Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan

Selasa, 21 Disember 2021

Pekerja terlelap di ruang kargo ketika pesawat berlepas ditemukan selamat

Pekerja terlelap di ruang kargo ketika pesawat berlepas ditemukan selamat


Akibat keletihan, seorang pekerja kargo IndiGo yang sedang memunggah barangan ke ruangan penyimpan pesawat tertidur, dan hanya tersedar dari tidurnya selepas pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Mumbai, lapor India Today pada 14 Disember 2021.


Lelaki itu ditugaskan memasukkan bagasi untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Mumbai ke Abu Dhabi, pada 12 Disember lalu. Namun, petugas itu dipercayai tertidur di dalam ruangan kargo pesawat berkenaan.


Sejurus pesawat tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE), pihak berkuasa melakukan pemeriksaan dan lelaki itu ditemukan selamat. Dia dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan didapati berada dalam keadaan sihat, kemudian dihantar pulang ke negara asal.


Pengarah Besar Penerbangan Awam (DGCA), Arun Kumar dalam satu kenyataan pada Selasa lalu berkata, pihaknya mengarahkan siasatan ke atas insiden berkenaan.


"Pesawat IndiGo A320 dijadualkan memulakan penerbangan dari Mumbai Ke Abu Dhabi, pada Ahad lalu. Selepas memasukkan bagasi dalam pesawat, seorang pekerja yang menaiki pesawat berehat di ruang bagasi satu dan tertidur di belakang bagasi.


"Pintu kargo ditutup selepas seorang petugas menghitung jumlah bilangan pekerja. Pekerja terbabit terjaga ketika pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Mumbai.


"Dia dikesan di Abu Dhabi dan menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pihak berkuasa Abu Dhabi. Hasil pemeriksaan mendapati keadaan fizikalnya stabil dan normal.


"Selepas mendapat kebenaran diperlukan daripada pihak berkuasa tempatan di Abu Dhabi, dia dihantar semula sebagai penumpang ke Mumbai dengan satu penerbangan lain," katanya.


Sementara itu, syarikat penerbangan IndiGo berkata, mereka mengambil maklum kejadian itu dan perkara itu sedang dalam siasatan.


Seorang pekerja pemunggah barangan pesawat IndiGo tertidur ketika pesawat berlepas. - Foto IndiGo.

Isnin, 6 Disember 2021

Niat Mahu Usir Ular Guna Asap, Rumah Bernilai RM7.6 Juta Pula Terbakar

Niat Mahu Usir Ular Guna Asap, Rumah Bernilai RM7.6 Juta Pula Terbakar


Seorang penduduk di Maryland yang cuba mengusir keluar ular daripada rumahnya dengan menggunakan asap dari bara api, dilaporkan secara tidak sengaja membakar rumah agamnya, lapor akhbar Daily Mail pada 4 Disember 2021.


Tindakan pemilik rumah berkenaan menyebabkan kediamannya yang bernilai AS$1.8 juta (RM7.61 juta) terletak di 21050 Big Woods Road di Dickerson, Maryland itu hangus dalam kebakaran tersebut.


Pegawai penyiasat berkata, pemilik itu menggunakan arang untuk menyalakan api dalam usaha mengusir reptilia tersebut, namun tanpa disedari meletakkannya terlalu dekat dengan bahan mudah terbakar lalu mencetuskan kebakaran.


Kejadian kebakaran itu berlaku kira-kira pada pukul 10 malam (waktu tempatan) pada 23 November lalu. Menurut lapor WJLA, kebakaran bermula di ruang bawah tanah kediaman bertingkat itu sebelum merebak ke seluruh bahagian rumah.


Apabila kira-kira 75 anggota bomba sampai di lokasi kejadian, sebahagian struktur kediaman dan bumbung rumah telah runtuh dalam kebakaran itu. Pasukan bomba turut berhadapan kesukaran ketika memadamkan kebakaran kerana ketiadaan pili bomba di hartanah berkenaan.


Sementara itu, Ketua Jurucakap Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat County Montgomery di Maryland, Pete Piringer berkata, pemilik tidak menyedari rumahnya terbakar selepas menyalakan api pada arang di ruang bawah tanah.



Dilaporkan, tiada individu yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu. Kerugian akibat kebakaran tersebut dianggarkan mencecah lebih AS$1 juta (RM4.23 juta).


Pegawai tidak menyatakan jenis ular yang merayap masuk ke dalam rumah, tetapi pakar hidupan liar berkata ia adalah perkara biasa bagi reptilia mencari perlindungan ketika cuaca sejuk.


"Semasa musim sejuk, seperti mana-mana haiwan lain, mereka secara semula jadi ingin mencari ruang untuk kekal panas supaya mereka tidak akan membeku," kata pakar pemuliharaan Beth Schlimm.


Tambah Schlimm, cara paling berkesan untuk mencegah sebarang jenis serangan adalah dengan menutup retakan pada rumah, supaya mana-mana haiwan tidak mudah memasuki rumah berkenaan.


Manakala pegawai Maryland dan pakar kawalan perosak menambah bahawa mereka tidak mengesyorkan menggunakan kaedah asap ini untuk mengusir ular.


"Hanya satu kulit ular ditemui di antara abu, manakala ular lain ditemui masih hidup menyorok antara rekahan. Anggota bomba akhirnya menangkap ular berkenaan sebelum melepaskannya ke dalam hutan berhampiran," kata Piringer.


Kerugian akibat kebakaran tersebut dianggarkan mencecah lebih AS$1 juta (RM4.23 juta). - Foto Daily Mail.

Tiada individu mengalami kecederaan dalam kebakaran tersebut. - Foto Daily Mail.

Rabu, 24 November 2021

Arab Saudi Rancang Bina Bandar Raya Terapung Dan 'Bulan Tiruan' Di Laut Merah

Arab Saudi Rancang Bina Bandar Raya Terapung Dan 'Bulan Tiruan' Di Laut Merah


Arab Saudi dilapor merancang untuk membina bandar raya terapung di Laut Merah yang dikenali sebagai Oxagon, ia terletak di bahagian barat laut negara berkenaan dekat sempadan Jordan dan Mesir.


Menurut laporan laman berita Daily Mail pada 23 November 2021, pembinaan bandar ini dirancang untuk dibangunkan di pinggir wilayah terbaharu yang diberi nama iaitu Neom.


Neom, ialah sebuah projek utama Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman. Nama Neom datang dari gabungan perkataan Greek 'neos' yang bermaksud baharu, dan 'mustaqbal' perkataan Arab yang bermaksud 'masa depan'.


Bandar raya terapung ini mempunyai keluasannya 33 kali ganda dari bandar raya New York, Amerika Syarikat, dan ia turut mempunyai sebuah pelabuhan terapung yang berautomasi dan hab logistik bersepadu.


Namun, para kontraktor yang membina bandar raya itu masih tidak mendedahkan jumlah kos pembinaan dan bagaimana cara untuk menjadikan Oxagon terapung di laut.


Projek itu dibiayai oleh dana kekayaan negara itu, Tabung Pelaburan Awam yang mana Putera Mohammed menjadi pengerusinya. Pembinaan bandar raya Neom itu sebelum ini turut merangkumi pembinaan bulan tiruan gergasi yang akan bercahaya pada waktu malam.


Menurut portal Wall Street Journal, terdapat rancangan untuk penggunaan dron sebagai teksi, sebuah taman tema mirip zaman Jurasik yang mempunyai dinosaur robot dan restoran-restoran terbaik di dunia serta mendapat pengiktirafan Michelin di Neom.


Gambar ilustrasi bandar raya terapung yang dirancang dibina di Laut Merah, Arab Saudi. - Foto Neom.

Pembinaan bandar ini dirancang untuk dibangunkan di pinggir wilayah terbaharu iaitu Neom yang terletak di bahagian barat laut Arab Saudi. - Foto Neom.

Masih tidak didedahkan bagaimana cara untuk membina struktur terapung terbesar di dunia. - Foto Neom.

Isnin, 15 November 2021

Suami Masih Tersenyum Ketika Ditangkap Isterinya Curang Dengan Wanita Lain

Suami Masih Tersenyum Ketika Ditangkap Isterinya Curang Dengan Wanita Lain


JAKARTA - Sebuah video yang memaparkan aksi seorang wanita menangkap suaminya sedang menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain menjadi tular di media sosial, lapor laman berita Suara.com pada 13 November 2021.


Dalam video yang dimuat naik di akaun TikTok bernama @alestiani97 pada 12 November itu, kelihatan seorang isteri menangis histeria selepas menangkap suaminya dengan wanita lain.


Perkara yang lebih menyakitkan hati si isteri ialah sikap suaminya yang bersahaja dan masih boleh tersenyum di hadapannya.


"Tak ada perasaan dan masih boleh tersenyum seperti itu. Anak saya sakit di rumah, adakah awak tahu?" kata wanita itu dalam video yang dimuat naik.


Wanita itu kemudiannya memberitahu perempuan simpanan suaminya bahawa suatu hari nanti, dia akan diberi balasan setimpal kerana menyakiti hatinya dan anak-anaknya.


"Suatu hari nanti, awak mempunyai anak dan awak akan mendapat karma. Anak saya yang berumur tiga tahun belum pun masuk ke sekolah. Bapa jenis apa yang tiada belas kasihan kepada anak-anaknya?" katanya.


Melihat video tersebut, netizen kemudiannya menulis pelbagai komen. Rata-rata mereka meluahkan rasa marah dengan suami wanita itu yang masih mampu tersenyum di hadapan isterinya.


"Masih boleh tersenyum melihat penderitaan isteri," komen seorang netizen. "Air mata awak terlalu mahal untuk menangis buat lelaki seperti itu," kata seorang lagi.


Lelaki itu masih boleh tersenyum ketika ditangkap oleh isterinya dengan wanita lain. - Foto Merdeka.com.

Khamis, 28 Oktober 2021

Jutawan Keluarkan Semua Wang Simpanannya Selepas Berang Ditegur Tidak Memakai Pelitup Muka

Jutawan Keluarkan Semua Wang Simpanannya Selepas Berang Ditegur Tidak Memakai Pelitup Muka


Seorang jutawan di China membuat keputusan mengeluarkan semua simpanannya di sebuah bank selepas berang ditegur kerana tidak memakai pelitup muka, lapor laman berita Mirror pada 21 Oktober 2021 lalu.


Lelaki itu masuk ke dalam bank, namun tidak dibenarkan pengawal keselamatan, kerana dia tidak memakai pelitup muka. Pihak bank itu berkata, lelaki itu berasa marah selepas diminta untuk memakai pelitup muka.


Lelaki dikenali sebagai Sunwear itu kemudian dilaporkan mengeluarkan simpanannya di sebuah bank di Shanghai dianggarkan berjumlah 5 juta yuan (kira-kira RM3.2 juta).


Itu adalah jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan dan jutawan itu bercadang akan pergi ke bank berkenaan setiap hari bagi mengeluarkan simpanannya. Setiap kali pengeluaran dibuat, kakitangan bank perlu mengira setiap wang berkenaan secara manual.



Dalam video yang tular di laman sosial menunjukkan jutawan itu berang dengan layanan yang diterima daripada bank berkenaan. Lelaki itu menuduh kakitangan bank tidak mempunyai sikap yang baik ketika melayan pelanggan sedangkan dia menyimpan jumlah wang yang banyak.


"Disebabkan tindakan itu, saya akan keluarkan semua wang dan menyimpannya di bank lain, dan adalah perlu untuk saya meminta pihaknya mengira wang itu satu demi satu jika ianya kurang," jelas jutawan itu.


Video yang tular juga memaparkan wang yang banyak dimasukkan ke dalam beg dan dibawa masuk menaiki kereta mewahnya. Hantaran video itu menyebabkan pengikutnya meningkat menjadi 1.7 juta.


Dua pekerja bank mengambil masa dua jam untuk mengira semua wang yang dikeluarkan. Bank berkenaan memaklumkan tiada seorang pun kakitangan mereka yang melakukan perkara didakwa jutawan terbabit.


"Pelanggan itu mengharapkan perkhidmatan kewangan yang sangat tinggi," lapor bank berkenaan. Namun sehingga kini, masih tidak jelas adakah lelaki itu akan kembali untuk mengeluarkan baki wangnya di bank berkenaan.


Wang yang dikeluarkan Sunwear dimasukkan ke dalam beg. - Foto AsiaWire.

Sabtu, 9 Oktober 2021

Pesakit Hampir Maut, Simen Perubatan Mengalir Memasuki Jantung Sehingga Mengeras

Pesakit Hampir Maut, Simen Perubatan Mengalir Memasuki Jantung Sehingga Mengeras


Sepasukan doktor di Amerika Syarikat berjaya mengeluarkan simen perubatan yang mengeras sepanjang 10 sentimeter (sm) dari jantung seorang pesakit yang baru menjalani pembedahan lima hari sebelumnya, lapor New York Post pada 7 Oktober 2021.


Kes yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine itu menyebut bahawa lelaki berusia 56 tahun itu dikejarkan ke unit rawatan kecemasan sebuah hospital selepas mengalami sakit pada bahagian dada yang teruk dan sukar untuk bernafas.


Selepas diperiksa, doktor mendapati bahawa terdapat simen perubatan sepanjang 10 sm yang telah mengeras dan menyucuk jantung kanannya. Simen tersebut digunakan dalam pembedahan sebelumnya untuk merawat sakit tulang belakang.


Menurut laporan, simen perubatan polimetil metakrilat itu disuntik ke dalam tulang pesakit sebagai sebahagian daripada prosedur bagi membaiki tulang belakang yang rosak.



Bagaimanapun dalam kes yang disifatkan sebagai jarang-jarang berlaku itu, dialami oleh lelaki tersebut apabila simen perubatan itu mengalir keluar dari tulang, dan memasuki bahagian jantung sehingga mengeras.


"Embolisme simen adalah komplikasi prosedur kyphoplasty, di mana ia boleh bocor dan memasuki sistem vena, mengeras dan menempel pada organ," demikian menurut artikel New England Journal of Medicine.


Tiada komplikasi dilaporkan selepas simen itu berjaya dikeluarkan dan pesakit pulih sepenuhnya dalam masa sebulan.


Menurut laporan akhbar Daily Star, meskipun komplikasi kebocoran dalam prosedur kyphoplasty pernah dilaporkan sebelum ini, kurang dua peratus daripada pesakit mengalami keadaan itu.


Simen yang dikeluarkan dari jantung pesakit berkenaan adalah sepanjang kira-kira 4 inci. - Foto New England Journal of Medicine.

Ahad, 26 September 2021

Padah Asyik Berintiman Di Balkoni, Wanita Tergolek Jatuh Atas Bumbung Kereta

Padah Asyik Berintiman Di Balkoni, Wanita Tergolek Jatuh Atas Bumbung Kereta


Seorang wanita di Taiwan mengalami pengalaman ngeri dan memalukan apabila dia tergolek jatuh dari tingkat atas rumah flat, ke bumbung sebuah kereta ketika sedang melakukan hubungan seksual di ruang balkoni.


Menerusi laporan akhbar The Sun, semalam, kejadian yang berlaku pada 5 September di sebuah flat di Taipei itu dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV), memaparkan mangsa jatuh terduduk dalam keadaan separuh bogel.


Dia dipercayai sedang memadu asmara di atas pagar balkoni rumah dengan kekasihnya sebelum tergelincir dan terjatuh. Wanita itu dirakam bergolek-golek di atas bumbung kereta sambil menahan kesakitan sebelum mengumpul kekuatan untuk turun ke bawah.


Tidak lama selepas itu, kekasihnya yang tidak berbaju dilihat datang berlari mendapatkan mangsa sebelum memeluk dan menenangkannya.



"Saya berjalan pulang ketika kejadian. Saya tidak melihatnya jatuh tetapi kami mendengar bunyi kuat dan dia sudah berada di atas kereta. Seorang lelaki kemudian menghampirinya dan menolongnya," kata seorang penduduk.


Impak hentakan itu menyebabkan bumbung kereta kemek manakala mangsa yang dikejarkan ke hospital dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian belakang badannya namun berada dalam keadaan stabil.


Pasangan itu juga diarahkan membayar ganti rugi atas kerosakan kereta milik jiran yang dirosakkan akibat insiden tersebut.


Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan wanita itu jatuh terduduk di atas sebuah kereta yang diparkir di kawasan flat. - Foto Viral Press.

Kekasih wanita itu (kanan) datang mendapatkan mangsa selepas dia terjatuh dari balkoni. - Foto Viral Press.