Khamis, 28 Oktober 2021

Jutawan Keluarkan Semua Wang Simpanannya Selepas Berang Ditegur Tidak Memakai Pelitup Muka


Seorang jutawan di China membuat keputusan mengeluarkan semua simpanannya di sebuah bank selepas berang ditegur kerana tidak memakai pelitup muka, lapor laman berita Mirror pada 21 Oktober 2021 lalu.


Lelaki itu masuk ke dalam bank, namun tidak dibenarkan pengawal keselamatan, kerana dia tidak memakai pelitup muka. Pihak bank itu berkata, lelaki itu berasa marah selepas diminta untuk memakai pelitup muka.


Lelaki dikenali sebagai Sunwear itu kemudian dilaporkan mengeluarkan simpanannya di sebuah bank di Shanghai dianggarkan berjumlah 5 juta yuan (kira-kira RM3.2 juta).


Itu adalah jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan dan jutawan itu bercadang akan pergi ke bank berkenaan setiap hari bagi mengeluarkan simpanannya. Setiap kali pengeluaran dibuat, kakitangan bank perlu mengira setiap wang berkenaan secara manual.



Dalam video yang tular di laman sosial menunjukkan jutawan itu berang dengan layanan yang diterima daripada bank berkenaan. Lelaki itu menuduh kakitangan bank tidak mempunyai sikap yang baik ketika melayan pelanggan sedangkan dia menyimpan jumlah wang yang banyak.


"Disebabkan tindakan itu, saya akan keluarkan semua wang dan menyimpannya di bank lain, dan adalah perlu untuk saya meminta pihaknya mengira wang itu satu demi satu jika ianya kurang," jelas jutawan itu.


Video yang tular juga memaparkan wang yang banyak dimasukkan ke dalam beg dan dibawa masuk menaiki kereta mewahnya. Hantaran video itu menyebabkan pengikutnya meningkat menjadi 1.7 juta.


Dua pekerja bank mengambil masa dua jam untuk mengira semua wang yang dikeluarkan. Bank berkenaan memaklumkan tiada seorang pun kakitangan mereka yang melakukan perkara didakwa jutawan terbabit.


"Pelanggan itu mengharapkan perkhidmatan kewangan yang sangat tinggi," lapor bank berkenaan. Namun sehingga kini, masih tidak jelas adakah lelaki itu akan kembali untuk mengeluarkan baki wangnya di bank berkenaan.


Wang yang dikeluarkan Sunwear dimasukkan ke dalam beg. - Foto AsiaWire.


EmoticonEmoticon