Ahad, 7 Ogos 2022

Arab Saudi rancang bina bangunan pencakar langit sepanjang 120 kilometer bernilai RM4.4 trilion


Arab Saudi mendedahkan rancangan untuk membina sebuah bangunan pencakar langit yang dianggarkan bernilai AS$1 trilion (RM4.45 trilion), yang akan merentasi padang pasir sepanjang 120 kilometer serta diperbuat daripada kaca cermin, lapor akhbar Daily Mail pada 25 Julai 2022.


Projek digelar Mirror Line itu merupakan sebahagian daripada pembangunan bandar padang pasir dinamakan NEOM, dan dibina lebih tinggi berbanding Bangunan Empire State di Amerika Syarikat (AS).


Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman pada Januari 2021 lalu mengumumkan Mirror Line akan menjadi sebahagian daripada bandar futuristik NEOM. Beliau menyimpan hasrat besar mahu Riyadh menempatkan projek pembinaan ikonik seperti Piramid Mesir.


"Projek Mirror Line dilihat merupakan revolusi peradaban yang mengutamakan manusia," kata Mohammed Salman.



Mirror Line akan terdiri daripada dua bangunan setinggi 487.6 meter yang didirikan selari antara satu sama lain merentasi padang pasir sejauh 120 kilometer, pantai dan landskap gunung.


Putera Mohammed juga berharap agar projek tersebut dapat disiapkan pada 2030, meskipun pasukan jurutera menyatakan bahawa ia mungkin mengambil masa selama 50 tahun untuk dibina.


"Bangunan ini terlalu panjang sehingga ia akan didirikan di atas struktur keras untuk mengambil kira kelengkungan bumi dan juga mempunyai laluan kereta api berkelajuan tinggi di bawahnya.


"Jika siap sepenuhnya, bangunan pencakar langit itu akan merentasi dari Teluk Aqaba melalui banjaran gunung dan pantai sehingga ke 'aerotropolis' padang pasir," jelas laporan Wall Street Journal.


Ia juga dijangka mampu memuatkan sehingga lima juta orang selepas disiapkan selain turut menempatkan pangkalan kapal persiaran di bawah gerbang bangunan.


Dalam pada itu, Mohammed bin Salman mengharapkan agar pembinaan bandar NEOM secara keseluruhan dapat mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan baharu.


Pembangunan berskala mega itu kini dibina di wilayah Tabuk, barat laut Arab Saudi. - Foto NEOM.

Putera Mohammed Salman menyimpan hasrat besar mahu Riyadh menempatkan projek pembinaan ikonik seperti Piramid Mesir. - Foto NEOM.

Mirror Line akan merentasi padang pasir sepanjang 120 kilometer serta diperbuat daripada kaca cermin. - Foto NEOM.


EmoticonEmoticon