Memaparkan catatan dengan label Seni. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seni. Papar semua catatan

Isnin, 7 Ogos 2023

Kot Elvis Presley dilelong RM743,079 di Britain

Kot Elvis Presley dilelong RM743,079 di Britain


Kot buatan khas yang dipakai mendiang bintang legenda, Elvis Presley ketika tahun terakhir hidupnya, dijual pada harga lebih 100,000 pound dalam satu acara lelongan di Britain, lapor agensi berita BBC News pada 6 Ogos 2023.


Pakaian itu dibeli pada harga 128,000 pound (RM743,079) oleh seorang pengumpul dari Amerika Syarikat dalam lelongan di Henry Aldridge & Son di Devizes, Wiltshire pada hari Sabtu.


Pelelong Henry Aldridge sebelum ini berkata mereka menjangkakan kot itu akan mencecah sekitar 15,000 pound.


Presley memberikan jaket kulit bulu mink itu kepada abang tunangnya, Ginger Alden, sebelum meninggal dunia pada 1977.


Ia disertakan dengan surat ketulenan daripada Rosemary Alden Starkey yang juga adik Ginger Alden.



Jurulelong Henry Aldridge sebelum ini berkata mereka memperoleh kot itu daripada pelanggan yang telah membeli pakaian itu semasa lelongan tahunan Elvis Presley yang diadakan di bekas rumah penyanyi itu di Graceland, di Memphis, Tennessee.


"Bagi saya ia merangkumi glamor 1970-an Vegas, Elvis dalam kot cerpelai," kata Jurulelong Andrew Aldridge.


Cincin berbentuk burung hantu emas, juga dimiliki oleh Elvis Presley, dijual pada harga 14,000 pound. - Sumber BBC News UK.


Kot itu dipakai oleh Elvis Presley pada tahun terakhir hidupnya. - Foto Daily Mail.

Jumaat, 5 Mei 2023

Kreatif, kereta Peugeot 206 diubah suai jadi traktor

Kreatif, kereta Peugeot 206 diubah suai jadi traktor


Seorang pemilik kereta hatchback Peugeot 206 menggunakan empat roda traktor gergasi untuk menggerakkan kenderaannya di laluan berlumpur di Warwickshire, England, lapor portal berita The Sun pada 3 Mei 2023.


Pengubahsuaian itu dilakukan oleh tiga orang jurutera selepas mereka menemui kereta tersebut di lokasi simpanan barang buangan di Backpool pada 2014.


"Kami mengimbau zaman kanak-kanak daripada (program) televisyen iaitu Top Gear, Scrapheap Challenge dan Chop Shop dengan membina semua perkara 'gila' yang kami lihat dan fikir.


"Sekarang kami lebih tua berbanding hari-hari itu. Kereta traktor ini sebenarnya yang kedua kami telah ubah suai," kata Gareth Jenkins, 29, dari Nuneaton Warwickshire kepada portal berita The Sun.


Tiga rakan jurutera itu pada mulanya mengubah suai kereta Ford Fiesta manual dengan menggunakan empat roda gergasi, namun kata mereka, pengubahsuaian menggunakan Peugeot 206 automatik adalah lebih berjaya.


"Kami hanya mahu melihat sama ada boleh memasang roda traktor pada kereta.


"Bagi memastikan roda traktor muat, kami mengimpal rim keluli kemudian mengimpal satu lagi di bahagian belakang yang dipasang pada kereta ini," katanya. - Sumber The Sun.


Sebuah kereta Peugeot 206 diubah suai apabila pemiliknya menggunakan empat tayar traktor gergasi di England baru-baru ini. - Foto Caters.

Gareth Jenkins dan rakan-rakan menambah roda traktor yang besar pada kereta. - Foto Caters.


Pengubahsuaian itu dilakukan oleh tiga orang jurutera. - Foto Caters.

Inilah hasil ciptaan Gareth dan rakan-rakan. - Foto Caters.

Khamis, 16 Februari 2023

Lelaki bedah tangan untuk mengubah jarinya menjadi 'tangan syaitan'

Lelaki bedah tangan untuk mengubah jarinya menjadi 'tangan syaitan'


Seorang bapa dari Brazil yang dipercayai sebagai lelaki paling banyak mengubah suai rupa paras di dunia kini telah membelah tangannya pula melalui pembedahan baru-baru ini, lapor Mirror UK pada 9 Februari 2023 lalu.


Marcelo B-boy De Souza Ribeiro menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mendapatkan lebih 1,500 lukisan tatu seluruh kulit termasuk alat kemaluannya dan telah menjalani pelbagai pembedahan mengubah wajah dan tubuh badannya.


Kini artis berusia 40 tahun yang mempunyai lebih 75,000 pengikut di laman Instagram itu berkongsi langkah terbarunya untuk mengubah jarinya menjadi 'tangan syaitan'.


Ribeiro berpendapat, langkah berani itu adalah yang pertama di dunia bagi memenuhi impiannya untuk kelihatan berbeza dan mahu menjadikan tubuhnya sebagai pameran seni.


"Saya sedang membuat pengubahsuaian baharu yang belum wujud lagi di dunia.



"Saya sudah pun meneliti tentang pengubahsuaian badan di dunia, dan daripada apa yang saya lihat belum ada yang membuat pengubahsuaian yang serupa (tangan syaitan).


"Orang ramai sudah melihat tangan saya dan menganggap ia menarik, tetapi mereka berkata mereka tidak mempunyai keberanian untuk melakukannya.


"Saya gembira dengan apa yang saya lakukan, saya tidak merasakan apa-apa perubahan mengenai mobiliti tangan saya kerana ia benar-benar boleh berfungsi secara normal," katanya.


Dua bulan lalu, lelaki yang berasal dari São Paulo itu, mendapatkan bantuan rakannya yang pakar dalam pengubahsuaian badan ekstrem untuk melaksanakan prosedur tersebut secara percuma.


Selama bertahun-tahun, Marcelo telah membelanjakan kira-kira 29,000 pound (RM151,795) untuk mendapatkan lukisan tatu, gigi logam bertaring, implan kulit dan lidah yang terbelah.


Bapa kepada dua anak dan sudah mempunyai seorang cucu itu menganggarkan 98 peratus daripada tubuhnya telah diubah. - Sumber Mirror UK.


Marcelo B-boy De Souza Ribeiro menunjukkan tangannya yang baharu dibedah. - Foto Jam Press/@marcelobboy.

Rabu, 30 November 2022

Lelaki ubah suai kereta Toyota jadi Ferrari F430 berdepan hukuman penjara

Lelaki ubah suai kereta Toyota jadi Ferrari F430 berdepan hukuman penjara


Seorang lelaki di Itali baru-baru ini didakwa atas tuduhan pemalsuan dan pelanggaran cap dagangan selepas didapati bahawa Ferrari F430 merah miliknya sebenarnya adalah Toyota MR Coupe yang diubah suai, lapor laman berita Oddity Central pada 29 November 2022.


Agensi penguatkuasaan undang-undang, Guardia membuat rampasan luar biasa itu semasa melakukan pemeriksaan rutin di bandar Asti, Itali.


Walaupun kereta itu menampilkan semua elemen ikonik Ferrari F430 termasuk logo kuda pada bonet dan stereng, rim, brek serta lampu depan, sesuatu tentang kenderaan itu kelihatan tidak kena.


Tidak dijelaskan sama ada pemandu berusia 26 tahun itu mempunyai dokumen yang diperlukan untuk membuktikan bahawa keretanya adalah Ferrari F430 tulen atau tidak, tetapi pegawai polis memanggil pasukan pakar untuk mendapatkan kepastian.



Mereka mengesahkan bahawa kereta itu sebenarnya adalah Toyota MR Coupe yang telah diubah suai. Kes itu dianggap unik kerana tahap pemalsuannya yang tinggi.


Menurut pakar yang mengesahkan pemalsuan itu, kereta tersebut juga menampilkan alat ganti dan aksesori Ferrari asli, menjadikannya lebih sukar untuk menyedari bahawa ia sebenarnya adalah Toyota.


Media berita Itali melaporkan bahawa kereta itu telah disita dan pemiliknya dilaporkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Asti kerana menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran. - Sumber Oddity Central.


Kereta ini menjalani pengubahsuaian ta fthap tinggi sehingga sukar dikenal pasti sebagai Toyota. - Foto Guardia.

Isnin, 8 Ogos 2022

Tak sangka lukisan yang dibeli hanya RM125 di sebuah kedai buku rupanya bernilai RM41 Juta

Tak sangka lukisan yang dibeli hanya RM125 di sebuah kedai buku rupanya bernilai RM41 Juta


Seorang lelaki tidak menyangka lukisan yang dibelinya dengan harga AS$30 (RM125) di sebuah kedai buku yang turut menjual barangan terpakai, sebenarnya bernilai jutaan ringgit.


Menurut lapor agensi berita CNN, lukisan dari abad ke-16 karya pelukis ternama zaman Renaissance Jerman itu dibeli oleh seorang pengumpul seni karya dan konsultan galeri seni, Clifford Schorer.


Menurut Agnews Gallery, lukisan berkenaan kemudiannya dikenal pasti sebagai 'The Virgin and Child', sebuah legasi dari seorang tokoh ternama Jerman, Albrecht Dürer yang meninggal dunia pada tahun 1528.


Schorer berkata dia secara kebetulan menemukan lukisan berkenaan pada tahun 2019 semasa dalam perjalanan ke sebuah pesta di Massachusetts.


Teringat bahawa dia belum membeli hadiah untuk pesta tersebut, Schorer singgah di sebuah kedai buku yang turut menjual barangan terpakai. Pemilik kedai kemudian memberitahu Schorer dan rakannya bahawa dia memiliki lukisan Dürer dan bertanya sama ada Schorer mahu melihat lukisan tersebut.



Walaupun bersetuju untuk melihat lukisan berkenaan, Schorer mengaku tidak meletakkan harapan tinggi, memandangkan karya tidak diketahui pelukis legenda itu terakhir kali ditemui lebih 100 tahun lalu.


Menurut pemilik kedai tersebut, lukisan ini dibeli dari jualan garaj di rumah seorang arkitek yang katanya menerima lukisan berkenaan dari sang ayah yang merupakan peniaga karya seni.


Bercakap tentang karya seni yang tidak disangka-sangka itu, Schorer menyifatkan penemuan ini sebagai sesuatu yang mengujakan.


"Apabila anda berada dalam dunia saya, anda akan habiskan seumur hidup anda mencari sesuatu yang tak pasti di mana ia mengarah kepada penyelidikan yang menarik.


"Saya melihat diri saya berada pada permulaan sesuatu yang mengujakan," kata Schorer, menceritakan perjalanannya selama tiga tahun untuk mengesahkan keaslian lukisan tersebut.


Sepanjang tiga tahun itu, Schorer dikatakan telah terbang sebanyak 17 kali untuk mendapat konsultasi dari pakar-pakar di seluruh dunia.


Schorer dikatakan turut menemui pakar dari Muzium British di London untuk menyelidik lukisan 'The Virgin and Child' bersama karya-karya Dürer yang lain.


Setelah melalui analisis usia teknikal dan mengambil kira ciri khas karya Dürer, Schorer percaya lukisan berkenaan bernilai lapan angka dan melebihi AS$10 juta (RM41.78 juta). - Sumber CNN.

Ahad, 7 Ogos 2022

Arab Saudi rancang bina bangunan pencakar langit sepanjang 120 kilometer bernilai RM4.4 trilion

Arab Saudi rancang bina bangunan pencakar langit sepanjang 120 kilometer bernilai RM4.4 trilion


Arab Saudi mendedahkan rancangan untuk membina sebuah bangunan pencakar langit yang dianggarkan bernilai AS$1 trilion (RM4.45 trilion), yang akan merentasi padang pasir sepanjang 120 kilometer serta diperbuat daripada kaca cermin, lapor akhbar Daily Mail pada 25 Julai 2022.


Projek digelar Mirror Line itu merupakan sebahagian daripada pembangunan bandar padang pasir dinamakan NEOM, dan dibina lebih tinggi berbanding Bangunan Empire State di Amerika Syarikat (AS).


Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman pada Januari 2021 lalu mengumumkan Mirror Line akan menjadi sebahagian daripada bandar futuristik NEOM. Beliau menyimpan hasrat besar mahu Riyadh menempatkan projek pembinaan ikonik seperti Piramid Mesir.


"Projek Mirror Line dilihat merupakan revolusi peradaban yang mengutamakan manusia," kata Mohammed Salman.



Mirror Line akan terdiri daripada dua bangunan setinggi 487.6 meter yang didirikan selari antara satu sama lain merentasi padang pasir sejauh 120 kilometer, pantai dan landskap gunung.


Putera Mohammed juga berharap agar projek tersebut dapat disiapkan pada 2030, meskipun pasukan jurutera menyatakan bahawa ia mungkin mengambil masa selama 50 tahun untuk dibina.


"Bangunan ini terlalu panjang sehingga ia akan didirikan di atas struktur keras untuk mengambil kira kelengkungan bumi dan juga mempunyai laluan kereta api berkelajuan tinggi di bawahnya.


"Jika siap sepenuhnya, bangunan pencakar langit itu akan merentasi dari Teluk Aqaba melalui banjaran gunung dan pantai sehingga ke 'aerotropolis' padang pasir," jelas laporan Wall Street Journal.


Ia juga dijangka mampu memuatkan sehingga lima juta orang selepas disiapkan selain turut menempatkan pangkalan kapal persiaran di bawah gerbang bangunan.


Dalam pada itu, Mohammed bin Salman mengharapkan agar pembinaan bandar NEOM secara keseluruhan dapat mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan baharu.


Pembangunan berskala mega itu kini dibina di wilayah Tabuk, barat laut Arab Saudi. - Foto NEOM.

Putera Mohammed Salman menyimpan hasrat besar mahu Riyadh menempatkan projek pembinaan ikonik seperti Piramid Mesir. - Foto NEOM.

Mirror Line akan merentasi padang pasir sepanjang 120 kilometer serta diperbuat daripada kaca cermin. - Foto NEOM.

Isnin, 14 Februari 2022

Pengawal keselamatan rosakkan lukisan RM4.19 juta, lukis 'mata' kerana bosan hari pertama kerja

Pengawal keselamatan rosakkan lukisan RM4.19 juta, lukis 'mata' kerana bosan hari pertama kerja


Sebuah lukisan bernilai £740,000 (kira-kira RM4.2 juta) rosak selepas seorang pengawal keselamatan bertindak melukis 'mata' pada wajah hasil seni itu yang dipamerkan di sebuah galeri di Rusia, lapor Daily Mail pada 11 Februari 2022.


Pengawal keselamatan itu didapati melakar bahagian mata pada dua figura tanpa wajah dalam lukisan bertajuk Three Figures yang dihasilkan oleh artis Anna Leporskaya.


Dia merosakkan lukisan tersebut dengan menggunakan pen, pada hari pertama bekerja di pameran seni abstrak diadakan di Pusat Galeri Yeltsin di bandar Yekaterinburg, barat Rusia.


Pusat Galeri Yeltsin memaklumkan lukisan itu dicemari oleh seorang warga emas berusia 60 tahun yang bekerja di syarikat keselamatan swasta.


Lapor Art Newspaper, dua pengunjung yang menghadiri pameran seni itu pada 7 Disember 2021 lalu, telah mengesan butiran tambahan pada dua figura yang terdapat dalam lukisan tahun 1930an itu.



"Lukisan yang dipinjam dari Galeri Tretyakov di Moscow dirosakkan oleh pengawal keselamatan selepas dikatakan bosan hari pertama bekerja. Sejak insiden itu, dia sudah dipecat," jelasnya.


Pihak polis telah membuka kertas siasatan untuk perbuatan vandalisme tersebut dan jika sabit kesalahan, suspek berdepan denda sebanyak £395 (RM2,240) serta penjara selama setahun.


Lukisan tersebut dihantar ke galeri Moscow keesokan harinya dan diperiksa oleh artis pemulih karya seni. Seorang pakar di galeri Tretyakov menyatakan kesan conteng tersebut boleh dipadamkan tanpa sebarang kerosakan jangka panjang pada lukisan berkenaan.


Lukisan tersebut berjaya dipulihkan, namun kos pemulihan dianggar berjumlah £2,470 (RM14,000) yang ditanggung syarikat keselamatan terlibat.


Leporskaya merupakan seorang pelukis yang merupakan pelajar artis tersohor Rusia, Kazimir Malevich. Beliau dilahirkan pada tahun 1900 dan meninggal dunia pada tahun 1982.


Lukisan Three Figures yang dirosakkan oleh seorang pengawal keselamatan. - Foto NEWSFLASH.