Rabu, 9 Jun 2021

Bangkai buaya seberat 400 kg ditemui terapung belakang rumah penduduk


Seekor buaya jantan seberat kira-kira 400 kilogram sepanjang 5 meter ditemukan mati terapung oleh penduduk kampung di sungai di Kampung Teluk Peribu, Bagan Serai, petang semalam.


Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Sharif berkata, buaya jantan itu yang ditemui terapung kira-kira jam 4 petang semalam itu dipercayai telah mati dalam dua hingga tiga hari sebelum ditemukan terapung oleh penduduk.


Beliau berkata ketika ditemui, badan haiwan ini sudah mereput dan giginya juga telah luruh dan dipercaya ia mati kerana faktor usianya yang tua. Bangkai haiwan itu ditarik naik ke darat menggunakan traktor setelah usaha menaikkannya menggunakan kenderaan jabatan tidak berjaya.


"Kita telah menanam bangkai haiwan itu pada malam tadi bagi mengelakkan pencemaran. Berikutan penemuan bangkai haiwan ini, jabatan menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada ke sungai dan jika ternampak replitia ini, segera maklumkan kepada jabatan," katanya.


Sementara itu Mohamad Norlishazany Rosli, 24, yang menemui bangkai buaya tersebut berkata, beliau pada mulanya menyangkakan objek besar yang dilihatnya terapung dan tersangkut pada tumbuhan air itu merupakan pohon kayu yang hanyut.


Bagaimanapun selepas diamati barulah disedari ia seekor buaya dan terus menghubungi rakannya untuk pergi melihatnya menggunakan sampan secara dekat.


"Setelah sampai ke tempat buaya itu didapati ia sudah mati, lalu kami mengambil tali untuk mengikat bangkai buaya berkenaan untuk menariknya ke tepi tebing sungai," ujarnya.


Buaya jantan sepanjang lima meter dan seberat kira-kira 400 kg yang ditemukan mati terapung di sungai di Kampung Teluk Peribu petang semalam.


EmoticonEmoticon