Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan

Sabtu, 19 November 2022

Ditemui terbiar dalam bangsal selepas 40 tahun, Ferrari Daytona hanya satu dalam dunia di lelong RM8.1 juta

Ditemui terbiar dalam bangsal selepas 40 tahun, Ferrari Daytona hanya satu dalam dunia di lelong RM8.1 juta


Sebuah kereta Ferrari klasik yang sebelum ini dibiar tersadai di dalam sebuah bangsal selama 40 tahun bakal dilelong pada harga yang dianggar boleh mencecah £1.5 juta (RM8.1 juta), lapor akhbar The Sun pada 16 November 2022.


Model Ferrari 365 GTB/4 Daytona Berlinetta keluaran tahun 1969 itu dikeluarkan dari sebuah bangsal di Jepun pada 2017.


Menurut laporan, kira-kira 1,200 model Daytona telah dihasilkan sekitar 1969 hingga 1973, namun hanya lima buah versi ringan dibina daripada aluminium.


Daripada lima kenderaan itu, hanya satu yang dihasilkan untuk kegunaan atas jalan berbanding perlumbaan trek.


Satu-satunya model itu sebelum ini dianggap hilang selama-lamanya, namun ia ditemui di bangsal tersebut, sekali gus membawa kepada jualan model itu kepada orang awam di Itali.


Muzium Musei Ferrari di bandar Modena berkongsikan gambar model Daytona tersebut di laman Facebook miliknya yang memaparkan kenderaan tersebut diselaputi habuk.



Ia bakal menjalani proses baik pulih oleh syarikat Ferrari sendiri, namun firma dari Itali itu berpendapat orang ramai perlu diberi peluang menyaksikan keadaan kenderaan itu yang asal.


"Sebuah model unik. Ia adalah satu-satunya 'aloi' Daytona yang wujud," kata Musei Ferrari pada akaun Facebook.


Tidak seperti kebanyakan Daytona yang lain, kereta tersebut dilengkapi lampu depan Plexiglas dan tingkap elektrik.


Ia diimport ke Jepun pada 1971 dan dimiliki oleh tiga pemilik dengan pemilik terakhir menyimpan kenderaan itu selama hampir empat dekad. - Sumber The Sun.


Daytona ini dibiarkan dalam keadaan diselaputi habuk sebelum menjalani proses baik pulih. - Foto Facebook Musei Ferrari.

Ia dikeluarkan dari sebuah bangsal di Jepun pada 2017. - Foto RM SOTHEBY'S.

Ahad, 13 November 2022

Dari Asia 'identiti dirahsiakan' membeli berlian merah jambu unik dengan harga RM135 juta

Dari Asia 'identiti dirahsiakan' membeli berlian merah jambu unik dengan harga RM135 juta


Sebentuk cincin istimewa bertatah berlian merah jambu terang berbentuk buah pear yang sangat jarang ditemui dijual pada harga AS$28.8 juta (RM135 juta) di Switzerland pada Selasa lalu (8 November 2022).


Jualan tersebut dibuat dalam sesi lelongan barang-barang kemas dan perhiasan yang jarang ditemui, Christie’s Auction di Geneva. Difahamkan berlian tersebut dibeli oleh pelanggan persendirian dari Asia.


Pembidaan itu, yang berlangsung selama empat minit yang tegang, bermula pada RM83.6 juta dan merupakan pertempuran tiga hala antara pembida telefon, dengan pemenang akhirnya menuntut permata itu dengan menaikkan bidaan sebanyak setengah juta.


"Pembeli gembira. Ia adalah impian yang menjadi kenyataan," kata pekerja Christie yang menerima bidaan tertinggi itu melalui telefon, sambil mengekalkan kerahsiaan pembeli.


Berlian unik bersaiz gergasi yang diberi nama 'Pink Fortune' itu mempunyai berat 18.18 karat yang disifatkan nombor bertuah bagi ramai pengumpul barangan dari Asia.


"Warnanya luar biasa. Ia adalah merah jambu yang terang dan batu yang bersih. Ia benar-benar permata asli dan sesuatu yang sudah lama tidak kami lihat di Christie’s.


"Jumlah beratnya juga sangat istimewa dan mempunyai peminat yang besar hampir di seluruh dunia," kata Ketua Jabatan Barang Kemas Christie di Geneva, Max Fawcett.


Berlian merah jambu terang terbesar pernah dijual di Christie’s Auction yang diberi nama 'Winston Pink Legacy'.


Berlian seberat 18.96 karat itu dijual pada harga AS$50.4 juta (RM237 juta) pada tahun 2018 yang merupakan harga tertinggi yang pernah dicatatkan bagi penjualan berlian merah jambu dalam sesi lelongan. - Sumber SCMP.


Christie menyatakan bahawa berlian itu mempunyai berat 18.18 karat yang disifatkan nombor bertuah bagi ramai pengumpul barangan dari Asia. - Foto Reuters.

Ahad, 6 November 2022

Lelaki rahsiakan menang loteri berjumlah RM143 juta daripada isteri dan anaknya

Lelaki rahsiakan menang loteri berjumlah RM143 juta daripada isteri dan anaknya


Seorang lelaki di China merahsiakan kejayaannya memenangi loteri berjumlah 219 juta yuan (RM143 juta) daripada isteri dan anaknya kerana dia bimbang mereka akan menjadi 'malas'.

Bagi melindungi identitinya, lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Li mengenakan kostum kartun berwarna kuning ketika menuntut hadiah kemenangannya di pejabat loteri pada minggu lalu.

Menurut Li, dia berasa seronok dengan kemenangan tersebut dan akan terus merahsiakan perkara itu daripada keluarganya.

"Saya tidak beritahu isteri dan anak kemenangan ini kerana tidak mahu mereka menjadi terlalu malas dan selesa kerana mengetahui kami mempunyai duit yang banyak.

"Sebaliknya, saya lebih selesa jika kami hidup seperti biasa dengan anak saya boleh mencari kerja untuk masa depannya," katanya.

Sebelum menuntut kemenangannya pada 24 Oktober lalu, Li tinggal selama seminggu di sebuah hotel kerana takut kehilangan tiket loteri. Dia juga langsung tidak keluar dari bilik dan hanya memesan makanan secara dalam talian.

"Saya tidak tidur pada malam 21 Oktober apabila mengetahui bahawa saya telah memenangi jackpot berjumlah 219 juta yuan," katanya.

Menurut laporan SCMP, selepas mengambil hadiah di Pusat Pengedaran Loteri Kebajikan Guangxi di Bandar Nanning, dan membayar cukai 43 juta yuan, Li turut menderma 5 juta yuan kepada badan kebajikan.

Li yang kerap membeli tiket loteri selama lebih sedekad kini menganggap dirinya peminat permainan itu. Li telah membeli dan bertaruh pada tujuh nombor yang sama dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Saya menganggap membeli loteri sebagai hobi, dan keluarga saya tidak kisah. Selain itu, saya tidak membelanjakan banyak wang untuk itu, dan loteri memberikan sinar harapan untuk saya," kata Li.

Li berkata dia belum memikirkan bagaimana dia akan membelanjakan wang itu dan akan meluangkan masa untuk merancangnya.

Seorang lelaki mengenakan kostum kartun bagi merahsiakan identitinya ketika menuntut kemenangan loteri di Nanning, China, pada 24 Oktober 2022 lalu. - Foto Guangxi Welfare Lottery Center.

Rabu, 12 Oktober 2022

Syiling emas ditemui di bawah lantai dapur berjaya dijual pada harga RM3.9 juta dalam lelongan

Syiling emas ditemui di bawah lantai dapur berjaya dijual pada harga RM3.9 juta dalam lelongan


Sepasang suami isteri di Britain yang menemui 264 keping syiling emas di bawah lantai dapur rumah mereka berjaya menjualnya pada harga £754,320 (RM3.9 juta) dalam satu acara lelongan, lapor akhbar BBC News pada 7 Oktober 2022.


Artifak itu ditemui ketika pasangan itu sedang mengubah suai lantai dapur rumah mereka sebelum menjumpai sebuah tin logam berisi kepingan syiling emas yang tertanam di bawah tanah sedalam 15 sentimeter.


Ia ditemui di bawah sebuah rumah di kampung Ellerby, North Yorkshire yang tersembunyi di bawah konkrit dan papan lantai Abad ke-18. Sebilangan artifak itu berusia 400 tahun. 


Pemilik yang enggan identiti mereka didedahkan itu, pada awalnya menyangka barang tersebut sebagai kabel elektrik.


Beberapa syiling emas itu didapati bertarikh dari 1610 hingga 1727 ketika pemerintahan Raja James I, Charles I dan George I.


Setelah mendapatkan pandangan pakar artifak, syiling itu didapati milik keluarga saudagar kaya dari bandar Hull, Fernley-Maisters.


Fernley-Maisters adalah pengimport dan pengeksport kayu balak, arang batu dan bijih besi dengan generasi terkemudian berkhidmat sebagai anggota Parlimen pada awal 1700-an. 


"Jualan itu unik dalam banyak cara. Sejarah syiling itu, kaedah penemuannya dan peluang yang jarang untuk membelinya dalam acara lelongan.


"Saya tidak pernah melihat lelongan seperti itu sebelum ini. Hasilnya membuktikan keunikannya kerana anggaran saya diatasi sebanyak tiga kali ganda," kata pelelong daripada firma Spink & Son, Gregory Edmund.


Anggaran awal nilai kesemua syiling emas itu sekitar £250,000 (RM1.3 juta). Bagaimanapun ia berjaya dijual tiga kali ganda selepas cerita itu mendapat perhatian global.


Syiling-syiling itu dijual kepada berpuluh-puluh pembeli dalam lot individu oleh pelelong Spink & Son di Bloomsbury, London. - Sumber BBC News.


BACA: Semakin kaya selepas temui syiling emas bawah dapur dianggarkan bernilai RM1.3 juta.


Syiling emas itu disimpan di dalam tin logam di dalam tanah. - Foto Spink & Son.

Rabu, 21 September 2022

'Simpanan' emas dan tembaga bernilai berbilion ringgit ditemui di Arab Saudi

'Simpanan' emas dan tembaga bernilai berbilion ringgit ditemui di Arab Saudi


Kerajaan Arab Saudi, pada Khamis lepas mengumumkan penemuan tapak galian emas dan bijih tembaga baharu di wilayah Madinah, lapor Al Arabiya News pada 16 September 2022.


Penemuan bijih emas itu berada dalam sempadan Aba al-Raha, di wilayah Madinah, kata Pemantauan Geologi Arab Saudi dalam catatan di media sosial. Ia turut menyatakan bijih tembaga ditemui di empat tapak di wilayah Wadi Al-Faraa juga di Madinah.


Al Arabiya News melaporkan, penemuan baharu itu dijangka menarik pelabur tempatan dan antarabangsa dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


Laman web itu melaporkan, ia mempunyai saiz pelaburan yang dijangkakan sebanyak AS$533 juta (kira-kira RM2.4 bilion) dan dijangka menjana sekitar 4,000 pekerjaan.


Perlombongan adalah satu daripada sektor yang dikenal pasti untuk pengembangan ekonomi sebagai sebahagian daripada matlamat Wawasan 2030, yang diilhamkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman.


Pada Jun, apabila Putera Mahkota Saudi mengumumkan keutamaan negara untuk sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan mampan sektor perlombongan yang berkembang pesat turut menjadi titik tumpuan.


Pada Mei, Kementerian Perindustrian dan Sumber Mineral Arab Saudi menggariskan rancangan untuk menarik AS$32 bilion (kira-kira RM145 bilion) pelaburan ke dalam sektor perlombongan.


Pada bulan Januari lalu, Profesor Abdulaziz bin Labon, Pengerusi Persatuan Koperasi Ahli Geologi Arab Saudi memberitahu SPA bahawa negara itu mempunyai sekurang-kurangnya 5,300 lokasi mineral sama ada yang berbentuk logam atau bukan logam, bahan binaan, batu hiasan dan batu permata.


Sasaran kementerian akan membiayai sembilan projek perlombongan untuk mineral dan logam. - Sumber Al Arabiya News.


Foto fail menunjukkan lombong emas Al Amar, 200 kilometer dari barat daya Riyadh. - Foto fail Reuters.

Selasa, 6 September 2022

Berlian putih 160 karat keenam terbesar ditemui di Angola

Berlian putih 160 karat keenam terbesar ditemui di Angola


Berlian putih 160 karat jenis Ila (iaitu berlian paling tulen secara kimia) ditemui di Angola, menurut Lucapa Diamond Company dalam satu kenyataan media pada Jumaat lepas.


Syarikat itu memaklumkan berlian 160 karat itu adalah berlian keenam terbesar ditemui setakat ini dan berlian ke-28 melebihi 100 karat yang pernah dijumpai di lombong aluvium Lulo di Angola, lapor Xinhua.


Lulo adalah konsesi seluas 3,000 kilometer persegi di kawasan perlombongan berlian Lunda Norte di Angola, kira-kira 630 kilometer dari timur Luanda.


Lucapa dan rakan kongsinya sejak beberapa dekad yang lalu berjaya membuktikan Lulo memiliki sumber berlian aluvium yang paling prolifik di dunia.


Syarikat itu turut menemui berlian merah jambu 170 karat yang jarang ditemui pada Julai lalu dan dipercayai yang terbesar pernah ditemui sejak 300 tahun lalu.


Lucapa mempunyai 40 peratus kepentingan dalam lombong Lulo. Selebihnya dipegang oleh syarikat berlian nasional Angola (Endiama) dan Rosas & Petalas, sebuah entiti swasta.


Ketua pegawai eksekutif Stephen Wetherall memberitahu perwakilan pada persidangan pada hari Jumaat bahawa syarikatnya sedang berusaha untuk mencari lombong batu berlian baharu di Angola.


Beliau juga berkata asas pasaran berlian adalah kukuh dan akan kekal begitu kerana bekalan terus berkurangan.


"177 juta karat dihasilkan pada 2005, berbanding hanya 116 juta tahun lepas. Ia disebabkan penutupan lombong berlian Rio Tinto’s iconic Argyle pada 2020, dan penutupan lombong Canada's Diavik and Ekati.


"Memandangkan tiada lombong baharu sedang dibangunkan untuk menebus kehilangan pengeluaran, 15 peratus daripada bekalan berlian global akan hilang dari pasaran menjelang 2030," kata Wetherall.


BACA: Pelombong jumpa berlian merah jambu terbesar pernah ditemui sejak 300 tahun lalu bernilai RM680 juta.


Berlian jenis IIa putih 160 karat. - Foto Lucapa Diamond.

Ahad, 4 September 2022

Semakin kaya selepas temui syiling emas bawah dapur bernilai RM1.3 juta

Semakin kaya selepas temui syiling emas bawah dapur bernilai RM1.3 juta


Sepasang suami isteri di Britain menjadi lebih kaya setelah menemui syiling emas bernilai lebih £250,000 (RM1.3 juta) di bawah lantai dapur rumah mereka, lapor akhbar The Sun pada 1 September 2022.


Pasangan yang tidak dinamakan itu menemui 264 keping syiling emas yang tertanam di bawah papan lantai rumah mereka di Kampung Ellerby, North Yorkshire.


Ketika kejadian, pasangan itu sedang mengubah suai lantai dapur rumah sebelum mereka menemui syiling berusia 400 tahun itu yang diisi di dalam sebuah tin logam. Ia tertimbus di dalam lantai konkrit setebal 15 sentimeter.



Mereka pada awalnya menemui beberapa kabel elektrik biasa di bawah rumah yang dihuni selama lebih 10 tahun itu. Sebaik sahaja mengangkat lantai, mereka menjumpai cawan tin yang diisi dengan syiling berharga.


Beberapa syiling emas itu bertarikh dari 1610 hingga 1727 ketika pemerintahan Raja James I, Charles I dan George I.


Pasangan itu mahukan pendapat ahli profesional tentang penemuan itu. Mereka segera menghubungi firma lelongan d Spink & Son di London. Seorang pakar bergegas ke rumah mereka untuk melihat koleksi itu.


Pegawai yang melawat rumah pasangan itu memberi analisis tentang penemuan tersebut. Syiling itu didapati milik keluarga saudagar kaya dari bandar Hull, Fernley-Maisters.


Fernley-Maisters adalah pengimport dan pengeksport kayu balak, arang batu dan bijih besi dengan generasi terkemudian berkhidmat sebagai anggota Parlimen pada awal 1700-an.


"Ia adalah satu penemuan yang sangat mengejutkan. Penemuan lebih 260 syiling ini juga merupakan salah satu yang terbesar dalam rekod arkeologi dari Britain," kata Gregory Edmund, seorang pakar yang teruja melihat koleksi itu. - Sumber The Sun.


Pasangan itu telah tinggal di rumah mereka selama lebih daripada 10 tahun sebelum penemuan itu. - Foto BNPS.

Beberapa syiling emas itu bertarikh dari 1610 hingga 1727. - Foto Spinks/BNPS.