Selasa, 8 Jun 2021

Mengungkap Misteri Pulau Socotra, Planet Alien Atau Persembunyian Dajjal

Mengungkap Misteri Pulau Socotra, Planet Alien Atau Persembunyian Dajjal


Di suatu tempat di Selatan Semenanjung Arab, terdapat sebuah pulau yang penuh dengan pelbagai bentuk kehidupan yang pelik, dan merupakan salah satu tempat paling aneh di dunia. Pulau Socotra di Yaman ini mempunyai landskap sangat luar biasa yang tidak terdapat di mana-mana tempat.


Mereka mengatakan bahawa jika anda tertidur dan bangun di Pulau Socotra, anda mungkin berfikir bahawa anda telah diculik oleh makhluk asing, kerana pulau ini seolah-olah seperti berada di planet lain.


Pulau Socotra adalah salah satu dari empat gugusan pulau, tetapi ia adalah yang terbesar. Keluasan pulau ini hanya sekitar 83 x 27 batu, tetapi merupakan tempat yang paling asing di bumi. Ia terletak kira-kira 241 kilometer dari timur Tanduk Afrika dan 290 kilometer di selatan Semenanjung Arab. 


Kepulauan kecil ini seperti tak terpengaruh oleh waktu dan tidak pernah berubah selama ribuan tahun. Tidak hairan jika Socotra memiliki beberapa gelaran, mulai dari 'the lost world', pulau alien, hingga dipercayai tempat persembunyian dajjal. 


Pulau Socotra di Kepulauan Socotra terkenal dengan tumbuhan seperti pohon darah naga yang berbentuk seperti payung terbalik. Lebih menakjubkan, satu kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap flora dan fauna di pulau itu, saintis menemui 700 spesies endemik yang tidak pernah ditemui di mana-mana tempat di seluruh dunia.


Sebagai contoh, 37 peratus daripada 825 spesies tumbuhan dan 90 peratus daripada spesies reptilia ditemui adalah unik yang hanya terdapat di pulau itu. Saintis juga menemui 192 jenis burung, 253 jenis batu karang dan lebih 1,000 spesies hidupan marin tinggal di perairan pulau itu.



Antara haiwan luar biasa yang menarik perhatian saintis termasuk labah-labah tarantula biru dan sesumpah ganjil. Pulau itu juga mempunyai pemandangan luar biasa kawasan pantai, tebing batu, gua dan Gunung Hajhir yang luar biasa.


Tidak hairanlah Kepulauan Socotra yang mempunyai empat pulau dan dua pulau berbatu diiktiraf sebagai Lokasi Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).


Socotra dianggap sebagai pembentukan tanah paling terpinggir di dunia dan dipercayai kepulauan itu sebahagian daripada benua besar Gondwana tetapi terpisah kira-kira 20 juta tahun dahulu.


Penduduk di pulau ini majoritinya adalah petani, penternak dan nelayan.

Antara pokok timun raksasa di pulau Socotra.

Antara endemik haiwan pelik.

Isnin, 7 Jun 2021

Nelayan Jadi Jutawan Segera Selepas Jumpa Muntah Ikan Paus Berharga RM6.4 juta

Nelayan Jadi Jutawan Segera Selepas Jumpa Muntah Ikan Paus Berharga RM6.4 juta


Sekumpulan nelayan di Yaman menjadi jutawan setelah menemui ambergris atau dalam bahasa mudah dikenali muntah ikan paus di perut bangkai paus sperma yang ditemui terdampar.


Memetik lapor laman berita Mirror UK pada 2 Jun 2021, nelayan tersebut berjaya menjual ambergris itu dengan harga AS$1.5 juta (RM6.4 juta).


Bukan hanya mereka yang menikmati hasil jualan itu, para nelayan ini juga memberikan wang kepada beberapa orang memerlukan bantuan di kampung mereka.


Difahamkan kejadian ini bermula ketika seorang nelayan dari Syria memberitahu sekumpulan nelayan mengenai bangkai ikan paus yang terdampar di pinggiran Teluk Aden, Yaman.


"Salah seorang nelayan dari Syria memanggil kami pada waktu pagi dan dia berkata, 'Ada ikan paus dan mungkin mengandungi ambergris'," kata seorang nelayan seperti yang dilaporkan laman berita BBC, pada Rabu lalu (2/6/2021).



Selepas menerima maklumat, nelayan dari Yaman kemudian pergi ke lokasi yang dimaksudkan. Ketika mereka semakin dekat dengan bangkai ikan paus, baunya sangat kuat, dan mereka mengesyaki ada sesuatu yang berharga di dalamnya.


Nelayan kemudian membawa bangkai ikan paus ke pantai, kemudian mereka membedah bangkai tersebut untuk melihat apa yang ada di dalamnya. Sangkaan mereka benar, mereka menjumpai benda berharga dalam perut ikan paus tersebut.


"Baunya sangat busuk, tetapi akan menghasilkan banyak wang. Jika anda menjumpai ikan paus ambergris, itu adalah harta karun," tambah nelayan itu.


Seperti diketahui, ambergris adalah bahan yang agak sukar ditemui dan hanya dapat dihasilkan oleh ikan paus sperma. Ambergris sangat berharga kerana ia adalah salah satu bahan yang paling dicari untuk digunakan dalam industri minyak wangi.


Penemuan 'harta karun' ini tentunya menjadikan mereka tiba-tiba kaya. Sebilangan nelayan menyatakan bahawa wang itu digunakan untuk membeli rumah atau kereta, dan ada juga yang merancang untuk segera berkahwin.


Pada mulanya ambergris mempunyai bau busuk. Tetapi setelah mengering, ia akan mengeluarkan wangian yang manis dan tahan lama. Harga ambergris boleh mencecah sehingga RM200 ribu sekilogram.

Isteri pertama menangis melihat suami bernikah lagi

Isteri pertama menangis melihat suami bernikah lagi


Siapa yang tidak menangis ketika melihat suami mereka berkahwin semula dengan wanita lain? Begitulah perasaan seorang wanita yang menangis teresak-esak dalam sebuah video tular di TikTok baru-baru ini.


Video yang dimuat naik di aplikasi itu telah mendapat banyak simpati dari netizen. Kerana wanita yang menangis dalam video itu adalah isteri pertama lelaki yang berkahwin semula.


Wanita itu kelihatan begitu kuat ketika menjalani kenyataan yang terlalu menyakitkan hati dan perasaannya. Pada masa yang sama, sebilangan tetamu memenuhi rumah tersebut dan meraikan pasangan pengantin baharu.


Wanita yang didakwa isteri pertama itu beberapa kali dilihat mengusap air matanya dan cuba untuk menahan diri daripada menangis ketika melihat suami diraikan bersama madunya.



"Walaupun hatinya sakit sangat dan tidak dapat menahan air matanya, dia berusaha untuk menjadi kuat. Ketika isteri pertama seikhlas hati mengizinkan suami untuk berkahwin lagi," tulis 'herikanatasya' pada hantaran tersebut di akaun TikToknya pada Jumaat, 4 Jun 2021 lalu.


Sementara itu, suami wanita berkenaan yang merupakan pengantin lelaki, dilihat sibuk me­layan para tetamu bersama isteri baharu dan ibu bapanya.


Rakaman video tersebut menerima beribu-ribu komen daripada pengguna media sosial. Rata-rata, mereka meluahkan perasaan simpati dan sedih terhadap nasib isteri pertama.


"Saya turut dapat merasa sakitnya hati wanita tersebut. Semoga dia diberi kekuatan," tulis seorang netizen


Sehingga akhir video, isteri pertama terus menangis dan sesekali mengesat air mata yang jatuh dengan tangannya. Pemuat naik juga berdoa agar wanita itu mendapat jaminan syurga. Sumber: Arini Nuranisa/LIPUTAN6 (06/6/2021).

Ahad, 6 Jun 2021

Bilik mayat di India semakin sesak, waris cari sendiri mayat ahli keluarga

Bilik mayat di India semakin sesak, waris cari sendiri mayat ahli keluarga


India dengan populasi 1.4 bilion penduduk kini teruk dilanda COVID-19. Infrastruktur kesihatan dan keperluan asas perubatan untuk merawat COVID-19 sangat tidak mencukupi, dengan kes harian mencatat ratusan ribu, malah keadaan di bilik mayat juga sudah tidak terkawal.


Waris keluarga mangsa Covid-19 di India terpaksa melakukan pengecaman jasad orang tersayang, dengan membelek-belek longgokan mayat di dalam beg plastik biru yang sudah tidak tersusun.


The Independent melaporkan, ahli keluarga seorang lelaki berusia 47 tahun yang meninggal dunia kerana Covid-19 diberitahu oleh kakitangan untuk memasuki bilik mayat untuk pengecaman identiti sebelum membawa pulang jasad waris mereka.


Pengarah Hospital Theni K Vilakku di selatan Tamil Nadu, Balaji Nathan mengesahkan keadaan itu. Beliau, mengakui insiden itu sangat menyedihkan apabila waris keluarga dibiarkan trauma mencari di sebalik longgokan mayat demi mencari orang yang mereka cintai.



Beberapa mayat dibungkus dengan sangat buruk sehingga bahagian tubuh terkeluar dari beg mayat. Selain itu, ahli keluarga juga terpaksa menguruskan mayat tanpa menggunakan alat pelindung diri, bertentangan dengan protokol kesihatan.


Nathan memaklumkan, biasanya hanya seorang petugas yang dibenarkan masuk ke bilik mayat bagi mencari mayat waris, tetapi pada hari itu bilik mayat sangat sesak kerana jumlah mayat dari malam sebelumnya yang bertambah daripada kebiasaan.


"Dua petugas bilik mayat dan satu petugas keselamatan membiarkan anggota keluarga berada di bilik mayat. Ruangannya sangat kecil," katanya.


Dia mengaku keadaan itu adalah kelalaian dari aspek keselamatan. India masih bertungkus lumus bergelut gelombang kedua yang melumpuhkan fasiliti kesihatan negara itu. Setakat ini, negara itu merekodkan 28,574,350 kes Covid-19 dengan 340,702 kematian. Sumber: Shweta Sharma/Independent (02/6/2021).


Baca juga: Anjing makan mayat pesakit Covid-19 yang dihanyutkan di sungai

Selepas 5 tahun berjasa mengesan periuk api, Magawa akhirnya bersara

Selepas 5 tahun berjasa mengesan periuk api, Magawa akhirnya bersara


Periuk api mula ditempatkan di seluruh Kemboja sejak perang saudara pada lewat 1960-an. Kini walaupun perang sudah tiada lagi, kerajaannya kekal bergelut untuk menghapus dan membersihkan pelbagai jenis senjata tidak meletup di buminya, tanpa terkecuali periuk api.


Sebanyak empat hingga enam juta periuk api diletakkan di Kemboja antara tahun 1970 dan 1998 yang menyebabkan lebih dari 64,000 kematian. Kemboja, antara negara bekas perang paling mencatat kematian atau kecacatan tertinggi kesan daripada periuk api.


Situasi itu menambah penderitaan rakyat Kemboja yang rata-ratanya hidup di bawah paras kemiskinan. Kebanyakan mangsa terbunuh apabila terpijak periuk api, namun mangsa terselamat mengalami kecacatan kekal terutama kudung.


Tikus raksasa Afrika yang diberi nama Magawa, antara yang berjasa mengesan periuk api ini. Tikus yang berusia tujuh tahun itu berasal dari Tanzania dan dilatih oleh badan amal, Pembangunan Pengesanan Periuk Api Anti-Personel (APOPO).


Pada tahun september 2020 tahun lalu, Magawa dianugerahkan pingat emas kerana berjaya mengesan 39 periuk api dan 28 bahan peledak yang tidak meletup sejak mendapat latihan oleh badan amal tempatan.



Magawa merupakan tikus pertama dalam sejarah 77 tahun badan amal itu yang dianugerahkan Pingat Emas PDSA, yang setara dengan haiwan di George Cross.


Pengarah APOPO, Michael Heiman, semalam, berkata Magawa bakal bersara daripada 'tugasnya' iaitu menghidu periuk api dan objek bahan letupan di negara ini selepas berkhidmat selama lima tahun.


Katanya, sepanjang perkhidmatannya, Magawa sudah 'membersihkan' kawasan seluas kira-kira 225,000 meter persegi iaitu bersamaan 42 padang bola sepak. Selepas mengesan 71 periuk api dan 38 objek letupan, Magawa menjadi semakin letih.


"Perkara terbaik adalah dengan merehatkannya dan Magawa boleh meluangkan masa melakukan perkara yang disukainya seperti makan pisang dan kekacang," katanya.


Magawa pindah Siem Reap pada 2016 dan memulakan kerjayanya mengesan periuk api, kini tikus itu sudah berusia tujuh tahun.


Magawa merupakan tikus pertama dalam sejarah 77 tahun APOPO yang dianugerahkan Pingat Emas PDSA.
Rezeki melimpah, Turki temui lagi gas asli di Laut Hitam

Rezeki melimpah, Turki temui lagi gas asli di Laut Hitam


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengumumkan negara itu menemui 135 bilion kubik meter padu gas asli di selatan Laut Hitam, kelmarin. Sekali gus mengurangkan kebergantungan negara itu terhadap import sumber tenaga dari luar.


Penemuan baharu di lapangan Amasra-1 akan meningkatkan lagi jumlah potensi di wilayah berkenaan kepada 540 bilion kubik meter, kata Erdogan ketika bercakap pada upacara pembukaan di wilayah Laut Hitam Zonguldak.


Tahun lalu, Turki mengumumkan menemui 405 bilion kubik meter padu simpanan gas asli di wilayah Laut Hitam Sakarya, kira-kira 100 batu nautika di utara pantai Turki, lapor agensi berita Xinhua.


Jika gas terbabit dapat diekstrak secara komersial, penemuan itu dapat membantu Turki mengurangkan kebergantungan negara berkenaan terhadap import sumber tenaga dari negara seperti Russia, Iran dan Azerbaijan.


Ketika ini, Ankara bergantung penuh dengan Russia untuk sumber tenaganya dan ia berhasrat untuk mempelbagaikan bekalannya.


Erdogan sebelum ini mengarahkan kerja penerokaan semula sumber tenaga kontroversi di luar pantai selatan Turki berhampiran Pulau Greece yang menjadi pertikaian di perairan timur Mediterranean.


Isu berkenaan mencetuskan pertelingkahan antara Ankara dan Athens, Cyprus dan Kesatuan Eropah (EU) dan memburukkan lagi ketegangan dengan Perancis yang bertindak meningkatkan kehadiran tentera mereka di rantau terbabit.


Sebuah kapal perang Angkatan Laut Turki mengiringi kapal penggerudian pertama Turki, Fatih bagi kerja penerokaan sumber gas asli di Laut Hitam. - Foto AFP
Harimau dahan yang tular berkeliaran berhampiran rumah penduduk disahkan mati

Harimau dahan yang tular berkeliaran berhampiran rumah penduduk disahkan mati


Seekor Harimau dahan jantan yang ditangkap selepas dilihat berkeliaran di Kampung Bukit Bertam dekat Selama, Rabu lalu, disahkan mati ketika dIrawat di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai.


Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, harimau spesies dilindungi dengan nama saintifik Neofelis nebulosa itu mati pada pukul 12 tengah malam, Khamis lalu.


Katanya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati, harimau itu mati kerana dijangkiti Virus Canine Distemper (CDV). Kebiasaannya, haiwan yang dijangkiti CDV ini terpaksa ditidurkan kerana ia adalah penyakit berjangkit.


"Bagaimanapun, bagi kes harimau dahan ini, haiwan yang positif CDV itu tidak sempat ditidurkan kerana telah disahkan mati oleh doktor veterinar," katanya, semalam.


Menurut beliau, pemeriksaan mendapati haiwan berkenaan tidak tercekik tulang walaupun keadaannya ketika ditangkap seperti cuba memuntahkan sesuatu.


Katanya, berdasarkan pihak veterinar, harimau itu dipercayai terkena jangkitan daripada bawaan binatang domestik seperti anjing dan kucing. Haiwan itu dilupuskan berikutan penyakit berkenaan mudah berjangkit.


Harimau dianggar berusia antara tujuh hingga lapan tahun itu, ditemui penduduk dalam keadaan seakan-akan ingin memuntahkan smakanan Ia dipercayai keluar dari Hutan Simpan Bintang Hijau yang terletak berhampiran kampung berkenaan untuk mencari makanan.



Terdahulu: Harimau dahan tercekik berkeliaran, gemparkan penduduk

Sabtu, 5 Jun 2021

UFO Dirakam Mengelilingi Kapal Perang AS, Membuktikan 'Alien' Miliki Pangkalan Di Dasar Laut

UFO Dirakam Mengelilingi Kapal Perang AS, Membuktikan 'Alien' Miliki Pangkalan Di Dasar Laut


Salah satu misteri yang belum terungkap sehingga sekarang adalah penampakan makhluk asing yang sering dikaitkan dengan objek tidak dikenali (UFO), adakah mereka benar-benar wujud? atau sekadar mitos, boleh jadi juga hanya propaganda sesebuah organisasi berkuasa tertentu yang hanya mahu mengaburi mata kita manusia yang tidak berkepentingan.


Kewujudan makhluk asing ini seringkali menjadi perdebatan dan menjadi sesuatu hal yang menarik untuk dibincangkan. Dalam dunia ini pelbagai teori telah diperkatakan bagi menyokong kewujudan makhluk asing tersebut. Kebanyakan teori itu percaya bahawa UFO ini datang dari luar angkasa.


Terbaru, menurut laporan akhbar Daily Star, kelmarin, beberapa pengkaji makhluk asing percaya bahawa UFO berasal dari dasar laut dan bukannya angkasa lepas seperti yang digembar-gemburkan.


Naib Presiden Gabungan Antarabangsa untuk Penyelidikan Makhluk Asing (ICER), Gary Heseltine berkata, satu klip video tular baru-baru ini yang memaparkan beberapa objek terbang didakwa sedang mengelilingi kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS) adalah petunjuk penting kepada asal-usul UFO.


Kejadian itu mendorong pengkaji-pengkaji UFO untuk mempercayai bahawa makhluk asing berasal dari dasar lautan. Mereka mengatakan UFO sering dilihat keluar dan masuk ke dalam laut. Sekaligus mengesyaki dasar laut mungkin menempatkan pangkalan makhluk asing.


"Meskipun kedengaran tidak munasabah, namun jika difikirkan, kita hanya ada lima peratus pengetahuan mengenai dasar lautan, malah kita lebih banyak mengetahui tentang angkasa lepas," katanya.


Dakwaan Heseltine turut disokong penerbit dokumentari, Jeremy Corbell yang turut mempercayai makhluk asing berasal dari dasar laut. Menurut Corbell, objek terbang yang mengelilingi kapal tentera laut AS disifatkan sebagai transmedium iaitu kemampuan untuk beroperasi di udara dan di dalam air.


"UFO mungkin berasal dari tempat yang jauh, namun kebiasaannya, kita melihat objek itu datang dari lokasi lebih dekat.


"Sama seperti manusia yang mempunyai wakil kedutaan di negara asing, terdapat kemungkinan bahawa adanya 'stesen' makhluk asing di dasar lautan, di mana pesawat UFO boleh berhenti seketika apabila berada di Bumi. Ini adalah bukti yang menunjukkan bahawa UFO melakukan transit di Bumi di dasar lautan," jelasnya.


Baru-baru ini, rakaman video radar yang memaparkan kapal tentera laut AS dikelilingi oleh beberapa buah UFO telah didedahkan kepada umum. Menurut sumber, video itu dirakam pada pada 15 Julai 2019 beberapa tahun lalu.


Susulan kejadian itu, pegawai-pegawai perisikan AS telah diarah untuk mengumpulkan dokumen mengenai UFO untuk dibentangkan kepada Kongres dan laporan tersebut dijangka disiarkan pada bulan ini. - Sumber Daily Star.


Rakaman video radar tentera memaparkan objek didakwa UFO menghampiri kapal tentera laut AS di perairan California baru-baru ini. Foto Twitter JeremyCorbell/WION

Lelaki kahwin adik, kerana bakal isteri meninggal dunia ketika majlis kahwin

Lelaki kahwin adik, kerana bakal isteri meninggal dunia ketika majlis kahwin


Satu Kejadian pelik berlaku minggu lalu di daerah Etawah, Uttar Pradesh, India, apabila seorang lelaki mengahwini adik pengantin perempuan, selepas bakal isterinya itu meninggal dunia akibat serangan jantung ketika majlis perkahwinan berlangsung.


Pengantin wanita itu, Surabhi tiba-tiba jatuh tidak sedarkan diri di sebelah pengantin lelaki, Manjesh Kumar sebelum upacara pheras iaitu ritual penting dalam perkahwinan Hindu.


Wanita itu dilaporkan mengatakan dia merasa tidak sihat dan kemudian rebah. Pihak keluarga segera menghubungi doktor untuk mendapatkan rawatan kecemasan, tetapi anggota paramedik mengesahkan kematian wanita muda itu.


Seseorang akan menganggap peristiwa tragis itu akan mengakibatkan perkahwinan dibatalkan, tetapi itu tidak berlaku di India. Selepas kematian pengantin wanita, keluarga Manjesh dan Surabhi duduk dan membincangkan permasalahan itu.


Mereka kemudian mencadangkan supaya pengantin lelaki berkahwin adik perempuan si mati, Nisha, yang dipersetujui oleh ibu bapa pengantin perempuan. Pihak lelaki pula tidak sanggup menanggung malu apabila pulang dengan 'tangan kosong' (tidak jadi berkahwin).



"Kami tidak tahu apa yang harus dilakukan dalam situasi ini. Kedua-dua keluarga duduk bersama dan seseorang mencadangkan supaya adik perempuan saya Nisha berkahwin dengan pengantin lelaki," kata abang Surabhi, Saurabh.


Katanya, keluarga membincangkan perkara itu dan kedua-duanya bersetuju. Itu adalah situasi yang pelik ketika perkahwinan adik perempuannya berlangsung ketika mayat adik perempuannya lagi satu terbaring di bilik lain.


"Seperti yang anda bayangkan, upacara perkahwinan dilakukan dalam suasana yang sangat suram, kerana jasad Surabhi benar-benar berada di bilik sebelah. Nisha menerima perkahwinan ini sebagai tanggungjawab kepada keluarga," kata Saurabh lagi.


Mengakui menempuh tempoh sukar, bapa saudara Surabhi, Ajab Singh berkata, mereka perlu melakukan sesuatu demi menyelamatkan maruah keluarga.


"Ini tempoh sukar bagi keluarga kami. Seorang anak perempuan terbaring di satu bilik dan perkahwinan anak perempuan yang lain sedang diadakan di bilik yang lain.


"Kami tidak pernah menyaksikan majlis bercampur emosi seperti ini. Kesedihan atas kematiannya dan kebahagiaan perkahwinan masih belum ada," katanya kepada wartawan. Sumber: Daily Mail


Keluarga perempuan bergambar bersama sebelum kematian Surbhi secara tiba-tiba.
Tular warga emas minum cecair peluntur kononnya cegah Covid-19

Tular warga emas minum cecair peluntur kononnya cegah Covid-19


Tular sebuah klip video yang memaparkan seorang lelaki warga emas minum air yang dicampur cecair peluntur sejak semalam. Itu antara dakyah gila dan melampau kononnya untuk mencegah Covid-19.


Video berdurasi 1 minit 16 saat yang dikongsi di Twitter itu sudah ditonton lebih 600,000 kali. Sebenarnya, klip video itu sudah lama tersebar melalui aplikasi WhatsApp namun ia kembali tular selepas dimuat naik di pelbagai saluran media sosial, baru-baru ini.


Berdasarkan video itu, dapat dilihat lelaki berkenaan pada mulanya menuang satu penutup cecair peluntur ke dalam gelas plastik kecil mengandungi air berkarbonat sebelum mengacaunya.


Kelihatan air berwarna merah itu bertukar menjadi jernih selepas dimasukkan cecair peluntur sebelum dia memasukkan satu penutup lagi cecair peluntur ke dalam gelas berisi air teh susu.


Lelaki itu kemudiannya minum air tersebut sambil diperhatikan beberapa orang lagi seolah-olah dia telah biasa melakukannya. Berdasarkan gaya percakapan lelaki itu berkemungkinan berasal dari sebuah negeri di utara tanah air.



Klip video tersebut turut mendapat perhatian pengasas laman sosial perubatan tempatan, MEDTweetMY, Dr. Khairul Hafidz yang menasihati masyarakat supaya tidak meniru perbuatan tersebut.


"Tuan, puan, adik, kakak, abang, pakcik, makcik, datuk, datin, saya ingin menekankan dengan serius peluntur tidak akan boleh merawat Covid-19. Nanti yang minum peluntur yang akan dirawat akibat kesan sampingan," tulisnya di laman Twitter beliau.


"Lihat video, beginilah bapa saya percaya sekarang dia suruh saya kunyah bunga cengkih katanya petua hilangkan Covid-19, tolonglah saya," ujar seorang netizen.


Bagaimanapun, ada netizen mendakwa bahawa ia hanyalah muslihat, cecair peluntur itu sebenarnya tidak dimasukkan ke dalam teh. "Tengok semula betul-betul video itu, netizen dipermainkan," ujar seorang lagi netizen.


"Walaupun ia merupakan muslihat apa tujuannya dia berbuat begitu?," soal seorang lagi yang tidak berpuas hati. Sumber: Harian Metro