Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan

Selasa, 3 Januari 2023

Wap berwarna pelangi muncul di udara, penduduk di Korea Selatan sangka ternampak UFO

Wap berwarna pelangi muncul di udara, penduduk di Korea Selatan sangka ternampak UFO


Khabar angin mengenai penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) sehingga meninggalkan jejak wap berwarna pelangi dan cahaya misteri di ruang udara Korea Selatan rupa-rupanya hanya latihan ketenteraan.


Menerusi lapor akhbar Washington Post pada 30 Disember 2022, perkara itu disahkan selepas tentera negara itu mengaku pihaknya adalah 'dalang' di sebalik objek misteri yang heboh diperkatakan dalam media sosial.


Menurut Kementerian Pertahanan, objek melambung tinggi di langit pada malam Jumaat itu adalah satu bentuk roket baharu yang sedang dibangunkan oleh pihak tentera.


Pihaknya menjelaskan latihan tersebut tidak dimaklumkan lebih awal kerana melibatkan isu sensitif keselamatan ketenteraan negara. Bagaimanapun, bentuk roket yang menimbulkan situasi panik dalam kalangan penduduk di Goyang belum diumumkan lagi.


Ujian roket yang dilancarkan ke ruang udara membolehkan pengawasan dari angkasa lepas dijalankan dan memberi peluang kepada Korea Selatan memperkukuh aspek pertahanan.


Susulan itu, pihak berkuasa menerima beratus-ratus laporan daripada penduduk yang melahirkan kebimbangan tentang kehadiran makhluk asing di bumi.


Roket itu dilancarkan empat hari selepas Korea Selatan menuduh Korea Utara menerbangkan lima dron merentasi garis sempadan.


Dilaporkan, pihak tentera gagal menembak dron tersebut walaupun menyedari kehadiran objek itu di ruang udara, sekali gus menimbulkan persoalan keselamatan rangkaian pertahanan udara negara ini.


Dalam perkembangan sama, Korea Utara juga berusaha membangunkan satelit pengawasan ketenteraan pertama serta sistem senjata berteknologi tinggi bagi mengatasi keupayaan Amerika Syarikat. - Sumber Washington Post.


Penampakan objek sehingga menimbulkan lintasan bercahaya di ruang udara di Goyang, Korea Selatan pada Jumaat, 30 Disember 2022 lalu. - Foto AP/Ahn Young-joon.

Ahad, 25 Disember 2022

(Video) Saintis temui 'jalan berbata kuning' 3,000 meter di dasar laut, didakwa laluan ke dunia baharu

(Video) Saintis temui 'jalan berbata kuning' 3,000 meter di dasar laut, didakwa laluan ke dunia baharu


Sebuah ekspedisi yang dilakukan di utara Kepulauan Hawaii mendedahkan penemuan di dasar sebuah jurang dengan sesuatu kelihatan seperti jalan bata kuning, lapor laman berita Science Alert pada 21 Disember 2022.


Penemuan itu dibuat oleh kapal peneroka Nautilus awal tahun ini semasa meninjau puncak Liliʻuokalani dalam Monumen Nasional Marin Papahanaumokuakea (PMNM).


PMNM ialah salah satu kawasan pemuliharaan marin terbesar di dunia, lebih besar daripada gabungan semua taman negara di Amerika Syarikat (AS) dan saintis hanya meneroka kira-kira 3 peratus daripada dasar lautnya.


Penyelidik di Ocean Exploration Trust mengkaji sempadan hutan belantara itu yang terletak lebih daripada 3,000 meter di bawah laut.


Rakaman ekspedisi itu diterbitkan di YouTube pada April lalu yang merakamkan detik penyelidik mengendalikan kenderaan laut dalam sebelum terjumpa jalan itu.


"Ia adalah jalan ke Atlantis," seorang penyelidik di radio didengari berkata.


"Jalan bata kuning?" suara lain membalas.


"Ini pelik," tambah seorang lagi ahli pasukan itu.


Pasukan itu menyatakan bahawa laluan tersebut kelihatan hampir seperti 'kerak panggang' yang boleh dikupas.


Dalam satu bahagian kecil, batu gunung berapi itu telah retak dengan cara yang kelihatan sangat mirip dengan batu bata.


"Rekahan bersudut 90 darjah itu mungkin berkaitan dengan tekanan pemanasan dan penyejukan daripada pelbagai letusan di kawasan ini," demikian kapsyen pada video itu.


Pada pandangan pertama, rekahan itu mudah disalah anggap sebagai laluan ke dunia baharu yang indah. - Sumber Science Alert.


Sabtu, 24 Disember 2022

Biawak gergasi sesat masuk kawasan resort berjaya ditangkap

Biawak gergasi sesat masuk kawasan resort berjaya ditangkap


Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu menangkap seekor biawak seberat kira-kira 20 kilogram yang sesat di kawasan sebuah resort Jalan Pantai Cahaya Bulan, semalam.


Ketua Operasi APM Kota Bharu, Leftenan Muda Nor Hamiza Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2 petang.


Menurutnya, sebelum masuk ke kawasan resort, kakitangan resort itu melihat haiwan reptilia sepanjang kira-kira dua meter itu berada di bawah sebuah kereta.


"Semasa anggota APM tiba, biawak itu sudah berada di kawasan lapang. Anggota bertugas mengambil masa selama 10 minit untuk menangkapnya menggunakan alat khas.


"Haiwan itu kemudianya dibawa ke tempat kurungan sementara di Pejabat APM daerah sebelum ia dilepaskan ke kawasan hutan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, Nor Hamiza, biawak itu kemungkinan sesat selepas air surut di kawasan sekitar kampung yang ditenggelami air akibat hujan lebat pada minggu lalu.


Katanya, sebelum ini, APM Kota Bharu berjaya menangkap biawak dan haiwan berbisa di beberapa rumah penduduk yang terjejas banjir. - Sumber Kosmo.


Anggota APM menangkap seekor biawak yang sesat di kawasan sebuah resort di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu semalam. - Foto APM.

Sabtu, 17 Disember 2022

Budak dua tahun cedera kena telan dengan badak air sebelum dimuntahkan semula

Budak dua tahun cedera kena telan dengan badak air sebelum dimuntahkan semula


Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di negara Uganda, Afrika Timur ditelan seekor badak air sebelum binatang buas itu memuntahkan kembali mangsa, lapor laman berita News Week pada 13 Disember 2022.


Mangsa dimuntah keluar selepas saksi kejadian bertindak merejam badak air itu dengan menggunakan batu, kata polis.


Dia bermain sendirian berhampiran rumahnya di tepi sebuah tasik di bandar Katwe Kabatoro Ahad lalu apabila seekor badak air yang kelaparan membaham mangsa menggunakan rahangnya yang besar, lapor saluran radio Capital FM Uganda.


Sebelum badak air itu sempat menelan mangsa sepenuhnya, seorang saksi kejadian, Chrispas Bagonza mula melempar batu ke arahnya, menyebabkan haiwan itu 'memuntahkan' mangsa kembali, demikian menurut agensi yang paling awal melaporkan kejadian tersebut.


Mangsa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan di bandar berhampiran, Bwera. Badak air tersebut dikatakan telah melarikan diri ke dalam tasik, demikian menurut laporan sama.


"Bagonza melempar batu ke arah badak air tersebut dan menakutkannya, menyebabkan ia melepaskan mangsa dari dalam mulutnya.


"Dia memberanikan diri untuk menyelamatkan mangsa," kata Polis Uganda kepada akhbar Telegraph Uk.


Badak air dianggarkan membunuh sekurang-kurangnya 500 orang setahun di Afrika dengan mengunyah mangsa menggunakan gading yang boleh membesar sepanjang 30 sentimeter (sm).


Badak air biasanya mempunyai berat antara 1,270 hingga 3,175 kilogram, dan sering ditemukan di kawasan tanah lembap, sungai, tasik dan paya, ia boleh membuka mulut sebesar 150 darjah dan mempunyai gigitan yang sangat kuat.


"Kekuatan gigitan mereka kira-kira tiga kali lebih besar daripada singa," kata Lochran Traill, ahli ekologi dan saintis pemuliharaan dari Universiti Leeds di United Kingdom, sebelum ini memberitahu Newsweek.


"Itulah sebabnya ia sangat berbahaya, mereka boleh menyebabkan trauma yang teruk kepada tubuh manusia sama ada melalui gigitan atau pijakan," kata Lochran lagi. - Sumber News Week.


Mangsa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. - Foto New York Post.

Ahad, 6 November 2022

Lelaki rahsiakan menang loteri berjumlah RM143 juta daripada isteri dan anaknya

Lelaki rahsiakan menang loteri berjumlah RM143 juta daripada isteri dan anaknya


Seorang lelaki di China merahsiakan kejayaannya memenangi loteri berjumlah 219 juta yuan (RM143 juta) daripada isteri dan anaknya kerana dia bimbang mereka akan menjadi 'malas'.

Bagi melindungi identitinya, lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Li mengenakan kostum kartun berwarna kuning ketika menuntut hadiah kemenangannya di pejabat loteri pada minggu lalu.

Menurut Li, dia berasa seronok dengan kemenangan tersebut dan akan terus merahsiakan perkara itu daripada keluarganya.

"Saya tidak beritahu isteri dan anak kemenangan ini kerana tidak mahu mereka menjadi terlalu malas dan selesa kerana mengetahui kami mempunyai duit yang banyak.

"Sebaliknya, saya lebih selesa jika kami hidup seperti biasa dengan anak saya boleh mencari kerja untuk masa depannya," katanya.

Sebelum menuntut kemenangannya pada 24 Oktober lalu, Li tinggal selama seminggu di sebuah hotel kerana takut kehilangan tiket loteri. Dia juga langsung tidak keluar dari bilik dan hanya memesan makanan secara dalam talian.

"Saya tidak tidur pada malam 21 Oktober apabila mengetahui bahawa saya telah memenangi jackpot berjumlah 219 juta yuan," katanya.

Menurut laporan SCMP, selepas mengambil hadiah di Pusat Pengedaran Loteri Kebajikan Guangxi di Bandar Nanning, dan membayar cukai 43 juta yuan, Li turut menderma 5 juta yuan kepada badan kebajikan.

Li yang kerap membeli tiket loteri selama lebih sedekad kini menganggap dirinya peminat permainan itu. Li telah membeli dan bertaruh pada tujuh nombor yang sama dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Saya menganggap membeli loteri sebagai hobi, dan keluarga saya tidak kisah. Selain itu, saya tidak membelanjakan banyak wang untuk itu, dan loteri memberikan sinar harapan untuk saya," kata Li.

Li berkata dia belum memikirkan bagaimana dia akan membelanjakan wang itu dan akan meluangkan masa untuk merancangnya.

Seorang lelaki mengenakan kostum kartun bagi merahsiakan identitinya ketika menuntut kemenangan loteri di Nanning, China, pada 24 Oktober 2022 lalu. - Foto Guangxi Welfare Lottery Center.

Rabu, 5 Oktober 2022

Seramai 140 juta orang di Bangladesh bergelap 6 jam akibat bekalan elektrik terputus

Seramai 140 juta orang di Bangladesh bergelap 6 jam akibat bekalan elektrik terputus


Seramai 140 juta penduduk Bangladesh terpaksa bergelap hampir enam jam dalam satu insiden bekalan elektrik terputus yang didakwa sebagai terbesar di dunia setakat ini, lapor akhbar The Sun pada 4 Oktober 2022.


Jalan-jalan yang biasanya terang benderang di tengah Dhaka dan bandar-bandar lain gelap pada waktu petang. Masih tidak jelas apa yang menyebabkan bekalan elektrik terputus, namun menurut syarikat utiliti tenaga milik kerajaan, pemadaman kuasa elektrik besar-besaran itu dikatakan berlaku akibat 'kegagalan misteri' pada tapak grid elektrik.


Sehingga petang tadi, tiada penjelasan lanjut dibuat mengenai punca tenaga elektrik terputus di hampir 80 peratus kawasan di seluruh Bangladesh sejurus selepas pukul 2 petang (waktu tempatan) semalam.


Menurut jurucakap Lembaga Pembangunan Tenaga, Shamim Ahsan, hanya beberapa kawasan di barat laut Bangladesh yang 'terselamat' daripada gangguan bekalan tersebut.


"Punca kejadian masih dalam siasatan tetapi berkemungkinan besar ia disebabkan masalah teknikal," jelas Shamim.


Sementara itu, jurucakap syarikat grid kuasa milik kerajaan negeri, A.B.M Badruddoza berkata, bekalan elektrik di separuh daripada kawasan yang terjejas kembali pulih menjelang lewat petang hari yang sama.


Bangladesh telah mengalami krisis kuasa terbesar dalam beberapa bulan kebelakangan ini akibat daripada harga tenaga global yang lebih tinggi berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.


Ini telah mendatangkan malapetaka pada grid elektrik Bangladesh dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan utiliti bergelut untuk mendapatkan sumber diesel dan gas yang mencukupi untuk memenuhi permintaan.


Mata wang yang menyusut dan rizab pertukaran asing yang semakin berkurangan menyebabkan Bangladesh tidak dapat mengimport bahan api fosil yang mencukupi, memaksanya menutup loji diesel dan membiarkan beberapa stesen jana kuasa gas terbiar.


Kerajaan melaksanakan pemotongan elektrik yang berpanjangan untuk menjimatkan stok sedia ada pada Julai lalu dengan gangguan berlarutan sehingga 13 jam sehari pada waktu kemuncaknya.


Kali terakhir Bangladesh mengalami pemotongan bekalan elektrik tidak berjadual adalah pada November 2014 apabila kira-kira 70 peratus negara itu terputus bekalan elektrik selama hampir 10 jam. - Sumber The Sun.


Keadaan di kawasan kejiranan semasa bekalan elektrik terputus di Dhaka kelmarin. - Foto AP.

Rabu, 21 September 2022

'Simpanan' emas dan tembaga bernilai berbilion ringgit ditemui di Arab Saudi

'Simpanan' emas dan tembaga bernilai berbilion ringgit ditemui di Arab Saudi


Kerajaan Arab Saudi, pada Khamis lepas mengumumkan penemuan tapak galian emas dan bijih tembaga baharu di wilayah Madinah, lapor Al Arabiya News pada 16 September 2022.


Penemuan bijih emas itu berada dalam sempadan Aba al-Raha, di wilayah Madinah, kata Pemantauan Geologi Arab Saudi dalam catatan di media sosial. Ia turut menyatakan bijih tembaga ditemui di empat tapak di wilayah Wadi Al-Faraa juga di Madinah.


Al Arabiya News melaporkan, penemuan baharu itu dijangka menarik pelabur tempatan dan antarabangsa dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


Laman web itu melaporkan, ia mempunyai saiz pelaburan yang dijangkakan sebanyak AS$533 juta (kira-kira RM2.4 bilion) dan dijangka menjana sekitar 4,000 pekerjaan.


Perlombongan adalah satu daripada sektor yang dikenal pasti untuk pengembangan ekonomi sebagai sebahagian daripada matlamat Wawasan 2030, yang diilhamkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman.


Pada Jun, apabila Putera Mahkota Saudi mengumumkan keutamaan negara untuk sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan mampan sektor perlombongan yang berkembang pesat turut menjadi titik tumpuan.


Pada Mei, Kementerian Perindustrian dan Sumber Mineral Arab Saudi menggariskan rancangan untuk menarik AS$32 bilion (kira-kira RM145 bilion) pelaburan ke dalam sektor perlombongan.


Pada bulan Januari lalu, Profesor Abdulaziz bin Labon, Pengerusi Persatuan Koperasi Ahli Geologi Arab Saudi memberitahu SPA bahawa negara itu mempunyai sekurang-kurangnya 5,300 lokasi mineral sama ada yang berbentuk logam atau bukan logam, bahan binaan, batu hiasan dan batu permata.


Sasaran kementerian akan membiayai sembilan projek perlombongan untuk mineral dan logam. - Sumber Al Arabiya News.


Foto fail menunjukkan lombong emas Al Amar, 200 kilometer dari barat daya Riyadh. - Foto fail Reuters.