Rabu, 9 Jun 2021

Selepas 125 tahun, spesies burung hantu 'rare' bermata oren akhirnya ditemui di hutan Sabah


Siapa sangka, buat kali pertama dalam tempoh 125 tahun, saintis berjaya mengesan subspesies burung hantu scops. Ia adalah burung hantu Bornean Rajah yang bermata oren dengan nama saintifik Otus brookii brookii ditemui di kawasan hutan di Gunung Kinabalu.


Memetik laporan portal berita antarabangsa, para penyelidik dari Smithsonian Migratory Bird Center, Washington mengumumkan tentang penemuan itu bulan lalu. Penemuan itu disiarkan dalam Wilson Journal of Ornithology, yang turut disertakan dengan beberapa keping gambar.


Dalam temu bual dengan majalah Smithsonian, penulis kajian, Andy Boyce memaklumkan penemuan semula spesies itu di Sabah pada 2016, berkemungkinan dipengaruhi faktor masa yang sesuai.


Boyce berada di sana untuk satu projek bersama University of Montana, ketika menerima maklumat tentang burung hantu yang kelihatan aneh dan bermata oren.


"Sekiranya kita tidak mendokumentasikannya pada waktu itu, ia akan 'hilang' lagi dan siapa tahu berapa lama ia akan ditemui semula," kata Boyce kepada majalah berkenaan.



Saiz burung itu dilaporkan sekitar seperempat lebih besar daripada burung hantu biasa yang berasal dari wilayah ini dan mempunyai bulu berwarna kelabu, hitam dan coklat gelap.


Tidak banyak yang diketahui mengenai Otus brookii brookii, termasuk lokasi habitat utamanya namun Boyce percaya burung berkenaan tidak dilihat sejak sekian lama kerana kepadatan penduduk di kawasan terbabit yang rendah.


"Ini mengingatkan kita sebagai manusia, dan sebagai saintis, ada banyak perkara dalam dunia ini yang kita belum temui dan fahami. Kami menemui banyak perkara baharu setiap hari dan ia masih satu kejutan untuk kami," kata Boyce.


Menurut badan sains dan alam sekitar, Mongabay, status pemuliharaan Rajah scops-owl kini disenaraikan sebagai yang paling tidak mendapat perhatian dalam Daftar Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN). - Rujukan Nationalzoo & AstroAwani.


Selepas 125 tahun, saintis berjaya mengesan subspesies Bornean Rajah Scops-Owl di kawasan hutan di Gunung Kinabalu.


EmoticonEmoticon