Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Sabtu, 7 Oktober 2023

NASA akan bina rumah di Bulan pada 2040 yang boleh dihuni angkasawan dan orang awam

NASA akan bina rumah di Bulan pada 2040 yang boleh dihuni angkasawan dan orang awam


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merancang untuk membina penginapan di permukaan Bulan menjelang tahun 2040, lapor portal berita Daily Mail pada 3 Oktober 2023.


Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu memberi peruntukan AS$60 juta (RM283.65 juta) kepada sebuah syarikat teknologi pembinaan, ICON untuk membina kediaman di Bulan yang boleh dihuni angkasawan dan orang awam.


NASA merancang untuk melancarkan mesin pencetak gergasi tiga dimensi (3D) ke Bulan dan menggunakan konkrit Bulan yang diperbuat daripada batu, serpihan mineral dan habuk sebagai struktur penginapan itu.


Dalam pada itu, NASA turut bekerjasama dengan beberapa universiti dan syarikat swasta untuk membina pintu, jubin dan perabot yang sesuai digunakan di Bulan. 


Selain membina penginapan di Bulan, NASA juga merancang untuk membina sebuah bangunan di Marikh yang boleh didiami manusia. 


Pelan itu masih di peringkat awal dengan gambaran bangunan tersebut hanya dikeluarkan pada 2022, namun semuanya boleh berubah dalam dekad akan datang.


Syarikat ICON berpangkalan di Austin, menandatangani kontrak bersama NASA pada 2022 untuk menggunakan kepakaran percetakan 3D miliknya bagi membina penginapan mewah itu menggunakan sistem pencetakan dinamakan The Vulcan.


Teknologi ini meletakkan campuran simen, pasir dan air sebagai filamen. Semua komponen rumah seperti dinding dan bumbung akan dicetak secara berasingan dan dipasang selepas dicetak di Bulan.


ICON merancang untuk menguji mesin pencetaknya di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall pada Februari tahun depan untuk melihat cara ia beroperasi dalam persekitaran hampagas dan sinaran angkasa.


Sejak 2018, ICON telah membina lebih 100 rumah di utara Austin dengan percetakan 3D.  Rumah yang dibina dengan cara ini telah menjadi semakin popular kerana ia cepat didirikan, dengan pemaju mengatakan mereka boleh menyelesaikan krisis perumahan Amerika. - Sumber Daily Mail.


Teknologi ini meletakkan campuran simen, pasir dan air sebagai filamen. Filamen secara berkesan adalah dakwat yang keluar dari pencetak seperti reben tebal yang disusun di atas satu sama lain. - Foto Icon.

Ideanya adalah untuk menghantar pencetak 3D ke bulan, yang akan membina penginapan mewah menggunakan konkrit bulan. - Foto Icon.

Pelan itu berada di peringkat awal, gambaran bangunan ini telah dikeluarkan pada 2022 lalu, idea itu boleh berubah dalam dekad yang akan datang. - Foto Icon.

Bernilai AS$1 juta, rumah bercetak 3D ini terletak di tengah-tengah gurun Texas Barat. - Foto Icon.

Ahad, 3 September 2023

Kapal angkasa sudah mendarat di bulan, India kini lancar misi kaji matahari pula

Kapal angkasa sudah mendarat di bulan, India kini lancar misi kaji matahari pula


Agensi angkasa lepas India pada Sabtu melancarkan kapal angkasa Aditya-L1 untuk mengkaji matahari, angin suria yang boleh menyebabkan gangguan di bumi yang biasanya dilihat sebagai aurora, lapor NDTV pada 2 September 2023.


Aditya-L1 seberat 1,480.7 kilogram akan berada kira-kira 1.5 juta kilometer dari bumi, menghala ke arah matahari, iaitu kira-kira satu peratus daripada jarak bumi-matahari, menurut Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO).


Ia berlepas menggunakan roket dari pusat pelancaran di pulau Sriharikota di luar pantai tenggara negara itu. Perkataan Aditya bermaksud matahari dalam bahasa Hindi.


"Matahari ialah sfera gas gergasi dan Aditya-L1 akan mengkaji atmosfera luar matahari," menurut agensi angkasa lepas, sambil menjelaskan bahawa kapal angkasa itu tidak akan mendarat di matahari mahupun mendekatinya dengan lebih dekat.


Misi solar pertama ISRO dilancarkan beberapa hari selepas India menjadi negara keempat yang berjaya mendaratkan kapal angkasa lepasnya di permukaan bulan selepas Rusia, Amerika Syarikat dan China.


Agensi angkasa lepas menjelaskan bahawa ia akan mengkaji aktiviti suria dan kesan matahari terhadap cuaca angkasa.


Selepas mengembara selama 125 hari, kapal angkasa itu, yang membawa tujuh muatan, dijangka berada dalam orbit halo di sekitar 'titik Lagrangian L1'.


Titik itu dianggap paling hampir dengan matahari dan kapal angkasa dijangka berlegar lebih lama bagi mengimbangi daya graviti dan penggunaan bahan api.


Bercakap kepada ANI selepas kejayaan pelancaran misi solar pertama negara itu, Nigar Shaji, pengarah projek tersebut, berkata pada hari Sabtu bahawa ia seperti mimpi yang menjadi kenyataan.


"Rasanya seperti mimpi menjadi kenyataan. Saya amat gembira kerana Aditya L-1 telah berjaya disuntik (ke dalam orbit yang ditetapkan) oleh PSLV," katanya. - Sumber NDTV.


Kapal angkasa Aditya-L1 dilancarkan India untuk mengkaji matahari. - Foto AFP.

Jumaat, 11 Ogos 2023

Penduduk terkejut serpihan satelit dari angkasa lepas terhempas di kampung

Penduduk terkejut serpihan satelit dari angkasa lepas terhempas di kampung


Sebuah satelit yang menjunam dari angkasa lepas dan terhempas di China telah menyebabkan letupan besar berlaku di utara negara itu, lapor akhbar Mirror UK pada 10 Ogos 2023.


Rakaman kejadian memaparkan asap tebal berkepul-kepul naik ke udara ketika penduduk tempatan melihat serpihan gergasi itu di hadapan rumah mereka.


Seorang penduduk di perkampungan Kuil Taizi memaklumkan bahawa serpihan itu terhempas sekitar pukul 6.50 pagi (waktu tempatan) Rabu lalu di belakang rumah mereka namun masih belum dibersihkan.



Penduduk kampung itu telah diberi amaran bahawa serpihan tersebut akan jatuh tetapi bunyi kuat ketika ia terhempas masih mengejutkan mereka.


Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan seorang pegawai di kampung itu berkata bahawa satelit itu tidak menyebabkan sebarang kerosakan.


Serpihan itu didakwa akan diambil dan dipulihkan oleh pihak berkuasa. Pegawai berkata lokasi itu telah dikawal dan kakitangan khas ditugaskan menangani situasi tersebut. - Sumber Mirror UK.


Penduduk tempatan berkumpul melihat serpihan satelit. - Foto Twitter.

Ahad, 16 Julai 2023

Tesla melancarkan pikap elektrik pertama, Cybertruck

Tesla melancarkan pikap elektrik pertama, Cybertruck


Pengeluar kereta Amerika Syarikat melancarkan pikap elektrik pertamanya, dikenali sebagai 'Cybertruck' dengan proses pemasangannya dibuat di kilang berhampiran Austin, Texas.


Tesla dalam ciapannya di Twitter berkata, Cybertruck pertama dibina di Giga Texas, selain muat naik itu turut disertakan dengan gambar kenderaan futuristik itu yang dikelilingi pekerja syarikat berkenaan.


Pemilik Tesla dan Twitter, Elon Musk yang mengulang ciap muat naik berkenaan turut mengucapkan tahniah kepada kakitangan Tesla.


April lalu, syarikat berkenaan dilapor akan melancarkan Cybertruck pertamanya, sebelum akhir tahun ini. Pelan untuk kenderaan itu pertama kali diumumkan pada November 2019.



Sesi pengenalan kenderaan itu agak luar biasa apabila Elon mengarahkan pekerjanya memukul satu tingkap kenderaan prototaip menggunakan keluli bagi mempamerkan kekukuhan strukturnya.


Bagaimanapun, tingkap berkenaan pecah ketika sesi ujian dilakukan, selain siri kedua turut memberikan hasil sama, sekali gus mengundang maklum balas negatif.


Namun, Tesla memaklumkan pihaknya menerima hampir 150,000 tempahan awal, selepas dua hari kejadian terbabit.


Elon pada Mei lalu berkata, Tesla menyasarkan pengeluaran 250,000 Cybertruck setahun dengan angka itu diunjur meningkat dua kali ganda ekoran faktor harga yang berpatutan.


Tesla akan menghasilkan tiga model Cybertruck, antaranya yang mampu membuat pecutan dari sifar hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh kurang tiga saat.


Model asas akan berharga AS$39,900 dan menawarkan jarak 400 kilometer antara caj, manakala trak pikap barisan atas dijual pada harga AS$69,900. - Sumber The Straits Times.


Cybertruck Tesla dipamerkan di Manhattan's Meatpacking District di New York City, pada 8 Mei 2021 lalu. - Foto REUTERS.

Sabtu, 24 Jun 2023

Bukan makhluk asing, tapi gambar petir yang menggerunkan di Planet Musytari

Bukan makhluk asing, tapi gambar petir yang menggerunkan di Planet Musytari


Sebuah kapal angkasa milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merakam imej petir yang menggerunkan di Planet Musytari, lapor stesen penyiaran CNN pada 19 Jun 2023.


Dalam imej tersebut, petir berwarna hijau dilihat di dalam salah satu daripada banyak pusaran yang berkumpul berhampiran kutub utara Musytari.


Saintis-saintis masih cuba memahami banyak perkara mengenai Musytari iaitu planet terbesar dalam sistem suria, termasuk ribut besar dan kejadian kilat di planet terdiri daripada gas itu.


Petir berasal dari awan air di Bumi, dan kebanyakan panahan petir berlaku berhampiran khatulistiwa.



Namun, untuk Musytari, panahan petir muncul daripada awan yang merupakan hasil daripada amonia dan air, dan ia berlaku paling kerap berhampiran kutub planet.


Kapal angkasa NASA, Juno yang tiba untuk memantau Musytari serta bulan-bulannya pada 2016, merakam fenomena tersebut semasa penerbangan jarak dekat kali ke-31 pada 30 Disember 2020.


Misi tersebut berada pada lokasi kira-kira 32,000 kilometer di atas puncak awan apabila imej itu dirakam.


Imej sebenar Planet Musytari dan bulan-bulannya yang dirakam oleh Juno dimuat naik secara online dan boleh diambil oleh sesiapa sahaja untuk diproses. - Sumber CNN.


Kapal angkasa NASA Juno merakam kilat menyambar. Cahaya petir berwarna hijau dapat dilihat di dalam salah satu daripada banyak pusaran yang berkumpul berhampiran kutub utara Musytari, imej ini diambil pada 30 Disember 2020. - Foto NASA/JPL-Caltech/SwRI/MSS.

Sabtu, 29 April 2023

Suntikan 'ajaib' turunkan berat badan sehingga 45 kilogram

Suntikan 'ajaib' turunkan berat badan sehingga 45 kilogram


Sejenis suntikan yang mampu membantu orang ramai menurunkan berat akan ditawarkan di Britain dan Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Daily Mail pada 27 April 2023.


Menurut data percubaan klinikal, suntikan Tirzepatide mampu membantu orang ramai menurunkan purata berat badan sebanyak 15.6 kilogram (kg).


Walaupun keputusan ujian sangat menjanjikan, pengawal selia masih perlu meluluskan suntikan yang perlu diambil sekali seminggu itu sebelum dilancarkan secara meluas.


Lilly and Co, firma farmaseutikal kini akan berusaha untuk mendapatkannya diluluskan sebagai pilihan penurunan berat badan di AS. Permohonan serupa akan dibuat di Britain akhir tahun ini.


Keputusan percubaan tirzepatide juga menunjukkan bahawa ia sedikit lebih berkuasa daripada saingan utamanya Wegovy, yang dihasilkan oleh firma Denmark Novo Nordisk.



Ketika ini, suntikan Tirzepatide hanya diluluskan untuk merawat diabetes tahap 2. Bagaimanapun, sesetengah penduduk AS sudah menunjukkan perubahan selepas meminta doktor memberikan suntikan Tirzepatide yang belum diluluskan.


Seorang lelaki yang mempunyai berat badan berlebihan mendakwa ubat yang dijenamakan semula sebagai Mounjuro itu membantunya menurunkan berat sehingga 45.4 kg.


Gambar sebelum dan selepas memaparkan transformasi luar biasa seorang eksekutif teknologi kesihatan, Matthew Barlow, 48, yang tinggal di California.


Dia mula menggunakan ubat itu pada November tahun lalu. Pada masa sama, dia juga mengubah diet dan gaya hidup seperti yang disyorkan oleh pakar. - Sumber Daily Mail.


Walaupun belum diluluskan untuk penurunan berat badan, sesetengah rakyat AS sudah menggunakannya. Salah seorang daripada mereka ialah Matthew Barlow, seorang eksekutif teknologi kesihatan berusia 48 tahun yang tinggal di California, berkata dia berjaya mengurangkan berat badan sehingga 45.4 kg sejak November dengan menggunakan Mounjaro dan mengubah dietnya. - Foto MailOnline.

Sabtu, 22 April 2023

Roket terbesar SpaceX meletup selepas 4 minit dilancarkan

Roket terbesar SpaceX meletup selepas 4 minit dilancarkan


Sebuah roket paling besar yang pernah dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk meletup di atmosfera Bumi dan mencetuskan pemandangan luar biasa di langit, lapor akhbar Daily Star pada 20 April 2023.


Kapal angkasa Starship dan roket Super Heavy atau digelar Starship merupakan roket paling berkuasa pernah dibina, selain direka khas untuk menghantar kru dan kargo ke orbit Bumi, Bulan, Marikh dan lokasi lain di angkasa lepas.


Roket itu diuji tanpa anak kapal dalam ujian penerbangan tersebut. Ia merupakan ujian penerbangan pertama Starship yang dipasang atas roket baharu syarikat itu, Super Heavy.


Roket Super Heavy yang membawa kapal angkasa Starship dilancarkan dari tapak pelancaran Starbase di Boca Chica, berdekatan Brownsville, Texas, Amerika Syarikat.



SpaceX sebelum ini menyifatkan kapal angkasa Starship sebagai satu kejayaan dengan mempunyai ketinggian 120 meter, beserta 33 enjin dan 7.5 juta kilogram tujahan.


Siaran langsung menerusi laman sesawang SpaceX menunjukkan roket tersebut berjaya dilancarkan ke udara, dengan iringan sorakan para kakitangannya.


Namun, kira-kira empat minit selepas pelancaran, Starship dilihat gagal dipisahkan dari Super Heavy sebelum roket gabungan itu mula terpesong arah lalu meletup di ruang udara dan terhempas ke perairan Teluk Mexico.


Sementara itu, syarikat SpaceX memaklumkan kapal angkasa itu mencapai ketinggian kira-kira 39 kilometer sebelum meletup.


Jelasnya, roket itu juga mencapai titik pelancaran kritikal tekanan aerodinamik maksimum sebelum hilang kawalan.


Bagaimanapun, pegawai SpaceX mengisytiharkan misi pelancaran itu sebagai ujian penerbangan yang berjaya. - Sumber Daily Star.


Sebuah roket paling besar yang pernah dilancarkan oleh SpaceX meletup di atmosfera Bumi. - Foto AFP.