Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Rabu, 26 Oktober 2022

Perompak lempar beg berisi wang kertas atas lebuh raya ketika dikejar polis

Perompak lempar beg berisi wang kertas atas lebuh raya ketika dikejar polis


Satu kejadian rompakan yang berlaku di sebuah premis perjudian berhampiran ibu kota Chile, Santiago, berakhir dengan suspek bertindak melempar sebuah beg ke atas lebuh raya, lapor akhbar New York Post pada 22 Oktober 2022.


Dalam sebuah video yang dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV), suspek dilihat melempar sebuah beg dari kereta Chevrolet Sail berwarna biru di sebuah lebuh raya ketika diekori polis susulan rompakan di sebuah premis perjudian di bandar Pudahuel.


Salah sebuah kenderaan polis kemudian terlanggar beg itu dalam aksi kejar-mengejar dan mengoyakkannya sebelum wang kertas peso kelihatan bertaburan di jalan, sebahagian daripadanya terbang di udara.


Kereta polis yang mengejar dari belakang kemudian berhenti dengan pegawainya turun untuk menghentikan lalu lintas di laluan tiga lorong itu.


Mereka bergegas untuk mengumpul wang sebanyak mungkin tetapi sebahagiannya telah diterbangkan dan diambil orang ramai.


Polis kemudian menahan enam suspek susulan kejadian rompakan itu. Mereka dilaporkan mencuri sehingga AS$10,300 (RM48,801) dalam insiden terbabit, demikian menurut media tempatan. - Sumber New York Post.


Perompak melempar beg berisi wang melalui tingkap kereta ketika dikejar polis di bandar Pudahuel, Chile, pada Khamis lalu. - Foto New York Post.

Jumaat, 21 Oktober 2022

Rumah mewah ketua sindiket judi dalam talian bernilai RM9.15 juta disita

Rumah mewah ketua sindiket judi dalam talian bernilai RM9.15 juta disita


Rumah mewah milik ketua sindiket judi dalam talian terbesar di Utara Sumatera, yang bernilai lebih 30 bilion rupiah (RM9.15 juta) di Jalan Palem, Kompleks Cemara Asri, Kecamatan Percut Seituan, Sumatera Utara disita pihak berkuasa pada Selasa, 18 Oktober 2022 lalu.


Polis Sumatera Utara, AKBP Herwansyah berkata, rumah mewah tersebut disita selepas disyaki dibeli hasil aktiviti pengubahan wang haram melalui perniagaan perjudian dalam talian yang dijalankan oleh Apin BK.


Menurutnya, setakat ini yang dirampas adalah berupa bangunan dan tanah yang rata-rata berada di Kompleks Cemara Asri, Kecamatan Percut Seituan.


"Aset yang disita ini terletak di Jalan Palem dan sudah tidak berpenghuni lagi selepas markas perjudian di sebuah kafe diserbu baru-baru ini.


"Rumah mewah ini merupakan aset keempat milik Apin yang disita polis dengan jumlah kesemuanya bernilai lebih 145.79 bilion rupiah (RM44.8 juta)," jelasnya.


Polis Indonesia dilaporkan bekerjasama dengan Polis Malaysia bagi menangkap ketua sindiket perjudian itu.


Apin sebelum itu cuba melarikan diri ke Singapura selepas markas perjudiannya diserbu pihak berkuasa Ogos lalu.


Polis menamakan Apin bersama 15 lagi pekerjanya sebagai suspek kes perjudian dan pengubahan wang haram.


Rumah mewah milik ketua sindiket perjudian dalam talian, Apin BK di Kompleks Cemara Asri di Jalan Palem, Sumatera Utara yang disita pihak berkuasa.

Ahad, 25 September 2022

Lelaki tikam isteri dalam serangan ngeri kerana curang dalam mimpi

Lelaki tikam isteri dalam serangan ngeri kerana curang dalam mimpi

Polis Brazil akan mendakwa suspek dengan tuduhan cubaan membunuh. - AFP/Getty Images.

Seorang lelaki dituduh menikam isterinya selepas terjaga dari mimpi yang memaparkan wanita itu menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain, lapor akhbar Mirror UK pada 21 September 2022.


Lelaki berusia 37 tahun itu menikam isteri yang dikahwininya sejak 13 tahun lalu pada leher, tulang selangka dan tangan dalam kejadian di rumah mereka di Planaltina, Daerah Persekutuan Brazil.


Insiden dikatakan berlaku pada 9 Ogos lalu, manakala suspek melarikan diri dan ditahan lima minggu kemudian.


Menurut polis, pasangan suami isteri yang memiliki empat anak itu bertengkar di tengah malam selepas suspek bermimpi pasangannya menjalinkan hubungan sulit.


Suspek yang identitinya tidak didedahkan oleh polis, mengambil sebilah pisau dan dikatakan mengugut mangsa ketika bertanya tentang mimpinya.


Mangsa menafikan sebarang salah laku dan meyakinkannya bahawa itu hanyalah khayalan lelaki berkenaan.


Menyangka perkara tersebut selesai, mangsa kembali menyambung tidur, namun suspek dipercayai masih teringat-ingat akan mimpinya hingga menimbulkan rasa marah.


Lelaki itu kemudiannya mengambil pisau dan menikam badan mangsa berulang kali. Bagaimanapun, isterinya bernasib baik kerana berjaya melarikan diri daripada serangan itu dan dibawa ke hospital oleh jiran-jiran.


"Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan isterinya kerana menganggap mimpinya sebagai petunjuk sebelum mengambil pisau dan menikam mangsa.


"Wanita itu sempat melarikan diri dan sedang dirawat di sebuah hospital perbandaran," kata ketua polis tempatan, Thiago Cesar.


César berkata, lelaki itu mengaku melakukan jenayah itu dan dia mempunyai rekod jenayah lampau bagi pembunuhan yang berlaku di Formosa, Negeri Goiás. Suspek kini berdepan pertuduhan cubaan membunuh. - Sumber Mirror UK.


Polis masih belum mendedahkan identiti suspek tetapi mengatakan dia telah mengaku melakukan jenayah itu. - Foto Sportsfile via Getty Images.

Jumaat, 23 September 2022

Wanita bersama tiga rakan, didakwa bunuh suami dalam rompakan palsu dihadapkan ke Mahkamah Majistret

Wanita bersama tiga rakan, didakwa bunuh suami dalam rompakan palsu dihadapkan ke Mahkamah Majistret


KLANG - Seorang wanita berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh suaminya dalam kejadian rompakan palsu di sekitar daerah ini, minggu lalu.


Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Leong Eng Eng, 37, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd Jusan. Turut didakwa, tiga lelaki termasuk dua beradik iaitu Lim Yon Hay, 36, Lim Yon Loon, 31, dan Mok Kum Loon, 37.


Mengikut pertuduhan, Eng Eng yang juga jurubahasa bebas bersama pasangan beradik itu didakwa membunuh dengan mengakibatkan kematian Chow Tiam Hee, 41.


Manakala, Kum Loon didakwa bersubahat membantu Eng Eng bersama dua beradik berkenaan untuk membunuh si mati. Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Anika Baru, Sungai Udang di sini, antara pukul 1.20 hingga 1.40 pagi, 15 September lalu.


Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah yang mengendalikan kes tidak menawarkan kos ikat jamin terhadap semua tertuduh.


Peguam yang mewakili Eng Eng, Jarrett Ong bagaimanapun memohon jaminan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan dua anak berusia lima dan tujuh tahun selain memberi kerjasama baik dengan polis.


Majistret kemudian menolak permohonan itu dan menetapkan sebutan kes pada 21 November depan. Dua lagi tertuduh iaitu Yon Loon dan Kum Loon masing-masing diwakili peguam Ethan Tan dan V Ayasamy.


Media pada Isnin lalu melaporkan seorang wanita ditahan selepas dipercayai menjadi dalang rancangan pembunuhan suaminya dalam kejadian di Taman Anika Baru, Sungai Udang, Klang, pada 15 September lalu.


Selain wanita berusia 37 tahun itu, turut ditahan empat lelaki tempatan berusia 20 hingga 36 tahun yang juga kenalannya.


Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata laporan awal oleh isteri mangsa mendakwa dua lelaki berpakaian hitam serta memakai topeng memasuki rumah mereka, dan menikam suaminya sebelum menggeledah rumah serta mengambil pelbagai beg tangan berjenama, barangan kemas dan wang tunai RM40,000.


Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut polis membongkar kejadian sebenar yang mana isteri dipercayai telah membuat perancangan dan persiapan pembunuhan suami sendiri. - Sumber Kosmo! Online.


Tertuduh, Leong Eng Eng, 37, dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pagi ini ketika didakwa atas tuduhan membunuh suaminya dengan kerjasama tiga rakan pada 15 September 2022 lalu. - Foto NSTP/Norzamira Che Noh.

Khamis, 15 September 2022

Netizen teruja polis wanita miliki punggung 'bulat' mirip Kim Kardashian

Netizen teruja polis wanita miliki punggung 'bulat' mirip Kim Kardashian


Seorang jutawan doktor gigi dan bapanya telah dipenjarakan di Perancis kerana melakukan beribu-ribu prosedur haram, tetapi mereka bukan yang menjadi tumpuan netizen. Sebaliknya, mereka tertumpu kepada seorang polis wanita yang membawa suspek ke mahkamah.


Menerusi lapor akhbar Daily Mail pada 13 September 2022, polis wanita itu menjadi sensasi internet apabila bentuk punggungnya yang dikatakan sama seperti milik selebriti Amerika Syarikat, Kim Kardashian.


Kelibat polis wanita itu dirakam semasa proses penahanan seorang doktor gigi dan bapanya atas dakwaan menjalankan prosedur yang tidak perlu atau haram.


Pengguna media sosial menjadi 'gila' melihat kembar Kim yang bertanggungjawab mengiringi suspek, Lionel Guedj dan bapanya, Carnoy semasa tiba di mahkamah.


"Tolong beritahu di wilayah manakah anggota polis ini bertugas? Saya sanggup ditangkap oleh dia," komen seorang pengguna media sosial.


Sementara itu, ada juga netizen yang mempersoalkan kesahihan gambar yang disebarkan dan tidak menolak dakwaan mungkin ia sengaja disunting menggunakan aplikasi Photoshop.


Namun, ada pihak yang dengan pantas menemui video rakaman semasa polis wanita itu bertugas dan mengesahkan gambar yang kelihatan seperti Kim itu adalah asli.



Lionel Guedj Dipenjara 8 Tahun


Sebaik berada di dalam bilik mahkamah, Guedj yang berusia 41 tahun dipenjara lapan tahun kerana melakukan prosedur haram tersebut ke atas beribu-ribu pesakit miskin di Marseilles.


Dianggarkan sekitar 70 pesakit setiap hari yang datang mendapatkan rawatan dari 2006 hingga 2012. Guedj akan tergesa-gesa melakukan rawatan saluran akar ke atas pesakit yang datang untuk tampalan.


Dia kemudian akan menuntut wang itu melalui keselamatan sosial, mengaut berjuta-juta pound setahun. Pada kemuncak penyelewengannya, dia adalah doktor gigi berpendapatan tertinggi di Eropah.


Pada tahun 2010, dia berjaya menuntut wang sehingga £2.9 juta (kira-kira RM15 juta). Menurut mahkamah, suspek memiliki sebuah Ferrari, sebuah kapal layar berharga £700,000 (kira-kira RM3.4 juta), dan lukisan oleh Warhol.


Dia juga mengumpul empayar hartanah dengan tiga flat di Paris, dua di Alps dan satu blok keseluruhan di Perpignan di selatan Perancis.


Sementara itu, ramai pesakitnya mengalami masalah serius termasuk sakit kronik dan gigi gugur akibat kerjanya yang gagal.


"Saya telah kehilangan separuh gigi saya pada masa saya berusia 45 tahun, dan pada usia 55 tahun saya tidak lagi mempunyai apa-apa, hanya implan," kata Ouassila. - Sumber Daily Mail.


Seorang polis wanita Perancis (kiri) telah menjadi tular selepas bahagian punggungnya yang menyerupai Kim Kardashian (kanan). - Foto AFP.

Lionel Guedj dan ayahnya, Carnot masing-masing dipenjara lapan dan lima tahun kerana melakukan beribu-ribu prosedur yang tidak perlu ke atas pesakit. - Foto AFP.

Tangkap layar video yang memaparkan polis tersebut mengiringi suspek satu kes jenayah di Perancis. - Foto AFP.

Ahad, 7 Ogos 2022

Wanita mahu balas dendam kepada bekas kekasih, tersalah bakar rumah orang lain

Wanita mahu balas dendam kepada bekas kekasih, tersalah bakar rumah orang lain


Seorang wanita ingin membalas dendam terhadap bekas kekasihnya dengan membakar rumah lelaki itu. Namun, tindakan itu bertukar tragedi apabila wanita tersebut tersalah membakar rumah orang lain.


Menurut laporan WBTV, wanita itu dikenali sebagai Christie Louise Jones, ingin membalas dendam terhadap bekas teman lelakinya. Kejadian itu berlaku di North Carolina pada awal pagi Jumaat, 22 Julai 2022 lalu.


Menurut Pejabat Syerif Daerah Rowan memaklumkan, pemilik rumah berkenaan dikejutkan oleh jirannya selepas mereka ternampak wanita tersebut cuba membakar rumahnya di Gold Hill.


Sehubungan itu, pemilik rumah tersebut segera menghubungi pihak berkuasa dan polis dikerahkan ke lokasi kejadian. Ketika tiba, polis mendapati bahagian depan rumah berkenaan sudah terbakar dan menemui minyak tanah yang digunakan untuk membakar.


"Pemilik itu menceritakan dia cuba memadamkan kebakaran yang tercetus namun tidak berjaya kerana suspek sudah menyekat aliran air.


"Selepas itu, pemilik rumah tersebut mengambil senapang dan berdepan dengan suspek. Namun, suspek melarikan diri selepas polis tiba di rumah tersebut," kata Rowan.


"Kesilapan itu mungkin dilakukan kerana bekas teman lelaki Jones memiliki harta di kawasan kejiranan itu. Akibatnya, terdapat syak wasangka yang dia benar-benar melihat rumah yang salah," kata seorang saksi. - Sumber UNILAD.


Christie Louise Jones memulakan rancangannya pada awal pagi pada hari Jumaat, 22 Julai 2022 lalu. - Foto Rowan Sheriff's Office.

Sabtu, 16 Julai 2022

Asap 1.5 tan ganja dibakar buat penduduk Colombia 'khayal' ada yang jatuh sakit

Asap 1.5 tan ganja dibakar buat penduduk Colombia 'khayal' ada yang jatuh sakit


Polis di ibu kota Colombia terpaksa meyakinkan orang ramai selepas 1.5 tan ganja yang dibakar membentuk kepulan asap tebal di bandar itu, lapor akhbar Daily Mail pada 14 Julai 2022.


Penduduk di pinggir bandar Medellin Bello menyifatkan 'bau ganja luar biasa' selepas anggota polis membakar stok dadah yang dirampas pada Selasa lalu.


Apabila cuaca semakin berangin, asap ganja mula menyelubungi seluruh bandar sehingga membuatkan penduduk tempatan tidak selesa dengan bau tersebut, malah ada yang mendakwa mereka berasa khayal.


Media tempatan melaporkan penduduk di beberapa blok pangsapuri terpaksa dipindahkan berikutan keadaan itu.


Pejabat Datuk Bandar menjelaskan kepulan asap yang semakin banyak itu 'bukan disebabkan api', sebaliknya ia adalah ganja yang dibakar selepas rampasan dadah lebih satu tan di Bogota pada dua minggu lalu.



Jelasnya, dadah tersebut dipercayai akan diedarkan dan dijual di kawasan kejiranan El Mirador di bandar itu.


Pegawai dari Polis Negara, Tentera Darat dan Bomba serta kakitangan dari Pejabat Peguam Negara terlibat dalam pembakaran terkawal itu.


"Kami merasakan asap yang sangat mengerikan keluar dari kawasan terbabit (lokasi pembakaran). Bau ganja yang terlalu kuat mencetuskan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk sehinggakan ada dalam kalangan mereka seperti mahu jatuh sakit.


"Kami berharap, pihak berkuasa dapat menggunakan pendekatan yang lebih baik dalam melupuskan dadah secara selamat," kata seorang penduduk memberitahu Caracol TV. - Sumber Daily Mail.


Kepulan asap tebal menyelubungi bandar Medellin Bello, Colombia, selepas stok rampasan ganja dibakar besar-besaran. - Foto Daily Mail.