Sabtu, 17 Disember 2022

Budak dua tahun cedera kena telan dengan badak air sebelum dimuntahkan semula


Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di negara Uganda, Afrika Timur ditelan seekor badak air sebelum binatang buas itu memuntahkan kembali mangsa, lapor laman berita News Week pada 13 Disember 2022.


Mangsa dimuntah keluar selepas saksi kejadian bertindak merejam badak air itu dengan menggunakan batu, kata polis.


Dia bermain sendirian berhampiran rumahnya di tepi sebuah tasik di bandar Katwe Kabatoro Ahad lalu apabila seekor badak air yang kelaparan membaham mangsa menggunakan rahangnya yang besar, lapor saluran radio Capital FM Uganda.


Sebelum badak air itu sempat menelan mangsa sepenuhnya, seorang saksi kejadian, Chrispas Bagonza mula melempar batu ke arahnya, menyebabkan haiwan itu 'memuntahkan' mangsa kembali, demikian menurut agensi yang paling awal melaporkan kejadian tersebut.


Mangsa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan di bandar berhampiran, Bwera. Badak air tersebut dikatakan telah melarikan diri ke dalam tasik, demikian menurut laporan sama.


"Bagonza melempar batu ke arah badak air tersebut dan menakutkannya, menyebabkan ia melepaskan mangsa dari dalam mulutnya.


"Dia memberanikan diri untuk menyelamatkan mangsa," kata Polis Uganda kepada akhbar Telegraph Uk.


Badak air dianggarkan membunuh sekurang-kurangnya 500 orang setahun di Afrika dengan mengunyah mangsa menggunakan gading yang boleh membesar sepanjang 30 sentimeter (sm).


Badak air biasanya mempunyai berat antara 1,270 hingga 3,175 kilogram, dan sering ditemukan di kawasan tanah lembap, sungai, tasik dan paya, ia boleh membuka mulut sebesar 150 darjah dan mempunyai gigitan yang sangat kuat.


"Kekuatan gigitan mereka kira-kira tiga kali lebih besar daripada singa," kata Lochran Traill, ahli ekologi dan saintis pemuliharaan dari Universiti Leeds di United Kingdom, sebelum ini memberitahu Newsweek.


"Itulah sebabnya ia sangat berbahaya, mereka boleh menyebabkan trauma yang teruk kepada tubuh manusia sama ada melalui gigitan atau pijakan," kata Lochran lagi. - Sumber News Week.


Mangsa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. - Foto New York Post.


EmoticonEmoticon