum ini, terdapat laporan mengenai organisma multisel yang hidup kembali setelah beribu-ribu tahun membeku. Cacing nematode telah dihidupkan kembali dari lapisan ais ditemui di timur laut Siberia, dalam sedimen yang berusia lebih dari 30,000 tahun. - Sumber BBC Indonesia.


Bdelloid rotifers terkenal kerana kemampuannya untuk bertahan hidup dalam persekitaran yang melampau.
Bangkai buaya seberat 400 kg ditemui terapung belakang rumah penduduk

Bangkai buaya seberat 400 kg ditemui terapung belakang rumah penduduk


Seekor buaya jantan seberat kira-kira 400 kilogram sepanjang 5 meter ditemukan mati terapung oleh penduduk kampung di sungai di Kampung Teluk Peribu, Bagan Serai, petang semalam.


Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Sharif berkata, buaya jantan itu yang ditemui terapung kira-kira jam 4 petang semalam itu dipercayai telah mati dalam dua hingga tiga hari sebelum ditemukan terapung oleh penduduk.


Beliau berkata ketika ditemui, badan haiwan ini sudah mereput dan giginya juga telah luruh dan dipercaya ia mati kerana faktor usianya yang tua. Bangkai haiwan itu ditarik naik ke darat menggunakan traktor setelah usaha menaikkannya menggunakan kenderaan jabatan tidak berjaya.


"Kita telah menanam bangkai haiwan itu pada malam tadi bagi mengelakkan pencemaran. Berikutan penemuan bangkai haiwan ini, jabatan menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada ke sungai dan jika ternampak replitia ini, segera maklumkan kepada jabatan," katanya.


Sementara itu Mohamad Norlishazany Rosli, 24, yang menemui bangkai buaya tersebut berkata, beliau pada mulanya menyangkakan objek besar yang dilihatnya terapung dan tersangkut pada tumbuhan air itu merupakan pohon kayu yang hanyut.


Bagaimanapun selepas diamati barulah disedari ia seekor buaya dan terus menghubungi rakannya untuk pergi melihatnya menggunakan sampan secara dekat.


"Setelah sampai ke tempat buaya itu didapati ia sudah mati, lalu kami mengambil tali untuk mengikat bangkai buaya berkenaan untuk menariknya ke tepi tebing sungai," ujarnya.


Buaya jantan sepanjang lima meter dan seberat kira-kira 400 kg yang ditemukan mati terapung di sungai di Kampung Teluk Peribu petang semalam.
Melahirkan bayi kembar 10, sekaligus jadi pemegang rekod dunia baharu

Melahirkan bayi kembar 10, sekaligus jadi pemegang rekod dunia baharu


Seorang wanita di Afrika Selatan melahirkan bayi kembar 10 atau decuplets menerusi satu proses pembedahan, sekali gus dipercayai menjadikannya sebagai pemegang Guinness World Records baharu kerana melahirkan bayi paling ramai.


Wanita tersebut, Gosiame Thamara Sithole, 37, melahirkan bayi-bayi tersebut di Hospital Pretoria selepas doktor pada asalnya menjangkakan dia bakal melahirkan bayi kembar lapan.


Suaminya, Teboho Tsotetsi berkata, selepas menjalankan pembedahan, mereka terkejut apabila mendapati sebenarnya terdapat 10 orang bayi dalam kandungan Sithole.


"Bayi-bayi itu terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan. Isteri saya melahirkan mereka ketika kandungannya berusia tujuh bulan tujuh hari," ujarnya.


Pasangan suami isteri itu sebelum ini mengaku bahawa Sithole hamil secara semula jadi tanpa menjalani sebarang rawatan kesuburan.


"Saya terkejut dengan kehamilan ini. Saya hanya mampu berdoa agar Tuhan menolong saya melahirkan semua anak saya dalam keadaan sihat, dan saya serta anak-anak selamat semuanya, saya akan gembira mengenainya," kata Sithole.



Sementara itu, Timbalan Ketua Fakulti Perubatan di Universiti Sains Kesihatan Sefako Makgatho, Profesor Dini Mawela berkata, keadaan itu adalah sesuatu yang jarang berlaku untuk seorang wanita hamil dengan bilangan kembar yang ramai tanpa menjalani sebarang rawatan kesuburan.


"Apa yang menjadi bahaya kepada keadaan ini adalah keadaan di mana bayi-bayi tersebut tidak mempunyai ruang yang cukup di dalam rahim ibu, yang membawa kepada risiko mereka menjadi kecil.


"Disebabkan itu, para doktor terpaksa mengeluarkan bayi-bayi tersebut lebih awal kerana bimbang akan risiko tersebut jika mereka dibiarkan berada di dalam rahim lebih lama," katanya.


Terdahulu, pada Mei lepas, seorang wanita dari Maghribi memegang rekod dunia selepas melahirkan bayi kembar sembilan. Sumber: Lee Brown/New York Post (08/6/2021).


Wanita Afrika Selatan disahkan reka cerita lahirkan bayi kembar 10

Update 24 Jun 2021 - Seorang wanita yang mendakwa dia melahirkan 10 bayi kembar baru-baru ini sebenarnya hanya satu penipuan. Gosiame Sithole, 37, pada awal bulan ini memberitahu dia melahirkan tujuh bayi lelaki dan tiga bayi perempuan.

Namun, pertikaian timbul apabila bapa kepada semua bayi berkenaan, Teboho Tsotetsi memberitahu dia belum bertemu dengan anak-anaknya dan menuduh Sithole menipu untuk mendapatkan duit.

Baru-baru ini, Sithole dilaporkan dimasukkan ke hospital psikiatri bagi menjalani rawatan. Selepas beberapa minggu menjadi tanda tanya, akhirnya kes tersebut disahkan sebagai penipuan dan para doktor di Hospital Tembisa mengesahkan Sithole tidak melahirkan anak baru-baru ini.

Pihak berkuasa Gauteng dalam kenyataan memaklumkan, Sithole dimasukkan ke Hospital Tembisa pada 18 Jun lalu bagi membolehkan beberapa prosedur rawatan dilakukan terhadapnya bagi mengenal pasti tahap kesihatan wanita itu.

"Sithole perlu dipantau selama 72 jam dan doktor sebelum itu mencadangkan supaya wanita itu dimasukkan ke hospital selama tujuh hari untuk pemantauan lanjut, selaras dengan Akta Kesihatan Mental.

"Kini, sudah disahkan bahawa Sithole tidak melahirkan anak dalam tempoh terdekat, sekali gus mengesahkan dia juga tidak hamil," jelas kenyataan itu.

Sementara itu, pengarang akhbar yang mula-mula melaporkan berita mengenai Sithole memohon maaf kerana tidak meneliti dakwaan wanita tersebut.
Selepas 125 tahun, spesies burung hantu 'rare' bermata oren akhirnya ditemui di hutan Sabah

Selepas 125 tahun, spesies burung hantu 'rare' bermata oren akhirnya ditemui di hutan Sabah


Siapa sangka, buat kali pertama dalam tempoh 125 tahun, saintis berjaya mengesan subspesies burung hantu scops. Ia adalah burung hantu Bornean Rajah yang bermata oren dengan nama saintifik Otus brookii brookii ditemui di kawasan hutan di Gunung Kinabalu.


Memetik laporan portal berita antarabangsa, para penyelidik dari Smithsonian Migratory Bird Center, Washington mengumumkan tentang penemuan itu bulan lalu. Penemuan itu disiarkan dalam Wilson Journal of Ornithology, yang turut disertakan dengan beberapa keping gambar.


Dalam temu bual dengan majalah Smithsonian, penulis kajian, Andy Boyce memaklumkan penemuan semula spesies itu di Sabah pada 2016, berkemungkinan dipengaruhi faktor masa yang sesuai.


Boyce berada di sana untuk satu projek bersama University of Montana, ketika menerima maklumat tentang burung hantu yang kelihatan aneh dan bermata oren.


"Sekiranya kita tidak mendokumentasikannya pada waktu itu, ia akan 'hilang' lagi dan siapa tahu berapa lama ia akan ditemui semula," kata Boyce kepada majalah berkenaan.



Saiz burung itu dilaporkan sekitar seperempat lebih besar daripada burung hantu biasa yang berasal dari wilayah ini dan mempunyai bulu berwarna kelabu, hitam dan coklat gelap.


Tidak banyak yang diketahui mengenai Otus brookii brookii, termasuk lokasi habitat utamanya namun Boyce percaya burung berkenaan tidak dilihat sejak sekian lama kerana kepadatan penduduk di kawasan terbabit yang rendah.


"Ini mengingatkan kita sebagai manusia, dan sebagai saintis, ada banyak perkara dalam dunia ini yang kita belum temui dan fahami. Kami menemui banyak perkara baharu setiap hari dan ia masih satu kejutan untuk kami," kata Boyce.


Menurut badan sains dan alam sekitar, Mongabay, status pemuliharaan Rajah scops-owl kini disenaraikan sebagai yang paling tidak mendapat perhatian dalam Daftar Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN). - Rujukan Nationalzoo & AstroAwani.


Selepas 125 tahun, saintis berjaya mengesan subspesies Bornean Rajah Scops-Owl di kawasan hutan di Gunung Kinabalu.

Selasa, 8 Jun 2021

Lubang Misteri Muncul Setiap Musim Panas Menyedut Air Tasik Hingga Kering

Lubang Misteri Muncul Setiap Musim Panas Menyedut Air Tasik Hingga Kering


Terdapat sebuah tasik dikenali 'Lost Lake' di Oregon, Amerika Syarikat yang menyimpan misteri tersendiri. Pada musim gugur dan musim sejuk, tasik cetek yang terletak berhampiran jalan raya ini seperti kebanyakan tasik lain yang aman, bersih dan tenang.


Namun, setiap kali tiba musim panas, pengguna jalanraya yang melalui tasik ini tidak akan menemui perairan itu. Sebahagian tasik seluas 0.34 kilometer menghilang dan berubah menjadi padang rumput. Maka tidak hairanlah mengapa tasik ini diberi nama Lost Lake.


Sebuah video merakam momentum yang pelik, ketika air tasik Lost Lake disedut ke dalam lubang dengan diameter kira-kira 2 meter sehingga sebahagian dasar tasik menjadi kering. Penduduk tempatan di Oregon mengatakan, fenomena itu telah berlaku sejak sekian lama.



Ahli geologi menyifatkan fenomena itu adalah disebabkan landskap gunung berapi. Mereka percaya lava yang mengalir berhampiran permukaan tasik mengeras menjadi tiub lava. Bila tiba musim panas lava itu cair menyebabkan air tasik mengalir ke bawah.


McHugh Williamette dari National Forest bekata, pada akhir musim luruh, jumlah air di tasik melebihi kemampuan lubang yang ada di tasik itu untuk mengalirkan air, walaupun tiub lava sudah cair kerana hujan dan salji sering turun.


Apabila musim hujan berakhir, tasik sedalam 2.7 meter kehilangan sumber airnya. Dan air kemudian hilang meresap ke bawah tasik tersebut, kitaran ini berlaku setiap tahun.


McHugh mendakwa, air tasik mungkin meresap ke bawah permukaan tanah yang poros, masuk semula ke akuifer besar, seterusnya air yang sama muncul menjadi mata air.


Penduduk tempatan pernah berhasrat menutup lubang tersebut. Namun, niat itu terpaksa dilupakan ketika diberitahu, ia mungkin boleh menyebabkan penempatan penduduk dan pusat perniagaan berhampiran ditenggelami air.



Kata McHugh, Lost Lake adalah batu gunung berapi yang terbentuk 12,000 tahun yang lalu. Semasa batu muda terbentuk, batu itu dipenuhi dengan gelembung gas yang meninggalkan liang-liang ketika gas menguap ke udara.


Walau bagaimanapun, orang tidak selalu menghargai tiub lava. "Di Lost Lake, beberapa orang memasang lubang saliran dengan tidak sengaja dan juga membuang sampah ke tasik selama bertahun-tahun," kata McHugh.


"Kami tidak mahu mengganggu proses semula jadi, dan kami tidak menggalakkan usaha menutup lubang itu, lebih-lebih lagi, lubang tasik cenderung melimpah dan membanjiri lebuh raya berdekatan," tambah McHugh.


Suasana di Lost Lake pengunjung datang beriadah ketika air memenuhi tasik ini. - Foto MCEDD.

Sebahagian besar air tasik hilang melalui lubang ini setiap musim panas dan kembali pada musim sejuk. - Foto David Patton, Democrat-Herald.

Terry McDermott mengambil gambar di lubang di Lost Lake. - Foto Michael Bendixen.

Brent McGregor mengintip lubang besar kedua di dasar Lost Lake, terungkap pada akhir musim setelah air surut. - Foto Brent McGregor.

Ketika 'lockdown' sepatutnya duduk rumah, 7 suspek ini ambil kesempatan curi kerbau

Ketika 'lockdown' sepatutnya duduk rumah, 7 suspek ini ambil kesempatan curi kerbau

Kerbau yang dicuri sekumpulan lelaki di Tronoh. - Foto Utusan Malaysia

Dalam keadaan penduduk berdepan situasi PKP Penuh 'lockdown' untuk memutuskan rantai penyebaran Covid-19, suasana lengang itu diambil kesempatan oleh golongan tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti tidak sihat seperti mencuri.


Menurut laporan Utusan Malaysia, hari ini, seorang penjawat awam dan pelajar kolej antara tujuh lelaki berusia antara 18 hingga 46 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat kes curi kerbau di ladang kelapa sawit di Tronoh, semalam.


Kejadian pada pukul 8.30 pagi itu disedari pemilik haiwan berusia 60 tahun setelah dia terdengar bunyi letupan ketika membuat rondaan di ladang miliknya. Lelaki itu kemudiannya terserempak tiga lelaki namun mereka segera melarikan diri sebaik sahaja terlihat pengadu.


"Dengan bantuan beberapa orang lain, ketiga-tiga suspek dapat ditangkap. Mereka telah membawa pengadu masuk semula ke dalam hutan dan menunjukkan tempat kerbau yang dicuri dan ditambat.


"Pengadu mengecam kerbau ditunjukkan itu adalah miliknya yang hilang sebelum ini dan melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis," Kata Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, hari ini.


Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan lanjut menahan empat lagi suspek termasuk seorang penjawat awam berusia 46 tahun dan pelajar kolej vokasional berusia 18 tahun.


Katanya, siasatan awal mendapati, kumpulan terbabit menjalankan kegiatan curi kerbau dengan menggunakan penembak pelali, haiwan itu kemudiannya ditambat sebelum dibawa keluar menggunakan lori.


Menurutnya, dengan penahanan itu, pihak Polis turut merampas dua kenderaan, satu laras aluminium, jarum pelali, tali guni, satu botol ubat ketamil dan combistress serta empat unit handy talkie yang digunakan bagi menjalankan kegiatan mencuri kerbau.


Tambahnya, berdasarkan semakan, seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau antaranya merusuh. Polis akan mendapatkan tempoh tahanan reman hari ini (Selasa) bagi siasatan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Lelaki 'kantoi' menyamar pengantin perempuan untuk ganti tempat kekasih

Lelaki 'kantoi' menyamar pengantin perempuan untuk ganti tempat kekasih


Seorang lelaki sanggup menyamar sebagai pengantin perempuan hanya kerana ingin menghalang kekasihnya dikahwinkan dengan lelaki lain. Satu video menunjukkan lelaki itu lengkap mengenakan busana pengantin dan memakai alat solek.


Kejadian itu dilaporkan berlaku di Bhadohi, utara India apabila pengantin perempuan sebenar bakal dikahwinkan dengan lelaki lain. Lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu mengambil tindakan drastik bagi mengelakkan kekasihnya dikahwinkan dengan lelaki lain.


Lelaki tersebut sanggup mengambil tempat kekasihnya sebagai 'pengantin perempuan'. Dalam rakaman video itu menunjukkan lelaki menyamar itu menutup mukanya dengan tudung dan membawa beg tangan.


Rakaman menunjukkan pengantin lelaki menghampiri rumah wanita itu bersama dua rakannya dengan menaiki motosikal. Ketika dia tiba di halaman rumah, dia meminta untuk melihat pengantin perempuan kerana menimbulkan kecurigaan.



Ketika itu, tipu muslihat lelaki menyamar terbongkar, para tetamu cuba menangkapnya, rambut palsu lelaki itu ditarik dari kepalanya untuk mengetahui identiti sebenar. Dipercayai penyamaran terbongkar selepas para tetamu mencurigai gerak-gerinya yang pelik.


Polis dimaklumkan tetapi lelaki itu melarikan diri dari tempat kejadian sebelum mereka tiba. Menurut laporan tempatan, lelaki itu mempunyai rakan-rakan yang menunggunya di luar, dan membawanya pergi dengan motosikal dengan selamat.


Sehingga kini polis belum melakukan sebarang tangkapan dan lelaki itu terus menjadi buruan pihak berkuasa. Sumber: Eve Wagstaff/Mirror (07/6/2021).



Mengungkap Misteri Pulau Socotra, Planet Alien Atau Persembunyian Dajjal

Mengungkap Misteri Pulau Socotra, Planet Alien Atau Persembunyian Dajjal


Di suatu tempat di Selatan Semenanjung Arab, terdapat sebuah pulau yang penuh dengan pelbagai bentuk kehidupan yang pelik, dan merupakan salah satu tempat paling aneh di dunia. Pulau Socotra di Yaman ini mempunyai landskap sangat luar biasa yang tidak terdapat di mana-mana tempat.


Mereka mengatakan bahawa jika anda tertidur dan bangun di Pulau Socotra, anda mungkin berfikir bahawa anda telah diculik oleh makhluk asing, kerana pulau ini seolah-olah seperti berada di planet lain.


Pulau Socotra adalah salah satu dari empat gugusan pulau, tetapi ia adalah yang terbesar. Keluasan pulau ini hanya sekitar 83 x 27 batu, tetapi merupakan tempat yang paling asing di bumi. Ia terletak kira-kira 241 kilometer dari timur Tanduk Afrika dan 290 kilometer di selatan Semenanjung Arab. 


Kepulauan kecil ini seperti tak terpengaruh oleh waktu dan tidak pernah berubah selama ribuan tahun. Tidak hairan jika Socotra memiliki beberapa gelaran, mulai dari 'the lost world', pulau alien, hingga dipercayai tempat persembunyian dajjal. 


Pulau Socotra di Kepulauan Socotra terkenal dengan tumbuhan seperti pohon darah naga yang berbentuk seperti payung terbalik. Lebih menakjubkan, satu kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap flora dan fauna di pulau itu, saintis menemui 700 spesies endemik yang tidak pernah ditemui di mana-mana tempat di seluruh dunia.


Sebagai contoh, 37 peratus daripada 825 spesies tumbuhan dan 90 peratus daripada spesies reptilia ditemui adalah unik yang hanya terdapat di pulau itu. Saintis juga menemui 192 jenis burung, 253 jenis batu karang dan lebih 1,000 spesies hidupan marin tinggal di perairan pulau itu.



Antara haiwan luar biasa yang menarik perhatian saintis termasuk labah-labah tarantula biru dan sesumpah ganjil. Pulau itu juga mempunyai pemandangan luar biasa kawasan pantai, tebing batu, gua dan Gunung Hajhir yang luar biasa.


Tidak hairanlah Kepulauan Socotra yang mempunyai empat pulau dan dua pulau berbatu diiktiraf sebagai Lokasi Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).


Socotra dianggap sebagai pembentukan tanah paling terpinggir di dunia dan dipercayai kepulauan itu sebahagian daripada benua besar Gondwana tetapi terpisah kira-kira 20 juta tahun dahulu.


Penduduk di pulau ini majoritinya adalah petani, penternak dan nelayan.

Antara pokok timun raksasa di pulau Socotra.

Antara endemik haiwan pelik.