Sabtu, 9 Oktober 2021

Pesakit Hampir Maut, Simen Perubatan Mengalir Memasuki Jantung Sehingga Mengeras


Sepasukan doktor di Amerika Syarikat berjaya mengeluarkan simen perubatan yang mengeras sepanjang 10 sentimeter (sm) dari jantung seorang pesakit yang baru menjalani pembedahan lima hari sebelumnya, lapor New York Post pada 7 Oktober 2021.


Kes yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine itu menyebut bahawa lelaki berusia 56 tahun itu dikejarkan ke unit rawatan kecemasan sebuah hospital selepas mengalami sakit pada bahagian dada yang teruk dan sukar untuk bernafas.


Selepas diperiksa, doktor mendapati bahawa terdapat simen perubatan sepanjang 10 sm yang telah mengeras dan menyucuk jantung kanannya. Simen tersebut digunakan dalam pembedahan sebelumnya untuk merawat sakit tulang belakang.


Menurut laporan, simen perubatan polimetil metakrilat itu disuntik ke dalam tulang pesakit sebagai sebahagian daripada prosedur bagi membaiki tulang belakang yang rosak.



Bagaimanapun dalam kes yang disifatkan sebagai jarang-jarang berlaku itu, dialami oleh lelaki tersebut apabila simen perubatan itu mengalir keluar dari tulang, dan memasuki bahagian jantung sehingga mengeras.


"Embolisme simen adalah komplikasi prosedur kyphoplasty, di mana ia boleh bocor dan memasuki sistem vena, mengeras dan menempel pada organ," demikian menurut artikel New England Journal of Medicine.


Tiada komplikasi dilaporkan selepas simen itu berjaya dikeluarkan dan pesakit pulih sepenuhnya dalam masa sebulan.


Menurut laporan akhbar Daily Star, meskipun komplikasi kebocoran dalam prosedur kyphoplasty pernah dilaporkan sebelum ini, kurang dua peratus daripada pesakit mengalami keadaan itu.


Simen yang dikeluarkan dari jantung pesakit berkenaan adalah sepanjang kira-kira 4 inci. - Foto New England Journal of Medicine.


EmoticonEmoticon